بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
تَبَّتْ يَدَا أَبِي لَهَبٍ وَتَبَّ
Binasalah kedua-dua tangan Abu lahab, dan binasalah ia bersama!
(Surah Al-Masad:1)
مَا أَغْنَى عَنْهُ مَالُهُ وَمَا كَسَبَ
Hartanya dan segala yang diusahakannya, tidak dapat menolongnya.
(Surah Al-Masad:2)
سَيَصْلَى نَاراً ذَاتَ لَهَبٍ
Ia akan menderita bakaran api neraka yang marak menjulang.
(Surah Al-Masad:3)
وَامْرَأَتُهُ حَمَّالَةَ الْحَطَبِ
Dan juga isterinya, seorang perempuan pemunggah kayu api.
(Surah Al-Masad:4)
فِي جِيدِهَا حَبْلٌ مِّن مَّسَدٍ
Di lehernya sejenis tali, dari tali-tali yang dipintal.
(Surah Al-Masad:5)
Surah ini termasuk surah Makkiyah iaitu surah yang diturunkan di Makkah seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Mardawaih dari Ibn Abbas ra dan Ibn Zubair ra serta ummul Mukminah Aisyah ra mengenai penurunannya di Makkah pada permulaan dakwah baginda yang membawa seruan aqidah yang sahih menurut apa yang diperintahkan Allah.
Aqidah yang sahih menjadi teras dakwah rasulullah dan para rasul terdahulu ini berdasarkan firman Allah swt :
وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَّسُولاً أَنِ اعْبُدُواْ اللّهَ
"Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): "Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut". (Surah Al-Nahl: 36)
وَمَا أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ مِن رَّسُولٍ إِلَّا نُوحِي
إِلَيْهِ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدُونِ
"Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seseorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya: "Bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Aku; oleh itu, beribadatlah kamu kepadaKu". (Surah Al-Anbiyaa': 25)
Penyembahan Allah itu ialah pada uluhiyah kerana kepercayaan keimanan kepada Allah pada tauhid keimanan rububiyah itu telah dimiliki oleh semua manusia baik yang menyembah berhala itu sekalipun.
Allah berfirman tentang mereka :
قُل لِّمَنِ الْأَرْضُ وَمَن فِيهَا إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
“Tanyakanlah wahai Muhammad: Kepunyaan siapakah bumi ini dan segala yang ada padanya, kalau kamu mengetahui?” (Surah Al-Mu'minuun 84)
سَيَقُولُونَ لِلَّهِ قُلْ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ
“Mereka akan menjawab: Kepunyaan Allah. Katakanlah: Mengapa kamu tidak mahu beringat?”
(Surah Al-Mu’minuum 85)
قُلْ مَن رَّبُّ السَّمَاوَاتِ السَّبْعِ وَرَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ
“Tanyakanlah lagi: Siapakah Tuhan yang memiliki dan mentadbirkan langit yang tujuh, dan Tuhan yang mempunyai Arasy yang besar?” (Surah Al-Mu’minuum 86)
سَيَقُولُونَ لِلَّهِ قُلْ أَفَلَا تَتَّقُونَ
“Mereka akan menjawab: Semuanya kepunyaan Allah. Katakanlah: Mengapa kamu tidak mahu bertaqwa?” (Surah Al-Mu’minuum 87)
قُلْ مَن بِيَدِهِ مَلَكُوتُ كُلِّ شَيْءٍ وَهُوَ يُجِيرُ وَلَا يُجَارُ
عَلَيْهِ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
“Tanyakanlah lagi: Siapakah yang memegang kuasa pemerintahan tiap-tiap sesuatu, serta ia dapat melindungi segala-galanya dan tidak ada sesuatu pun yang dapat diperlindungi daripada kekuasaan-Nya jika kamu mengetahui!” (Surah Al-Miminuum 88)
سَيَقُولُونَ لِلَّهِ قُلْ فَأَنَّى تُسْحَرُونَ
“Mereka akan menjawab: Segala-galanya dikuasai Allah. Katakanlah: Jika demikian, bagaimana kamu tertarik hati kepada perkara yang tidak benar?” (Surah Al-Miminuum 89)
Sekadar beriman Allah itu tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta sebagainya tidaklah mencukupi namun tauhid uluhiyah yang mengesakan Allah dalam pengibadatan dan tidak mensyirikkan-Nya dalam penyembahan itulah yang menjadi tugas utama para rasul.
Itulah sunnah perjuangan rasulullah dan isi pokok dakwah rasulullah ke muka bumi. Ini dibuktikan dengan sabda baginda rasululllah salallahualaihiwasalam : “ Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehinggalah mereka bersyahadah bahawa tiada tuhan selain Allah dan Muhammad sebagai rasulullah.” (Hadith Sahih, riwayat Bukhari no. 25 & Muslim no.22).
Maka kembali pada penafsiran surah Al-Masad, maka surah ini menjadi satu kunci permula dalam era dakwah baginda rasulullah.Ianya dikatakan membuka lembaran baru kerana dalam surah ini sudah mula wujud bentuk penyerangan kepada golongan yang memusuhi dakwah Islam dan pembelaan dari Allah kepada dakwah rasulullah dan juga secara umum sebagai pembelaan Allah kepada para pemikul dakwah rasulullah iaitu perjuangan aqidah dan sunnah rasulullah.
Ketahuilah bahawa diriwayatkan oleh Imam Bukhari ra dalam sahihnya dari hadith Ibn Abbas ra dari nabi salalahualaihiwasalam yang keluar ke sebuah bukit lalu mendakinya dan kemudian menyeru penduduk Makkah dari kaum Qurasiy dengan menyeru mereka supaya keluar berkumpul mendengar pada satu pengumuman yang penting lalu berkata : “Apakah kalian akan membenarkan aku jika aku memberitahu kalian bahawa di belakang bukit ini terdapat musuh yang akan menyerang kalian ?” Maka dijawab oleh mereka semua dengan mengatakan mereka akan mempercayai baginda dan dalam riwayat tambahan disebut oleh mereka bahawa “kami tidak mengenali engkau melainkan sebagai seorang yang dipercayai” maka lalu baginda rasulullah pun menyeru kaumnya dengan berkata : “Maka sesungguhnya aku ini ialah utusan yang mengingatkan kamu dengan azab yang pedih” lalu tiba-tiba disampuk oleh bapa saudaranya Abu Lahab : “Apakah hanya kerana ini engkau menghimpunkan kami ? Maka celakalah engkau” lalu turunlah wahyu Surah Al-Masad ini (Hadith sahih riwayat Bukhari no. 1394).
