"Katakanlah: Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata, Maha Suci Allah, dan tiada aku termasuk di antara orang-orang yang musyrik" (QS Yusuf:108)

20 April, 2009

Risalah Aqidah Yang Sahih Menurut Ahlul Sunnah Wal Jamaah Melalui Pegangan Salaf Soleh


Muqadimah

Dimulai penulisan bab ini dengan lafaz Bismillah " Dengan Nama Allah" sebagai mengambil berkat dengan nama Allah dan menurut sunnah rasulullah sebagaimana yang diriwayatkan darinya

"Setiap amal yang tidak dimulai dengan nama Allah maka ianya ditolak (sia-sia)" (Dikeluarkan oleh Ibn Hibban dengan 2 jalan, sebahagian ulama menghasankan sebahagian lagi mendhaifkannya. An-Nawawi menghasankan hadith ini, begitu juga Iraqi dan Ibn Hajar. Dikeluarkan oleh Khatib dalam Jami' 69/2 dengan pelbagai jalan dan lafaz. Syeikh Soleh Fauzan mengatakan hadith ini mempunyai asal dan kebanyakkan ulama' meletakkannya pada permulaan kitab.

Bahkan rasul sendiri diriwayatkan pernah menulis surat-surat baginda dan memulainya dengan nama Allah seperti surat baginda kepada raja Rom Herculis dan mengajak mereka kepada Islam (Lihat Bukhari dalam Kitab Wahyu no. 8 & Muslim no. 1773, Ahmad dan Za'dul Ma'ad no. 688/3).

Alhamdulillah segala puji hanyalah bagi Allah, selawat serta salam buat Rasulullah Salallahu Alaihi wa Salam. Sesungguhnya sebesar-besar nikmat Allah kepada hambanya ialah nikmat Iman dan Islam. Tanpa nikmat iman dan Islam pada seseorang maka biarlah bertimbun harta dan kekayaannya , dunia dan segala isi walau dimiliki hanyalah sia-sia dan membawa celaka. Nikmat iman dan Islam bukanlah dapat dimiliki oleh semua orang bahkan ianya sememangnya rezeki dan nikmat yang perlu disyukuri oleh setiap insan yang memilikinya kerana telah dipilih untuk memiliki sesuatu yang berharga.

Sebagaimana firman Allah swt dalam Al-Quran :

وَكَذَلِكَ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ رُوحاً مِّنْ أَمْرِنَا مَا كُنتَ تَدْرِي
مَا الْكِتَابُ وَلَا الْإِيمَانُ وَلَكِن جَعَلْنَاهُ نُوراً

نَّهْدِي بِهِ مَنْ نَّشَاء مِنْ عِبَادِنَا وَإِنَّكَ لَتَهْدِي
إِلَى صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ

"Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) - Al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan hati perintah Kami; engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu): apakah Kitab (Al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman itu; akan tetapi Kami jadikan Al-Quran: cahaya yang menerangi, Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan Al-Quran itu ke jalan yang lurus." (Surah Asy Syuura: 52)

Malah sesungguhnya hanya mereka yang diberi hidayah dan diterangkan hatinya sahaja oleh Allah swt barulah mendapat nikmat Islam yang begitu sukar:

مَن يُرِدِ اللّهُ أَن يَهْدِيَهُ يَشْرَحْ صَدْرَهُ لِلإِسْلاَمِ
وَمَن يُرِدْ أَن يُضِلَّهُ يَجْعَلْ صَدْرَهُ ضَيِّقاً حَرَجاً
كَأَنَّمَا يَصَّعَّدُ فِي السَّمَاء كَذَلِكَ يَجْعَلُ اللّهُ الرِّجْسَ عَلَى الَّذِينَ لاَ يُؤْمِنُونَ

"Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman." (Surah Al-An'aam:125)

Nikmat Iman dan Islam merupakan anugerah Allah kepada hambanya yang dipilih berdasar kehendaknya. Hanya dengan Iman dan Islam yang akan dapat menyelamatkan seseorang dari azab akhirat dan dengan Iman serta Islam jualah maka seseorang itu boleh berpeluang ke syurga dan mengecapi nikmat kekal abadi.

وَنَزَعْنَا مَا فِي صُدُورِهِم مِّنْ غِلٍّ تَجْرِي
مِن تَحْتِهِمُ الأَنْهَارُ وَقَالُواْ الْحَمْدُ لِلّهِ الَّذِي هَدَانَا لِهَـذَا
مَا كُنَّا لِنَهْتَدِيَ لَوْلا أَنْ هَدَانَا اللّهُ لَقَدْ جَاءتْ
مَا كُنَّا لِنَهْتَدِيَ لَوْلا أَنْ هَدَانَا اللّهُ لَقَدْ جَاءتْ
ورِثْتُمُوهَا بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

"Dan Kami cabutkan segala dendam dan hasad dengki dari hati mereka, (di dalam Syurga) yang mengalir beberapa sungai di bawah (tempat) masing-masing, dan mereka pula bersyukur dengan berkata: "Segala puji tertentu bagi Allah yang telah memberi hidayah petunjuk untuk (mendapat nikmat-nikmat) ini, padahal Kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami (dengan taufiqNya); sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran". Dan mereka diseru: "Itulah Syurga yang diberikan kamu mewarisinya dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan". (Surah Al-Ar'aaf:43)

Allah swt memberi pilihan kepada hambanya sama ada hendak memilih Islam sebagai cara hidup dan beriman kepada-Nya atau pun engkar dan memilih jalan selain Islam sebagai cara hidup dan kufur pada-Nya. Ini kerana manusia diberikan pilihan dan akal untuk membuat keputusan dan pertimbangan. Kerana itu disebut bahawa tiada paksaan dalam beragama dan seseorang itu bebas memilih pegangan hidupnya.

