وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu". (Surah Adz-Dzaariyaat: 56)
Persiapan pertama
Memperbetulkan aqidah dan keimanan kepada Allah swt menurut panduan yang sahih dengan memastikan kefahaman aqidah, konsep keimanan berada di landasan yang benar dan membersihkan karat-karat kesyirikkan dan kejahilan dari jiwa.
مَّنِ اهْتَدَى فَإِنَّمَا يَهْتَدي لِنَفْسِهِ وَمَن ضَلَّ فَإِنَّمَا يَضِلُّ عَلَيْهَا وَلاَ تَزِرُ وَازِرَةٌ
وِزْرَ أُخْرَى وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّى نَبْعَثَ رَسُولاً
"Sesiapa yang beroleh hidayah petunjuk (menurut panduan Al-Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga. Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah)." (Surah Al-Israa': 15)
Aqidah yang sahih
Memastikan memiliki aqidah yang sahih ialah satu keperluan dan kewajipan kerana tidak diterima ibadah dan tidak bernilai ibadah yang dilakukan tanpa memiliki aqidah yang sahih. Kefahaman aqidah yang sahih ialah apa yang datang secara pasti dan yakin dari pemahaman salaf soleh yang merupakan sebaik-baik umat dan terpelihara keimanan dan keilmuan mereka serta terjamin. Sabda baginda Salallahu alaihi wa Salam melalui riwayat Aisyah Radhiyallahu Anha :
“ Sebaik-baik kurun manusia ialah kurun aku berada di dalamnya dan kemudian kurun kedua (Sahabat) dan kurun ketiga (Tabi’ien)” (hadith Sahih riwayat Muslim no 1965 Jilid 2, Abu Daud no. 44 Jilid 5).
وَمَا أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ مِن رَّسُولٍ إِلَّا نُوحِي إِلَيْهِ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدُو
"Dan Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seseorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya: "Bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Aku; oleh itu, beribadatlah kamu kepadaKu". (Surah Al-Anbiyaa': 25)
Begitulah juga seperti apa yang diperintahkan oleh Rasulullah Salallahu alaihi wa Salam kepada Muaz bin Jabal ketika diutuskan sebagai naqib (utusan Rasulullah) ke Yaman untuk berdakwah di sana dengan sabdanya kepada Muaz :
“ Seawal-awal perkara yang hendak kamu dakwahkan kepada manusia haruslah tauhid kepada Allah.” (Hadith Sahih, riwayat Bukhari no.6937).
Sebagaimana disebut oleh Imam Abd Izz dalam kitabnya Syarah Aqidah Thahawiyah menyebutkan bahawa hendaklah setiap muslim itu berada dalam aqidah yang sahih dan tetap meninggalkan dunia dengan aqidah yang sahih juga sebagaimana sabda baginda Salallahu alaihi wa Salam :
“ Barangsiapa yang mati dalam keadaan mengetahui bahawa tiada tuhan selain Allah ( memiliki aqidah yang benar) maka sesungguhnya dia akan masuk syurga.” (Hadith Sahih, riwayat Muslim no.43 dan Ahmad 69/1).
Memahami manhaj ahlul sunnah wal jamaah menurut pegangan salaf soleh tanpa ta’wil yang jahil, tanpa mengguna akal fikiran yang lemah sebaliknya berpegang kepada keutuhan riwayat dan kesahihan pegangan salaf soleh dalam hal-hal aqidah dan keagamaan.
Demikianlah para ulama salaf soleh berpegang dan menetapkan aqidah berdasarkan dalil yang sahih sebagaimana berkatanya Imam As-Syafie Radhiyallahu Anhu :
“ Aku beriman dengan Allah atas apa yang di datangkan oleh Al-Qur’an dan sunnah dan aku beriman kepada rasul atas apa yang dibawanya iaitu sunnah” (lihat syarah Lumatul Iktiqad oleh Ibn Qudamah m/s 25).
Begitulah juga dengan kalam dari Imam Ahmad ra :
“Kami beriman kepada Allah melalui Al-Qur’an dan as-sunnah tanpa membagaimanakan atau memperumpamakan dan kami beriman dengan apa yang datang dari rasul (sunnah)” (riwayat dari Abu Ya’la dalam Ibthal Ta’wilat lil Akhbar As-Sifat m/s 44 Jilid 1).
أَمْ تَقُولُونَ عَلَى اللّهِ مَا لاَ تَعْلَمُونَ
"Apakah kamu mengatakan atas nama Allah sesuatu yang tidak kamu mengetahuinya?" (Surah Al- Baqarah:80)
وَلاَ تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ
وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولـئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْؤُولاً
"Janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya." (Surah Al-Israa': 36)
Membetulkan keimanan
Memastikan keimanan dan kelurusan hati serta keikhlasan melakukan ibadah hanya kerana Allah swt. Sesungguhnya tidaklah diterima amalan jika tidak dilakukan ikhlas semata-mata kerana Allah Subhanahu wa Ta'ala.
وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاء
وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ وَذَلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ
"Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Ugama yang benar.) (Surah Al-Bayyinah: 5)
Keimanan bahawa kewajipan puasa ramadhan dan kewajipan serta sunnah melakukan ibadah di bulan ini merupakan apa yang datang dari Allah dan rasul serta mengimani akan kebesaran Allah, mengimani kerasulan Muhammad Salallahu alaihi wa Salam dan melakukan ibadah sesuai sebagai hamba Allah yang mengharap redha dan keampunan serta rahmat-Nya merupakan kewajipan yang perlu dilakukan oleh setiap orang sebelum memasuki bulan ramadhan.
فَمَن كَانَ يَرْجُو لِقَاء رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلاً صَالِحاً وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَداً
"Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya"(Surah Al Kahfi:110)
Perlu betulkan keimanan, keyakinan dan ketabahan melakukan ibadah untuk Allah Subhanahu wa Ta'ala yang Maha Esa dan meninggalkan kemaksiatan demi Allah semata-mata dan menghormati bulan ini juga semata-mata kerana keimanan kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala.
Persediaan kedua
Mempersediakan diri dengan ilmu dan panduan ibadah serta puasa yang sahih dan kaedah menjalankan ibadah secara sahih.
Hendaklah sebelum memasuki ramadhan setiap orang kembali menyemak buku-buku atau menyoal para alim ulama akan kaedah puasa dan menjalankan ibadah yang sahih menurut pegangan salaf soleh dan ajaran rasulullah salallahualaihiwasalam yang jauh dari bid’ah dan penambahan dan penyelewengan.
فَاسْأَلُواْ أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ
"Maka tanyakanlah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengerti." (Surah An Nahl: 43)
Disebut dalam hadith Baginda dari riwayat Abdullah ibn Mas’ud bahawa Baginda Salallahu alaihi wa Salam pernah bersabda yang bermaksud: “Aku bersama kamu di telaga Al-Hau’d ketika para malaikat menghambat sekumpulan dari umat aku dan aku mengenali mereka dari umat aku, maka aku berkata kepada tuhan (Allah) Wahai tuhan mereka umatku, maka dijawab Sesungguhnya engkau tidak mengetahui apa yang telah mereka perbuat selepas kematianmu (yakni mereka telah menyeleweng, berbuat bida'ah). (Hadith Sahih disepakati Bukhari no. 6576 & Muslim no. 2257).
Hendaklah difahami tujuan beribadah itu ialah untuk mengabdikan diri kepada Allah dan hendaklah dilakukan menurut panduan yang Allah Subhanahu wa Ta'ala berikan iaitu melalui kitab Allah dan sunnah Rasulullah serta apa yang dari para salaf soleh yang memahami isi panduan kedua ini menurut pemahaman yang sahih dan terjamin. Sabda Baginda Salallahu alaihi wa Salam : “Barangsiapa yang mengada-adakan sesuatu urusan baru dalam agama kami sedang ia bukan dari kami maka sesungguhnya ianya ditolak.” (Hadith sahih disepakati Bukhari 156 Jilid 8 & Muslim no.4467)
Tidaklah diterima amalan kebaikan dan amalan ibadah apabila ianya dilakukan dengan menyeleweng, menambah atau mengurang dari apa yang diajarkan oleh pembawa utusan kerasulan iaitu Muhammad Salallahu alaihi wa Salam.
Persiapan yang ketiga
Hendaklah juga siapa yang akan menjalani bulan ramadhan mempersiapkan dirinya dengan kemampuan fizikal dan kekuatan jasadiyah serta juga material moga dapat menjalani ibadah dengan sempurna dan selesa.
وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ وَمِن رِّبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ
بِهِ عَدْوَّ اللّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِن دُونِهِمْ لاَ تَعْلَمُونَهُمُ اللّهُ يَعْلَمُهُمْ
وَمَا تُنفِقُواْ مِن شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنتُمْ لاَ تُظْلَمُونَ
"Sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya." (Surah Al-Anfaal: 60)
Sekalipun ayat di atas untuk peperangan namun ianya secara umum untuk semua hal ibadah iaitu jika peperangan dan jihad itu ialah ibadah yang memerlukan persediaan kebendaan maka demikianlah juga dengan puasa yang merupakan ibadah asasi yang termasuk rukun keIslaman.
Mempersediakan diri dengan fizikal dan kekuatan badan iaitu seperti menjaga kesihatan dan menjaga badan supaya dapat mengerjakan ibadah dengan sempurna ialah satu kewajipan supaya dapat menunaikan hak kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam ibadah dengan sempurna dan selesa.
