"Katakanlah: Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata, Maha Suci Allah, dan tiada aku termasuk di antara orang-orang yang musyrik" (QS Yusuf:108)

20 April, 2016


Al-Quran datang menyinari hati yang gelap dan jiwa yang gelisah. Al-Quran  datang sebagai penasihat dan bimbingan. Al-Quran juga datang  membawa khabar gembira bagi orang yang mahu beriman dan sebagai pemberi peringatan bagi orang yang mengingkarinya. Betapa banyak kebaikan  dapat di rasakan dengan mempelajari,  membaca, serta mengamalkan  Al-Quran, orang yang sedih akan menjadi gembira, orang yang kebingungan akan menjadi tenang dan orang yang hina akan menjadi mulia dengan mempelajari serta mengamalkannya.

Al-Quran juga sebagai ubat paling mujarab bagi penawar segala penyakit. Dengan izin Allah Subhanahu wa Ta’ala sesiapa yang membaca ayat-ayat Al-Quran untuk perubatan, maka dia akan mengetahui betapa hebatnya  Al-Qur’an sebagai penyembuhan walaupun pakar perubatan ketika ini masih belum mampu menyembuhkannya. Oleh itu, tidaklah menjadi sesuatu perkara yang menghairankan kalau di katakan Al-Qur’an adalah penawar dan rahmat bagi orang yang beriman,

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala

وَنُنَزِّلُ مِنَ ‌الْ‍‍قُ‍‍رْ‌آنِ مَا‌ هُوَ‌ شِف‍‍َ‍ا‌ء‌ٌ‌ ‌وَ‌‍رَحْمَة ٌ‌ لِلْمُؤْمِن‍‍ِ‍ي‍‍نَ ۙ ‌وَلاَ‌ يَز‍ِ‍ي‍‍دُ‌ ‌ال‍‍‍ظَّ‍‍الِم‍‍ِ‍ي‍‍نَ ‌إِلاَّ‌ خَ‍‍سَا‌ر‌اً
Wa Nunazzilu Mina Al-Qur'āni Mā Huwa Shifā'un WaRaĥmatun Lilmu'uminīna ۙ Wa Lā Yazīdu Až-Žālimīna 'IllāKhasāan

“Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua”. (Surah Al-Israa: 82)

Dari segi pahala dan keutamaannya pula, sesiapa yang membaca, mempelajari dan mengamalkannya  akan mendapat  pahala yang banyak. Orang yang mahir membaca Al-Quran maka pada hari kiamat akan di kumpulkan bersama rombongan malaikat yang mulia. Sedangkan bagi orang yang lancar dalam pembacaannya  akan mendapat dua pahala, iaitu pahala dia membaca Al-Quran dan pahala kesungguhannya  dalam membaca dengan baik dan benar.

Al-Quran akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafa’at bagi orang yang membaca dan mengamalkannya. Bahkan Al-Quran akan menjadi pelindung dari azab Allah Subhanahu wa Ta’ala  di dunia mahupun di akhirat. Sehingga di katakan, orang yang mempelajari Al-Quran dan mengamalkannya adalah sebaik-baik manusia.

Rasulullah  Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:

خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآنَ وَعَلَّمَهُ
“Sebaik-baik orang di antara kalian adalah orang yang mempelajari Al-Qur’an dan mengajarkannya.” (HadithRiwayat: Bukhari – Muslim).

Masih dalam hadith riwayat Al-Bukhari dari Utsman bin Affan, tetapi dalam redaksi yang agak berbeza, disebutkan bahawa Nabi Shallallahu Alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ أَفْضَلَكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآنَ وَعَلَّمَهُ
Sesungguhnya orang yang paling utama di antara kalian adalah yang belajar Al-Qur`an dan mengajarkannya.”

Tetapi kebaikan, keutamaan dan pahala tersebut tidak dapat di rasakan kecuali orang yang diberi taufik dan hidayah oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala  agar sentiasa beriman kepadaNya, Adapun orang yang ingkar, tidak mahu beriman bahkan tidak mahu membaca, mempelajari, apalagi mengamalkannya, maka  tidak sesekali akan merasakan nikmat dan manfaat sedikitpun. Bahkan Al-Qur’an akan menjadi penyebab mereka di hina dan di sesatkan oleh  sebab  menjadi hujah (alasan) di hadapan Allah Subhanahu wa Ta’ala untuk diseksa pada hari akhirat kelak.