Walaupun demikian, itu tidak bermakna segalanya tamat begitu sahaja, ini kerana Allah swt telah berfirman dari awal-awal lagi bahawa sesungguhnya penciptaan langit dan bumi serta makhluk semuanya mempunyai matlamat dan tidak sia-sia. Maka begitulah jua dengan penciptaan manusia seperti dalam firmannya :

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu." (Surah Surah Adz-Dzaariyaat: 56)

Melalui firmannya dapatlah difahami bahawa asal tujuan penciptaan manusia itu sendiri ialah sebagai hamba dan diciptakan demi beribadah serta melayani kehendak tuhan yang Maha Pencipta. Maka Allah selaku pemilik manusia dan pencipta yang mutlak menciptakan kita dengan tujuan supaya kita beribadah kepadanya demi keizzahan dan kemulianya. Lalu dia dengan segala kehebatan dan kemurahan rahmatnya akan membalas khidmat dan pengibadatan hambanya dengan balasan syurga yang tersangat nikmat dan tidak ternilai.

Sebagaimana yang diriwayatkan dari Muaz bin Jabal ra, bahawa Baginda Salalallahu a-Alaihi wa Salam bersabda :

“Hak Allah ke atas hambanya ialah kewajipan bagi setiap hamba untuk menyembah-Nya dan tidak menyekutukan-Nya ,dan hak hamba ke atas Allah ialah untuk tidak mengazab hamba-Nya.” (Hadith Sahih, riwayat Bukhari no.77).

Walaubagaimanapun tidaklah Allah mengehendaki hambanya beriman secara paksa demi keizzahannya maka dia telah memberikan pilihan dan peluang kepada manusia untuk beriman dan beribadah kepadanya secara sukarela .

قُلْ آمِنُواْ بِهِ أَوْ لاَ تُؤْمِنُواْ إِنَّ الَّذِينَ أُوتُواْ
الْعِلْمَ مِن قَبْلِهِ إِذَا يُتْلَى عَلَيْهِمْ يَخِرُّونَ لِلأَذْقَانِ سُجَّداً

"Katakanlah (wahai Muhammad kepada orang-orang yang ingkar itu): "Sama ada kamu beriman kepada Al-Quran atau kamu tiada beriman, (tidaklah menjadi hal); kerana sesungguhnya orang-orang yang diberi ilmu sebelum itu apabila dibacakan Al-Quran kepada mereka, mereka segera tunduk sujud (dalam keadaan hiba dan khusyuk)" (Surah Al-Israa': 107)

Namun secara hakikat Allah swt tetap menguasai hambanya dan dia berkuasa mengubah takdir hambanya yang telah ditetapkan oleh zat-Nya sendiri yang Maha Berkuasa. Setiap kebaikan dan pengibadatan yang dilakukan oleh setiap hamba kepada Allah tidaklah sia-sia bahkan sebaliknya demi kemanfaatan hamba itu sendiri.

مَّنِ اهْتَدَى فَإِنَّمَا يَهْتَدي لِنَفْسِهِ وَمَن ضَلَّ
فَإِنَّمَا يَضِلُّ عَلَيْهَا وَلاَ تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى
مَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّى نَبْعَثَ رَسُولاً

"Sesiapa yang beroleh hidayah petunjuk (menurut panduan Al-Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga. Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah)". (Surah Al-Israa':15)

Demikianlah Allah menetapkan kelebihan bagi manusia dengan diberi akal dan pilihan. Manakala makhluk yang lain sama ada malaikat, haiwan dan tumbuhan dan lain-lain tidaklah mempunyai kelebihan seperti manusia. Bahkan mereka secara semulajadi telah difitrahkan dengan tertakluk kepada ketaatan dan melakukan hanya apa yang diperintahkan tanpa mempunyai ruang untuk melakukan sesuatu atas pilihan sendiri dan tidak bebas membuat pilihan.

فَغَيْرَ دِينِ اللّهِ يَبْغُونَ وَلَهُ أَسْلَمَ مَن فِي السَّمَاوَاتِ
وَالأَرْضِ طَوْعاً وَكَرْهاً وَإِلَيْهِ يُرْجَعُونَ

"Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain dari ugama Allah? Padahal kepadaNyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepadaNya lah mereka dikembalikan." (Surah A-li 'Imraan:83)

Begitulah takdir Allah kepada hambanya dan dia sesungguhnya Maha Berkuasa dan Maha pencipta serta Maha Mengetahui.


Kepentingan Aqidah

Membincangkan perkara Aqidah merupakan satu perbincangan yang mulia dan amat penting. Aqidah merupakan perkara dasar dan menjadi pokok serta usul kepada agama Islam. Bahkan seawal-awal perkara yang wajib diketahui bagi setiap mukallaf sebelum solat dan lain-lain kewajipan fiqhiyah ialah perkara aqidah dan mengucapkan syahadah. Maka tidak hairanlah mengapa Imam Abu Hanifah ra mengelarkan Aqidah sebagai “Fiqh Akbar” (lihat Syarah Aqidah Thahawiyah m/s 124).
Sesungguhnya kewajipan mempelajari aqidah sangatlah penting dan umat Islam sangatlah perlu segera berusaha menguasai ilmu ini yang sudah semakin lama ditinggalkan dan dibiarkan. Allah swt telah berfirman dalam Al-Quran sebagai mengesa hambanya yang beriman agar mempelajari soal tauhid dan aqidah iaitu melalui firman-Nya :
اعْلَمْ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاسْتَغْفِرْ لِذَنبِكَ وَلِلْمُؤْمِنِينَ
وَالْمُؤْمِنَاتِ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مُتَقَلَّبَكُمْ وَمَثْوَاكُمْ
"Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan mintalah ampun kepadaNya bagi salah silap yang engkau lakukan, dan bagi dosa-dosa orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan; dan (ingatlah), Allah mengetahui akan keadaan gerak-geri kamu (di dunia) dan keadaan penetapan kamu (di akhirat)." (Surah Muhamad: 19)
Mengetahui perihal aqidah dan pegangan dalam agama sangat penting kerana demikian itu merupakan dasar pokok ajaran Islam dan sewajibnya setiap mukallaf mahir dan menguasainya kerana aqidah diturunkan oleh Allah kepada semua makhluknya supaya mengesakannya tanpa mengira jantina, bangsa, taraf kecerdikan dan taraf kedudukan.
Bahkan setiap rasul dan para nabi yang diutuskan semuanya membawa mesej dan seruan yang satu iaitu aqidah dan tauhid kepada Allah swt.
وَمَا أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ مِن رَّسُولٍ
لَّا نُوحِي إِلَيْهِ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدُونِ

"Dan Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seseorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya: "Bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Aku; oleh itu, beribadatlah kamu kepadaKu". (Surah Al-Anbiyaa':25)

Sesungguhnya matlamat aqidah ialah untuk mengetahui perihal hak Allah dan melaksanakan tugas sebagai hamba serta mengenal ke-Esaannya juga demi mentauhidkan Allah menurut cara dan jalan yang sebenarnya menurut kehendak dan pertunjuk-Nya. Bagi para rasul, merupakan kewajipan ke atas mereka untuk memurnikan aqidah umat mereka dari pencemaran dan kesesatan serta memerangi kebathilan. Sebagaimana sabda Baginda Salallahu Alaihi wa Salam ;

“Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehinggalah mereka bersyahadah bahawa tiada tuhan selain Allah dan Muhammad sebagai rasulullah.” (Hadith Sahih, riwayat Bukhari no. 25 & Muslim no.22).

Peranan Aqidah dalam kehidupan manusia sangatlah penting kerana dengan aqidah manusia akan terbimbing dan dipandu oleh pertunjuk ilahi. Tujuan Aqidah ialah supaya hamba mengenal dan mengetahui akan perihal pencipta dengan cara yang benar dan mengesakan-Nya dengan kaedah yang betul. Bahkan selama 13 tahun dakwah rasulullah salallahaualaihiwasalam di Makkah hanya menekankan aspek aqidah, tauhid dan akhlak semata-mata untuk melahirkan generasi rabbani yang terdidik dengan aqidah suci (lihat Sofiurahman Mubarakfuri, dalam Rahiq Mahktum’m/s 72

Begitulah juga seperti apa yang diperintahkan oleh rasulullah salallahualaihiwasalam kepada Muaz bin Jabal ketika diutuskan sebagai naqib (utusan rasulullah) ke Yaman untuk berdakwah di sana dengan sabdanya kepada Muaz :

“ Seawal-awal perkara yang hendak kamu dakwahkan kepada manusia haruslah tauhid kepada Allah.” (Hadith Sahih, riwayat Bukhari no.6937).

Sebagaimana disebut oleh Imam Abd Izz dalam kitabnya Syarah Aqidah Thahawiyah menyebutkan bahawa hendaklah setiap muslim itu berada dalam aqidah yang sahih dan tetap meninggalkan dunia dengan aqidah yang sahih juga sebagaimana sabda baginda salallahualaihiwasalam;

“Barangsiapa yang mati dalam keadaan mengetahui bahawa tiada tuhan selain Allah ( memiliki aqidah yang benar) maka sesungguhnya dia akan masuk syurga.” (Hadith Sahih, riwayat Muslim no.43 dan Ahmad 69/1).

Sumber Aqidah Islam

Sesungguhnya memahami aqidah dan mempelajarinya tidaklah sama seperti mempelajari ilmu-ilmu lain, sekalipun feqah turut melibatkan soal halal dan haram namun aqidah bahkan lebih bahaya kerana ia melibatkan soal benar atau sesat. Memiliki Aqidah yang sahih dan benar mestilah dengan cara dan jalan ilmu pengetahuan serta menuruti apa-apa yang sudah jelas dan sabit diputuskan oleh para ulama’ salaf soleh terdahulu yang mengetahui kebenaran.

Aqidah merupakan perkara yang sudah disepakati oleh para ulama’ Ahlul Sunnah Wal Jamaah dan para imam salaf soleh sebagai perkara “Tauqifiyah” (iaitu perkara-perkara yang tidak diistinbatkannya melainkan dengan wujudnya dalil syara’). Dalil syara’ bermaksud Al-Quran dan As-Sunnah yang sahih yang menjadi rujukan kepada sebarang permasalahan utama dalam hal agama. (lihat Aqidah Tauhid, m/s 8).

Oleh yang demikian para ulama’ bersepakat mengatakan sumber Aqidah Islam ialah Al-Quran dan Sunnah sahihah semata-mata dan diberhentikan setakat itu tanpa memperpanjangkan sesuatu hal yang tiada dalil. Kerana itu ia dinamakan perkara tauqifiyah iaitu berasal dari perkataan “tauqif” dari “ waqaf” yang bermaksud berhenti (lihat dalam lisanul Arab m/s 380 Jilid 9).

Dengan itu, setiap perkara yang tidak disebut dalam Al-Quran dan As-Sunnah maka ianya tidaklah menjadi rujukan dan sumber kepada Aqidah bahkan ditolak sebagai hujah dan menjadi dasar atau prinsip dalam ilmu aqidah.