الْحَمْدُ للّهِ
Segala puji hanyalah bagi Allah,
Meneliti surah ini membuatkan jiwa kita yang memikul sunnah terasa sedikit ringan dan tersenyum atas kemurahan Allah, benarlah dengan mengingati ayat Allah selain menambah iman maka ianya juga mengurangkan tekanan dan kesedihan.
Sedarilah wahai pejuang Islam yang mengingini sunnah rasulullah dan menuruti manhaj salaf soleh. Hari ini apabila kalian berusaha membuka sebuah wadah atau mencari sebuah peluang dan lapangan bagi menyampaikan amanah Allah yang berupa kebenaran.
Kalian mengusahakan mendapatkan sebuah wadah seperti mana usahanya baginda rasulullah mendaki bukit yang tinggi bagi mendapat tempat selesa menyampaikan seruannya semaksima mungkin kepada kaumnya maka demikianlah kalian berusaha membuka wadah dakwah, berusaha untuk menyebarkan faham sunnah kepada seramai mungkin pendengar dan pembaca di weblog ini.
Namun pada permulaannya apabila dakwah kalian itu hanya sekitar menyampaikan kebaikan dan perkara yang tidak menyinggung sesiapa maka mereka membenarkan, membiarkan dan bahkan menyukai engkau seperti mana kaum Quraisy berkata kepada baginda “kami tidaklah memandang engkau melainkan yang-baik-baik sahaja dan engkau di sisi kami ialah orang yang dipercayai (al-Amin)”.
Sebaliknya apabila kalian mula menyampaikan amanah Allah, memerangi kebathilan, menyampaikan azab dan ancaman siksa serta teguran yang menyingguh perasaan, pegangan, adat dan fahaman sesat-silap golongan terdahulu maka mereka akan segera mencelakakan engkau, menghina, menuduh pelbagai tuduhan kepada engkau dan mula memerangi engkau seperti yang menimpa baginda rasulullah salallahualaihiwasalam.
Bagaimana pendapat kalian melihat rasulullah ditentang, usahanya untuk mendapat wadah dakwah dan seruan dikhianati oleh bapa saudaranya sendiri dan dituduh sesat dan dicela dengan ucapan hina.
Bukankah kalian juga mengalami demikian ? Berpenat lelah kalian menulis dan mengumpulkan pelbagai bahan ilmiah, dengan hujah dan kefahaman sahih untuk dihidangkan kepada umat Islam supaya mengambil manfaat namun musuh-musuh agama Allah yang bertegak di atas kejahilan dan kedegilan mereka sebaliknya dengan mudah menghancurkan usaha dakwah dengan mulut-mulut dan tangan mereka.
يُرِيدُونَ لِيُطْفِؤُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ
وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ
"Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)." (Surah As-Saff: 8)
Kekafiran itu juga dapat difahami dengan makna yang lebih ringan seperti dari takrif bahasa iaitu “mengingkari” dan menolak lalu jika dikatakan seseorang itu mengkafiri sunnah tidaklah bermakna menafikan imannya sebaliknya dia kafir pada juzuk tertentu dalam Islam seperti tidak beriman dengan hadith rasulullah, enggan membersihkan sunnah baginda dari pencemaran dan dusta dan tidak menerima kebenaran kerana kejahilan dan ta’asub.
وَالَّذِينَ يَسْعَوْنَ فِي آيَاتِنَا مُعَاجِزِينَ أُوْلَئِكَ فِي الْعَذَابِ مُحْضَرُونَ
"Dan orang-orang yang berusaha menentang dan membatalkan ayat-ayat keterangan Kami sambil menyangka dapat melepaskan diri (dari hukuman Kami), mereka itu akan berada di dalam azab seksa." (Surah Saba': 38)
Tidaklah kita mengkafirkan umat Islam yang beriman sebaliknya kita Cuma mengatakan bahawa kekufuran itu boleh berlaku dalam bentuk juzuk-juzuk seperti dia beriman pada hukum hudud dan qisas dan hukum Islam tetapi kufur pada mentaati sunnah rasulullah dan kufur dalam menerima kebenaran untuk tidak melakukan bid’ah dan kemaksiatan pada Allah.
Inilah yang dimaksudkan dalam firman Allah swt :
أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ
“Apakah kamu hanya beriman sebahagian AL Kitab (taurat) dan ingkar terhadap sebagian yang lain?” (Surah Al-baqarah : 85).
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ ادْخُلُواْ فِي السِّلْمِ كَآفَّةً وَلاَ تَتَّبِعُواْ
خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ
"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.) (Surah Al-baqarah: 208)
Pengertian dari Ayat-ayat surah Al-Masad
تَبَّتْ يَدَا أَبِي لَهَبٍ وَتَبَّ
Pemahaman dari ayat pertama iaitu: “Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan binasalah dia bersama.” (Surah Al-Masad : 1).
Para ulama seperti Imam Ibn Katsir ra dan Imam As- Syaukani dalam tafsir mereka menyebutkan bahawa ketika Allah menyebut binasalah kedua tangan Abu Lahab itu maka ianya berbentuk doa dari Allah kepada Abu Lahab.
Bahkan nama sebenar Abu Lahab ialah Abd Uzza ibn Abd Mutholib ibn Hasyim namun dari kejadian pencabulan dan pertualangan beliau pada dakwah islam maka digelarnya oleh Allah dnegan Abu Lahab iaitu “Bapa percikan api & lidah Api” sebagai pertanda kehinaan dan penjanjian azab yang wajib berlaku.
Seterusnya kalimah itu ditegaskan dengan menambah ulang “Maka lalu binasalah akan dia” sebagai memberi erti bahawa pada doa yang diucapkan itu telah ditunaikan oleh Allah dengan memberi jaminan bahawa belum pun matinya Abu Lahab dan belum pun tiba hari akhirat maka Allah telah memberi jaminan bahawa doa itu telah tertunai dengan berkata “Maka lalu binasalah akan dia”.
Ayat ini memberi pengajaran besar kepada kita bahawa betapa ancaman dahsyat Allah kepada mereka yang menentang dakwah Islam dan terutama balasan segera kepada mereka yang menjadi punca pelemah dan pengacau dakwah dari dapat ditegakkan.
Mengapa Allah menuruni ayat ini dalam sighah “uslub” yang berbentuk doa ? Doa dari Allah ini bukanlah bermakna bahawa Allah perlu berdoa kepada diri-Nya sebelum berlakunya sesuatu sebaliknya bukankah Allah menyebut :
إِنَّمَا أَمْرُهُ إِذَا أَرَادَ شَيْئًا أَنْ يَقُولَ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ
“Sesungguhnya kekuasaan-Allah apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada benda itu: Jadilah engkau! Maka jadilah ia.” (Yassin : 82).
