Tidak ada manusia yang pandai sendiri tanpa ia berguru dengan seseorang ataupun dengan sesuatu sumber. Secara logik seseorang itu belajar ia mesti melalui sumber tertentu atau dengan seseorang guru. Guru itu baik sama ada sesama manusia atau pun dengan makhluk yang lain.Tidak kira ilmu agama,masakan,sekolah dan sebagainya.Ini perlu untuk pembelajaran secara sistematik dan betul.Jika ada soalan-soalan dan pendapat boleh diperbetulkan dan memberi tambahan pada sesuatu perkara.
Pandainya seseorang itu kerana ia belajar dan menuntut. Kerana ada guru memberitahu kepadanya. Yang mendidik dan memberi panduan kepadanya. Tanpa guru mustahil dia boleh menjadi pandai. Rasulullah S.A.W., manusia yang dipilih dan diistimewakan Allah pun ada gurunya. Baginda berguru dengan Jibrail a.s. di Gua Hira. Jibraillah yang bertindak menjadi guru, mengajar, membimbing Nabi Muhammad S.A.W. membaca Qalamu'llah yang dizahirkan iaitu "Iqra'".
Demikianlah juga dengan para Nabi dan Rasul-rasul lain, mereka juga mempunyai guru atau sumber perantaraan masing-masing untuk menerima ilmu dan wahyu daripada Allah. Nabi Musa A.S. misalnya berguru dengan Nabi Khidir A.S. Nabi Khidirlah yang memberi tunjuk ajar kepada Nabi Musa sehingga Nabi Musa mengerti segala seluk-beluk tentang perguruan dan ilmu.
Seperti disebut tadi, guru atau sumber mendapat itu bukan terbatas kepada manusia sahaja. Seluruh isi alam ini termasuk haiwan juga adalah sumber ilmu kepada manusia. Misalnya Habil adik kepada Qabil belajar daripada burung gagak begaimana hendak mengambuskan mayat adiknya setelah dibunuh. Mungkin kalau Qabil tidak melihat gagak, dia kematian akal untuk menyembunyikan mayat adiknya itu.
Kesimpulannya di sini seseorang yang mahu jadi cerdik, Pintar, bijaksana, hatta mengenali dirinya sendiri dan Allah dia kena belajar. Dia harus mencari pembimbing, pemandu penasihat dan pembantu kepada perkembangan ilmunya. Tanpa seseorang yang bertindak demikian (guru) dia pasti tidak akan pandai dan tahu.
Mustahil seseorang itu pandai dengan sendirinya. Tidak ada seorang insan dilahirkan ke dunia terus cerdik dan mengerti tentang peraturan hidup di dunia. Semuanya terlebih dahulu kena ditunjuk, kena diajar, kena dibimbing dan kena dikembangkan ilmunya lepas itu baru ia menjadi pandai dan tahu.
Bila disebut guru pula akan terlintas dalam benak kita tentang manusia. Pada umumnya manusia itulah yang boleh menjadi guru kerana ia makhluk yang paling sempurna. Anggapan demikian terlalu umum. Memang sebaik-baik guru itu manusia. Kerana manusia itu sebaik-baik kejadian.
Tetapi dalam pada itu kita harus sedar, bahawa tanpa bantuan makhluk lain, manusia juga tidak boleh menjadi pandai dan mengerti dalam segala hal. Allah menjadikan makhluk ini untuk saling kenal-mengenali di antara satu sama lain. Dalam hal ini bolehlah kita menganggap bahawa setiap makhluk yang wujud dalam dunia ini merupakan sumber pengetahuan atau menjadi cermin (guru) sebagai alat untuk kita mengenali sesuatu.
Firman Allah Ta'ala:
"Aku jadikan manusia ini bersuku bangsa, untuk saling kenal mengenali diantara satu sama lain untuk kau mensyukuri nikmatKu."
Sesuai dengan kedudukan manusia sebagai makhluk yang istimewa, maka sudah sewajarnya manusia menjadi guru kepada sekalian makhluk lain. Haiwan misalnya memerlukan tunjuk ajar daripada manusia untuk menjadi cerdik. Tumbuh-tumbuhan juga memerlukan bantuan daripada manusia untuk hidup dengan subur dan selamat.
Pun begitu juga dengan manusia sendiri. Ianya memerlukan bantuan dan tunjuk ajar daripada makhluk lain sebagai sumber untuk dia memperolehi ilmu pengetahuannya. dari gerak geri dan tabii haiwan, manusia boleh mempelajari ilmu tertentu. Dari desir angin dan deruan ombak di pantai, manusia akan dapat mengetahui rahsia mengenai sesuatu kejadian Allah.