“Dan tiadalah pertunjuk melainkan dengan pertunjuk Allah dan kepadanya aku bertawakkal dan kepadanya aku kembali” (Surah Hud :88).

Para ulama’ menyebutkan bahawa dalam perkara Aqidah tidak boleh wujud perkara-perkara ijtihad dan pendapat akal, kerana perkara aqidah merupakan soal ghaib dan perkara yang tidak dapat dilihat dengan pancaindera sebaliknya aqidah merupakan iktiqad kepercayaan yang melibatkan dalil syara semata-mata (lihat Syarah Aqidah Tahawiyah m/s 32).

Malahan membincangkan soal aqidah Islam dan perihal tauhid kepada Allah maka hanya Allah swt sahaja yang mengetahui akan hakikat kebenaran dan ke-Esaannya tanpa selain-Nya maka sewajarnya setiap hamba menyembahnya dengan panduan dan pertunjuk yang diberi. Sehinggakan para rasul juga tidak terkecuali dari tidak mengetahui perihal ghaib.

قُل لاَّ أَقُولُ لَكُمْ عِندِي خَزَآئِنُ اللّهِ وَلا أَعْلَمُ الْغَيْبَ
وَلا أَقُولُ لَكُمْ إِنِّي مَلَكٌ إِنْ أَتَّبِعُ إِلاَّ مَا يُوحَى
لَيَّ قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الأَعْمَى وَالْبَصِيرُ أَفَلاَ تَتَفَكَّرُونَ

"Katakanlah (wahai Muhammad); "Aku tidak mengatakan kepada kamu (bahawa) perbendaharaan Allah ada di sisiku, dan aku pula tidak mengetahui perkara-perkara yang ghaib; aku juga tidak mengatakan kepada kamu bahawasanya aku ini malaikat, aku tidak menurut melainkan apa yang diwahyukan kepadaku". Bertanyalah (kepada mereka): "Adakah sama orang yang buta dengan orang yang celik? Tidakkah kamu mahu berfikir?"(Surah Al An'aam:50)

Telah menjadi pedoman dan pegangan ulama’ salaf soleh dalam masalah aqidah dengan berpada pada dalil Al-Quran dan As-Sunnah dan meninggalkan akal dan pendapat waras serta logik dalam memahami perkara aqidah dan mengistinbatkan maksud dasar aqidah dari dalil-dalil syara’ baik Al-Quran dan As-Sunnah.

Marilah kita mengambil iktibar dari kalam Imam Ibn Taimiyyah ra yang diriwayatkan pernah berkata : “Sesungguhnya iktiqad tidaklah diambilnya dari aku atau sesiapa yang lebih hebat dari diriku sebaliknya ambillah dari Allah dan dari rasul-Nya dan apa yang dihimpunkan oleh ulama salaf dan jika ianya dari Al-Qur’an wajiblah kita beriktiqad dengannya begitulah juga apa yang sabit jelas datang dari hadith yang sahih seperti Bukhari dan Muslim” (Hikayah Manazir Fi Wasitiyyah m/s 161 Jilid 3 , Muqadimah Syarah Aqidah Wasitiyyah).

Apa yang disebut dan dijelaskan dalam Al-Quran maka dipegang pada zahir ayat dan diimani dan dipegang tanpa ubah suai atau menggunakan akal. Sesungguhnya akal tidaklah dapat mengetahui perkara –perkara ghaib bahkan juga tidak mengetahui akan keadaan Allah dan bagaimana mengimani Allah menurut cara dan kaedah yang sepatutnya.

وَمَا أُوتِيتُم مِّن الْعِلْمِ إِلاَّ قَلِيلاً

" ...Kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja".(Surah Al-Israa':85)

Oleh yang demikian maka tiada jalan melainkan merujuk dan kembali kepada pertunjuk Allah iaitu Al-Qur’an dan As-Sunnah. Amatlah besar dosa dan salah bagi mereka yang mengatakan sesuatu perihal Allah tanpa ilmu yang benar.

مْ تَقُولُونَ عَلَى اللّهِ مَا لاَ تَعْلَمُونَ

"Adakah kamu hanya mengatakan atas nama Allah sesuatu yang tidak kamu mengetahuinya?" (Al-Baqarah:80)

Bahkan pernah diriwayatkan bahawa Amirul Mukminin Abu Bakar ra pernah ditanya akan maksud ayat أبا و وفاكهة dalam surah Abasa ayat 31 iaitu apakah dimaksudkan dengan أبا maka lalu beliau berkata : “Dilangit manakah akan aku berlindung dan di bumi manakah akan aku berpijak jika aku berani mengatakan sesuatu tentang kitab Allah akan apa yang aku tidak ketahui” (lihat Syarah Aqidah Thahawiyah m/s 295 Jilid 1).

Sungguh manusia selamanya tidak akan mampu dengan fikirannya dan akalnya yang terbatas untuk mengetahui hakikat dan perihal aqidah melainkan apa yang ditunjukkan oleh Allah swt . Demikianlah para ulama salaf soleh berpegang dan menetapkan aqidah berdasarkan dalil yang sahih sebagaimana berkatanya Imam As-Syafie ra : “Aku beriman dengan Allah atas apa yang di datangkan oleh Al-Qur’an dan sunnah dan aku beriman kepada rasul atas apa yang dibawanya iaitu sunnah” (lihat syarah Lumatul Iktiqad oleh Ibn Qudamah m/s 25).

Begitulah juga dengan kalam dari Imam Ahmad ra : “Kami beriman kepada Allah melalui Al-Qur’an dan as-sunnah tanpa membagaimanakan atau memperumpamakan dan kami beriman dengan apa yang datang dari rasul (sunnah)” (riwayat dari Abu Ya’la dalam Ibthal Ta’wilat lil Akhbar As-Sifat m/s 44 Jilid 1).

Secara rumusan, sumber dan rujukan aqidah Islam hanyalah Al-Quran dan As-Sunnah tanpa menggunakan akal dan rayi (pendapat waras), ini kerana aqidah merupakan perkara teras dalam Islam dan merupakan pokok dasar agama Islam. Sesungguhnya baginda rasulullah salallahualaihiwasalam sendiri telah menjamin kesempurnaan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduan dan kecukupan kepada keduanya sebagai rujukan dan panduan tanpa perlu kepada selainnya terutama akal fikiran. Sebagaimana sabda Baginda Salallahu Alaihi wa Salam :

"Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang jika kamu berpegang padanya tidaklah kamu sesat iaitu kitab Allah (Al-Quran) dan sunnah rasulnya." (Hadith Hasan, riwayat Malik dalam Muwatho (no 898), Hakim dalam Mustadrak no.63).

Bahkan Allah swt sendiri pernah berfirman mengenai kesempurnaan panduan dan sumber agama Islam (Al-Quran & As-Sunnah )sebagai panduan dunia akhirat dan pelbagai perkara terutama hal yang paling penting iaitu Aqidah.

أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي
وَرَضِيتُ لَكُمُ الإِسْلاَمَ دِيناً

"Pada hari ini, Aku telah Ku-sempurnakan untukmu ugamamu dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah merelakan Islam itu menjadi ugama untukmu." (Surah Al-Mai'dah: 3)

Maksud Aqidah & Pengertian

Aqidah dari sudut bahasa ialah :

Berasal dari perkataan العقد iaitu “Ikatan dan pegangan yang kukuh” pada sesuatu.Apa yang menjadi pegangan seseorang dan dipegangnya dengan ikatan hati secara kukuh dan ikatan yang tidak nampak oleh zahir (lihat Lisanul Arab m/s 356 Jilid 6 cet. Darul Hadith, Kaherah).

Aqidah dari sudut istilah para ulama’ ialah :

Iman dan kepercayaan kepada Allah swt dan perkara-perkara keimanan yang dibawa oleh Rasulullah salallahualaihiwasalam berdasarkan kaedah dan cara yang diperintahkan oleh Allah swt dan sunnah rasul.

Keimanan kepada perkara keimanan dan dasar Islam seperti rukun Iman, rukun Islam, beriman kepada Al-Quran dan As-Sunnah, perkara ghaib dan segala yang di bawa oleh rasul serta cara keimanan itu bertepatan dengan panduan yang diajarkan oleh Rasulullah Salallahu Alaihi wa Salam. (lihat Aqidah Tauhid, m/s 5, Aqidah Wasatiyyah m/s 117 Jilid 1).

Dalam memahami perkara aqidah, perlulah melihat tafsiran keseluruhan supaya dapat memahami Aqidah, Islam, Tauhid dan Iman dengan lebih jelas dan perbezaannya serta peranannya.

Islam merupakan agama yang sempurna dan merupakan sebaik-baik panduan mengenai cara hidup yang diturunkan oleh Allah swt kepada hambanya.Islam terbahagi kepada 2 bahagian iaitu perkara iktiqadiyah dan amaliyah.

Perkara pertama ialah iktiqadiyah, iaitu merupakan perkara yang melibatkan pegangan dan kepercayaan. Di sinilah Aqidah mengambil tempat sebagai salah satu dari juzuk penting isi dasar Islam. Perkara iktiqadiyah ialah sebenarnya apa yang dinamakan sebagai aqidah. Seorang muslim haruslah memiliki Aqidah Islam yang benar dan menepati panduan yang diturunkan oleh Allah swt untuk mengatakan dirinya sebagai seorang muslim (seorang Islam).

Perkara iktiqadiyah sangatlah penting dan utama, bahkan ianya merupakan pintu dan kunci kepada agama Islam dan pra syarat kepada redha Allah dan syurga. Sekalipun seseorang itu semasa hayatnya di dunia banyak melakukan kebaikan dan langsung tidak pernah mumbuat jahat atau dosa namun jika aqidahnya sesat atau dia tidak beraqidah dengan aqidah Islam maka tiadalah berguna amalannya sedikit pun. Kerana selama dalam kesesatan aqidah itu sebenarnya dia sudah secara lansung melalakukan dosa yang paling besar.

Perkara kedua ialah perkara amaliyah, iaitu perkara berkait dengan amalan zahiriyah dan ibadah berbentuk zahir seperti solat, puasa, zakat haji dan umrah. Perkara berbentuk amaliyah merupakan kewajipan untuk dilaksanakan menurut perintah dan kaedah yang ditunjukkan oleh baginda salallahualaihiwasalam serta pelaksanaanya merupakan bentuk ketaatan dan sebagai tanda bukti dari keyakinan dan keimanan kepada Allah yang merupakan perkara iktiqadiyah. (lihat Aqidah Tauhid, m/s 5).

Sebagai memudahkan dapatlah difahami dengan memiliki aqidah yang benar iaitu perkara iktiqadiyah, maka akan menghasilkan perkara amaliyah yang baik dan benar serta bermanfaat. Contohnya, mustahil mereka yang tidak beriman dan tidak memiliki aqidah yang benar (perkara iktiqadiyah) akan melakukan solat dan menunaikan kewajipan zakat, puasa dan lain-lain amalan wajib. (perkara amaliyah). Jika seseorang itu melakukan amalan wajib sekalipun seperti solat, puasa dan lain-lain namun tidak memiliki aqidah yang benar dan aqidahnya bathil (sesat) serta menyalahi aqidah muslim yang sebenar yang dikenali sebagai Aqidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah maka amalan tersebut tetaplah merugikan dan tidak membawa manfaat.