Jawapannya ialah kerana Allah ingin mengajari hamba-Nya bahawa tidak salah mendoakan kejahatan kepada mereka yang melakukan pertualangan dan pelampauan kepada Islam sejak dari awal usaha gigih menegakkan islam itu dimulakan.
Atau keduanya ialah Allah ingin mengajari hamba-Nya supaya mengambil iktibar bahawa perbuatan melakukan pertualangan pada dakwah Islam sangatlah besar murka dan dosanya sehingga belum pun matinya si Abu Lahab ini kecelakaan dan kehancuran sudah siap tertulis baginya.
Bukankah jika Abu Lahab itu kemudiannya beriman kepada rasulullah dan memeluk Islam maka akan ternafilah mukjizat Al-Qur’an ? Bukankah jika masuk Islamnya Abu Lahab maka janji Allah dan doa Allah untuk mencelakakan Abu Lahab dan isterinya di dalam neraka akan menjadi tidak wajar lagi?
Jawabnya bahawa perlakuan pertualang pada perjuangan dakwah Islam teruatama dakwah yang dibawa oleh rasulullah iaiatu seruan kepada pemurnian aqidah merupakan suatu dosa yang besar.
Kedosaan yang mampu membuatkan si pelakunya ternafi hak mendapatkan hidayah dari Allah dan akan mengundang kemurkaan dan kekekalan dalam kejahilan dan kebathilan selamanya.
Hal inilah yang disimpulkan dari ayat ini yang menyebabkan Allah swt mengatakan bahawa “maka lalu binasalah akan dia” iaitu satu penegasan pembalasan segera di dunia ini lagi Allah telah menutup pintu taubat dan hidayah kepadanya dan apatah lagi di akhirat dengan balasan siksa yang pedih sedia menanti.
مَّنِ اهْتَدَى فَإِنَّمَا يَهْتَدي لِنَفْسِهِ وَمَن ضَلَّ فَإِنَّمَا يَضِلُّ عَلَيْهَا
وَلاَ تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّى نَبْعَثَ رَسُولاً
"Sesiapa yang beroleh hidayah petunjuk (menurut panduan Al-Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga. Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah)" (Surah Al-Israa': 15)
Sesungguhnya persoalan hidayah dan pertunjuk ialah milik mutlak Allah semata-mata dan lalu dari penelitian ayat pada surah ini dan lain-lain lagi ayat Allah maka kita mendapati rahsia-rahsia seperti ternafinya hak mendapatkan hidayah oleh sebahagian manusia ialah kerana perbuatannya yang menentang hidayah Allah dan usaha dakwah dan usaha penyebaran hidayah itu sendiri.
إِنْ أُرِيدُ إِلاَّ الإِصْلاَحَ مَا اسْتَطَعْتُ
وَمَا تَوْفِيقِي إِلاَّ بِاللّهِ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ
"Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali." (Surah Hud: 88)
Maka kerana itulah kita melihat mereka yang mendapat hidayah Allah itu terdiri dari golongan yang bersih peribadinya, tidak mempunyai hasad dan kebesaran diri seperti kedegilan bongkak dan sombong.
Punca Kemurkaan Allah dan Ancaman besar Kepada Abu Lahab dan mereka Yang Menentang dakwah rasulullah.
Kemurkaan Allah kepada mereka ialah kerana mereka melakukan perkara berikut :
1) Mengecewakan dan menganiayai hamba-hamba Allah yang beriman yang berusaha gigih mencari wadah untuk menyebarkan keimanan dan aqidah yang sahih sebagai bukti keimanan mereka namun usaha mereka dengan mudah dihancurkan oleh golongan jahat ini akibat dengki , hasad dan kebencian mereka kepada kebenaran.
وَمَن كَفَرَ فَلَا يَحْزُنكَ كُفْرُهُ إِلَيْنَا مَرْجِعُهُمْ
فَنُنَبِّئُهُم بِمَا عَمِلُوا إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ
"Sesiapa yang kufur ingkar, maka janganlah engkau (wahai Muhammad) berdukacita tentang kekufurannya itu; kepada Kamilah tempat kembalinya mereka, kemudian Kami akan memberitahu kepada mereka tentang apa yang mereka telah kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.) (Surah Luqman:23)
2) Menolak hidayah Allah sekaligus merasa diri sudah ego dan sombong dengan apa yang mereka punyai dan percayai dari bapa-bapa mereka, para amir dan guru-guru mereka tanpa menyelidiki benarkah kefahaman mereka itu atau sebaliknya bahkan dengan kejahilan itu mereka tanpa takut dan bimbang menolak hidayah dan bahkan menghina dan menentang semampu mereka akan kebenaran dakwah yang dibawa oleh para rasul dengan yang membawanya penuh keikhlasan.
Ini disebut dalam firman Allah :
وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ اتَّبِعُوا مَا أَنزَلَ اللّهُ قَالُواْ بَلْ
نَتَّبِعُ مَا أَلْفَيْنَا عَلَيْهِ آبَاءنَا أَوَلَوْ كَانَ آبَاؤُهُمْ
لاَ يَعْقِلُونَ شَيْئاً وَلاَ يَهْتَدُونَ
"Apabila dikatakan kepada mereka" Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah" mereka menjawab: "(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya". Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara ugama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)?" (Surah Al-Baqarah: 170)
وَلاَ تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ
وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولـئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْؤُولاً
"Janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.) (Surah Al-Israa: 36)
قَالُوا إِنَّا تَطَيَّرْنَا بِكُمْ لَئِن لَّمْ تَنتَهُوا لَنَرْجُمَنَّكُمْ وَلَيَمَسَّنَّكُم مِّنَّا عَذَابٌ أَلِيمٌ
"Penduduk bandar itu berkata pula: "Sesungguhnya kami merasa nahas dan malang dengan sebab kamu. Demi sesungguhnya, kalau kamu tidak berhenti (dari menjalankan tugas yang kamu katakan itu), tentulah kami akan merejam kamu dan sudah tentu kamu akan merasai dari pihak kami azab seksa yang tidak terperi sakitnya". (Surah Yaa Siin: 18)
Bukankah perkataan ini sama seperti golongan yang menentang dakwah sunnah lalu menuduh para ustaz sebagai sesat dan mereka yang berdakwah di atas manhaj salaf soleh sebsgai sesat dan menyuruh wadah kefahaman yang menyebar dakwah ditutup dan tidak lagi meneruskan fungsinya supaya kejahilan dan pemahaman salah mereka terus kekal tanpa tercabar.