Pada masa kini, terdapat penyalahgunaan dalam mendalami Al-Quran. Mereka menjadikan Al-Qur’an sebagai tempat mencari nafkah. Ada di kalangan mereka menghafal Al-Qur’an bertujuan dapat di gunakan  dalam  majlis-majlis seperti pernikahan dan perayaan tertentu. Mereka diupah dengan menggunakan Al-Qur’an sebagai alat mencari nafkah. Perkara sebegini  berlaku di beberapa buah negara luar. Kesalahan sebegini  seharusnya tidak berlaku. Kesedaran perlu ditanam agar ia tidak  merebak ke negara-negara islam lain.

Masyarakat yang mengupah pembaca dan penghafaz Al-Quran ini  menganggap bahawa Al-Quran  perlu banyak  dibaca di tanah-tanah perkuburan agar simati mendapat pahala yang lebih, sehingga mereka berlumba-lumba mengupahnya. Mereka menganggap  melakukan amalan bid’ah sebegini  ini lebih besar pahalanya daripada ibadah yang wajib. Sebagai contoh, mereka sangat taa’sub  dalam mengamalkannya sementara solat berjama’ah di masjid mereka abaikan.

Mereka juga percaya bahawa bacaan tersebut dapat memberi  manfaat bagi si mati agar terbebas dari siksaan kubur serta  mendapat pahala yang terus mengalir, padahal Allah Subhanahu wa Ta’ala dan Rasulullah Shallallahu Alaihi wa Sallam  tidak pernah mengajar sedemikian. Bahkan di tegaskan dalam firman-Nya bahawa seseorang tidak memperoleh pahala melainkan dari yang di usahakannya saja. Jika usahanya baik maka dia akan mendapat  balasan yang baik dan jika usahanya buruk dia akan mendapatkan balasan yang setimpal.
.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman  yang bermaksud:

وَ‌أَ‌نْ لَ‍‍يْ‍‍سَ لِلإِ‌ن‍‍س‍‍َ‍انِ ‌إِلاَّ‌ مَا‌ سَعَى
Wa 'An Laysa Lil'insāni 'Illā Mā Sa`á

“Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya”; (Surah An-Najm: 39)

Rasulullah Shallallahu Alaihi wa Sallam  juga menegaskan dalam sabda beliau yang bermaksud :
إِذَا مَاتَ اْلإِنْسَانُ اِنْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثٍ صَدَقَةٌ جَارِيَةٌ أَوْ عِلْمٌ يُنْفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٌ صَالِحٌ يَدْعُوْ لَهُ
“Jika manusia meninggal dunia, terputuslah amalnya kecuali tiga perkara iaitu: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang mendoakannya.  
(Hadith Riwayat: Muslim).

Walaubagaimanapun  jika anak si mati yang membaca Al-Qur’an, maka pahalanya akan terus sampai kepadanya, kerana anak adalah hasil usaha didikan kedua ibubapanya. Ini adalah pendapat dari ulama  Al-Imam Asy-Syafi’i Rahimahullah.

Kesimpulannya, perlu ditegaskan bahawa  bacaan Al-Qur’an tidak dapat memberi manfaat kepada si mati yang semasa hidupnya suka meninggalkan solat, suka berbuat maksiat, dan melakukan pelbagai dosa lain. Malahan mungkin akan berlaku sebaliknya dimana Al-Qur’an akan menjadi saksi setiap perbuiatan didunia sehingga boleh mengheret ke neraka.

Allah Subhanahu wa Ta’ala tidaklah menurunkan Al-Qur’an yang mulia ini melainkan untuk di baca, difahami dan diamalkan  setiap isi kandungannya. Setiap perintah hendaklah dikerjakan dengan ikhlas. Contoh dari Rasulullah Shallallahu Alaihi wa Sallam  dan para sahabat R.A. Manakala yang berupa larangan hendaknya di jauhi. Al-Quran hendaklah sentiasa dibaca, dan sudah tentu tidak ada yang dapat melakukannya melainkan orang yang hidup dan masih sihat akal  fikirannya serta masih terjaga fitrahnya. Oleh itu, jelaslah bahawa Al-Qur’an memang untuk orang hidup bukan untuk orang mati.

Semoga uraian singkat ini boleh beri manfaat dan membangkitkan kesedaran kita untuk lebih semangat dan waspada dalam melaksanakan ibadah.

Maraji’
 :
1. Minhaj Al-Firqoh An-Najiyah, karya Syaikh Muhammad bin Jamil Zainu.
2. At-Tibyan fii Aadaabi Hamalatil Qur’an, karya Al-Imam An-Nawawi.
( Dinukil dari Buletin Al-Bayyinah, edisi 09 / 03 / 01).

Terjemahan Al-Quran: http://transliteration.org/

Alih Bahasa oleh: Puan Norazzah Bte Mahmud

Posted By: HAR

No comments: