al-Quranul Karim
AL-QURAN adalah kitab (teks) terkandung mukjizat daripada ALLAH. Ia
tidak saja berbentuk harfiah tetapi terhubung dengan waqi’ atau realiti
(konteks). Setiap kalimah daripada al-Quran apabila dibaca, ALLAH
berikan fadilat atau pahala.
Dan setiap kalimah itu apabila ditafsir dan menjadikan kita faham,
pahalanya adalah lebih besar. Al-Quran sering dihubungkan sebagai sumber
petunjuk (hudan linnas hudan lilmuttaqeen).
Sumber petunjuk ini penting untuk memahami yang nyata dan meyakini yang
ghaib. Hubungan al-Quran dan pemikiran berjalan seiring. Apa yang tidak
boleh dileraikan oleh pemikiran dipandu oleh al-Quran. Ia membawa
keseimbangan terhadap binaan tasawwur.
Sifat turunnya al-Quran bertahap-tahap dan beransur-ansur mempunyai
hikmah yang tinggi. Ayat-ayat Makiyyah dan ayat-ayat Madaniyyah
memberikan perspektif yang berkait dengan realiti dan kontekstualiti.
Selama 23 tahun ia ditanzilkan terkandung maklumat dan ilmu yang lengkap mengenai Islam itu sendiri.
Memahami al-Quran secara tersurat kesannya amat besar bagi kita.
Menelitinya secara teks menjadikan kita sempurna dalam bacaan, tajwid,
qiraat dan taranum. Ia terhubung langsung dengan kesempurnaan mukjizat
yang terkandung rahsia ilmu yang besar.
Meneliti al-Quran secara tersirat terhubung langsung dengan Penciptaan
yang menjadi sumber rahmat dan nikmat daripada ALLAH. Jiwa tadabbur
menjadi landasan bagaimana olahan tafsir terjadi dan ia terkait langsung
dengan kontekstualiti.
Alam dan segala sumbernya yang dekat dan jauh terkandung maklumat
kebesaran ALLAH yang belum banyak dikaji dan diteroka oleh manusia. Yang
diketahui oleh para saintis umpamanya amat sedikit sekali.
Dalam sedikit yang mereka kaji mereka masih gagal menghubungkan bahawa
semua itu tidak terjadi dengan sendiri, atau berputar dan bergerak
dengan tertib dan teratur dengan sendiri melainkan dengan kudrat ALLAH.
Tetapi apabila al-Quran dijadikan sumber memahami fenomena, hikmah dan
rahmat yang banyak di sebalik kejadian, tanda-tanda kewujudan ALLAH yang
sangat nyata lalu sifat ubudiyyah lahir. Tidak mungkin ia terjadi
dengan sendiri (by nature) tanpa Suatu Kuasa Yang Maha Perkasa Mencipta
dan mengaturkan resam tabiinya dengan tersusun dan tertib.
Ada lebih 300 bilion galaksi yang jaraknya dari bumi terlalu jauh. Ia
belum mampu dikaji oleh manusia lagi. Para saintis hanya memiliki
gambaran umum mengenainya tetapi belum mampu mengkaji hikmah
kewujudannya dan kaitannya dengan bumi dan manusia.
Menghubungkan al-Quran dengan hal-hal yang kontekstual boleh
meningkatkan keimanan seseorang terhadap betapa kompleksnya ciptaan
ALLAH dan ia di luar kemampuan manusia melakukannya. Manusia tidak boleh
melakukan penciptaan.
Manusia hanya boleh melakukan penggubahan dan perekaan terhadap perkara
yang sudah sedia ada. Manusia tidak boleh mencipta hal-hal yang tidak
ada kepada ada. Apalagi mengurus alam di luar mampunya.
Manusia boleh membina lebuh raya yang canggih untuk dilalui oleh
kenderaan. Secanggih mana keteraturan lebuh raya itu perlanggaran tetap
berlaku dan kesesakan terus terjadi. ALLAH mengatur sistem lebuh angkasa
dengan jumlah bintang, cakerwala dan galaksi yang berbilion jumlahnya
tetapi tetap berputar dengan teratur dan tertib tanpa kemalangan dan
kesesakan melainkan dengan takdirNya.
Ia mendorong kita berfikir bahawa alam ini ada Pemilik dan Pengaturnya.
Konsep Sunnatullah amat penting difahami supaya pemikiran manusia
sentiasa terolah dalam kerangka bahawa alam ini tidak terjadi dengan
sendiri melainkan ada Pencipta dan Pengurusnya.
Ia juga membawa konsep lain bahawa setiap kejadian baik di langit
mahupun di bumi ada hikmah yang tersendiri. Air yang dicipta oleh ALLAH
mengikut al-Quran ialah sumber kehidupan. Ia benar secara saintifik
kehidupan yang berlaku di bumi kerana bumi memiliki air.
Kajian saintis mengenai air di bintang Marikh masih terbatas. Apabila
al-Quran memberitahu bahawa kerosakan bumi adalah akibat perbuatan
tangan-tangan manusia ia adalah benar.
Bencana jerebu yang menyerang Sumatera, Malaysia dan Singapura akibat
pembakaran ladang sewenang-wenangnya dan memberi kesan terhadap
kesihatan dan kesejahteraan hidup penduduknya.
Sebab itu al-Quran mengingatkan manusia mengenai kecenderungan salah
guna, eksploitasi dan tidak mesra alam yang menyebabkan kerosakan kepada
kehidupan manusia itu sendiri. Isu iklim dan darjah kepanasan yang
melampau dan sukar diramal adalah antara isu yang sedang dihadapi
manusia kini akibat kerakusan manusia yang melampau terhadap alam dan
ekosistem. Al-Quran memberi pedoman supaya manusia bersifat amanah
terhadapnya.