"Katakanlah: Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata, Maha Suci Allah, dan tiada aku termasuk di antara orang-orang yang musyrik" (QS Yusuf:108)

Showing posts with label TAFSIR AL-QURAN. Show all posts
Showing posts with label TAFSIR AL-QURAN. Show all posts

26 October, 2016

TAFSIR SURAH AL-BAQARAH AYAT 186


Ini adalah ‘bonus’ yang diberikan Allah dalam bulan Ramadhan. Ini adalah tentang ‘doa’. Banyak manusia yang salah faham tentang perkara ‘doa’ ini maka kita kena betulkan pemahaman mereka. Ayat ini hendak mengingatkan kita supaya jangan lepaskan peluang untuk berdoa apabila kita berpuasa. Ayat ini ada hubungan kita dengan puasa tapi di dalamnya tidak disebutkan tentang puasa. 

وَإِذا سَأَلَكَ عِبادي عَنّي فَإِنّي قَريبٌ ۖ أُجيبُ دَعوَةَ الدّاعِ إِذا دَعانِ ۖ
فَليَستَجيبوا لي وَليُؤمِنوا بي لَعَلَّهُم يَرشُدونَ
“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul”.

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي
Dan apabila ditanya kepada kamu oleh hamba-hambaKu tentang diriKu;

Allah menggunakan إِذَا perkataan yang bermakna ‘apabila’. Allah tidak menggunakan perkataan ‘jika’. Ini bermakna, Allah sudah berharap yang hambaNya akan bertanya tentang DiriNya.

Allah mengatakan kita ini adalah عِبَادِي (hambaKu). Semua makhluk adalah hambaNya samada mereka mengaku atau tidak. Tapi ayat ini memberi penghormatan kepada mereka yang mengaku sebagai hambaNya. Allah menggelar mereka: ‘hambaKu’. Iaitu mereka yang beriman denganNya. Ini adalah kedudukan yang terpuji.

Apakah yang dimaksudkan ‘bertanyamu tentang Aku’? Ada ulama yang mengatakan pertanya ini adalah: Dimanakah Allah?

Ada juga yang kata ianya adalah: tentang Allah. Adakah Allah dekat dengan kita atau jauh? Adakah Allah dekat, jadi kita hanya berbisik sahaja? Atau adakah Allah jauh sampai bila kita nak bercakap denganNya kita kena bercakap dengan kuat? Ada yang kata, ini adalah soalan dari seorang Badwi kepada Nabi Muhammad tentang perkara itu. Jawapan yang diberikan adalah dalam bahagian selepas ini, iaitu Allah jawap yang Dia adalah dekat.

فَإِنِّي قَرِيبٌ
Sesungguhnya Aku dekat;

Tidak perlu bimbang tentang adakah Allah terima atau tidak doa kita itu. Doa sahaja. Allah itu lebih dekat dari manusia yang kita sangka boleh tolong kita. Janji kita minta sahaja kepada Allah dan Allah akan sahut.

Allah jawap sendiri pertanyaan itu. Allah tak tambah perkataan قُلْ (katakanlah) di awal jawapanNya itu. Kalau ada perkataan قُلْ, bermakna Allah suruh Nabi yang jawap. Ada ketikanya, Allah suruh Nabi yang jawap. Tapi apabila Allah jawap sendiri, bermakna ianya lebih istimewa kerana Allah sendiri nak jawap kepada kita. Ini juga adalah isyarat tiada ada tawasul dalam doa kepada Allah. Kerana Allah jawap sendiri, Allah tak suruh Nabi Muhammad yang jawapkan. Maknanya, ada talian terus dengan Allah dalam doa.

Allah memberitahu kepada kita dalam ayat ini bahawa Dia sangat hampir dengan kita. Maksud ‘dekat’ itu adalah dari segi ‘pengetahuan’ dan ‘pendengaran’Nya. Bukanlah bermaksud Allah dekat dari segi fizikal dengan kita. Oleh itu, tidak perlu bercakap kuat dengan Allah. Tidak perlu doa dengan suara yang kuat, pakai speaker dan sebagainya. Tak perlu nak jerit-jerit dalam doa dan zikir. Dulu semasa saya berjinak dengan tarekat, guru beritahu yang kita kena zikir kuat kerana kita jauh dari Allah. Itu sudah berlawanan dengan ayat Allah ini.

Ada satu hadis dalam Sahih Bukhari tentang perkara ini:

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ مُقَاتِلٍ أَبُو الْحَسَنِ أَخْبَرَنَا عَبْدُ اللَّهِ أَخْبَرَنَا سُلَيْمَانُ التَّيْمِيُّ عَنْ أَبِي عُثْمَانَ عَنْ أَبِي مُوسَى الْأَشْعَرِيِّ قَالَ
أَخَذَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي عَقَبَةٍ أَوْ قَالَ فِي ثَنِيَّةٍ قَالَ فَلَمَّا عَلَا عَلَيْهَا رَجُلٌ نَادَى فَرَفَعَ صَوْتَهُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ
وَاللَّهُ أَكْبَرُ قَالَ وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى بَغْلَتِهِ قَالَ فَإِنَّكُمْ لَا تَدْعُونَ أَصَمَّ وَلَا غَائِبًا ثُمَّ قَالَ يَا أَبَا مُوسَى
أَوْ يَا عَبْدَ اللَّهِ أَلَا أَدُلُّكَ عَلَى كَلِمَةٍ مِنْ كَنْزِ الْجَنَّةِ قُلْتُ بَلَى قَالَ لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ
5930. Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Muqatil Abu Al Hasan telah mengabarkan kepada kami Abdullah telah mengabarkan kepada kami Sulaiman At Taimi dari Abu Utsman dari Abu Musa Al Asy’ari dia berkata; “Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam pernah lewat di suatu bukit atau berkata; di suatu lembah, tatkala (kondisi jalan) agak naik, salah seorang berseru sambil mengangkat suaranya; “Laa illaha illallah Allahu Akbar (Tidak ada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah, Allah Maha Besar).” Abu Musa melanjutkan; ‘Ketika itu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tengah berada di atas haiwan tunggangannya, lalu beliau bersabda: ‘Sesungguhnya kalian tidak berdoa kepada Dzat yang tuli dan jauh.’ Kemudian beliau bersabda: ‘Wahai Abu Musa, -atau- wahai Abdullah, maukah aku tunjukkan kepadamu suatu kalimat yang termasuk dari perbendaharaan surga? ‘ Aku menjawab; ‘Tentu.’ Beliau bersabda: ‘Laa haula wa laa quwwata ilIa billaah’ Tiada daya dan upaya kecuali dengan pertolongan AlIah.’

