Menurut Imam Syafi’e dan Abu Hanifah ra pada ta’a’uz ialah dengan cara membaca :
اعوذ باالله من الشيطان الرجيم
Aku berlindung dengan Nama Allah dari Syaitan yang direjam
Sesungguhnya meminta perlindungan dari Allah terhadap segala keburukan dan kejahatan merupalkan kewajipan kepada setiap muslim. Bahkan ianya termasuk perkara ibadah dan penghambaan seseorang kepada Allah dengan menjadikan Allah sebagai pelindung dan tempat memohon segala sesuatu. Seperti firman Allah swt dalam Al-Qur'an :
وَقُل رَّبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنْ هَمَزَاتِ الشَّيَاطِينِ
“ Dan berkatalah kepada tuhan; aku memohon perlindungan dari bisikan syaitan-syaitan.” (Surah Mukminun : 97).
Begitu juga dalam firman Allah swt yang lain :
وَإِمَّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نَزْغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
"Dan jika kamu dihasut oleh hasutan dari Syaitan, maka berlindunglah kepada Allah. Sesungguhnya Dialah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui". (Surah Fusilat : 36).
Mengenai masalah istiazah dan memohon perlindungan Allah dari gangguan Iblis dan syaitan maka para ulama’ menyebut bahawa ianya dilakukan selepas membaca Al-Quran dan berpegang pada zahir ayat yang memerintahkan supaya beristiazah Manakala menurut Al-Qurtubi yang mengambil riwayat dari Abu bakr bin Al-Arabi (Ibnul Arabi) dan dari ulama’ Malikiyah menyatakan sesungguhnya dibaca istiazah dan memohon perlindungan dari syaitan selepas membaca Fatihah.
Bagaimanapun jumhur (sebahagian besar ulama’ ) memegang pendapat bahawa istiazah dilakukan sebelum membaca Al-Quran demi mempertahankan gangguan syaitan. Bahkan sebagai menuruti firman Allah swt :
فَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآنَ فَاسْتَعِذْ بِاللّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
"Oleh itu apabila engkau membaca Al-Qur'an, maka hendaklah engkau memohon perlindungan kepada Allah dari hasutan syaitan yang kena rejam". (Surah An-Nahl :98).
Ayat ini membawa makna jika kamu ingin membaca Al-Quran yakni amalan membaca itu belum dilakukan tapi jika akan dilakukan seperti mana ayat :
وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُواْ
“ Dan jika kamu mendirikan solat maka hendaklah kamu basuh muka dan kedua tangan kamu”
(Surah Al-Mai’dah :6).
Ayat ini menunjukkan jika ingin menunaikan solat hendaklah terlebih dahulu berwudhuk dan sudah tentu wudhuk mesti dibuat sebelum solat. Maka demikianlah ditafsirkan bagi ayat membaca istiazah terlebih dahulu sebelum membaca Al-Quran.
Jumhur Ulama’ bersepakat mengatakan bahawa Istiazah dilakukan sebagai sunnah dan tidaklah sampai ke tahap wajib dan berdosa jika ditinggalkan.Namun diriwayatkan dari Atho ibn rabih akan bahawa ianya wajib dibaca dalam solat dan diluarnya ketika ingin membaca Al-Quran. Maka berkata pula Ibn Sirrin ra bahawa jika kamu beristiazah sekali sepanjang hayat maka sesungguhnya telah menggugurkan perintah istiazah sebagaimana yang diperintahkan dalam Quran Surah An-Nahl ayat 98 tadi.
Menurut Imam Syafie ra bahawa dalam bacaan di kuatkan membacanya dan jika diperlahankan (dibaca secara sirr, rahsia) pun tidak mengapa seperti dalam kitabnya Al-Umm dengan memberikan pilihan kerana Ibn Umar membacanya secara perlahan (sirr) dan Abu Hurairah pula membacanya secara lantang.
Makna Istiazah
Istiazah bermaksud meminta perlindungan dan pertolongan kepada Allah dari gangguan Syaitan dan godaannya dan ianya merupakan satu perintah umum kepada semua manusia. Sabda rasulullah kepada Abi Zar ra :
“ Wahai Abu Dzar, Mintalah perlindungan kepada Allah dari Syaitan manusia dan syaitan dari jin”. Lalu aku pun bertanya apakah ada Syaitan dari kalangan manusia ? Baginda pun menjawab : Ya
(Hadith Hasan Lighairih, riwayat Ahmad no.2136 & An- Nasaie no. 275 Jilid 8 ).
Cara Pembacaan Istiazah
Menurut Imam Syafi’e dan Abu Hanifah ra pada ta’a’uz ialah dengan cara membaca :
اعوذ باالله من الشيطان الرجيم
“ Aku berlindung dengan Allah dari syaitan yang direjam.”
(Hadith Sahih, Tirmidzi no. 3696 & Abu Daud no. 4781) dan mereka berpendapat cukup berpada dengan kadar demikian.
Namun menurut para ulama’ yang lain dibenarkan menambah sekadar yang terdapat dalam dalil dan pertunjuk dari sunnah rasulullah. Seperti yang diriwayatkan dari rasulullah salallahualaihiwasalam yang pernah membaca dengan menyebut :
أعوذباالله السميم العليم من الشيطان الرجيم
“Aku berlindung dengan Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui dari Syaitan yang direjam” (Hadith Sahih, riwayat Abu Daud no. 775).
Juga bacaan seperti :
الشيطان الرجيم من همزه ونفخه و نفثه أعوذباالله من
" Aku berlindung dengan Allah dari syaitan yang direjam dari bisikannya, tipu helahnya dan dari gangguannya” (Hadith Hasan, riwayat Abu Daud 764 & Ibn. Majah 804).
Manakala dalam bab membaca istiazah dalam solat maka menurut Imam Abu Hanifah dan Muhammad (anak muridnya) megatakan ianya dibaca. Dan jumhur mengatakan ianya dibaca selepas takbir iaitu sebelum Fatihah.
Mengenai hal ini para ulama’ mengatakan membaca istiazah dalam solat ialah sunnat yang sangat dituntut dan demikian pendapat jumhur kerana berdalilkan pada hadith yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id AL-Khudri bahawa rasul jika bangun malam akan bertakbir kemudian membaca doa iftitah lalu beristiazah dengan membaca :
أعوذباالله السميم العليم من الشيطان الرجيم من همزه ونفخه و نفثه
“Aku berlindung dengan Allah yang Maha Pendengar lagi Maha Mengetahui dari Syaitan yang direjam dari bisikannya dari tipu helahnya dan dari dirinya.”
(Hadith Hasan, riwayat Tirmidzi 242 & Ibn Majah 604).
Ianya dilakukan sebelum membaca bismillah dan Al-fatihah demikian menurut pendapat jumhur (lihat Sahih Fiqh Sunnah m/s 332 Jilid 1). Walaubagaimana pun saya menganggap membaca istiazah dalam solat dan sebelum memulakan bacaan Al-Quran sebagai wajib sebagai ihtiyat (berhati-hati) kerana disebut secara amar (perintah) dalam Al-Quran perintah beristiazah melalui firman Allah :
فَإِذَا قَرَأْتَ ٱلْقُرْآنَ فَٱسْتَعِذْ بِٱللَّهِ مِنَ ٱلشَّيْطَانِ ٱلرَّجِيمِ
“Dan jika kamu membaca Al-Quran maka mohonlah perlindungan Allah dari syaitan yang direjam.” (Surah An-Nahl :98).
Para ulama’ menyebut melalui kaedah usul bahawa meminta perlindungan Allah dari syaitan itu wajib bagi setiap muslim dan muslimat dan dengan membaca istiazah dapat menghalang gangguan syaitan maka membacanya wajib demi mencapai tujuan menghalang gangguan syaitan sebagaimana kaedah :
ما لا يتم الواجب الا به فهو الواجب
“Apa-apa yang dengannya diperlukan bagi menyempurnakan perkara wajib maka ianya pun menjadi wajib” (Lihat Al-Wajiz fi Syarah Qawa’id Fiqhiyah fi Syariah Islamiyah m/s 181 ).
Dan para ulama’ yang mengatakan membaca istiazah itu wajib dalam solat ialah Atho ibn Rabih ra dan As-Sauri serta Auzaie dan Imam Daud Az-Zahiri dan Ibn Hazm Az-zahiri serta juga dari riwayat Ahmad (lihat Al-Muhalla’ m/s 247 Jilid 3 dan Majmuk m/s 281 Jilid 3).
Ianya dibaca secara sirr (perlahan) kerana tiada dalil nabi salallahualaihiwasalam dan para sahabat membacanya secara jahar (kuat/ lantang) bahkan para khulafah ar-rasyidun juga membacanya secara sirr cuma dibenarkan oleh ulama’ untuk membacanya secara jahar (kuat) sekali-sekala sebagai memberi didikan kepada makmun demikian menurut pendapat Ibn Abbas ra dan pendapat ulama’ seperti Imam Nawawi. (lihat Sahih Fiqh Sunnah m/s 332 Jilid 1).
Imam Syafie mengatakan ianya iaitu istiazah dibaca setiap rakaat sebelum memulakan bacaan Quran dalam solat sebagai hukum sunnat namun pendapat yang dipilih ialah membaca pada setiap rakaat sebelum memulakan bismillah dan Al-Fatihah.
p/s :
Moga Artikel ringkas ini menjadi manfaat buat yang mahu mempelajari ilmu agama dan mahu meminta perlindungan dari Allah terhadap segala keburukkan dan kejahatan syaitan yang menjadi musuh manusia dan berada di hati manusia.
Berlalu masa dan hari tetapi diri semakin susut di hati kerana belum menemui apa yang dicari iaitu cinta abadi yang akan kekal menemani diri menemui ilahi.
Moga kesusahan hari ini akan dibalas dengan kemuliaan di kemudian hari.Segala puji hanyalah bagi Allah swt.
Ustaz Emran Ahamad