قَالُوا طَائِرُكُمْ مَعَكُمْ أَئِن ذُكِّرْتُم بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ مُّسْرِفُونَ
Rasul-rasul itu menjawab: "Nahas dan malang kamu itu adalah disebabkan (kekufuran) yang ada pada kamu. Patutkah kerana kamu diberi peringatan dan nasihat pengajaran (maka kamu mengancam kami dengan apa yang kamu katakan itu)? (Kamu bukanlah orang-orang yang mahu insaf) bahkan kamu adalah kaum pelampau". (Surah Yaa Siin: 19)
Bagaimana dengan peringatan dan sedikit sahaja wadah yang ada ini dapat menggugat dan membahayakan mereka ? Jawabnya ialah bukan kerana sejauh mana kesan wadah yang ada dalam menyebarkan manhaj salaf soleh ini sebaliknya mereka bimbang langsung dengan segala kemampuan kita yang ada untuk tidak membenarkan tersebarnya dakwah rasulullah ini.
مَا أَغْنَى عَنْهُ مَالُهُ وَمَا كَسَبَ
Seterusnya pada ayat: “Tiadalah bermanfaat baginya segala harta bendanya dan apa yang diusahakannya” (Al-Masad :2).
Pada ayat ini Allah swt menegaskan bahawa manusia kerap memikirkan perihal material dan kebendaan sebagai perkara utama dalam kehidupan mereka. Hal ini kerana pemandangan mata kasar kerap hanya mampu melihat apa yang ada di sekeliling dan di sisi mereka.
Lalu penilaian mereka bahawa apa yang mereka miliki itu akan dapat dijadikan sebagai bekal dan mengambil kemanfaatan untuk melindungi diri mereka dan menyelamatkan mereka dari sesuatu kebahayaan.
الْيَوْمَ بِجَالُوتَ وَجُنودِهِ لاَ طَاقَةَ لَنَا
Bukankah telah berkata kaum Thalut yang lemah iman mereka “Tidak adalah kekuasaan bagi kami memerangi Jalut dan tenteranya” (Al-Baqarah : 249).
Hal ini kerana mereka menilai dengan mata kasar bahawa kebesaran dan ramainya tentera Jalut itu secara fizikal pasti akan menewaskan mereka. Namun sebaliknya golongan yang beriman yang mempercayai kekuasaan Allah atas makhluk-Nya dan mengetahui bahawa urusan sesuatu itu ditangan Allah maka mereka pun berkata :
كَم مِّن فِئَةٍ قَلِيلَةٍ غَلَبَتْ فِئَةً كَثِيرَةً بِإِذْنِ اللّهِ وَاللّهُ مَعَ الصَّابِرِينَ
"Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar". (Surah Al-Baqarah: 249)
Manakala merujuk kepada ayat ini menurut Ibn Abbas ra apa yang dimaksudkan dengan “apa yang diusahakannya” ialah anak-anaknya demikianlah juga yang diriwayatkan dari ummul Mukminah Aisyah ra, Mujahid, Atha dan Ibn Sirrin.
Pemahaman ayat ini menunjukkan jelasnya kekufuran golongan yang membenci dan menolak dakwah salaf soleh ini dengan mengambil hal zahir dan jelas pada mata mereka sebagai satu sandaran tanpa memikirkan keimanan dan perihal kebenaran hakikat tujuan syarak dan dakwah dari risalah ilahiyah.
Sebagaimana perbuatan Abu Lahab menafsirkan kekuatan itu pada harta dan anak-anak kerana bagi golongan arab, anak-anak itu merupakan penyokong setia dan kabilah (keluarga besar) itu menjadikan mereka dihormati dan harta mengukuhkan kedudukan duniawi mereka.
يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمْ وَاخْشَوْا يَوْماً لَّا يَجْزِي
وَالِدٌ عَن وَلَدِهِ وَلَا مَوْلُودٌ هُوَ جَازٍ عَن وَالِدِهِ شَيْئاً
إِنَّ وَعْدَ اللَّهِ حَقٌّ فَلَا تَغُرَّنَّكُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا وَلَا يَغُرَّنَّكُم بِاللَّهِ الْغَرُورُ
"Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu, dan takutilah akan hari (akhirat) yang padanya seseorang ibu atau bapa tidak dapat melepaskan anaknya dari azab dosanya, dan seorang anak pula tidak dapat melepaskan ibu atau bapanya dari azab dosa masing-masing sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia, dan jangan pula kamu diperdayakan oleh bisikan dan ajakan Syaitan yang menyebabkan kamu berani melanggar perintah Allah." (Surah Luqman: 33)
Bukankah hal ini sama seperti penentang dakwah sunnah? Mereka menjadikan sijil serta pangkat akademik seperti Phd dan gelaran duniawi sebagai pengukur kebenaran dan menjadikan pengikut yang ramai sebagai hujah kesahihan sesuatu fahaman.
لَن تُغْنِيَ عَنْهُمْ أَمْوَالُهُمْ وَلَا أَوْلَادُهُم مِّنَ اللَّهِ شَيْئاً
أُوْلَئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ
"Harta benda mereka dan anak pinak mereka tidak sekali-kali akan dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka dari azab Allah. Merekalah ahli neraka, mereka tetap kekal di dalamnya." (Surah Al-Mujaadalah: 17)
Bukankah mereka akan berkata kepada kamu bahawa kami tidak akan menerima dakwah kamu yang lemah dan dhaif ini sedangkan kami mempunyai tok-tok guru dengan jumlah golongan pengikut dan penganut ajaran mereka yang ramai?
Hal ini samalah seperti perkataan orang terdahulu yang mengingkari dakwah para rasul hanya kerana merasa diri mereka hebat dan besar dan mempunyai kedudukan dan pengikut yang ramai dan dakwah para rasul itu hanya diikuti oleh orang-orang yang susah dan lemah.