Ini juga memberitahu kita bahawa kita boleh berdoa terus dengan Allah. Tidak memerlukan perantaraan atau yang dinamakan ‘tawasul’. Ini adalah salah satu salah faham manusia. Mereka ingat Allah jauh, jadi kena pakai wasilah dalam berdoa.

Allah tahu segala-galanya tentang kita. Apa yang kita cakap, dalam sebutan atau dalam hati kita pun.

Dan Allah memasukkan pemberitahuan ini dalam ayat berkenaan Ramadhan. Ini menunjukkan kita paling hampir dengan Allah dalam bulan Ramadhan. Ayat ini tentang Doa kepada Allah. Dan jikalau seseorang itu dekat, senang untuk kita bercakap dengannya. Oleh itu, hendaklah kita memperbanyakkan doa kepadaNya dalam bulan Ramadhan.

Dan kalau kita lihat bahagian pertama, Allah dekat apabila kita ‘bertanyakan’ tentang DiriNya. Bermakna, apabila kita hendak ambil tahu tentang Allah, Allah akan mendekatkan DiriNya dengan kita. Maka ini memberitahu kepada kita yang kita kena belajar untuk mengenal Allah. Dan untuk mengenal Allah, kenalah dengan belajar Sifat-sifat Allah yang disebutnya dalam Quran, bukannya dengan belajar Sifat 20.

Maka ayat ini bukan hanya tentang doa sahaja. Tapi ia juga adalah penerangan tentang Allah. Dalam soalan ini, soalan itu bukan ‘di mana Allah?’, tapi tentang Allah. Jadi, jawapan yang Allah berikan adalah Dia dekat. Ini penting untuk mendapatkan taqwa. Sebab kita masih dalam isu taqwa lagi. Surah Baqarah banyak menyebut tentang taqwa. Kalau kita tahu Allah dekat, kita takut atau malu untuk berbuat salah. Jadi kita sentiasa ingat bahawa Allah sentiasa dekat.

Ada satu penjelasan yang perlu diberitahu di sini. Apabila dikatakan Allah itu ‘dekat’, bukanlah Allah itu dekat dari segi fizikal, tapi dari segi Ilmu Allah – Allah mendengar dan melihat apa yang kita lakukan. Ini hendak menolak pemahaman puak yang sesat yang mengatakan Allah ada di mana-mana. Ini adalah fahaman yang tersasar jauh dari pemahaman salafussoleh.

أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ
Aku menyahut doa orang yang berdoa apabila mereka berdoa kepadaKu;

Allah lah sahaja yang layak dan mampu untuk terima doa makhlukNya. Allah sahaja yang boleh menyempurnakan doa. Tidak ada entiti lain lagi dah.

Perkataan أُجِيبُ yang digunakan dalam ayat ini bermaksud Allah menyahut dengan segera, terus menyahut doa kita. Awal-awal lagi Allah dah sebut yang Dia akan jawap dengan segera. Allah tak kata yang Dia ‘akan’ jawap – kerana itu menunjukkan mungkin lama lagi Allah akan jawap. Tidak begitu. Allah kata Dia akan jawap terus. Apabila kita berdoa, kita berharap semoga Allah dengar doa kita. Nah, sekarang Allah dah cakap bahawa Dia akan terus menjawap. Oleh itu, yakinlah yang Allah mendengar segala doa kita. Kita kena yakin yang Allah mendengar doa kita, kalau kita tidak ada keyakinan itu, doa itu tidak akan makbul.

Dan apabila Allah tambah إِذَا دَعَانِ (apabila didoa), itu bermaksud tiada had masa. Bila-bila sahaja Allah akan jawap. ‘Apabila’ kita berdoa sahaja, Allah akan menyahut. Tidak perlu melalui proses-proses tertentu, upacara tertentu macam kena buat Majlis Doa Selamat, Solat Hajat dan sebagainya. Itu semua adalah bidaah sahaja. Kalau kita ada hajat, maka berdoa terus kepada Allah. Tidak perlu tunggu apa-apa lagi.

Allah menggunakan perkataan الدَّاعِ yang mengandungi huruf alif lam. Apabila ada alif lam, ini menunjukkan sesuatu perkataan itu adalah khas. Ini menunjukkan orang yang berdoa itu adalah orang yang dianggap istimewa oleh Allah. الدَّاعِ adalah sesiapa sahaja yang berdoa kepada Allah. Ramai orang yang tidak berdoa dengan Allah, tapi mereka yang berdoa terus kepada Allah adalah istimewa sekali.

Hanya Allah sahaja yang boleh terima doa, tidak ada entiti yang lain yang boleh sebegitu. Oleh itu tidak boleh berdoa melalui perantaraan seperti Solat Hajat berjemaah yang selalu dibuat masyarakat kita itu. Sikit-sikit Solat Hajat. Itu semua adalah kufur kepada Allah – kerana mereka rasa Allah tidak menerima doa mereka kalau tidak buat solat Hajat. Padahal dalam ayat ini, Allah kata Dia dekat dengan kita.

Tidak ada amalan solat Hajat dalam Islam. Kalau hendak berdoa, lepas solat yang biasa kita buat, samada solat fardhu atau solat sunat, boleh terus berdoa kepada Allah. Tidak perlu diberi nama Solat Hajat pun boleh berdoa juga. Kerana apabila diberikan nama kepada solat itu, manusia akan mereka-reka apakah amalan yang termasuk dalam solat itu. Mereka akan tanya apakah surah untuk dibaca dalam rakaat pertama, rakaat kedua dan apakah doa yang hendak dibaca dan sebagainya. Itu semua adalah rekaan sahaja kerana Nabi tidak mengajar Solat Hajat kepada umatnya. Dalil-dalil yang diberi untuk menghalalkan solat Hajat itu adalah amat lemah sekali. Tidak boleh dipakai.

