KEMATIAN ITU SEMAKIN DEKAT
Mari kita
renungkan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
ثُمَّ
إِنَّكُم بَعدَ ذٰلِكَ لَمَيِّتونَ
“Kemudian,sesudah
itu, sesungguhnya kamu sekalian benar-benar
akan mati”.
(Surah
Al-Mu’minun: 15)
Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menunjukkan kehebatan dalam tiga ayat
sebelumnya iaitu Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memaparkan proses penciptaan
manusia didalam rahim. Kemudian Allah Subhanahu wa Ta’ala memberi bimbingan
agar setiap manusia harus mengiringi antara nafas kehidupan dengan nafas
kematian.
Kenapa harus demikian?
Ini adalah kerana setiap detik peluang untuk hidup dan
mati adalah sama. Hidup dan matinya manusia merupakan hak mutlak Allah Subhanahu wa Ta’ala bukan kehendak
manusia sendiri.
Pada ayat tersebut Allah Subhanahu wa Ta’ala menggunakan
dua huruf taukid (penguat),( إنْ ) dan ( ل ) untuk menyakinkan hamba-Nya bahawa setiap makhluk pasti
mengalami kematian.
Apakah ada
orang Muslim yang tidak percaya dengan kematiannya sehingga perlu di yakinkan? Jangankan orang Muslim, orang kafir pun percaya akan kematiannya?
Rasulullah shallallahu alaihi
wasallam mengingatkan:
أَكْثِرُوْا
ذِكْرَ هَاذمِ اللَّذَّاتِ
“Perbanyakanlah
mengingat-ingat sesuatu yang melenyapkan segala macam kelezatan(kematian).”
(Hadis Riwayat: At-Tirmidzi dan
Nasa’i)
Rasulullah shallallahu alaihi
wasallam meminta umatnya bukan sekadar mengingati mati,
tetapi memperbanyakkan ingat mati. Ini merupakan pesanan baginda yangsangat berharga. Hal ini akan semakin
terasa setelah terungkap beberapa pengaruh dzikrul maut tersebut, antaranya
ialah:
1. Bersemangat untuk
memperbanyak amal soleh
Bila kematian telah datang bererti tertutuplah segala pintu-pintu
kebaikan.Bila kematian telah tiba maka kesempatan untuk melakukan kebajikan
telah hilang. Padahal Rasulullah shallallahu alaihi wasallam telah menasihatkan kita:
“Tiga yang akan mengiringi orang mati hingga ke kuburnya.
Dua daripadanya akan balik dan yang tinggal bersama mayat hanyalah satu. Dia
diiringi keluarganya, hartanyadan amalannya. Keluargadan hartanya akan pulang.
Tinggallah amalannya bersama-samanya." (Hadis Riwayat Bukhari Muslim, Tirmzi dan An
Nassai.)
Semasa hidup solekan ala jahiliah
isteri menjadi kebanggaan, kelak ianya akan menjadi penyebab disaat kematian. Ketika hidup gaya feminis isteri
menjadi pujaan, tetapi ketika mati ia akan menjadi celaan. Semasa hidup,
pergaulan bebas anak-anak menjadi kesukaannya, kelak ketika mati ia akan
menjadi penyebab kesedihan yang sangat mendalam. Ketika harta yang dikumpulkan
menjadi ukuran kemuliaan hidup, kelak ia boleh menjadi sebab kehinaan ketika
mati. Kesemuanya adalah di sebabkan oleh ikutan hawa nafsu syaitan yang menjadi
pilihan. Kesemuanya akan mendatangkankekecewaan
dan penyesalan ketika mati.