قَالَ الْمَلأُ الَّذِينَ اسْتَكْبَرُواْ مِن قَوْمِهِ لِلَّذِينَ اسْتُضْعِفُواْ لِمَنْ آمَنَ مِنْهُمْ
أَتَعْلَمُونَ أَنَّ صَالِحاً مُّرْسَلٌ مِّن رَّبِّهِ قَالُواْ إِنَّا بِمَا أُرْسِلَ بِهِ مُؤْمِنُونَ
"Ketua-ketua yang sombong takbur dari kaumnya berkata kepada orang-orang yang dipandang lemah iaitu orang-orang yang telah beriman di antara mereka: "Tahukah kamu bahawa Soleh itu diutus dari Tuhannya?" Mereka menjawab: "Sesungguhnya kami beriman kepada apa yang ia diutus untuk menyampaikannya". (Surah Al-A'raaf: 75)
قَالَ الَّذِينَ اسْتَكْبَرُواْ إِنَّا بِالَّذِيَ آمَنتُمْ بِهِ كَافِرُونَ
Orang-orang yang sombong takbur itu berkata: "Sesungguhnya kami tetap ingkar akan orang yang kamu beriman kepadanya". (Surah Al-A'raaf: 76)
Demikianlah, pada hari ini sekalipun kita tidak mengatakan bahawa teah kafir golongan Islam yang mengingkari dakwah sunnah tetapi kita mengatakan mereka telah kufur pada juzuk tertentu yang penting dalam ajaran Islam dan tidak pula kita mengeluarkan mereka dari Islam tetapi tidak pula menjadikan mereka sebagai seorang mukmin yang soleh.
Mereka tidak dapat menerima kebenaran dakwah sunnah lantaran di sisi mereka para guru-guru yang bersinggahsana dengan kerajaan dan kekuatan politik dan menguasai massa dan mempunyai pengaruh dan kedudukan lama dan sudah menguasai fikrah dan pemikiran mereka sekian lama dengan doktrin yang sudah disemai dalam jiwa dan minda mereka.
Mereka bahkan berkata kepada kamu pergilah engkau kepada tok-tok guru kami dan berdebat serta kemukakan apa yang kamu yakini benar maka jika dia mengikut kamu maka kami pun akan mengikut kamu.
Demikianlah keimanan agama mereka itu menyandar hanya kepada tok-tok guru mereka, pemimpin mereka dan ikutlah mereka menghalalkan apa yang dihalalkan olehnya dan mengharamkan apa yang diharamkan olehnya.
اتَّخَذُواْ أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَاباً مِّن دُونِ اللّهِ
وَالْمَسِيحَ ابْنَ مَرْيَمَ وَمَا أُمِرُواْ إِلاَّ لِيَعْبُدُواْ
إِلَـهاً وَاحِداً لاَّ إِلَـهَ إِلاَّ هُوَ سُبْحَانَهُ عَمَّا يُشْرِكُونَ
"Mereka menjadikan pendita-pendita dan ahli-ahli ugama mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah, dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan." (Surah At-Taubah: 31)
Disebut oleh para mufassir bahawa dalam menafsirkan ayat ini maka terdapat hadith dari Abi ibn hatim ra yang menegur baginda dengan mengatakan sesungguhnya mereka golongan yahudi tidaklah mengambil paderi dan rahib serta ulama mereka sebagai tuhan maka dijawablah oleh baginda : “Bahkan mereka itu menghalalkan apa yang dihalalkan oleh ulama mereka dan mengharamkan apa yang diharamkan oleh para ulama mereka maka itulah bentuk pengibadahan (menyembah) kepada para ulama mereka” (hadith hasan riwayat tirmidzi no. 3090, Baihaqi dan Ahmad).
Perihal ini ialah satu bentuk penyembahan tanpa mereka menyedari dan mengakui perbuatan mereka ialah satu penyembahan kepada guru-guru mereka. Bukankah sama sahaja pada hari ini ? Kesesatan yang banyak bercambah dengan kemungkaran yang berleluasa apabila sebahagian dari pejuang Islam ingin menyampaikan pesan rasulullah, memperbaiki kerosakan umat Islam dengan merawati umat dengan sunnah dan mendedahkan mudharat penyakit bahkan mereka dituduh sebagai sesat dan lain-lain kerana bertentangan dengan pegangan ulama mereka.
Apa dosa kita ? Hanya mendedahkan kesilapan para ulama mereka dan para pejuang Islam terdahulu sebagai mengambil teladan dan mempelajari salah silap terdahulu lalu memperbaiki diri supaya dakwah dan perjuangan kita lebih suci maka itu salahkah ?
Sebaliknya kerana ta’asub mereka menghalang dan bahkan seolah mengatakan pemimpin, ulama mereka suci, maha mulia tanpa ada sebarang kesalahan dan cacat cela dan sempurna dari salah silap maka Maha Suci Allah dan bebaslah kita dari golongan mereka dalam pegangan mereka.
سَيَصْلَى نَارًا ذَاتَ لَهَبٍ
Penafsiran ayat seterusnya ialah : "Ia akan menderita bakaran api neraka yang marak menjulang. ((Al-Masad : 3)
Sesungguhnya bukanlah satu ancaman dan perjanjian azab yang biasa dalam ayat ini sebaliknya hal ini merupakan satu yang sangat istimewa dan sangat memecah kebiasaan Allah swt.
Bukankah dalam ayat al-qur’an yang lain juga Allah menjanjikan azab lalu apakah istimewanya ayat ini ? Maka menjawab hal ini ialah kerana beberapa hal. Pertamanya beza ayat ini dari ayat yang lain ialah dalam ayat ini perjanjian azab telah secara khusus disebut nama kepada Abu Lahab sedangkan pada kaum-kaum terdahulu Allah tidak pun mengatakan janji azab itu khusus pada mana-mana individu.
Sehingga dakwah Musa as kepada Firaun pun tidaklah disebutkan janji azab kepada Firaun secara khusus sebaliknya mengatakan sekiranya dia beriman akan mendapat balasan nikmat dan siapa yang engkar akan mendapat balasan azab.
Sebaliknya Allah dengan jelas menyebut secara khusus dan mengelarnya dengan Abu Lahab sebagai terus langsung azab tanpa bertangguh lagi. Bahkan ketika dijanjikan secara khusus azab siksa neraka itu Abu Lahab masih hidup dan berjalan-jalan di muka bumi Makkah menandakan betapa besar kemurkaan Allah yang tidak ada makhluknya menerima azab siksa yang demikian melainkan Iblis sebelumnya.
Telah diberi jaminan Abu Lahab yang masih hidup itu akan kekal di neraka, akan menjadi bahan bakar neraka serta disiksa dengan siksaan yang pedih bersama isterinya. Bukankah pada golongan yang lain Allah masih memberi peluang untuk bertaubat sebelum sampai ajalnya maka sebaliknya pada Abu Lahab seolah sudah tiada ampun dan maaf.
Kerana mustahil wahyu Allah itu berdusta ? Maka jika masuk Islamnya Abu Lahab akan terbatallah firman Allah ini sedangkan tidak mungkin dan mustahil Al-Qur’an itu tersilap dan nasakh dan mansukh hanya pada persoalan hukum-hakam bukan pada perihal jaminan janji dan perkara ghaib.