Kita kenalah berdoa terus kepada Allah sahaja. Kenapa nak doa melalui perantaraan lain lagi, sedangkan Allah sendiri sebut dalam ayat ini bahawa Dia adalah dekat dan Dia akan jawap sendiri doa-doa kita? Tidak ada Nabi, tidak ada wali dan tidak ada Malaikat yang boleh sahut doa. Tapi ada ajaran sesat yang mengajar macam-macam ajaran salah, sampai ada sekolah tahfiz mengajar anak muridnya untuk beri salam kepada Tok Kenali supaya dengan berkat Tok Kenali, mudah hafal Quran. Itu adalah syirik kepada Allah; Dan ada yang jual air yang telah didoakan supaya apabila pelajar minum, boleh jadi cerdik. Itu semua dari ajaran sesat.

Dalam ayat ini, Allah kata kalau berdoa kepadaNya, Allah akan jawab setiap kali manusia meminta. Tidak kira siang atau malam. Bukan macam manusia – kadang kalau kita telefon orang lain, belum tentu mereka akan jawap panggilan kita. Ini menunjukkan Allah meluangkan masa untuk kita. Alangkah hebatnya dan alangkah sayangnya Allah kepada kita. Bandingkan kalau di dunia ini: Katakanlah kita ada ketua syarikat. Semakin tinggi kedudukan bos itu dan semakin rendah kedudukan kita, semakin kurang peluang untuk dapat bercakap-cakap dengan bos besar kita itu. Tapi tidak dengan Allah. Allah boleh menyahut panggilan kita bila-bila masa sahaja. Dengan Allah, iaitu Dzat yang paling tinggi boleh berkomunikasi dengan yang paling rendah. Iaitu Allah yang paling tinggi dan kita yang berpangkat hamba sahaja.

Mintalah apa sahaja yang kita hendak minta. Jangan malu nak minta kepada Allah. Ada orang yang malu hendak minta syurga kepada Allah. Kerana mereka rasa mereka banyak dosa dan mereka rasa mereka tak layak masuk syurga. Jangan begitu, kenalah kita minta masuk syurga. Dan kena minta masuk syurga yang paling tinggi sekali – Syurga Firdaus.

Allah menggunakan perkataan دَعْوَةَ yang dari segi nahu bermaksud ‘satu doa’ sahaja. Tidak perlu banyak kali doa, sekali doa sahaja Allah dah jawap. Tambahan pula kalau banyak kali. Ini juga bermaksud, tidak ada syarat untuk Allah membalas doa kita. Katakanlah kita ini orang yang banyak dosa, pun Allah tak tolak doa kita itu. Allah masih lagi akan jawap doa kita. Tidak perlu kita menggunakan perantaraan dalam doa kita kerana kita takut Allah tak dengar doa kita. Ketahuilah, Allah dengar doa kita. Dia hendak sangat kita doa kepadaNya.

Allah tambah lagi dengan perkataan الدَّاعِ, yang bermaksud ‘pendoa’. Bermaksud sesiapa sahaja yang berdoa. Tidak semestinya orang yang berdoa itu orang alim, orang yang kuat ibadat, orang yang selalu solat, orang yang selalu ke masjid, tidak. Sebab salah faham beginilah yang menyebabkan orang kita apabila hendak doa, mereka akan minta orang lain doakan. Mereka akan minta ‘orang surau’ datang berdoa. Maka, mereka buat majlis ‘Doa Selamat’ di rumah mereka dan panggil orang surau datang untuk mendoakan untuk mereka. Itu semua adalah salah faham dengan konsep doa. Jangan kita ingat doa kita tidak didengari oleh Allah kalau kita doa sendiri. Jangan begitu, jangan kita buruk sangka dengan Allah. Itu adalah buruk sangka kerana Allah tidak pernah kata Dia akan tolak doa kita kalau kita banyak dosa. Itu adalah salah sangka kita sahaja kepada Allah. Dan kerana telah diajar oleh guru-guru yang sesat. Merekalah yang memandai kata Allah tak dengar doa orang yang berdosa. Mereka ajar begitu supaya kita minta mereka doakan untuk kita dan mereka akan minta upah. Mereka nak habuan sebenarnya. Mereka sendiri agaknya tidak kenal Allah, sampaikan mereka boleh ajar benda-benda begitu.

Ayat ini dengan jelas menceritakan tentang doa dan bagaimana Allah akan menjawap doa itu. Ada beberapa syarat yang perlu dipenuhi berdasarkan ayat ini untuk Allah mendengar dan menjawap doa kita.

1. Doa itu perlu ikhlas. Hanya kepada Allah sahaja.

2. Doa dilakukan dengan sedar. Faham apa yang kita doa.

3. Doa dengan merendahkan diri. Mengharap sangat dengan Allah. Kita kena kecilkan diri kita.

4. Berdoa dalam keadaan takut dengan Allah. Dan juga dalam keadaan hormat kepada Allah. Kadang-kadang kita minta dengan orang, kita tidak hormat kepada mereka. Jangan kita buat begitu dengan Allah. Jangan kata: Ya Allah, kami dah banyak solat, berilah apa yang kami minta ini.

5. Doa yang sesuai. Janganlah seorang perempuan minta nak jadi Perdana Menteri pula. Itu tidak sesuai. Doa itu juga bukanlah perkara untuk buat dosa.

فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي
maka hendaklah mereka cuba untuk menyahutKu;

Hendaklah mereka cuba menyahut seruan iman dari Allah. Ikutlah apa sahaja yang Allah suruh kita buat. Taatlah kepada Allah. Kalau kita mahu Allah menyahut doa kita, maka hendaklah kita menyahut seruan Allah, arahan Allah.

Lihatlah bagaimana ayat ini menggunakan pilihan perkataan. Apabila Allah menyebut Dia jawap, Dia gunakan perkataan أُجِيبُ, yang bermaksud Dia akan terus jawap. Tapi apabila menyebut tentang kita, Allah gunakan perkataan فَلْيَسْتَجِيبُوا, yang bermaksud dari segi nahwu, ‘cubalah’ untuk menyahut seruanNya. Allah suruh kita buat seboleh mungkin sahaja.

وَلْيُؤْمِنُوا بِي
dan hendaklah beriman kepadaKu;

Ayat ini bermakna hendaklah kita yakin bahawa Allahlah sahaja yang boleh memperkenankan doa kita. Ayat ini juga bermaksud, hendaklah mereka yakin bahawa Allah telah mendengar doa mereka.

Satu perkara penting berkenaan doa hendak disampaikan disini. Berapa ramai yang kita dengar, apabila kita nasihatkan mereka untuk berdoa kepada Allah, mereka akan jawap: “Dah doa dah, tapi tak dapat lagi…”. Mereka ingat doa kepada Allah itu macam order pizza. Bila order, tak lama lagi sampai. Tidak begitu dan jangan kita ada pemahaman begitu dan cakap begitu. Allah Maha Tahu apa yang kita perlukan. Allah akan memberi kepada kita mengikut keperluan kita. Bukan ikut apa yang kita hendak. Kita kena percaya kepada Allah yang Allah akan memberi yang terbaik untuk kita. Itulah sebabnya dalam ayat ini, Allah suruh kita ‘beriman kepadaNya’. Maksudnya adalah percaya bahawa Allah akan memberi kepada kita apa yang kita perlukan.

Oleh itu, jangan kita segan untuk doa. Dan jangan kita berputus asa untuk berdoa. Allah pastinya mendengar doa kita, tapi Allah membalas doa kita itu dengan tiga macam:

1. Allah akan beri apa yang kita hendak dan diberi semasa di dunia lagi. Contohnya, kita doa supaya diberikan pasangan hidup, maka Allah beri pasangan hidup untuk kita.

2. Allah beri lain dari apa yang kita hendak. Kita minta pasangan hidup, tapi Allah tak beri. Allah berikan benda lain, contohnya, Allah berikan keselamatan untuk kita. Kerana kita lebih memerlukan keselamatan itu. Allah jauhkan keburukan dari kita. Kita pun tidak tahu apakah yang Allah telah selamatkan kita. Tentunya sudah banyak perkara yang Allah telah berikan kepada kita, tapi kita tak sedar pun.

3. Allah tidak beri di dunia, tapi Allah akan balas di akhirat kelak. Akan diganti dalam bentuk pahala dan balasan yang lebih baik lagi. Allah simpan dan balas di akhirat. Tapi balasan di akhirat itu nanti akan berlipat kali ganda dari apa yang kita minta dulu. Oleh itu, ada riwayat yang mengatakan bagaimana apabila ahli syurga melihat balasan yang Allah ganti dari doa mereka semasa di dunia dulu. Mereka suka sangat dengan balasan itu, sampaikan mereka berkata: “Alangkah baiknya kalau tidak ada satu pun doa kita semasa di dunia dulu dimakbulkan, supaya kita akan mendapat balasnya di akhirat ini”. Itu adalah kerana apa yang mereka dapat di akhirat itu berlipat kali ganda dari apa yang mereka dapat di dunia jikalau Allah tak makbulkan semasa di dunia.

Oleh itu, jangan berputus asa dalam berdoa kepada Allah, tapi hendaklah kita beriman kepada Allah dan percaya bahawa Allah akan memberi mengikut keperluan kita, bukan kehendak kita.

Tidak kira berapa banyak doa kita, Allah boleh balas semuanya sekali.

لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ
Mudah-mudahan mereka mendapat petunjuk.

Apakah beza ‘hidayah’ dan رشد? Dua-dua ada elemen ‘petunjuk’ di dalamnya. Ulama mengatakan رشد bermaksud ‘mengamalkan’ hidayah yang telah diterima itu. Amal dan terus mengamalkannya. Kadang-kadang kita telah tahu apa yang hendak dibuat, tapi kita tak amalkan. Ataupun kita buat sedikit sahaja, sekejap sahaja. Itu bukanlah ‘rusyd’. Jadi, kita boleh tahu bahawa رشد adalah istiqamah dalam beramal kebaikan. Ini adalah satu dugaan yang perlu dilakukan.

Oleh itu, berdasarkan ayat ini, kalau kita beriman dan taat kepada Allah, itu adalah jalan untuk mendapat petunjuk – رشد.

Orang yang mendapat رشد akan menjalani kehidupan ini dengan baik, dengan sempurna. Selalu dalam kehidupan ini, banyak dugaan yang kita akan hadapi. Kita kena berperang dengan syaitan dan juga nafsu kita sendiri. Untuk menghadapinya, hendaklah kita berharap dan memohon pertolongan kepada Allah. Maka, kenalah kita berdoa kepada Allah untuk mendapatkan perkara ini. Kerana perkara ini disebut dalam ayat tentang doa. Allah sahaja yang boleh memimpin kita. Kita minta kepada Allah untuk pimpin kita dalam segenap perjalanan hidup kita. Kerana kadang-kadang kita tidak tahu apakah perkara yang terbaik yang patut kita lakukan dalam satu-satu pekerjaan kita. Maka, dalam hal itu, kita mintalah petunjuk kepada Allah.

Ayat ini dalam bahagian Puasa. Maka, kita kena ambil peluang berdoa dalam bulan-bulan Puasa. Doa itu termakbul selepas kita melakukan ibadah. Maka, selepas sepanjang hari kita berpuasa, maka ambillah peluang untuk berdoa. Semasa kita tunggu untuk berbuka, ambillah masa untuk berdoa. Jangan sibuk dengan nak sediakan makanan, sibuk nak makan sahaja. Kalau kita kisah makan sahaja, maka kita akan terlepas peluang keemasan itu.

Cara berdoa:

1. Mengucap dua kalimat Syahadah; sebab takut kita ada buat kufur sebelum ini. Maka, kita perbaharui iman dan Islam kita.

2. Istighfar; bacalah banyak-banyak sehingga kita jemu. Sebab kita banyak buat dosa. Selalunya kita hanya minta macam-macam kepada Allah, tapi kita lupa dosa kita amat banyak dengan Allah. Bayangkan, kalau anak yang banyak buat salah minta wang kepada ayahnya, tentu ayahnya berat hati nak bagi. Tapi, kalau anak itu datang kepada ayahnya mengaku kesalahan yang dia telah buat, dan dia kata dia tidak akan buat lagi kesalahan itu, tentu ayah itu akan lembut hati dan baru lega hati nak beri wang kepada anak itu.

3. Taubat: rukun taubat salah satunya adalah berazam untuk tidak buat dosa yang telah kita buat. Minta ampun atas dosa yang telah kita lakukan dan azam untuk tidak buat lagi. Mintalah ampun atas dosa kita, dosa dua ibubapa kita dan dosa seluruh umat Islam.

4. Tasbih kepada Allah berulang-ulang. Bertasbihlah sampai kita jemu.

5. Solat sunat dua rakaat; sebagai tanda nak minta doa kepada Allah. Solat adalah ibadat yang paling besar sekali. Tapi ini bukan Solat Hajat. Bukan juga Solat Taubat. Tidak ada solat Hajat dan Solat Taubat dalam Islam. Itu hanyalah rekaan sahaja. Ianya hanya solat sunat mutlak. Bacalah surah apa-apa sahaja. Tidak ada ketetapan apa-apa dalam solat ini.

6. Selawat kepada Nabi. Bukan kerana Nabi akan menyampaikan doa itu tapi kerana Nabi lah yang telah menyampaikan ajaran agama kepada kita supaya kita selamat. Maka, kita hargai usaha Nabi itu dengan berdoa kepada Allah supaya memberi kebaikan kepada Nabi.

7. Mulakan doa dengan mengaku bahawa Allah adalah Tuhan kita; Ini amat jarang sekali orang buat. Katakanlah bahawa Allah yang menjadikan alam ini dan kita semua sekali. Kena bodek Allah dengan mengaku yang hanya Dia sahaja yang boleh tolong dan boleh selesaikan masalah kita. Sebutkan Sifat-sifat Allah yang disebut dalam Qur’an. Atau ikut cara Nabi ajar bagaimana nak bodek Allah. Sebutkan kalimah-kalimah yang Nabi telah ajar kita. Cara yang Nabi ajar adalah yang terbaik sekali. Kalau kita tahu cara yang Nabi ajar, baik kita ikuti. Tapi kalau kita tidak tahu atau belum berjumpa lagi, bolehlah kita gunakan sahaja bahasa yang datang dari kita sendiri.

8. Mintalah apa sahaja yang kita hendak minta. Katakan juga: Kalau Allah kabulkan doa ini, Allah lah Tuhan. Kalau Allah tak makbulkan, Allah jua Tuhan kita. Tetapi kalau bukan kepada Allah kita meminta, kepada siapa lagi yang kita boleh minta tolong?

9. Selepas berdoa, hendaklah kita pohon supaya Allah perkenankan doa kita.

Jangan kita putus asa dengan Allah.
Kita kena yakin yang Allah akan terima doa kita.

(Tafsir ini adalah penulisan semula dari kelas tafsir yang diajar oleh Ustaz Tok Man (Ustaz Rosman. Sila baca dengan hati terbuka. Semoga mendapat pengajaran darinya.)

Posted by HAR

17 February, 2015


TAFSIR SURAH AL- AN’AAM AYAT 116 & 117


وَإِن تُطِعْ أَكْثَرَ مَن فِي الأَرْضِ يُضِلُّوكَ عَن سَبِيلِ اللّهِ إِن يَتَّبِعُونَ إِلاَّ الظَّنَّ وَإِنْ هُمْ إِلاَّ يَخْرُصُونَ
wa-ʾin tuṭiʿ ʾakthara man fi al-ʾarḍi yuḍilluka ʿan sabili llahi ʾin yattabiʿuna ʾillaz-ẓanna wa-ʾin hum ʾilla yakhruṣun

“Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta”. (Surah An-‘aam: 116)

وَإِن تُطِعْ أَكْثَرَ مَن فِي الأَرْضِ
“Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi…”

Ramai orang kita yang apabila melihat ramai orang buat sesuatu amalan, mereka kata tentulah amalan itu benar. Mereka kata: “Ramai yang buat, takkan salah?” Tapi hakikatnya, yang majoriti dalam dunia ini adalah orang-orang kafir, orang Islam hanya sedikit sahaja. Dan walau dalam golongan orang Islam pun, yang menerima ajaran tauhid pun adalah minoriti sahaja. Dan dari golongan minoriti itu, yang mahu belajar tafsir Qur’an adalah sedikit saja. Yang selain daripada golongan yang sikit ini, berbagai-bagai akidah mereka. Oleh kerana tidak ramai yang berada dalam kebenaran, takkan kita nak ikut golongan yang salah hanya kerana mereka ramai?

Ramainya orang yang mengamalkan sesuatu bukanlah dalil untuk mengatakan yang amalan itu benar. Agama ini bukan demokrasi yang mana yang ramai akan menang. Kalau kita lihat sampai satu stadium sampai berjoget menyanyikan Qasidah Ya Hanana, bukanlah bermaksud mereka itu benar. Kalau semua keluarga dalam Malaysia buat Majlis Tahlil, juga bukan dalil yang mengatakan amalan itu benar. Kalau satu Putrajaya buat Solat Hajat berjemaah, bukan juga dalil yang itu akan diterima Allah.

Allah suruh kita ikut Quran dan sunnah dan bukan suruh kita ikut orang. Janganlah kita terpedaya dengan pendapat yang ramai. Kerana agama ini bukanlah agama demokrasi – kalau dalam demokrasi, pihak yang ramai yang akan menang. Bukan begitu dalam agama Islam ini. Yang benar tetap benar walaupun sedikit yang menerimanya. Begitu juga, yang salah tetap salah walau satu dunia melakukannya.

يُضِلُّوكَ عَن سَبِيلِ اللّهِ
nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah;

Kalau kita ikut-ikut sahaja orang lain tanpa diperiksa dengan Quran dan Sunnah, maka kita akan sesat. Bukan kita nak kata jangan berguru. Memang kita belajar dengan ustaz atau guru kita. Tapi bila kita sampaikan kepada orang lain, maka jangan kita kata “ini guru aku yang cakap”. Tapi kita hendaklah terus menyebut apakah ayat Quran dan hadis yang dijadikan sebagai dalil. Kerana ustaz kita tidak semestinya benar, tapi Quran dan hadis yang sahih tetap benar.

Kebanyakan manusia akan masuk neraka. Berdasarkan kepada satu hadis Qudsi di mana Allah Ta’ala berkata kepada Nabi Adam untuk memasukkan satu sahaja daripada 1,000 anak cucunya dalam syurga. Maknanya, hanya 0.1% sahaja dari penduduk dunia yang masuk syurga. Jadi, adakah kita nak ikut yang masuk neraka atau kita nak ikut yang masuk syurga?

Tapi malangnya, ramai daripada kita yang bila berhujah akan mengatakan: “guru aku kata begini dan guru aku kata begitu”. Akibatnya nanti, mereka tidak akan percaya kepada guru-guru dan pendapat-pendapat yang lain. Mereka akan hanya bergantung kepada guru mereka sahaja dan mereka tidak percaya dengan kata-kata orang lain. Ini juga adalah syirik, iaitu ‘syirik tok guru’. Kita memang sayang dengan guru dan ustaz kita yang mengajar, tetapi jikalau mereka ada yang buat yang salah dan silap di mana-mana, kita tidak boleh terima dan kita kena tegur mereka.

Jangan kita seperti orang-orang yang lain yang dalam apa-apa hal agama, keputusan hanya dibuat oleh guru mereka sahaja. Sebagai contoh, anak-anak murid Pondok akan hanya mendengar keputusan daripada guru Pondok mereka sahaja. Kita sebenarnya kena ikut apa yang benar sahaja daripada guru kita sahaja. Yang tidak benar, kita tidak boleh ikut. Kerana kita semuanya manusia dah tentunya ada salah dan silap didalam pendapat kita. Yang benar hanyalah Qur’an dan Sunnah. Setiap pendapat guru-guru kita boleh dirujuk dengan Quran dan Hadis yang sahih. Kadang-kadang apa yang mereka katakan itu hanyalah pendapat mereka sahaja. Kalau pendapat, kita boleh ikut atau kita tidak ikut. Tidak semestinya kita kena ikut semua.

Tidak ada sesiapa yang 100% kita boleh ikut. Tidak ada sesiapa pun yang boleh gerenti yang Syeikh Abdul Qadir Jailani boleh masuk syurga atau Imam Syafie sekalipun, atau sesiapa sahaja. Tetapi Nabi Muhammad dan ada sahabat-sahabat yang telah diberi gerenti yang mereka akan masuk syurga. Oleh itu seeloknya kita mengikut mereka yang telah mendapat gerenti sahaja. Kalau selain daripada mereka, kita gunakan sebagai panduan sahaja tapi bukanlah kata putus.

Malangnya orang kita ramai yang menjadikan manusia manusia sebagai idola mereka tetapi mereka tidak pun mengenali para para sahabat yang telah berjuang bersama dengan Nabi. Kalau kisah wali itu dan wali ini, mereka tahu sangat, tapi kisah sahabat mereka tak ambil peduli pun.

إِن يَتَّبِعُونَ إِلاَّ الظَّنَّ
tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata..

Banyak dari amalan-amalan bidaah itu direka dari sangkaan sahaja. Sebagai contoh, yang kata pahala boleh dihadiah kepada simati itu hanya agak-agak sahaja. Mereka tidak boleh pastikan samada pahala itu sampai atau tidak. Yang dalil dalam Quran, mengatakan pahala itu tidak sampai.

Ataupun mereka agak-agak sahaja yang orang dalam mati dalam kubur itu akan dengar bacaan talqin. Yang dalil dalam Quran, jelas mengatakan yang orang yang mati tak dengar. Mereka agak-agak sahaja: Mereka kata: “takkan orang mati tak boleh dengar?” Atau mereka kata, kalau Allah nak bagi dengar, tentu mereka dengar. Itu semua adalah sangkaan-sangkaan sahaja tanpa berdasarkan dalil yang sah. Padahal itu semua adalah perkara-perkara yang ghaib, yang memerlukan dalil daripada Allah dan Nabi.

وَإِنْ هُمْ إِلاَّ يَخْرُصُونَ
dan mereka tidak lain hanyalah berdusta.

Perkataan يَخْرُصُونَ dari perkataan خرص yang bermaksud ‘agak-agak’. Asalnya, ia bermakna perbuatan menganggar bilangan buah di pokok. Sebab apabila orang Arab nak jual buahan, mereka akan anggar berapa banyak buah pokok itu akan keluarkan. Maka, ada pakar yang akan buat خرص untuk anggap berapa banyak buah yang akan dikeluarkan oleh kebun itu.

Tapi walaupun dia pakar, tentulah dia tidak boleh nak anggar dengan tepat. Hal agama dan hal ghaib bukan boleh anggar sahaja. Kena ada dalil. Tapi itulah yang terjadi sekarang ni, mereka agak-agak sahaja. Apabila anggar-anggar sahaja dan kata ianya tepat, itu susah jadi satu pendustaan.

SURAH AL-AN’AAM: 117

إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ مَن يَضِلُّ عَن سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
inna rabbaka huwa ʾaʿlamu man yaḍillu ʿan sabilihi wa-huwa ʾaʿlamu bil-muhtadin

Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah yang lebih mengetahui akan sesiapa yang sesat dari jalannya, dan Dia lah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk. (Surah Al-An’aam: 117)

إِنَّ رَبَّكَ
Sesungguhnya Tuhanmu

هُوَ أَعْلَمُ مَن يَضِلُّ عَن سَبِيلِهِ
Dia lah yang lebih mengetahui akan sesiapa yang sesat dari jalannya,

Jangan kita kata sesiapa yang sesat atau dapat hidayah. Kerana Allah lebih tahu dari kita…

وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
….dan Dia lah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk.

Kadang-kadang kita kata: “orang itu nampak warak dan beriman”. Belum tentu lagi. Sebab anggapan macam inilah orang kita boleh tersesat. Kerana mereka lihat hanya luaran sahaja. Kita ingat mereka yang pakai serban dan kuat berzikir itu dah wali dah, padahal belum tentu lagi. Tidaklah kita tahu akidah mereka. Tidaklah kita tahu apa yang mereka buat apabila mereka bersendirian.

Wallahu a'lam bishshawab

(Tafsir ini adalah penulisan semula dari kelas tafsir yang diajar oleh Ustaz Tok Man. Sila baca dengan hati terbuka. Semoga mendapat pengajaran darinya.) 

- HUSZAINI RAHMAN -

03 November, 2014

ISI YANG TERSIRAT DALAM SURAH AL-FATIHAH (1)


Jelas bagi kita bahawa orang yang menafakuri dan menganalisis apa yang terkandung dalam Surah Al-Fatihah, pasti akan memperolehi hasil yang memenuhi keperluan manusia dalam beragama tentang kehidupan dunia dan akhirat.

Allah Subhanahu wa ta’ala memulai kitab-Nya dengan  بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ (bismillah hir Rahma nir rahiim - Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani) sampai akhir Surah Al-Fatihah kerana didalamnya telah tercakup segala rahsia sampai yang sehalus-halusnya.

Maksudnya: saya memulai membaca al-Fatihah ini dengan menyebut nama Allah. Setiap pekerjaan yang baik, hendaknya dimulai dengan menyebut asma Allah, seperti makan, minum, menyembelih haiwan dan sebagainya. Allah ialah nama zat yang Maha Suci, yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya, yang tidak memerlukan makhluk-Nya, tapi makhluk yang memerlukan-Nya. Ar-Rahmaan (Maha Pemurah): salah satu nama Allah yang memberi pengertian bahawa Allah melimpahkan kurnia-Nya kepada makhluk-Nya, sedang ar-Rahiim (Maha Penyayang) memberi pengertian bahawa Allah senantiasa bersifat rahmah yang menyebabkan Dia selalu melimpahkan rahmat-Nya kepada makhluk-Nya. Setiap perbuatan yang tidak dimulai dengan “Bismillah hir-Rahman nir-Rahim” tidak mempunyai erti apa-apa menurut pandangan Allah Subhanahu wa ta’ala;

SURAH AL-FATIHAH

الْحَمْدُ للّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Alhamdu lillaahi rabbi al'aalamiina

“Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam”. (Surah Al-Fatihah: 2)

(Alhamdulillah - الْحَمْدُ للّهِ  ) : “Segala Puji” menunjukkan bahawa Allah Subhanahu wa ta’ala Tuhan Maha pencipta, Penentu, Maha Mengetahui, Maha Bijaksana, yang berhak menerima puji dan pujian yang mutlak.

(Rabbi al'aalamiina -  رَبِّ الْعَالَمِينَ ) : “Tuhan semesta alam” menunjukkan  bahawa Allah Subhanahu wa ta’ala itu Tuhan yang Maha Tunggal dan seluruh alam adalah kepunyaan-Nya, tiada Tuhan selain Allah Subhanahu wa ta’ala. (Lafadz "rabb" tidak dapat dipakai selain untuk Tuhan)

الرَّحْمـنِ الرَّحِيمِ
Ar rahman nir rahiem

Maha Pemurah lagi Maha Penyayang”. (Surah Al-Fatihah: 3)

(Ar rahman nir rahiem - الرَّحْمـنِ الرَّحِيمِ ) : Menunjukkan bahawa Allah Subhanahu wa ta’ala yang melimpahkan seluruh nikmat dan kebaikan kepada seluruh makhluk dengan curahan kurnia yang timbul dari kemurahan-Nya. Tiada puji dan pujian dengan pengangungan yang sempurna kecuali kepada zat pemberi nikmat Yang Maha Mulia, yang kebaikan-Nya meliputi sebelum, disa’at, sesudah mati.

مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ
Maliki yawmid deen

“Yang menguasai di hari Pembalasan” (Surah Al-Fatihah: 4)

(Maliki yawmid deen - مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ) : Menunjukkan bahawa Tuhan Allah Subhanahu wa ta’ala, berdasarkan hikmat dan rahmat-Nya, menetapkan hati akhirat sesudah alam fana sebagai hari Pengadilan. Pada hari itu akan ditunjukkan mana manusia yang hakikatnya berbuat baik, dan yang mana berbuat jahat, mana yang zalim dan mana yang menzalim.

Dalam kehidupan dunia kadang-kadang kita terlihat sebaliknya. Orang yang berbuat baik dianggap berbuat jahat, sedangkan orang yang berbuat jahat disanjung dan dipuji.

Yaumiddin (hari pembalasan): Di waktu dimana masing-masing manusia menerima pembalasan amalannya yang baik maupun yang buruk. Yaumiddin disebut juga yaumulqiyaamah, yaumulhisaab, yaumuljazaa' dan sebagainya.

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
Iyyaaka na'budu wa-iyyaaka nasta'iinu

“Hanya Engkaulah yang kami sembah  dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan”. (Surah Al-Fatihah: 5) 

(Iyyaaka na'budu wa-iyyaaka nasta'iinu - إِيَّاكَ نَعْبُدُ وإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ ) : Menunjukkan bahawa manusia wajib mengetahui cara beribadat yang sebaik-baiknya.

Na'budu diambil dari kata 'ibaadat: kepatuhan dan ketundukkan yang ditimbulkan oleh perasaan terhadap kebesaran Allah Subhanahu wa ta’ala, sebagai Tuhan yang disembah, kerana berkeyakinan bahawa Allah Subhanahu wa ta’ala mempunyai kekuasaan yang mutlak terhadapnya.

 Nasta'iin (minta pertolongan), diambil dari kata isti'aanah: mengharapkan bantuan untuk dapat menyelesaikan suatu pekerjaan yang tidak sanggup dikerjakan dengan tenaga sendiri.

Cara beribadat yang ditunjukkan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala didalam ayat ini ialah:

1.         Realisasi dalam bentuk tingkah laku yang dimanifestasikan dalam:

            a.  bentuk ibadat yang sesuai dengan tuntutan Allah Subhanahu wa ta’ala dan   
               Rasul-Nya.
           
            b.  bentuk I’tikat yang menegaskan bahawa dirinya tidak dapat melaksanakan 
               ibadatNya kecuali kerana kekuasaan dan pertolongan Allah Subhanahu wa 
               ta’ala semata-mata.

2.         Kesan dalam bentuk tingkah laku yang meninggalkan bekas sebagai akibat dari
           ibadat dan I’tikat yang dilihat dalam kehidupannya:

            a.  selalu merasa senang dalam berbakti kepada Allah Subhanahu wa ta’ala

            b.  berbudi perkerti lulur (mulia) dan terpuji serta sederhana.

صِرَاطَ الَّذِينَ أَنعَمتَ عَلَيهِمْ  اهدِنَــــا الصِّرَاطَ المُستَقِيمَ
Ihdinaash shiraathal mustaqiima, shiraathal ladziina an'amta 'alayhim 

‘Tunjukilah  kami jalan yang lurus, (iaitu) Jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepada mereka”. (Surah Al-Fatihah: 6-7)

(Ihdinaash shiraathal mustaqiima, shiraathal ladziina an'amta 'alayhim - صِرَاطَ الَّذِينَ أَنعَمتَ عَلَيهِمْ  اهدِنَــــا الصِّرَاطَ المُستَقِيمَ) : Menunjukkan bahawa permohonan petunjuk nikmat dan jalan yang pernah diberikan kepada para Nabi, Shiddiqin dan Syuhada, merupakan sifat yang terpuji dan jalan yang direadhai.

غَيرِ المَغضُوبِ عَلَيهِمْ وَلاَ الضَّالِّين
ghayril maghdhuu bi'alayhim walaladh dhaaliin

“.. bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat”. (Surah Al-Fatihah: 7)

(ghayril maghdhuu bi'alayhim walaladh dhaaliin - غَيرِ المَغضُوبِ عَلَيهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ ) : Menunjukkan bahawa menjauhkan diri dari orang-orang yang celaka yang menurutkan hawa nafsunya serta menambah-nambah agama, salah satu kewajipan manusia.

Yang dimaksud dengan "mereka yang dimurkai" dan "mereka yang sesat" ialah semua golongan yang menyimpang dari ajaran Islam.

Bergaul dengan orang saperti itu akan diwarisi akhlak tercela serta disebarkan perbuatan mereka. Oleh kerana itu, apabila kita ingin mengetahui seseorang, perlulah kita ketahui siapa kawan karibnya.

a.         Syahwat (dorongan ingin mencapai sesuatu) yang tergambar dalam sifat
kebinatangan dan berakibat merugikan orang lain.

b.         Marah, yang tergambar dalam sifat binatang buas lebih berbahaya dari syahwat
yang berakibat merugikan orang lain.

c.         Hawa nafsu yang tergambar dalam sifat syaitan yang merasuk dalam diri manusia dan lebih berbahaya dari dorongan marah. Apabila manusia cenderung mengikuti hawa nafsunya, ia tidak akan diperdulikan oleh Tuhan-Nya.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah bersabda:

“Kezaliman itu ada 3 macam: Kezaliman yang tidak diampuni, yang akan diperhitungkan, dan yang akan dimaafkan. Kezaliman yang tidak diampuni adalah syirik kepada (mneyekutukan) Allah Subhanahu wa ta’ala. Kezaliman yang akan diperhitungkan adalah kezaliman antara manusia, dan kezaliman yang akan dimaafkan adalah penganiayaan terhadap dirinya sendiri. (Hadits Riwayat Ath-Thaya’lisi dan Al-Bazzar yang bersumber dari Anas)

Adapun kezaliman yang tidak akan diampuni, bersumber dari hawa nafsu, yang dapat menimbulkan kekufuran dan menambah-nambah agama, dan kezaliman yang akan diperhitungkatan (antara manusia) bersumber dari dorongan marah yang dapat menimbukan sifat ujub takabur (sombong), sedangkan kezaliman yang diharapkan dapat dimaaf oleh Allah Subhanahu wa ta’ala bersumber dari syahwat (dorongan) yang dapat menimbulkan sikap rakus dan kikir.

Sekiranya keenam sifat tersebut diatas (Kufur, Menambah-nambah agama, Ujub, Takabur, Rakus dan Kikir) terkumpul pada diri seseorang, timbullah sifat akhlak yang sangat tercela yang disebut hasud yang menjadi puncak segala kejahatan manusia.

Allah Subhanahu wa ta’ala memberi petunjuk kepada hamba-Nya untuk selalu memohon perlindungan dari perbuatan orang-orang yang menghasut.

Allah Subhanahu wa ta’ala berfirman:

وَمِنْ شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ
wamin syarri haasidin idzaa hasada

 “Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya”. (Surah Al-Falaq: 5)

Adapun tingkatan pribadi-pribadi yang sangat tercela dibandingkan dengan pribadi pencuri, ahli zina, tukang judi, pembunuh dan sebagainya, adalah kepribadian syaitan yang selalu mendorong manusia untuk berbuat jahat.

Sebagaiman Firman Allah Subhanahu wa ta’ala:

الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ
alladzii yuwaswisu fii shuduuri alnnaasi 

“Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia..”(Surah An-Nas: 5)

Setelah kita mengetahui berbagai penyakit yang terdapat pada manusia dan telah memahami kandungan Surah Al-Fatihah, nyatalah Allah Subhanahu wa ta’ala telah mencipta ubat bagi setiap penyakit. Nama-nama Allah Subhanahu wa ta’ala yang telah tersimpul dalam “Bismillah hir-Rahman nir-Rahim” dapat menolak penyakit perbuatan hawa nafsu, marah dan syahwat yang tidak terkendalikan. Ayat-ayat selanjutnya sampai akhir surah, dapat menolak 7 penyakit yang muncul akibat ketiga dorongan yang tidak terkendalikan (Kufur, menambah-nambah agama, ujub, takabur, rakus, kikir dan hasut)

Firman Allah Subhanahu wa ta’ala:

اَفَرَءَيۡتَ مَنِ اتَّخَذَ اِلٰهَهٗ هَوٰٮهُ
afara-ayta mani ittakhadza ilaahahu hawaahu

 “Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya…(Surah Al-Jathiyat: 23)

Sekiranya ia mengenal nama Allah Subhanahu wa ta’ala dan tahu bahawa tiada Tuhan kecuali Allah, syaitan dan hawa nafsu akan menjauhi dirinya.

BERSAMBUNG…..