Pengertian Aqidah

Aqidah yang merupakan satu pegangan dan keimanan yang kukuh bagi seseorang muslim perlulah berada pada landasan yang benar dan sahih . Kerana Aqidah yang sahih merupakan asas bagi agama dan syarat utama penerimaan amal soleh (lihat Aqidah Tauhid m/s 6).

Sesungguhnya Aqidah yang merupakan asas agama dan tidaklah diambil dari mana-mana pendapat imam , bahkan tidak pula dari ijtihad mana-mana ulama’ atau manusia sebaliknya aqidah di ambil secara langsung dan khusus dari sumber asli Islam iaitu wahyu dari Allah swt dan juga panduan serta hidayah rasul-Nya iaitu sunnah yang tidaklah rasul itu berbicara melainkan dari wahyu juga.

“Dan tidaklah dia (Muhammad) berkata menurut hawa nafsunya sebaliknya apa yang telah diwahyukan kepadanya” (An-Najm : 3).

Inilah prinsip ulama salaf dalam mengambil sumber aqidah seperti kalam Imam ibn Taimiyyah ra : “ Tidaklah aku menghimpunkan dalam kitabku melainkan aqidah salaf soleh dan bukanlah juga hanya dari Aqidah Imam Ahmad sahaja dan bahkan Imam Ahmad itu sendiri pun hanya menyampaikan ilmu yang datang dari nabi salallahualaihiwasalam dan andai sekiranya apa yang disampaikan oleh Imam Ahmad itu ialah dari dirinya sendiri maka nescayalah kami tidak akan menerimanya” (lihat Muqadimah Syarah Aqidah Wasitiyyah, Majmuk Fatawa m/s 159 Jilid 3).

Demikianlah pegangan aqidah yang benar yang dipegang oleh para ulama salaf soleh . Sesungguhnya aqidah mereka diambil dari sumber yang sahih iaitu Al-Qur’an dan sunnah. Aqidah bukanlah mazhab atau pegangan ijtihad yang dibuat oleh mana-mana ulama dan mana-mana orang boleh memilih pendapat yang disukainya untuk dipegang sebaliknya aqidah ialah satu dasar dalam agama yang jelas dan kukuh tanpa goyah yang di ambil dari asas Islam iaitu kitab dan sunnah. (lihat Syarah Aqidah Thahawiyah m/s 33 Jilid 1).

Perumpamaan Aqidah untuk difahami ialah seperti yang digambarkan oleh Allah swt dalam Al-Qur’an :

تُؤْتِي أُكُلَهَا كُلَّ حِينٍ بِإِذْنِ رَبِّهَا
وَيَضْرِبُ اللّهُ الأَمْثَالَ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ

"Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran)." (Surah Ibrahim: 25)

كلمة- ( Kalimah yang baik )

Disebut oleh Ibn Katsir ra melalui riwayat yang dibawa oleh Ali ibn Abi Thalhah bahawa ianya ditafsirkan oleh Ibn Abbas ra sebagai “ Kalimah Syahadah” iaitu kalimah tauhid. Secara keseluruhannya ianya di maksudkan perkara-perkara aqidah yang menjadi iktiqad dan pegangan.

Manakala ayat:

طيبة كشجرة– (Pokok yang baik)

Ditafsirkan sebagai perumpamaan bagi orang-orang yang beriman seperti yang diriwayatkan dari Ibn Umar ra dengan katanya : “ Diberitahukan kepada aku bahawa sesungguhnya orang yang beriman itu diibaratkan sebatang pokok” (hadith sahih riwayat Bukhari no. 72 dan Muslim no. 2861).

Manakala ayat:

ثابت أصلها– (Asalnya & Akarnya kukuh)

Sebagai membawa maksud aqidah yang benar itu ialah yang dimiliki oleh orang-orang yang beriman dan keadaannya itu ialah kukuh, teguh dan tetap tanpa ragu dan goncang dan bagaimanakah hal ini mampu tercapai pada aqidah taqlid dan ikutan buta ? Maka jelaslah aqidah yang sahih itu ialah yang terhasil dari ilmu dan pegangan yang kukuh dari sumber yang juga yakin dan teguh iaitu kitab dan sunnah.

Dari kekukuhan dan keteguhannya aqidah itu akan menghasilkan buah dan amal yang baik seperti maksud ayat berikut :

ربها بأذن حين كل أكلها توتى ء السمآ في ها فر و - (Dan Cabangnya menjulang ke langit menghasilkan buah pada setiap waktu dengan izin tuhannya)

Iaitu cabangnya menuju ke langit mengeluarkan buah-buah dengan izin Allah iaitu sebagai membawa maksud hasil amalan soleh yang dilakukan dimisalkan seperti buah hasil dari pokok yang baik yang disepertikan kepada orang yang beriman yang memiliki akar iaitu asas aqidah yang kukuh teguh yang akan mengangkat amalan baik itu tadi ke langit untuk diterima oleh Allah swt.

Membawa hujah bahawa jika akar itu buruk atau rosak iaitu aqidah itu bukanlah aqidah yang sahih sebaliknya rosak, aqidah bathil maka akan menjadikan pokok itu juga rosak sekaligus amalan itu tidak akan sampai diterima dan akan ditolak.

Cabang dalam ayat ini juga bermaksud penujuan matlamat dari amalan soleh itu semuanya menuju kepada Allah di langit dan terhasilnya demikian itu melalui wujudnya aqidah yang sahih yang kukuh dan benar. Demikianlah tafsir Imam Ibn Katsir ra yang diriwayatkan dari Said ibn Jubair ra (lihat Mukhtasar Ibn Katsir ra 375 Jilid 2).