Allahuakbbar
Janji Allah bahawa Abu Lahab itu akan memasuki api neraka yang membakar maka apakah hanya khusus untuk Abu Lahab sahaja ayat ini ? Jawapannya tidak bahkan sebaliknya ayat ini terbuka dan umum untuk semua kerana dalam kaedah tafsir “Al-Ibrah li umumi lafdzi la bikhususis sabab” (Pengajaran itu tidaklah dengan sebab yang khusus sebaliknya dengan keumuman lafadz).
Secara ringkas menyebut bahawa siksaan api neraka yang panas membakar itu sangatlah dahsyat dan tidaklah mampu manusia menahani siksa dan derita penyiksaan di dalamnya.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ
نَاراً وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ
شِدَادٌ لَا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ
"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan." (Surah At-Tahriim: 6)
وَامْرَأَتُهُ حَمَّالَةَ الْحَطَبِ
"Dan juga isterinya, seorang perempuan pemunggah kayu api. " (Surah Al-Masad: 4)
Perbincangan ini makin meluas apabila Allah swt menyebut bahawa turut dilaknat dan dicela serat dijanjikan azab neraka yang pasti ialah isteri Abu Lahab sedangkan mereka semua ini masih lagi bernyawa dan hidup di saat waktu turunnya wahyu Allah kepada baginda rasulullah.
/div>
Isteri Abu Lahab merupakan wanita yang terhormat selain juga cantik dikalangan kaum wanita Qurasiy dengan dikenali sebagai Ummul Jamil dan nama sebenarnya ialah Arwa binti Harb ibn Umaiyah dan dia ialah saudara perempuan Abu Sufyan serta termasuk golongan bangsawan terhormat dan menjadi wanita utama di zamannya.
Apakah yang dilakukan oleh wanita ini sehingga mengheretnya ke neraka ? Maka para mufassir menyebut bahawa Ummu Jamil ini tidak kurang makar dan jahat serta jenayahnya kepada dakwah rasulullah dengan beliau membantu suaminya dalam kejahilan dan kedegilan serta kekufuran memusuhi dakwah Islam.
Kerana itu Allah memberi perumpamaan “yang mengangkat kayu api” (Al-Masad :4). Iaitu perbuatan isterinya membantu suaminya melakukan kezaliman kekufuran kepada dakwah rasulullah sebagai turut membantu suaminya menambahkan azab siksa di neraka dengan mengangkat kayu api bagi menambah bakaran dan siksaan bakar api neraka pada suaminya.
Wanita yang mencintai suaminya sanggup melakukan apa sahaja tanpa memikirkan mengenai kebenaran. Wanita makhluk yang lemah akalnya dari lelaki dan mereka ini tidak mempunyai pendirian kukuh dalam agama sebaliknya agama mereka, iman mereka hanyalah bergantung dan bersandar kepada persekitaran mereka.
Mereka menurut bapa mereka jika beirman maka warisilah keimanan dan jika sebaliknya maka rosaklah mereka demikian juga setelah berkahwin maka agama mereka bertaut pada suami mereka.
Sekalipun kita tidak menafikan kepentingan persekitaran dalam Islam namun dari sudut keperibadian tidaklah kita menjumpai wanita yang tetap teguh dengan agamanya dalam persekitaran yang rosak, keluarga yang membusuk kecuali sedikit.
Hanya yang benar-benar bijak dan diberi anugerah Allah dengan kebijaksanaan dan kecerdikan serta hati dan jiwa yang mulia maka mampu mencapai darjat ini dan dalam Al-Qur’an Allah menukilkan kisah Asiah isteri Firaun yang mampu mencapai makam kedudukan ini.
وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلاً لِّلَّذِينَ آمَنُوا اِمْرَأَةَ فِرْعَوْنَ
إِذْ قَالَتْ رَبِّ ابْنِ لِي عِندَكَ بَيْتاً فِي الْجَنَّةِ
وَنَجِّنِي مِن فِرْعَوْنَ وَعَمَلِهِ وَنَجِّنِي مِنَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ
"Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada mudaratnya) kepada orang-orang mukmin (berhubung rapat dengan orang-orang kafir kalau tidak terjejas keadaan imannya), iaitu: perihal isteri Firaun, ketika ia berkata: "Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam Syurga, dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah daku dari kaum yang zalim." (Surah At-Tahriim: 11)
Wanita hari ini sangat kurang bijaknya, lemah imannya dan kurang taqwanya kepada Allah swt. Mereka bukan sahaja terdedah kepada persekitaran yang rosak dan buruk bahkan dibina peribadi mereka dengan tarbiyah yang bukan dari tarbiyah Islam lalu mengakibatkan dengan kelemahan akal dan kebodohan mereka maka jadilan mereka alatan pertualang bagi menghancurkan dakwah Islam.
Golongan munafiq dan mereka yang memusuhi dakwah sunnah akan mempergunakan dakwah wanita dan kelemahan pendakwah di sisi wanita sebagai satu serangan yang berkesan terhadap peribadi.
زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاء وَالْبَنِينَ
وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالأَنْعَامِ
وَالْحَرْثِ ذَلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَاللّهُ عِندَهُ حُسْنُ الْمَآبِ
"Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)." (Surah A-li 'Imraan: 14)
Lalu apabila lelaki muslim terutama mereka yang membawa panji-panji sunnah dan dakwah kepada manhaj salaf soleh pastinya akan dimusuhi lalu golongan fikrah dan musuh sunnah akan mengadakan makar tipudaya dengan mencari kelemahan keburukan pejuang Islam dari sisi wanita.
Bukankah para ahli fikrah dan golongan pembenci sunnah ini agama mereka ialah siyasah dan politik ? Kebijaksanaan mereka menipu memutar belit dan mencari helal serta kelemahan musuh mereka sangatlah mudah. Mereka tidak mempunyai perasaan kasih dan hormat pada sesama muslim sebaliknya kerana agama mereka ialah fikrah yang didokong maka orang yang bukan fikrah dihalalkan oleh ulama dan pemimpin mereka untuk dimusuhi walau pun sesama umat Islam.
Hujah mereka ialah sabda rasulullah salallahualaihiwasalam : “Perang itu ialah satu tipu daya” (hadith sahih riwayat Bukhari no. 3030 dan Muslim no. 1740 ).
Sesungguhnya kejahilan merekalah maka mereka memecah belahkan umat Islam dengan fikrah dan melakukan tipudaya kepada sesama muslim sedangkan hukumnya ialah haram dan berdosa melakukan tipudaya bahkan perang kepada orang Islam.