Di sini menunjukkan kepada kita bahawa apa yang bernama guru itu tidak semestinya manusia. Malahan seluruh isi alam ini boleh bertindak menjadi guru. Pemberi ilham dan pencetus pentafsiran kepada diri kita untuk mengenali sesuatu kejadian itu secara yakin dan nyata lagi.
Tanpa bantuan alam dan makhluk, manusia tidak mungkin dapat mengetahui semua sekali baik tentang dirinya sendiri dan isi alam ini. Kalau manusia dapat menguasai seluruh ilmu.
Begitu juga untuk kita menguasai ilmu berenang seperti ikan. Kita tidak memperolehi ilmu atau cara-cara berenang yang baik tanpa mengamati pergerakan ikan. Dengan melihat, meniru, memerhati cara-cara ikan bergerak, mengibas sirip, ekor dan badan, maka membolehkan kita pandai berenang seperti ikan.
Ada pun cara dan kaedah kita belajar (berguru) dengan haiwan itu tidaklah seperti mana kita berguru dengan manusia, yang mempunyai adat-istiadat tertentu. Kita tidak payah sujud dan hormat kepada mereka, cukup setakat memerhati segala kelakuan dan feel perangai mereka sahaja, kemudian kita tafsirkan untuk keperluan kita.
Belajar dengan haiwan atau makhluk lain, kita cuma kena mengkaji apakah tujuan Allah menjadilannya. Kita kena banyak berfikir dan pandai mentafsir. Dalam kata lain, berguru dengan makhluk lain lebih rendah martabatnya dari kita, merupakan satu aktiviti untuk mengasah otak agar lihat, berfikir dan sensitif untuk melihat kebesaran Allah S.W.T.Jadi di sini dapat disimpulkan untuk menjadi pandai, wajib belajar. Tanpa guru, kita tidak menjadi pandai. Bagaimana bijak sekalipun seseorang itu kalau ia tidak dibimbing dan dipandu dia tidak akan menjadi. Ia tidak muncul manjadi seorang hamba yang baik dan sempurna.
“Sesiapa yg belajar ilmu tanpa berguru maka syaitan adalah gurunya”.
(Di dalam kitab “ Al-Kasyfu ‘An Haqiqah as-Sufiyyah Li Awwal Marrah Fit Tarikh ", Asy-Syeikh Mahmud Abdul Rauf al-Qasim menyatakan bahawa kata-kata itu dan yang seumpama dengannya adalah berasal daripada tokoh-tokoh Tasawwuf , antaranya Al-Imam as-Saiyid Ahmad ar-Rifai’e , Al-Imam Abu Yazid al-Bustomi dan al-Imam al-Ghazali.)
Maknanya mereka yang belajar tanpa panduan dan ikut rasa hati sendiri akan mudah tersesat dan terpesong dari lunas-lunas kebiasaannya. Kerana bila kita menurut kehendak hati, kita jadi lebih mementingkan diri kita daripada kehendak orang lain.
Justeru itu untuk menjadi manusia yang kamil, sempurna dan berada di atas jalan "siratalmustaqim", hendaklah kita berguru. Carilah seorang guru atau pun belajarlah dengan alam semesta ini untuk kebaikan. Janganlah berbuat sesuatu tanpa panduan dan nasihat sesiapa. Kerana dengan cara itu menyebabkan kita bersyubahat dengan "syaitan" dan melakukan sesuatu di atas kehendak nafsu serakah kita sendiri.
Bila sebut sahaja guru, tidak ada guru yang paling bagus melainkan manusia. Manusialah sebaik-baik guru kepada manusia. Lagi pun memang telah menjadi tugas manusia, ia dilahirkan ke dunia ini untuk menjadi guru, petunjuk, pemimpin, pembimbing dan pengasuh kepada seluruh isi alam.
Manusia sahajalah yang arif dan bijak kerana ia diberikan keistimewaan itu oleh Allah Ta'ala.
Firman Allah Ta'ala:
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu". (Surah Adz-Dzaariyaat: 56)
Dan Firman Allah Ta'ala seterusnya:
وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلاَئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الأَرْضِ خَلِيفَةً
"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". (Surah Al-Baqarah: 30)
Manusialah yang layak untuk menjadi guru. Berguru dengan manusialah yang boleh membawa kepada kebenaran yang sebenarnya. Tidak ada guru yang paling baik dan sempurna melainkan manusia. Hakikat ini tidak perlu diragui lagi kerana Allah sendiri menyatakan kebaikan dan ketinggian darjat manusia itu.