Pengertian kalimah yang baik itu ialah aqidah dan keadaan aqidah itu ialah tetap dan teguh tidak bergoyah dan berubah oleh ijtihad, pendapat manusia sebaliknya kerana aqidah itu ialah kalimah yang tetap dan teguh kerana di ambil dari sumber yang teguh pula iaitu Al-Qur’an dan sunnah.

Ini didasari dalam ayat seterusnya yang disebut oleh Allah swt :

يُثَبِّتُ اللّهُ الَّذِينَ آمَنُواْ بِالْقَوْلِ الثَّابِتِ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا
فِي الآخِرَةِ وَيُضِلُّ اللّهُ الظَّالِمِينَ وَيَفْعَلُ اللّهُ مَا يَشَاءُ

"Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim (kepada diri mereka sendiri); dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendakiNya.'' (Surah Ibrahim: 27)

Sesungguhnya perkara aqidah ialah mengenal perihal Allah dan Ke-Esaannya dan mengenal pegangan yang sebenar mengenai agama Islam dalam perkara-perkara yang tidak dapat difikirkan oleh akal. Termausk hal aqidah ialah mengenali persoalan tauhid dan sifat Allah seperti yang dijelaskan oleh Allah sendiri dalam kitab-Nya dan disampaikan oleh pertunjuk rasul-Nya.

Maka dengan mengikuti rasul itu bererti mentaati perintah Allah sebagaimana para salaf soleh terdahulu menjadikan rasul sebagai ikutan dalam keimanan dan amal kepada Allah swt (lihat Syarah Aqidah Thahawiyah m/s 33 Jilid 1).

Aqidah merupakan pemisah antara hak dan bathil dan sesungguhnya aqidah yang sahih itu ialah aqidah yang dibawa oleh Rasulullah Sallahu Alaihi wa Salam serta difahami dan diikut oleh para sahabat ra yang kemudiannya di ajarkan pula oleh sahabat kepada anak-anak mereka iaitu para tabien ra.

Maka golongan inilah yang dimaksudkan salaf soleh dan aqidah merekalah yang digelarkan sebagai aqidah yang sahih iaitu aqidah salaf yang membawa makna aqidah terdahulu yang sahih dari rasul salallahualaihiwasalam dan mereka inilah sebaik-baik umat.

Sabda baginda salallahualaihiwasalam melalui riwayat Aisyah ra : “Sebaik-baik kurun manusia ialah kurun aku berada di dalamnya dan kemudian kurun kedua (Sahabat) dan kurun ketiga (Tabi’ien). “ (hadith Sahih riwayat Muslim no 1965 Jilid 2, Abu Daud no. 44 Jilid 5).

Aqidah mereka merupakan aqidah yang kukuh dan jelas yang bersumberkan wahyu dari Allah swt dan bersumberkan pertunjuk sunnah rasulullah sallahualaihiwasalam . Itulah sebenar-benar jalan dan pertunjuk serta pegangan yang diturunkan oleh Allah swt.

“ Katakanlah (hai Muhammad): "Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutiku berdakwah ke jalan Allah dengan bashirah (petunjuk dan ilmu), maha suci Allah dan aku tidak termasuk orang-orang yang musyrik." (Yusuf: 108).

Menurut Ibn Katsir ra , jalan dan seruan yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah seruan kepada aqidah iaitu dengan membawa kalimah syahadah sebagai simbolik kepada dakwah dan seruan tauhid membawa manusia kepada jalan rasul iaitu mentauhidkan Allah dengan hujah dan ilmu (lihat Mukhtasar Ibn Katsir m/s 336 Jilid 1).

Demikianlah dakwah Islam , perjuangannya mendukung perkara aqidah sebagai hal yang utama dan dasar dengan hujah dan ilmu.

Sesungguhnya aqidah yang benar itu jauh dari penyelewengan dan kejahilan akal dan penakwilan serta tafsiran yang menyimpang. Para ulama dalam membahaskan maksud penyelewengan dan penyimpangan aqidah telah meletakkan beberapa contoh seperti :

a) Kejahilan terhadap Al-Qur’an dan sunnah serta mempunyai ta’asub terhadap fahaman dan pegangan yang diikutinya tanpa hujah dan ilmu khususnya terhadap apa yang dipegang oleh golongan tua terdahulu.

Ini disebut dalam firman Allah :

“Dan ketika dikatakan kepada mereka ikutlah apa-apa yang diturunkan oleh Allah maka mereka bahkan berkata kami tetap akan menurut peninggalan bapa-bapa kami” (Al-Baqarah : 170).

Demikianlah golongan tua dan orang-orang desa dan kampung yang jahil terhadap Al-Qur’an dan sunnah sebaliknya masih berpegang kepada ajaran karut seleweng dan aqidah yang tidak benar seperti sifat 20 , aqidah berasaskan ilmu kalam dan mantiq akal yang ternyata bercanggah dengan Al-Qur;an dan sunnah serta aqidah salaf soleh yang dibawa oleh rasulullah

Mereka orang kampung masih lagi berpegang kepada sifat 20 dan aqidah muktazilah yang sebenarnya pengasas sifat 20 itu sendiri iaitu Imam Abu Hasan Al-Asya’ari ra telah bertaubat dan menolak apa yang dipegang olehnya sendiri sebelum bertaubat dalam kitabnya “Al-Ibanah Fi Usul Ad-Diyanah” dan lain-lain.

Namun sikap ta’asub mereka yang keterlaluan dan kejahilan tok-tok guru pondok kampung yang masih berpegang teguh pada buku kuningnya itu sangatlah mengecewakan apabila merea berani mengajar aqidah tanpa ilmu dan menyebarkan kebathilan sedangkan Allah swt telah berpesan :

“Wahai ahli kitab janganlah kalian melampaui batas dalam agama dan janganlah kalian mengatakan sesuatu perihal Allah kecuali dengan kebenaran” (An-Nisa : 171).