Hanya amalan
soleh yang berguna setelah mati. Amal solehlah yang akan menjadi teman baik
ditempat yang sempit dan gelap. Penyesalan ketika sakaratul maut datang akan
menghantui insan yang malas, yang meremeh-remehkan, apalagi yang mengingkari
keberadaan amal soleh itu. Hanya Allah Subhanahu
wa Ta’ala yang maha berkuasa yang akan menggambarkan keadaan yang
sebenarnya ketika sakaratul maut datang mengakhiri kehidupan orang yanglalai dalam urusan agama.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
حَتّىٰ إِذا
جاءَ أَحَدَهُمُ المَوتُ قالَ رَبِّ ارجِعونِ
لَعَلّي
أَعمَلُ صالِحًا فيما تَرَكتُ ۚ كَلّا ۚ إِنَّها كَلِمَةٌ هُوَ قائِلُها ۖ وَمِن
وَرائِهِم بَرزَخٌ إِلىٰ يَومِ يُبعَثونَ
“Kesudahan golongan
yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara
mereka, berkatalah ia: "Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di
dunia)” (Maksudnya: orang-orang kafir di waktu menghadapi
sakratil maut, minta supaya diperpanjang umur mereka, agar mereka dapat
beriman).“Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh
dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan". Tidak! Masakan
dapat?Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang
mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal
tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat)”.(Maksudnya: mereka sekarang telah menghadapi suatu
kehidupan baru, iaitu kehidupan dalam kubur, yang membatasi antara dunia dan akhirat). (Surah
Al-Mu’minun: 99-100)
Penyesalan tatkala sakaratul maut datang petanda
kecelakaan, alamat kesengaraan, awal penderitaan yang sedikitpun tidak boleh
dihindari, ianya berlaku dengan mengambil masa yang agak lama. Na’udzubillahi min dzalik. Kerana
terlalu dalamnya penyesalan tersebut, perimintaan yang sama diutarakan kembali
ketika mereka diadili di hari kiamat kelak. Mereka mengharapkan diberi
kesempatan hidup kembali didunia walau sebentar untuk kembali melakukan amal
soleh. Tetapi Allah Subhanahu wa Ta’ala
tidak akan memberi peluang walau sesaat pun. Allah Subhanahu wa Ta’ala maha mengetahui apa yang akan terjadi pada hari
kiamat kelak.
Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
وَلَو تَرىٰ
إِذِ المُجرِمونَ ناكِسو رُءوسِهِم عِندَ رَبِّهِم رَبَّنا أَبصَرنا وَسَمِعنا
فَارجِعنا نَعمَل صالِحًا
إِنّا
موقِنونَ
“Dan
(sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu
menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina,
sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan
sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah
kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami
sekarang telah yakin". (Surah
As-Sajadah: 12)
Mengingati mati bererti mendidik hati nurani agar sentiasa
gelisah dan takut untuk melakukan dosa Mengingati mati juga bererti mendidik
perasaan malu apabila ingin melakukan kezaliman
sesama makhluk. Disamping memberikan motivasi kepada hati agar sentiasa
berzikir kepada Allah Subhanahu wa
Ta’ala. Mengingati mati juga bererti menimbulkan semangat yang kuat untuk
memperbanyak amal soleh.
2. Khawatir bila su’ul khatimah
Kematian tidak akan pernah menunggu seseorang agar ia
bertaubat terlebih dahulu. Kematian juga tidak akan pernah memberi kesempatan
kepada seseorang untuk beramal kebajikan terlebih dahulu. Kematian tak akan
pernah juga bertolak ansur kepada si
bakhil untuk diberi peluang agar ia menjadi dermawan terlebih dahulu. Bila saat
tibanya maut tidak boleh dilambat atau dipercepatkan.
Allah Subhanahu wa
Ta’ala menerangkan dalam firman-Nya:
وَلَن
يُؤَخِّرَ اللَّهُ نَفسًا إِذا جاءَ أَجَلُها ۚ وَاللَّهُ خَبيرٌ بِما تَعمَلونَ
“Dan
(ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau
sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan Allah Amat Mendalam
PengetahuanNya mengenai segala yang kamu kerjakan”. (Surah Al-Munaafiqun:11)
Maut boleh datang pada bila-bila masa dan dimana-mana sahaja. Manusia tidak akan pernah tahu bila dan dimana ajalnya. Maka yang
paling bijak adalah sentiasa bersiap sedia dalam kebaikan bukan dalam kelalaian
apatah lagi dalam kemaksiatan. Seseorang Mu’min yang yakinakan perkara ini tidak mudah terlena dengan kesihatannya,
kekayaannya, rumah yang besar, kereta mewah yang menyebabkan mereka lalai dengan kedatangan maut.