"Sebaik-baik kejadian ialah manusia."
Dalam pada itu tidak pula bererti guru itu boleh didatangi begitu sahaja. Atau pun semua manusia yang digelar guru itu baik, sempurna dan bijak. Bukan! Bukan bermakna bila orang itu dipanggil guru, maka ia terus menjadi seorang guru yang pandai dan berwibawa. Sebaliknya kita kena perhati betul-betul pada seseorang guru itu agar kita tidak salah memilih guru.
Dalam dunia moden hari ini ramai orang yang mengaku menjadi guru. Atau ramai orang diangkat martabatnya menjadi guru. Ini tidak hairan kerana pada akhir zaman ini, semua bidang kehidupan telah diperalatkan oleh manusia, termasuk juga bidang keagamaan (perguruan). Kerana dengan menjadi guru membolehkan seseorang itu akan disanjung dan kebajikan kehidupan mereka juga akan dijaga.
Hari ini terdapat ramai orang telah memperniagakan ilmu agama untuk kepentingan diri. Mereka mengaku pandai dalam bidang agama lalu membuka kelas pengajian. dari kelas itu mereka kaut keuntungan dengan meminta wang dan imbuhan daripada anak murid dengan menggunakan berbagai alasan. Padahal mereka tidak mempunyai kelayakan, apa lagi ilmu untuk diajar kepada orang ramai.
Justeru itu janganlah kita mudah menerima seseorang uyang belum kita kenal sebagai Guru Mursyid. Janganlah mudah terpesona dan kagum dengan cakap-cakap guru. Kita jangan terus mempercayai pada kata-kata orang bergelar guru sebelum kita mengukur sejauh manakah ketinggian dan kedalaman ilmu yang dimilikinya.
Maknanya untuk melengkapkan diri dengan ilmu dan terhindar dari kena tipu, kita hendaklah mencari guru yang Mursyid. Guru yang benar-benar mengajar kerana Allah. Yang tidak bertopeng dengan wajah-wajah kepalsuan dan juga memperalatkan ilmu untuk kepentingan diri.
Hanya Guru Mursyid sahaja yang dapat menjamin kita memperolehi ilmu yang sebenarnya. Yang mampu membimbing kita ke jalan "sirattalmustaqim". Kita juga akan selamat daripada terlibat dengan perkara-perkara yang mengaibkan dan tidak senonoh seperti penipuan, skandal dan difitnah mengamalkan ajaran sesat, ajaran songsang dan ajaran salah.
Hanya dengan Guru Mursyid sahaja kita mendapat ilmu sebenarnya. Ilmu Haq. Kerana seorang Guru Mursyid tidak akan menipu anak muridnya. Guru Mursyid guru yang mewarisi ilmu daripada Rasulullah S.A.W. dan memegang amanah ilmu Rasulullah S.A.W. untuk disebarkan dan diajarkan kepada umatnya. Guru Mursyid guru yang mengajar berlandaskan Al-Quran, Hadis dan hasil pengalamannya sendiri.
Maka carilah Guru Mursyid kalau berhajat untuk menjerumuskan diri belajar mengenal diri dan mengenal Allah. Tanpa seorang Guru Mursyid, kita bukan sahaja sia-sia dan tidak mengenal diri dan Allah sebaliknya diri kita juga akan tertipu oleh syaitan dan kemungkinan turut sama terperosok ke dalam Neraka.
Guru Mursyid ialah yang menjelma dan lahir daripada rahim para Ulama' yang ikhlas, jujur, taqwa dan berIman kepada Allah kerana Allah. Ulama yang menguasai keempat-empat cabang ilmu Syariat, Tariqat, Hakikat dan Makrifat serta yang menghiasi dirinya dengan bunga-bunga akhlak dan perangai Rasulullah S.A.W.
wallahu a'lam
Di-Catat oleh:HAR
1 comment:
Assalamualaikum warahmatullah,bagaimana pula jika guru itu yang dikenali memerangi Bid'ah,mendakwahi sunnah,membela islam tapi dalam masa yang sama dia diketahui menyalahi apa yang dia sendiri dakwahi seperti mengerjakan khurafat(berjumpa bomoh atau mengikuti budaya agama lain)?adakah boleh kita terus berguru dengan orang sebegini atau kita hanya melupakan perkara itu sebab dia juga diketahui masih berdakwah dengan manhaj as-salafusoleh...
Post a Comment