Tidaklah disukai mereka yang tidak menjaga makan dan minum serta juga tidak mengurus tidur dan rehat secukupnya sehingga mengakibatkan kerosakan badan dan melemahkan diri untuk menjalani ibadah puasa dan ibadah di bulan ramadhan dengan kukuh dan selesa bahkan terganggu waktu ibadah kerana kelemahan dan keletihan badan.
Oleh itu hendaklah melakukan persediaan secara fizikal dan badan bagi yang mampu bahkan termasuk amalan dan usaha melakukan persediaan secara fizikal seperti mengambil vitamin, melakukan senaman dan mempersediakan menghadapi ramadhan dengan menjalani terapi kesihatan sebagai usaha ibadah dan berpahala.
لاَ يُكَلِّفُ اللّهُ نَفْساً إِلاَّ وُسْعَهَا
"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya." (Surah Al-Baqarah: 286)
Setelah itu hendaklah juga para golongan yang beriman mempersiapkan untuk menjalani ibadah puasa dengan melengkapkan diri dengan kemampuan material dan kewangan serta belanja keperluan.
Ini disebabkan supaya dapat mengambil bahagian dalam usaha infaq dan sedekah serta menunaikan kewajipan zakat di bulan ramadhan. Sesungguh golongan yang kaya dan berkemampuan harta serta material mendapat kelebihan di sisi Allah Subhanahu wa Ta'ala apabila mereka mampu menunaikan ibadah zakat dan mampu pula mengeluarkan infaq sedekah kepada fakir miskin yang mengakibatkan mereka beroleh kedudukan mulia di sisi Allah Subhanahu wa Ta'ala dan mendapat ganjaran pahala yang besar.
Bahkan disebut dalam hadith riwayat Muadz Ibn Jabal ra bahawa baginda nabi salallahu alaihi wa salam pernah bersabda: “Sedekah itu memadamkan dosa seperti air yang memadamkan api” (hadith sahih riwayat tirmidzi no. 609 dan nasaie , Ibn majah ).
"Sesungguhnya tidaklah dengan sedekah itu mengurangkan harta sebagaimana sabda baginda “ tidaklah berkurang harta itu dengan sedekah” (hadith riwayat tirmidzi).
Hendaklah umat Islam berusaha mendapatkan kedudukan untuk bersedekah dan menjadi tangan yang di atas dari tangan yang di bawah supaya dapat memperolehi ganjaran besar di sisi Allah Subhanahu wa Ta'ala.
خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ
إِنَّ صَلاَتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ وَاللّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
"Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Surah At-Taubah: 103)
إِنَّمَا نُطْعِمُكُمْ لِوَجْهِ اللَّهِ لَا نُرِيدُ مِنكُمْ جَزَاء وَلَا شُكُوراً
"Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): "Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih,."(Surah Al-Insaan: 9/Ad-Dahr)
Persediaan yang keempat
Mempersiapkan perancangan dan persediaan jadual akitiviti kehidupan dengan mengatur supaya dapat menjalani ibadah puasa di bulan ramadhan dan lain-lain ibadah dengan teratur dan selesa serta tanpa gangguan.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلَا أَوْلَادُكُمْ
عَن ذِكْرِ اللَّهِ وَمَن يَفْعَلْ ذَلِكَ فَأُوْلَئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi." (Surah Al-Munafiquun: 9)
Sesungguhnya Islam ialah agama yang tersusun dan teratur oleh itu hendaklah umat Islam mengatur kehidupan dan membuat perancangan ibadah di bulan puasa supaya tahu menyusun aktiviti hidup agar dapat dimanfaatkan waktu sebanyak mungkin untuk menjalani ibadah di bulan ramadhan.
مِنكُم مَّن يُرِيدُ الدُّنْيَا وَمِنكُم مَّن يُرِيدُ الآخِرَةَ
"Di antara kamu ada yang menghendaki keuntungan dunia semata-mata, dan di antara kamu ada yang menghendaki akhirat." (Surah A-li 'Imraan: 152)
Sebagai contohnya hendaklah seorang muslim itu mengatur waktu kerja, waktu rehat dan waktu aktiviti keluarga dan juga waktu ibadahnya supaya dapat memanfaatkan sebanyak mungkin masa ibadah di bulan ramadhan.
Terutama bagi mereka yang bekerja pada waktu siang mungkin mereka boleh merancang bahawa sepanjang bulan ramadhan akan lebih banyak merehatkan diri di rumah setelah selesai kerja untuk mempersiapkan diri beribadah di waktu malam di bulan ramadhan dan bagimereka yang bekerja malam pula boleh merancang memperbanyakkan ibadah di waktu siang dengan menjadikan malam sebagai waktu bekerja dan petang waktu berehat.
“ Sesungguhnya Allah memberi hikmah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan barangsiapa yang diberikan hikmah maka sesungguhnya dia telah mendapat kebaikan yang banyak.” (Surah Al-Baqarah : 269).
Oleh: Ustaz Emran Ahmad
Penyunting/diedit oleh: HAR
No comments:
Post a Comment