Maka kita selalulah ingat dengan Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
أَينَما
تَكونوا يُدرِككُمُ المَوتُ وَلَو كُنتُم في بُروجٍ مُشَيَّدَةٍ ۗ وَإِن تُصِبهُم
حَسَنَةٌ يَقولوا هٰذِهِ مِن عِندِ اللَّهِ ۖ وَإِن تُصِبهُم سَيِّئَةٌ يَقولوا
هٰذِهِ مِن عِندِكَ ۚ قُل كُلٌّ مِن عِندِ اللَّهِ ۖ فَمالِ هٰؤُلاءِ القَومِ لا
يَكادونَ يَفقَهونَ حَديثًا
“Di
mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun
kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh.Dan kalau mereka
beroleh kebaikan (kemewahan hidup), mereka berkata: "Ini adalah dari sisi
Allah", dan kalau pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata:" Ini
adalah dari (sesuatu nahas) yang ada padamu". Katakanlah (wahai Muhammad):
"Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) dari sisi
Allah". Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami
perkataan (nasihat dan pengajaran)?” (Surah An-Nisaa’:
78)
Orang yang
cerdik dan berakal tentunya menunggu dan mempersiapkan diri dengan kedatangan
maut, kerana maut pasti akan dirasakan oleh semua makluk. Sesiapa sahaja boleh
berangan ingin menjadi menteri, penguasa, pengarah, doktor, hakim atau perdana
menteri tetapi semuanya merupakan masa depan yang belum pasti, samada boleh
tercapai atau sebaliknya. Tetapi maut adalah masa depan yang pasti mengenai
setiap makhluk Allah Subhanahu wa Ta’ala samada suka atau tidak. Maka sentiasalah
berzikir kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala supaya tiada penyesalan apabila
datangnya maut.
Itulah
ciri khas orang yang berakal menurut Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
إِنَّ في
خَلقِ السَّماواتِ وَالأَرضِ وَاختِلافِ اللَّيلِ وَالنَّهارِ لَآياتٍ لِأُولِي
الأَلبابِ
الَّذينَ
يَذكُرونَ اللَّهَ قِيامًا وَقُعودًا وَعَلىٰ جُنوبِهِم وَيَتَفَكَّرونَ في خَلقِ
السَّماواتِ وَالأَرضِ رَبَّنا ما
خَلَقتَ هٰذا
باطِلًا سُبحانَكَ فَقِنا عَذابَ النّار
“Sesungguhnya
pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada
tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi
orang-orang yang berakal; (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati
Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring,
dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata):
"Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan
sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka”. (Surah Ali Imran: 190-191)
3. Berupaya keras melakukan aktiviti terbaik
Mengingati kematian adalah menyedari
bahawa dirinya semakin dekat dengan kubur. Mengingati kematian boleh menyedarkan
seseorang bahawa usiannya semakin berkurangan.Mengingati kematian juga bermakna
menguatkan ingatan bahawa peluang hidup itu sebenarnya semakin singkat.
Jika sikap ini sudah diterapkan dalam
diri seseorang itu, nescaya apabila dia bekerja, dia akan melaksanakan segala tugasnya dengan
sejujur-jujur dan sebaik-baiknya. Hatinya selalu berkata-kata, mungkin inilah
peluang yang terakhir sementara esok belum tentu dia sempat berkerja lagi ,
kerana dia faham Allah Subhanahu wa
Ta’ala yang memberi ataupun mengambil keupayaan itu dari orang yang Dia
kehendaki dan mencabut nyawa seseorang itu pada bila-bila masa dan di mana
sahaja.
Allah Subhanahu wa Ta’ala telah membuktikan bahawa sesiapa yang
mengerjakan solat dengan diiringi keyakinan, yakin ia akan kembali kepada Maha
Pencipta, sujud dan berdiri dengan khusyuk, maka dia sudah bersedia kembali
kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala
samada cepat ataupun lambat.