Perbuatan mereka seperti ahli kitab yang menyesatkan umat dengan kejahilan dan memaksa orang ramai tunduk dan taqlid buta kepada mereka supaya mereka dapat mengekalkan ketaatan orang kepada mereka.

b) Juga menyesatkan dan menyelewengkan umat ialah ilmu kalam dan mantiq akal yang dijadikan sebagai sumber aqidah oleh mereka yang jahil.

Ilmu kalam dan akal menurut Imam Abu Yusof ra (Ya’kub Ibn Ibrahim) merupakan sesuatu yang tercela dan dibenci oleh para ulama salaf soleh. Bahkan diriwayatkan beliau pernah berkata :

“ Ilmu kalam itu ialah suatu kejahilan dan mempelajarinya ialah kebodohan dan barangsiapa yang tidak mempelajarinya maka itulah kecerdikan” dan beliau berkata lagi “ Jika kamu berjumpa dengan ahli ilmu kalam maka hendaklah kamu berkata kepadanya “Wahai si Zindiq” dan lagi katanya “ Barangsiapa yang belajar ilmu kalam maka sesungguhnya dia telah menjadi zindiq” (lihat dalam riwayat yang pelbagai oleh Imam Khatib Al-Baghdadi dalam Syarif Ashabul Hadith m/s 168).

Demikianlah juga celaan dari Imam Syafie ra yang diriwayatkan pernah berkata : “Hukum aku kepada mereka yang terlibat dengan ilmu kalam ialah disebatnya mereka itu dengan kayu dan dibaling dengan kasut lalu di bawa berarak ke sekeliling jalan-jalan sambil dilaungkan kepada orang ramai bahawa inilah hukuman bagi mereka yang meninggalkan kitab Allah dan sunnah rasul-Nya” (riwayat Baihaqi dalam Manaqib Syafie m/s 462 Jilid 1).

Malangnya hari ini ilmu kalam sudah menjadi ilmu usuluddin khususnya di jamiah Al-Azhar dan lain-lain tempat pengajian Islam lantaran jasa baik golongan sufi dan mereka yang taa’asub kepada fahaman asya’irah yang jahil dan engkar kepada sunnah Rasulullah.

Tidak hairan apabila ramai ustaz dan guru yang mengajar aqidah mengunakan uslub ilmu kalam dan akal mantiq kerana mereka jahil akan sunnah rasulullah dan fahaman salafu soleh.

c) Ta’wilan dan tafsiran akal tanpa merujuk kepada sunnah dan panduan dari pegangan salaf soleh merupakan antara kerosakan dalam aqidah dan iktiqad kaum muslimin hari ini.

Bahkan hal inilah yang menjadi punca kepada perpecahan ummah dan berlakunya fitnah kerosakan di muka bumi Allah swt. Pembunuhan Khalifah Usman ra, Ali ibn Abi Talib ra para sahabar yang lain dengan kelahiran Khawarij , Syiah rafidhah, munculnya muktazilah, dan lahir pelbagai ajaran sesat dan fikrah jahannam ialah akibat dari penafsiran dan penakwilan yang bercanggah dengan pegangan salaf soleh (lihat Syarah Aqidah Thahawiyah m/s 286 Jilid 1).

Akibat dari tafsiran melulu dan menyimpang dari kebenaran inilah lahirnya pemahaman sesat dan salah sekaligus seterusnya membesar menjadi satu kerosakan kepada Islam dan ummah. Mereka ini semua lupa kepada pesanan Allah swt :

"Apakah kamu berani mengatakan sesuatu perihal Allah tanpa ilmu ?” (Al-Baqarah : 80).

“Katakanlah : “Rabbmu hanya mengharamkan perbuatan yang keji, baik yang nampak ataupun yang tersembunyi dan perbuatan dosa, melanggar hak manusia tanpa alasan yang benar, (mengharamkan) mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan hujjah untuk itu dan (mengharamkan) mengada-adakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui.” ( Al A’raf : 33)

“Dan janganlah kamu mengikut sesuatu yang kamu tidak ketahui kerana Sesungguhnya pendengaran kamu, penglihatan kamu dan hati kamu semuanya akan ditanya dan dipersoalkan." (Al-Isra : 36).

"Dan jangan kamu berani mengatakan terhadap apa yang dikatakan oleh lidah-lidah kamu dengan dusta; bahwa ini halal dan ini haram, supaya kamu berbuat dusta atas (nama) Allah, sesungguhnya orang-orang yang berani berbuat dusta atas (nama) Allah tidak akan dapat bahagia." (an-Nahl: 116)

Bahkan baginda rasulullah juga tidak lupa memesan kepada umatnya supaya jangan berani mengikuti dan menyampaikan sesuatu tanpa ilmu yang akan membawa kesesatan seperti sabda baginda rasulullah : " Berhati-hatilah kamu terhadap apa yang disampaikan dari aku melainkan kamu mengetahuinya (akan kebenarannya)" (Hadith Hasan, Riwayat Tirmidzi, Abi Syaibah dan Ahmad).

Demikianlah larangan Islam dari mengatakan sesuatu tanpa ilmu yang akhirnya akan merosakan umat Islam terutamanya dalam hal aqidah yang bersangkut paut soal dasar dan pokok ajaran Islam yang paling utama. Membicarakan hal aqidah dengan kejahilan bererti menyesatkan agama Islam dari asasnya .

Oleh: Ustaz Emran Ahmad
Penyunting/Edit oleh: HAR