مُنِيبِينَ إِلَيْهِ وَاتَّقُوهُ وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَلَا تَكُونُوا مِنَ الْمُشْرِكِينَ
"Hendaklah kamu (wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu) sentiasa rujuk kembali kepada Allah (dengan mengerjakan amal-amal bakti) serta bertaqwalah kamu kepadaNya; dan kerjakanlah sembahyang dengan betul sempurna; dan janganlah kamu menjadi dari mana-mana golongan orang musyrik." (Surah Ar-Ruum: 31)
مِنَ الَّذِينَ فَرَّقُوا دِينَهُمْ وَكَانُوا شِيَعاً كُلُّ حِزْبٍ بِمَا لَدَيْهِمْ فَرِحُونَ
"Iaitu orang-orang yang menjadikan fahaman ugama mereka berselisihan mengikut kecenderungan masing-masing serta mereka pula menjadi berpuak-puak; tiap-tiap puak bergembira dengan apa yang ada padanya (dari fahaman dan amalan yang terpesong itu). (Surah Ar-Ruum: 32)
Kembali kepada membincangkan kedudukan wanita dalam peranan mereka kepada kejahatan dan kebaikan maka wanita itu lemah dan tanpa pengawasan dari ibu bapa terutama keluarga yang lemah dan tidak mampu mentarbiyah anak-anak dengan kefahaman yang sahih dari Al-Qur’an dan sunnah maka memudahkan wanita dan perempuan terpengaruh oleh fikrah dan belenggu hizbi jemaah.
Lalu dengan menyertai jemaah dan ditanah serta di asuh dengan ajaran agama fikrah lalu jadilah wanita ini pendokong setiap yang saggup menyerah segalanya baik kehormatan, tubuh badan dan wala setianya kepada jemaah dan pemimpin jemaah.
Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Sallam bersabda : “Sesungguhnya wanita itu adalah aurat, maka apabila dia keluar dari rumahnya, syaitan akan menghiasinya.” (Dikeluarkan oleh Al Bazzar dan At Tirmidzi dan disahihkan oleh Asy Syeikh Al Albani dalam Irwaul Ghalil jilid I).
Sungguh pun yang berbicara dan bersabda ialah rasulullah namun para wanita ini tidak beriman dengan rasulullah sebaliknya memegang firman amirnya dan naqibah atau ulama kumpulan mereka.
Pedulikan rasululllah dan abaikan perintah serta pesanan baginda kerana agama yang benar ialah jemaahnya dan ajaran yang membawa syurga ialah fikrahnya dan orang ikutan teladannya ialah amir dan naqibahnya.
Kenapa hal ini berlaku ? jawapannya ialah mudahnya wanita itu terpengaruh kepada kejahatan dan kesesatan dan susahnya pula untuk dipulihkan dan ditarbiyah kembali kepada kebaikan dan kebenaran setelah dia menerima sesuatu fahaman ini disebabkan kurangnya wanita yang memiliki kecerdikan, mampu menilai kebenaran itu.
Lalu inilah punca baginda menyebut dalam hadith dari Imran bin Husain ra yang berkata, Nabi Shalallahu ‘alaihi wassalam pernah bersabda : “Sesungguhnya sangat sedikit penduduk syurga yang terdiri daripada golongan wanita .” (hadith sahih riwayat Muslim dan Ahmad).
Di dalam kisah gerhana matahari yang Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wassalam dan para shahabatnya melakukan solat gerhana padanya dengan solat yang panjang , beliau Shalallahu ‘alaihi wassalam diizinkan Allah untuk melihat syurga dan neraka.
Ketika beliau melihat neraka beliau bersabda kepada para sahabatnya radliyallahu 'anhum : “ … dan aku melihat neraka maka tidak pernah aku melihat pemandangan seperti ini sama sekali, aku melihat kebanyakan penduduknya adalah kaum wanita.”
Sahabat pun bertanya : “Mengapa (demikian) wahai Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wassalam?” Beliau Shalallahu ‘alaihi wassalam menjawab : “Kerana kekufuran mereka.” Kemudian ditanya lagi : “Apakah mereka kufur kepada Allah?” Beliau menjawab : “Mereka kufur terhadap suami-suami mereka, kufur terhadap kebaikan-kebaikannya. Kalaulah engkau berbuat baik kepada salah seorang di antara mereka selama waktu yang panjang kemudian dia melihat sesuatu pada dirimu (yang tidak dia sukai) nescaya dia akan berkata : ‘Aku tidak pernah melihat sedikitpun kebaikan pada dirimu.’ ” (Hadith sahih riwayat Bukhari dari Ibnu Abbas radliyallahu 'anhuma).
Hadith di atas selain membuktikan bahawa kekufuran itu berjuzuk dan berbahagian dan tidak bermakna kufur itu hanya kufur pada Allah sebaliknya sebagaimana baginda mengatakan kufurnya wanita pada suami dan sebagainya maka demikianlah juga dengan golongan yang kufur kepada sunnah.
Kembali kepada golongan wanita maka mereka ini sangatlah jauh dari pertunjuk sunnah dan bimbingan dakwah salaf soleh. Ini disebabkan kaum lelaki sendiri kebanyakan memusuhi dakwah sunnah rasulullah dan apatah lagi kaum wanita yang lemah dan kurang akalnya dan tidak pula ramai yang mampu mengusahakan diri mempelajari sunnah dan manhaj salaf soleh yang sahih.
Apakah kita mampu menemui muslimah yang sanggup berusaha untuk memahami Al-Qur’an dan sunnah ? Mampu berusaha memahami perjuanagn yang sahih berdasar manhaj salaf soleh ? Bergigih mencari jalan kebenaran dan mengkaji sesuatu hadith berjam-jam lamanya untuk mencari kesahihan hadith, mengetahui kebenaran kisah-kisah cerita riwayat sirah, mengetahui aqidah yang sahih dengan menelaah kitab-kitab ulama salaf soleh dan usul-usul pegangan mereka dalam dakwah, perjuangan dan jihad ?
Sudah tentu jawapannya tiada dan ini hanya tidak lain berpunca dari kelemahan di pihak umat Islam sendiri khususnya jasa kejahatan para guru-guru yang menyesatkan.
Dari Shofiyah binti Syaibah berkata: “Ketika kami bersama Aisyah ra, beliau berkata: “Saya teringat akan wanita-wanita Quraisy dan keutamaan mereka.” Aisyah berkata: “Sesungguhnya wanita-wanita Quraisy memiliki keutamaan, dan demi Allah, saya tidak melihat wanita yang lebih percaya kepada kitab Allah dan lebih meyakini ayat-ayat-Nya melebihi wanita-wanita Anshar. Ketika turun kepada mereka ayat:
وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ
مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاء
بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاء بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ
نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُوْلِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ
يَظْهَرُوا عَلَى عَوْرَاتِ النِّسَاء وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ وَتُوبُوا إِلَى
اللَّهِ جَمِيعاً أَيُّهَا الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
"Katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supayya kamu berjaya." ( Surah An-Nuur: 31)
Maka para suami segera mendatangi isteri-isteri mereka dan membacakan apa yang diturunkan Allah kepada mereka. Mereka membacakan ayat itu kepada isteri, anak wanita, saudara wanita dan kaum kerabatnya. Dan tidak seorangpun di antara wanita itu kecuali segera berdiri mengambil kain penutup dinding (tirai) dan menutupi kepala dan wajahnya, karena percaya dan beriman kepada apa yang diturunkan Allah dalam kitab-Nya. Sehingga mereka (berjalan) di belakang Rasulullah Shalallahu ‘Alaihi wa Salam dengan kain penutup seakan-akan di atas kepalanya terdapat burung gagak.” (hadith sahih riwayat Muslim).
Sangat menyedihkan, wanita makhluk yang cantik dan indah, penuh kelembutan dan kasih sayang yang menyenangkan kita takala melihatnya, menghiburkan lagi mendamaikan akhirnya menjadi bahan bakar api neraka yang menyiksa dan sangatlah sedikit yang mampu ke syurga Allah swt.
Nabi Shalallahu ‘Alaihi wa Salam pernah bersabda : “Sesungguhnya sangat sedikit penduduk syurga yang terdiri daripada golongan wanita .” (hadith sahih riwayat Muslim dan Ahmad).
Imam Qurthubi rahimahullah mengulas akan hadith di atas dengan mengatakan : “Penyebab sedikitnya kaum wanita yang dapat masuk ke syurga adalah kerana hawa nafsu yang menguasai pada diri mereka, keconderungan mereka kepada kesenangan-kesenangan dunia, dan berpaling dari akhirat kerana kurangnya akal mereka dan mudahnya mereka untuk tertipu dengan kesenangan-kesenangan dunia yang menyebabkan mereka lemah untuk beramal.
Kemudian mereka juga menjadi penyebab yang paling kuat untuk memesongkan kaum lelaki dari akhirat disebabkan adanya hawa nafsu dalam diri mereka, kebanyakan dari mereka memalingkan diri-diri mereka dan selain mereka dari akhirat, cepat tertipu jika diajak kepada penyelewengan terhadap agama dan sulit menerima jika di ajak kepada akhirat.” (Jahannam Ahwaluha wa Ahluha halaman 29-30 dan At Tadzkirah halaman 369).
فِي جِيدِهَا حَبْلٌ مِّن مَّسَدٍ
"Di lehernya sejenis tali, dari tali-tali yang dipintal." (Surah Al-Masad: 5)
Makluman kaedah dan cara siksaan ini bukanlah sekadar menambah isi muka dalam kitab Allah tanpa membawa makna apa-apa sebaliknya ianya mengandungi tujuan memberitahu bahawa bagaimana Allah itu mahir dan tahu cara-cara menghukum dan mengazab hamba-Nya yang berdosa.
Bukankah banyak ayat-ayat Al-Qur’an yang menerangkan serba sedikit balasan yang menimpa dan cara Allah menghukum mereka di neraka nanti. Tujuan makluman ini ialah sebagai “li tahdzir” memberi peringatan dan teguran keras supaya segera sedar dan memikirkan perumpamaan sepertinya di dunia ini.
Bayangkan dengan api dunia ini kita tidak dapat menahan panasnya lalu bagaimanakah keadaan jika disiksa dengan dikalungkan pada lehernya pintalan tali-temali yang diperbuat dari api ?
Bukankah satu siksaan pedih yang digambarkan Allah dalam ayat ini ? Jawabnya ialah benar dan hal ini lantas membuatkan kita segera berasa insaf dan gerun dengan azab siksa dari Allah swt dan tidak lagi menurut hawa nafsu kejahatan dan menentang sunnah dan dakwah yang dibawa oleh rasulullah sebaliknya mengawal diri dan mentaati perintah Allah swt.
وَأَمَّا مَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ وَنَهَى النَّفْسَ عَنِ الْهَوَى
“Adapun golongan yang takut kepada kebesaran tuhan mereka maka mereka menahan hawa nafsunya (tidak menurut hawa nafsu) maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggal mereka” (Surah An-Na’ziaat: 40).
وَالَّذِينَ يَصِلُونَ مَا أَمَرَ اللّهُ بِهِ أَن يُوصَلَ وَيَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ وَيَخَافُونَ سُوءَ الحِسَابِ
"Orang-orang yang menghubungkan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah supaya dihubungkan, dan yang menaruh bimbang akan kemurkaan Tuhan mereka, serta takut kepada kesukaran yang akan dihadapi semasa soaljawab dan hitungan amal (pada hari kiamat)" (Surah Ar-R'ad: 21)
Berkata Mujahid dan Urwah yang dimaksudkan dengan “Masad” itu ialah ikatan tali yang berpintal dari api. Juga diriwayatkan hal ini dari Al-Aufa dari Ibn Abbas dan Athiyah serta dhahak dari Ibn Zaid bahawa Ummu Jamil itu terkenal jahatnya dan selalu meletakkan duri-duri di laluan perjalanan baginda lalu kerana itu Allah membalas dengan mengadakan ikatan duri dari api yang berpintal yang dikalungkan ke lehernya dan hal ini hanyalah Allah yang mengetahui.
Wallahualam
Segala puji hanyalah bagi Allah swt.
(tamatlah buat masa ini tafsir ringkas surah Al-Masad oleh ustaz al-faqir emran ibn ahmad dengan tajuk Surah Al-Masad- satu pukulan buat golongan yang memusuhi dakwah sunnah semoga beroleh manfaat dari buah ilmu yang dinukil dari tafsiran para salaf soleh dan dikait dengan realiti semasa dengan kaedah yang sahih).
1) Al-Qur’an
2) Tafsir Ibn Katsir (Tafsir Al-Qur’anul Azim)
3) Tafsir As-Syaukani (Fathul Qadhir)
4) Qawaid Hisson Li Tafsiril Qur’an oleh Syeikh Abd Rahman Nasir Sa’di ra.
5) Kasyfu Syubhat oleh Syeikh Muhammad Abd Wahab ra
6) Irsyadul Usul Fi Qawaid Syariah oleh ust emran ahmad
7) Bayanu Tafsir fi Qawaid Tafsir oleh ust emran ahmad
Oleh: Ustaz Emran Ahman
Penyusun/Edit: HAR