"Katakanlah: Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata, Maha Suci Allah, dan tiada aku termasuk di antara orang-orang yang musyrik" (QS Yusuf:108)

02 March, 2016


APABILA MATI ANAK ADAM MAKA TERPUTUSLAH AMALANNYA KECUALI TIGA PERKARA ...

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Dari Abu Hurairah
radhiyallahu 'anhu  bahawa Nabi Muhammad  Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: "Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah,atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya." (Hadith Sahih - Riwayat Muslim dan lain-lainnya) 
Kita sering mendengar hadis di atas yang di bawakan oleh ustaz2 kita di TV, Radio di internet dan sebagainya. Persoalannya sekarang adakah kita benar2 faham apa yang di maksudkan oleh hadis diatas? 
Dalam hadis di atas menerangkan bahawa apabila telah meninggalnya seseorang manusia,tiada lah apa apa yang dapat menolongnya kecuali tiga perkara sahaja.
1.  Sedekah jariah yang di berikan semasa hidupnya.
2.  Segala ilmu yang baik yang di ajarkan kepada orang semasa hidupnya.
3. Doa anak yang soleh/solehah terhadap ibubapanya yang di tingalkannya (di warisinya).
1.  Sedekah Jariah
Segala bentuk sedekah bahan yang dikeluarkan oleh si mati semasa hayatnya termasuklah sedekah wang,makanan,harta benda dan dalam katogeri ini termasuk juga harta yang di waqafkan oleh si mati semasa hidupnya. Sebagai contoh seseorang itu mendirikan surau untuk kegunaan Masyarakat setempat untuk shalat dan belajar agama , Selagi mana surau itu di menfaatkan selagi itulah pahala mengalir untuk si mati. Sekiranya di hentikan aktiviti surau tersebut maka terhentilah pahala yang mengalir untuk si mati itu tadi,maka berdosalah orang yang menghentikannya.
Orang yang hidup atau waris boleh juga bersedekahkan bagi pihak si mati tak kiralah samaada sedekah itu hasil dari wang,harta, peninggalan si mati atau wang waris sendiri.Yang pentingnya ialah niat kita untuk bersedekah bagi pihak si mati. Amalan "waqaf" dalam Islam juga telah bermula semenjak zaman Rasulullah s.a.w. dan telah berkembang di negara-negara Islam hingga hari ini dan seterusnya.

2.  Doa

Selain dari doa anak anak yang soleh/solehah terhadap ibubapanya, doa antara sesama kaum muslimin pun bermenfaat untuk si mati. Ini berdasarkan kepada dalil berikut : Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata:

وَالَّذينَ جاءوا مِن بَعدِهِم يَقولونَ رَبَّنَا اغفِر لَنا وَلِإِخوانِنَا الَّذينَ سَبَقونا بِالإيمانِ وَلا
تَجعَل في قُلوبِنا غِلًّا لِلَّذينَ آمَنوا رَبَّنا إِنَّكَ رَءوفٌ رَحيمٌ

“Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas Kasihan dan RahmatMu”. (Surah: Al-Hasyr ayat 10.

Mengenai doa anak yang soleh/solehah Insya’Allah doa akan bermenfaat jika anak2 itu bersolat.Kalau tak solat pasti doa itu tak akan diterima sebab solat itu tiang agama, tidak diterima segala amal kebaikan jika tidak bersolat termasuklah doa. Jadi usahakanlah supaya anak anak kita terdiri dari golongan orang orang yang mengerjakan solat.

3.  Ilmu yang bermenfaat

"Ilmu yang berguna atau bermanfaat yang di ajarkan kepada orang lain," yang tersebut dalam hadith ialah ilmu yang berhubung dengan agama Islam secara khusus dan juga yang berhubung dengan ilmu ilmu kemajuan di dunia secara umum, sama ada melalui syarahannya,pengajaran kepada murid-muridnya dan orang ramai,atau melalui kitab-kitab dan buku-buku karangannya. 

Selagi ilmu yang diajarkannya atau kitab-kitab dan buku-buku karangannya masih wujud dan dinikmati faedahnya oleh umum maka ia akan mendapat pahalanya berterusan semasa ia hidup dan sesudah ia mati.

4.  Membayar hutang puasa si mati.
 
Dari Ibn Abbas
radhiyallahu 'anhu katanya: Seorang lelaki datang mengadap Nabi Muhammad  Sallallahu Alaihi Wasallam  lalu berkata: "Ya Rasulullah, ibu saya telah mati sedang ia menanggung hutang puasa (yang wajib) selama sebulan, bolehkah saya mengqadha puasanya itu?" 

Baginda menjawab: "Boleh, (Kalau hutang sesama manusia wajib dibayar) maka hutang (manusia kepada) Allah lebih berhak diselesaikan. (Hadith Sahih - Riwayat Bukhari)
 
Hadith ini mengatakan bahawa orang mati yang menanggung hutang puasa yang wajib (sama ada puasa Ramadhan atau pun puasa nazar atau puasa kifarah), boleh dibayar oleh orang yang termasuk dalam lingkungan kaum kerabatnya - dengan jalan berpuasa untuknya. 

Dalam hal ini Imam Nawawi rahimahullah berkata: Imam al-Syafi'i rahimahullah, mempunyai "dua pendapat" dalam masalah ini: 

Pertama - Hutang puasa si mati hendaklah dibayar dengan "fidyah" sahaja. 

Kedua - Boleh juga dibayar dengan jalan berpuasa untuknya.
 
Berdasarkan keterangan yang tersebut, maka kesimpulan masalah ini dalam mazhab Syafi'i ialah: Menurut "pendapat" yang pertama: Hutang puasa si mati , hendaklah di bayar dengan "fidyah" sahaja oleh walinya. 

Menurut "pendapat" yang kedua pula : Pihak walinya bebas memilih, sama ada dengan memberi fidyah atau dengan berpuasa untuknya.

Salah satu hadis yang lain juga:

Dari `Aisyah
radhiyallahu 'anha bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: "Barangsiapa mati sedang ia menanggung hutang puasa (yang wajib) hendaklah walinya (membayar dengan) berpuasa untuknya". (Hadith Sahih - Riwayat Bukhari dan Muslim) 

5.  Melangsaikan hutang harta si mati
 
Kita juga boleh membantu si mati dengan cara melangsaikan hutang harta si mati. Terdapat beberapa hadis yang menceritakan kebolehan tersebut. Terdapat banyak lagi hadis yang menceritakan akan kebolehan dan kewajipan melunaskan hutang si mati. Antaranya:

Dari Ibn Abbas
radhiyallahu 'anhu bahawa: .. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: ".. (Kalau hutang sesama manusia wajib dibayar) maka hutang kepada Allah lebih berhak diselesaikan."  (Hadith Sahih - Riwayat Bukhari dan Muslim). 

6.   Amalan baik anak anak sendiri
 
Di dalam Al-Quran, Surah an-Najm ayat 39, Allah telah berfirman yang bermaksud:

وَأَن لَيسَ لِلإِنسانِ إِلّا ما سَعىٰ

“Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya”

Terang di dalam ayat di atas mengatakan bahawa usaha seseorang akan di bawa ketika telah mati. Zuriat yang di tinggalkan adalah hasil usaha si mati sendiri semasa hidupnya. Jadi bagaimana pula ayat di atas dapat menjadi dalil yang membolehkan amalan baik anak itu sampai kepada si mati? Persoalan ini terjawab dengan hadis sahih di bawah:

Sesungguhnya makanan yang paling baik untuk di makan oleh seseorang ialah hasil titik peluhnya sendiri. Dan sesungguhnya anak adalah sebahagian daripada hasil usaha kita sendiri. [Hadith sahih-Al-Hakim, Imam At-Turmudzi, Imam Ahmad, Abu Daud An-Nasai]

Di dalam hadis yang lain:

Hadis Aisyah  
radhiyallahu 'anha:

Seorang lelaki datang kepada Nabi
Sallallahu Alaihi Wasallam dan berkata: Wahai Rasulullah! Ibuku meninggal dunia secara mengejut dan tidak sempat berwasiat tetapi aku menduga, seandainya dia mampu berkata-kata, tentu dia menyuruh untuk bersedekah. Adakah dia akan mendapat pahala jika aku bersedekah untuknya? Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Benar! (Sahih Muslim)

Kesimpulanya di sini jika si mati mewarisi anak2 yang soleh solehah maka si mati akan mendapat pahala hasil dari kebaikan dan kosolehan anak anaknya itu,tetapi jika anak anaknya tidak soleh/solehah si mati akan mendapat kesusahan di alam kubur.

Akhir kalam, ada satu perkara yang diperselisihkan oleh ulamak dari dahulu sampai sekarang iaitu “adakah sampai bacaan ayat ayat al Quran yang kita sedekah kepada si mati.” Menurut Imam syafi’ dan sebahagian murid dan pengikutnya adalah tidak sampai. Sebahagian yang lain berpendapat adalah sampai sedekah pahala tersebut. 

ADAPUN MAKSIAT JARIAH ADALAH:

KITA biasa mendengar mengenai sedekah jariah iaitu pahala amalan sedekah yang berterusan walaupun setelah meninggal dunia.

Ini kerana kesan daripada sedekahnya itu masih lagi dimanfaatkan oleh orang lain seperti membina masjid, sekolah dan sebagainya. Ini disebutkan dalam hadis Nabi 
Sallallahu Alaihi Wasallam

“Apabila meninggal seseorang manusia, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: dari sedekah jariah, atau ilmu yang bermanfaat atau anak soleh yang mendoakan untuknya”. (Riwayat Imam Muslim)

Di samping sedekah jariah ini, terdapat juga apa yang dinamakan dengan dosa atau maksiat jariah. Dalam bahasa Arab, perkataan 'jariah' bermaksud berlari atau mengalir seperti dikatakan sungai yang mengalir dengan 'nahr jar'. Kemudian perkataan berlari atau mengalir ini membawa maksud kekal atau berterusan.

Justeru, sedekah jariah atau maksiat jariah bermaksud pahala atau dosa yang masih lagi kekal dan berterusan bertambah walaupun setelah seseorang itu meninggal dunia, kesan daripada perbuatan yang dilakukan semasa hidupnya di dunia, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

إِنّا نَحنُ نُحيِي المَوتىٰ وَنَكتُبُ ما قَدَّموا وَآثارَهُم ۚ وَكُلَّ شَيءٍ أَحصَيناهُ في إِمامٍ مُبينٍ

“Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati, dan Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan, serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan. Dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu kami catatkan satu persatu dalam Kitab (catatan amalan) yang jelas nyata.” (SurahYasin: 12)

Sesungguhnya pahala amalan baik dan dosa amalan buruk adalah perkara yang tidak dapat diragukan lagi kerana perhitungan atau hisab pada hari kiamat adalah berdasarkan kepada timbangan-timbangan amalan.

Sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

وَنَضَعُ المَوازينَ القِسطَ لِيَومِ القِيامَةِ فَلا تُظلَمُ نَفسٌ شَيئًا ۖ وَإِن كانَ مِثقالَ حَبَّةٍ مِن خَردَلٍ أَتَينا بِها ۗ وَكَفىٰ بِنا حاسِبينَ

“Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk (menimbang amal makhluk-makhluk pada) hari kiamat; maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikit pun; dan jika (amalnya) itu seberat biji sawi (sekalipun), nescaya Kami akan mendatangkannya (untuk ditimbang dan dihitung); dan cukuplah Kami sebagai Penghitung.” (Al-Anbiya’:47)

Manusia setelah meninggal dunia terbahagi kepada beberapa bahagian berdasarkan kepada amalan baik dan buruk mereka di dunia.

Pertama, orang yang meninggal dunia, maka terputuslah pahala amalan baik dan dosa amalan buruknya. Hanya baginya pahala atau dosa atas perbuatan yang telah dilakukannya di dunia semasa hidupnya.

Kedua, orang yang meninggal dunia, tetapi dosa dan pahalanya masih lagi berterusan. Orang sebegini, kesudahannya adalah bergantung pada berat timbangan salah satu daripada kedua-duanya, sama ada dosanya lebih berat atau pahalanya lebih berat.

Ketiga, orang yang meninggal dunia, namun pahalanya masih lagi berterusan kesan peninggalan amalan baiknya di dunia, sesuai dengan kadar keikhlasannya kepada ALLAH dan kesungguhannya melakukan amalan baik tersebut. Betapa bahagianya hidup orang sebegini di alam kuburnya sesudah kematiannya.

Keempat dan yang paling buruk adalah orang yang meninggal dunia dalam keadaan pahalanya telah terputus tetapi dosanya masih lagi berterusan sepanjang masa dia berada di alam kubur.

Malah dosanya semakin bertambah dari sehari ke sehari, sehinggalah dia dibangkitkan pada hari kiamat dengan membawa bergunung-gunung dosa yang dia sendiri tidak menyangkanya. Betapa rugi dan menyesalnya dia nanti di akhirat kelak.

Perihal dosa jariah ini, Imam al-Ghazali telah menyebutkan tentang perkara ini dalam kitabnya Ihya’ Ulum al-Din dengan kata-katanya:

“Betapa beruntungnya buat orang yang mati, dalam masa yang sama, dosanya juga turut mati (terhenti), tetapi celakalah buat orang yang mati, namun dosanya masih kekal berterusan selama seratus tahun, dua ratus tahun, atau lebih dari itu. Dia diazab di dalam kuburnya kerana dosa-dosa tersebut.”
Sesungguhnya nas-nas al-Quran juga jelas menyatakan perkara ini.

 Antaranya firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

لِيَحمِلوا أَوزارَهُم كامِلَةً يَومَ القِيامَةِ ۙ وَمِن أَوزارِ الَّذينَ يُضِلّونَهُم بِغَيرِ عِلمٍ ۗ أَلا ساءَ ما يَزِرونَ

“(Mereka dibiarkan menuduh dengan demikian) supaya mereka memikul dosa-dosa mereka dengan sepenuhnya pada hari kiamat, dan juga memikul sebahagian dari dosa orang-orang yang mereka sesatkan dengan tidak berdasarkan pengetahuan yang benar. Sesungguhnya amatlah buruknya dosa-dosa yang mereka lakukan itu.” (Surah Al-Nahl: 25)

Dalam dunia media sosial masa kini dengan aplikasi perkongsian maklumat yang serba canggih seperti Facebook, Twitter, Instagram, Whatsapp, Telegram dan pelbagai lagi, hakikatnya mendedahkan kita kepada ancaman maksiat jariah sebagaimana yang dibincangkan.

Kecenderungan untuk berkongsi menyebarkan maklumat  yang tidak diketahui sumbernya sememangnya boleh menjerumuskan kita kepada dosa atau maksiat fitnah.

Dosa fitnah yang kita sebarkan ini pula akan berterusan selama mana perkara tersebut terus tersebar walaupun kita telah meninggal dunia, kesan dari apa yang kita buat yang diikuti dan dipercayai oleh orang lain.

Moga-moga kita semua dijauhkan daripada menjadi muflis di akhirat lantaran tingkah dan olah kita sendiri.