"Katakanlah: Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata, Maha Suci Allah, dan tiada aku termasuk di antara orang-orang yang musyrik" (QS Yusuf:108)

27 October, 2015

al-Quranul Karim

AL-QURAN adalah kitab (teks) terkandung mukjizat daripada ALLAH. Ia tidak saja berbentuk harfiah tetapi terhubung dengan waqi’ atau realiti (konteks). Setiap kalimah daripada al-Quran apabila dibaca, ALLAH berikan fadilat atau pahala.

Dan setiap kalimah itu apabila ditafsir dan menjadikan kita faham, pahalanya adalah lebih besar. Al-Quran sering dihubungkan sebagai sumber petunjuk (hudan linnas hudan lilmuttaqeen).

Sumber petunjuk ini penting untuk memahami yang nyata dan meyakini yang ghaib. Hubungan al-Quran dan pemikiran berjalan seiring. Apa yang tidak boleh dileraikan oleh pemikiran dipandu oleh al-Quran. Ia membawa keseimbangan terhadap binaan tasawwur.

Sifat turunnya al-Quran bertahap-tahap dan beransur-ansur mempunyai hikmah yang tinggi. Ayat-ayat Makiyyah dan ayat-ayat Madaniyyah memberikan perspektif yang berkait dengan realiti dan kontekstualiti.

Selama 23 tahun ia ditanzilkan terkandung maklumat dan ilmu yang lengkap mengenai Islam itu sendiri.

Memahami al-Quran secara tersurat kesannya amat besar bagi kita. Menelitinya secara teks menjadikan kita sempurna dalam bacaan, tajwid, qiraat dan taranum. Ia terhubung langsung dengan kesempurnaan mukjizat yang terkandung rahsia ilmu yang besar.

Meneliti al-Quran secara tersirat terhubung langsung dengan Penciptaan yang menjadi sumber rahmat dan nikmat daripada ALLAH. Jiwa tadabbur menjadi landasan bagaimana olahan tafsir terjadi dan ia terkait langsung dengan kontekstualiti.

Alam dan segala sumbernya yang dekat dan jauh terkandung maklumat kebesaran ALLAH yang belum banyak dikaji dan diteroka oleh manusia. Yang diketahui oleh para saintis umpamanya amat sedikit sekali.

Dalam sedikit yang mereka kaji mereka masih gagal menghubungkan bahawa semua itu tidak terjadi dengan sendiri, atau berputar dan bergerak dengan tertib dan teratur dengan sendiri melainkan dengan kudrat ALLAH.

Tetapi apabila al-Quran dijadikan sumber memahami fenomena, hikmah dan rahmat yang banyak di sebalik kejadian, tanda-tanda kewujudan ALLAH yang sangat nyata lalu sifat ubudiyyah lahir. Tidak mungkin ia terjadi dengan sendiri (by nature) tanpa Suatu Kuasa Yang Maha Perkasa Mencipta dan mengaturkan resam tabiinya dengan tersusun dan tertib.

Ada lebih 300 bilion galaksi yang jaraknya dari bumi terlalu jauh. Ia belum mampu dikaji oleh manusia lagi. Para saintis hanya memiliki gambaran umum mengenainya tetapi belum mampu mengkaji hikmah kewujudannya dan kaitannya dengan bumi dan manusia.

Menghubungkan al-Quran dengan hal-hal yang kontekstual boleh meningkatkan keimanan seseorang terhadap betapa kompleksnya ciptaan ALLAH dan ia di luar kemampuan manusia melakukannya. Manusia tidak boleh melakukan penciptaan.

Manusia hanya boleh melakukan penggubahan dan perekaan terhadap perkara yang sudah sedia ada. Manusia tidak boleh mencipta hal-hal yang tidak ada kepada ada. Apalagi mengurus alam di luar mampunya.

Manusia boleh membina lebuh raya yang canggih untuk dilalui oleh kenderaan. Secanggih mana keteraturan lebuh raya itu perlanggaran tetap berlaku dan kesesakan terus terjadi. ALLAH mengatur sistem lebuh angkasa dengan jumlah bintang, cakerwala dan galaksi yang berbilion jumlahnya tetapi tetap berputar dengan teratur dan tertib tanpa kemalangan dan kesesakan melainkan dengan takdirNya.

Ia mendorong kita berfikir bahawa alam ini ada Pemilik dan Pengaturnya. Konsep Sunnatullah amat penting difahami supaya pemikiran manusia sentiasa terolah dalam kerangka bahawa alam ini tidak terjadi dengan sendiri melainkan ada Pencipta dan Pengurusnya.

Ia juga membawa konsep lain bahawa setiap kejadian baik di langit mahupun di bumi ada hikmah yang tersendiri. Air yang dicipta oleh ALLAH mengikut al-Quran ialah sumber kehidupan. Ia benar secara saintifik kehidupan yang berlaku di bumi kerana bumi memiliki air.

Kajian saintis mengenai air di bintang Marikh masih terbatas. Apabila al-Quran memberitahu bahawa kerosakan bumi adalah akibat perbuatan tangan-tangan manusia ia adalah benar.

Bencana jerebu yang menyerang Sumatera, Malaysia dan Singapura akibat pembakaran ladang sewenang-wenangnya dan memberi kesan terhadap kesihatan dan kesejahteraan hidup penduduknya.

Sebab itu al-Quran mengingatkan manusia mengenai kecenderungan salah guna, eksploitasi dan tidak mesra alam yang menyebabkan kerosakan kepada kehidupan manusia itu sendiri. Isu iklim dan darjah kepanasan yang melampau dan sukar diramal adalah antara isu yang sedang dihadapi manusia kini akibat kerakusan manusia yang melampau terhadap alam dan ekosistem. Al-Quran memberi pedoman supaya manusia bersifat amanah terhadapnya.

1 comment:

Unknown said...

Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website ini www.kumpulbagi.com untuk info selengkapnya.

Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, filem dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)