Sebagaimana
Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala
menjelaskan:
الَّذِينَ
يَظُنُّونَ أَنَّهُم مُّلاَقُوا رَبِّهِمْ وَأَنَّهُمْ إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
, وَاسْتَعِينُواْ
بِالصَّبْرِ وَالصَّلاَةِ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلاَّ عَلَى الْخَاشِعِينَ
“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan
mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali
kepada orang-orang yang khusyuk; (Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin
bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali
kepadaNya”. (Surah
Al-Baqarah: 45-46)
4. Meningkatkan disiplin
terhadap waktu
·
Mengingati kematian bermakna kita menasihati jiwa kita agar sentiasa bersemangat
dalam mengisi waktu. Masa ibarat emas, makin lama makin berharga kerana waktu
kita semakin menghampiri
penghujungnya.
·
Mengingati kematian juga bermakna kita membimbing jiwa. Menguatkan
semangat untuk menunaikan perbagai kewajipan yang masih banyak berbanding
dengan baki waktu yang tinggal untuk kita.
·
Mengingati kematian juga memberi peringatan pada jiwa agar tidak membazirkan waktu dengan sia-sia.
Imam Ibnul Qayyim
al-Jauziyah berkata:
“Sebenarnya
waktu manusia adalah umurnya. Dia adalah bahan abadi
kehidupan yang penuh nikmat dan bahan kehidupannya yang sempit dalam azab yang
pedih. Dia berlalu bagaikan berlalunya awan.Setiap kali waktunya untuk dan
bersama Allah, itulah kehidupannya dan umurnya. Selain dari itu, tidak dapat
dianggap sebagai kehidupannya.Walaupun dia hidup bagai hidupnya haiwan ternak
dan jika dia habiskan waktunya dalam kelalaian dan angan-angan kosong, maka
yang dipilih adalah tidur yang panjang. Maka, kematiannya adalah lebih baik
daripada hidupnya”
Seorang hamba yang memahami bahawa
ajalnya sudah semakin dekat, sudah tentulah akan berhati-hati agar tidak
sewenang-wenangnya membazirkan masa, yang mana perkara ini hanya merendahkan
moral dan menjadi hamba kepada nafsu.Berhati-hatilah
jangan sampai terjerumus dalam arus jahiliah, kerana tidak berdisiplin dan
lalai dalam memahami nilai-nilai yang sebenarnya dalam kehidupan ini.
Berwaspadalah, jangan sampai terpedaya dengan bisikan-bisikan syaitan,
kerana masih buta dengan tanda-tanda kebesaran Ilahi. Semakin tidak berhati-hati
jangan sampai tertipu oleh fatamorgana dunia (sesuatu
yang bersifat khayalan).
Rasulullah shallallahu
alaihi wasallam mengingatkan:
نِعْمَتَانِ
مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنْ النَّاسِ الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغ
“Dua nikmat yang kebanyakan manusia tertipu (dalam
memanfaatkan) keduanya yakni, kesihatan dan waktu lapang.” (Hadits Riwayat:
Bukhari)
Oleh kerana itulah seorang hamba hendaklah
selalu mengingati akan nikmat Allah Subhanahu
wa Ta’ala yang berupa kesihatan, kemudian bersyukur kepadaNya. Jangan
sampai menjadi orang yang rugi.
Maka dengan itu, muslim yang soleh
adalah yang menyedari bahawa waktu itu adalah nikmat dan amanah dari Allah Subhanahu wa Ta’ala mengisi waktu dengan
benar, terarah dan sentiasa dalam nafas pengabdian kepada-Nya.
Firman
Allah Subhanahu wa Ta’ala:
وَما خَلَقتُ
الجِنَّ وَالإِنسَ إِلّا لِيَعبُدونِ
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan
manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu”. (Surah
Adz-Dzaariyaat:56)
Sebagai
hamba Allah Subhanahu wa Ta’ala kita sepatutnya mengatur kehidupan dengan melaksanakan
segala kewajipan sebagai hambaNya. Kita juga harus mengetahui bahawa selagi
dunia ini berputar, masih terlalu banyak tugas yang perlu diselesaikan dan dalam masa yang sama juga terdapat seribu
satu permasalahan yang timbul.
Semoga dengan sentiasa menyedari tentang umur kita yang makin
berkurang, dapatlah kita bermuhasabah diri dan sentisa menghitung setiap amalan
yang kita lakukan. Setelah itu benar-benar terasa kita sebenarnya termasuk orang-orang
yang belum pandai mensyukuri nikmat sihat yang telah diberikan.Kemudian mampu
menjalankan petunjuk yang terbaik bagaimana mengisi waktu.
Sebagaimana Firman Allah Subhanahu
wa Ta’ala:
وَالعَصرِ
إِنَّ
الإِنسانَ لَفي خُسرٍ
إِلَّا
الَّذينَ آمَنوا وَعَمِلُوا الصّالِحاتِ وَتَواصَوا بِالحَقِّ وَتَواصَوا بِالصَّب
Demi Masa!
Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian - Kecuali orang-orang yang beriman dan
beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta
berpesan-pesan dengan sabar. (Surah
Al-Asr: 1-3)
5. Istghfar dan Taubah Menjadi Keperluan
Seorang hamba yang soleh sentiasa meletakkan dosanya dihadapan,
ini menyebabkan hatinya sentiasa didalam penyesalan. Ditambah lagi oleh bisikan
jiwanya bahawa kematian itu boleh datang tiba-tiba, lebih cepat dari perkiraan
bahkan hadir tanpa dugaan sedikitipun. Maka ia amat bimbang apabia maut datang
pada saat ia masih belum beristighfar dan bertaubat dari dosa-dosanya. Na’udzubillahi min dzaalik.
Hamba yang soleh bukanlah orang yang bersih dari dosa.
Hamba yang baik bukanlah orang yang sama sekali tidak pernah melakukan
kesalahan. Hamba yang mulia juga bukan bererti ia tidak pernah jatuh dalam
lingkaran syaitan. Hamba yang bagusbukan bererti jalan hidupnya mulus tanpa
sandungan dan pelanggaran.Hamba yang soleh adalah hamba yang segera menyedari
kesalahannya dan kembali kepada Allah Subhanahu
wa Ta’ala.dengan sentiasa beristigfar dan bertaubat kepadaNya.
Rasulullah Salallahu alaihi wasallam bersabda:
كل بني أدم
خطّاء، وخير خطّائين التوّابون
(Hadith Riwayat: At-Tirmidzai dan Ibnu
Majah)
Demikianlah sabda Rasulullah Salallahu alaihi wasallam beliau telah
mengabarkan bahawa semua anak Adam itu sering melakukan kesalahan, dan orang
yang paling baik dari anak Adam adalah mereka yang sering bertaubat.
اَللَّهُمَّ
أَصْلِحْ لَنَا دِيْنَنَا الَّذِيْ هُوَ عِصْمَةُ أَمْرِنَا ، وَ أَصْلِحْ لَنَا
دُنْيَانَا الَّتِيْ فِيْهَا مَعَاشُنَا ، وَ أَصْلِحْ لَنَا
آخِرَتَنَا
الَّتِيْ فِيْهَا مَعَادُنَا ، وَ اجْعَلِ الْحَيَاةَ زِيَادَةً لَنَا فِي كُلِّ
خَيْرٍ ، وَ اجْعَلِ الْمَوْتَ رَاحَةً لَنَا مِنْ
كُلَّ شَرٍّ
“Ya Allah, perbaguskanlah agama kami
yang menjadi penjaga urusan-urusan kami, dan perbaguskanlah dunia kami yang
menjadi tempat penghidupan kami, dan perbaguskanlah akhirat kami yang akan
menjadi tempat kembali kami, dan jadikanlah hidup kami sebagai wahana untuk
menambah kebaikan-kebaikan kami, dan jadikanlah kematian sebagai istirahat kami
dari semua keburukan-keburukan. (Hadith Riwayat: Muslim)
Semoga yang sedikit ini dapat memberi manfaat.dan
semoga Allah Subhanahu wa Ta’ala sentiasa memberi keampunan kepada
seluruh kaum muslimin dan muslimat.
Aamiin…
Article diposkan untuk surausribahagia oleh:
HAR
Penasihat: Ustaz Razaman/Ustaz saifuddin
Ayub
Bahasa di-edit: Puan
Norazah Mahmud
No comments:
Post a Comment