Berfikir adalah anugerah Allah
ALLAH s.w.t. kurniakan
manusia dengan akal. Akal adalah sebesar-besar rahmat dan nikmat yang
membolehkan manusia berfikir. Yang membezakan haiwan dan manusia ialah kerana
manusia dianugerahkan akal yang membolehkan mereka berfikir sedangkan haiwan
mempunyai otak tetapi tidak boleh berfikir.
Haiwan dirangsang oleh
naluri. Sebab itulah Allah menjadikan manusia dengan sebaik-baik kejadian iaitu
manusia boleh berfikir.
Berfikir adalah sesuatu
yang amat penting bagi kehidupan. Kejadian pada diri manusia itu sendiri,
mendorong manusia berfikir. Mengapa akal, nafsu, hati dan pancaindera
dijadikan, membawa manusia berfikir. Mengapa hujan, ribut, banjir, gempa bumi,
kebakaran berlaku membawa manusia berfikir. Siapa yang mencipta manusia dan
alam ini menyebabkan manusia berfikir.
Berfikir membolehkan
manusia mengetahui. Tahu tentang sesuatu boleh menjadi asas pengetahuan dan
ilmu. Pada hakikatnya, berfikir ialah untuk mencari makna. Manusia faham akan
sesuatu berasaskan makna. Apabila ilmu diperolehi hasil adalah proses berfikir
manusia menjadi tahu dan menerima makna akan sesuatu.
Bagi benda-benda yang
nyata, fikiran dan pancaindera manusia membantu. Kehidupan ini tidak sekadar
apa yang kita nampak dan tengok sebagai bukti menjadikan kita tahu. Ada
benda-benda yang kita nampak dan tengok adalah benda-benda yang dekat. Betapa
benda-benda yang jauh di angkasa raya dan di luh mahfuz yang manusia tidak
tahu.
Sudah tentu manusia
memerlukan bantuan untuk menjadikannya tahu dan mendapat makna tentang bumi dan
kehidupan, planet-planet dan galaksi lain, hubungan antara kehidupan di bumi
dengan faktor-faktor alamiah yang amat menakjubkan.
Dalam tradisi Islam,
al-Quranlah sebagai sumber maklumat, pertunjuk dan ilmu mengenai faktor yang
ghaib dan nyata yang memberi suluh dan pedoman kepada manusia. Bila manusia
melakukan fikir dan tadabbur mendorong manusia bertanya tidak sekadar apa yang
nyata di hadapan matanya tetapi faktor di sebalik kejadian sesuatu yang
tentunya terkandung hikmah, rahsia dan menafaat bagi manusia. Inilah tradisi
berfikir yang selari dengan maksud sains Islam.
Tanpa al-Quran manusia
hanya melakukan kajian terhadap perkara-perkara yang nyata dan tampak sedangkan
alam ini terkandung perkara-perkara yang nampak dan tidak tampak. Tidak mungkin
alam ini diurus dengan baik hanya dengan upaya yang tampak. Alam ini sebenarnya
diuruskan dengan upaya yang tidak nampak atau ghaib. Manusia sendiri memiliki
keterbatasan dalam mengurus muka bumi ini apa lagi mengurus alam yang tidak
memiliki batas tepi.
Umumnya akal manusia mempunyai
tiga fungsi. Pertama manusia boleh mengingat dan menghafal sesuatu. Kedua, akal
membolehkan seseorang berfikir mengenai sesuatu sama ada yang dilihat, dialami
mahupun yang dikhayali.
Ketiga akal mempunyai
daya taakulan yang membolehkan pertanyaan dibuat, jawapan diberi dan
penyelidikan berlaku. Daripada proses ini manusia menjadi faham. Fahamlah yang
menjadi puncak kepada proses berfikir. Berfikir menjadi nikmat yang amat luar
biasa bagi manusia sekiranya natijah akhirnya ialah faham.
Otak manusia dibahagikan
kepada dua iaitu otak kanan dan otak kiri. Otak kanan dikatakan mempunyai upaya
berfikir yang berhubung dengan hal-hal yang kreatif, falsafah dan termasuk
hal-hal keagamaan. Otak kiri dikatakan mempunyai kecenderungan dan potensi
mengenai angka, statistik dan analisis di samping hal-hal mengenai bahasa. Ada
manusia dikatakan menjadi kuat kepada salah satu daripada dua dan terdapat juga
manusia yang mempunyai kehebatan kedua-duanya.
Para remaja mesti
menggunakan kekuatan otak ini untuk menafaat ilmu dan pengetahuan. Seperti juga
manusia lain, remaja dibekalkan dengan kekuatan akal yang membolehkannya
berfikir.
Meskipun remaja masih
lagi muda tetapi bahan yang perlu difikirkan mestilah mampu mencanai akal untuk
menghasilkan idea-idea yang bernas dan pemikiran yang baik. Idea yang bernas
berlaku hasil dari pembacaan, perkongsian maklumat, pemerhatian, pengalaman
yang membimbing remaja berfikir dan meletakkan nilai supaya pemikiran
terpedoman.
Pemikiran yang baik bagi
remaja ialah pemikiran yang berasaskan nilai. Nilailah yang menjadi pedoman
terbaik untuk remaja berfikir.
Al-Quran sebagai sumber
pertunjuk terkandung nilai-nilai dalam pelbagai dimensi. Ada nilai yang
terpancar dari dimensi akidah, ada nilai yang berkembang dari dimensi ibadah,
ada nilai yang memberikan batasan dimensi syariah dan ada nilai yang terlihat
daripada kemurnian akhlak yang terdapat.
Apabila Islam
menganjurkan remaja supaya selalu bersyukur, memiliki sifat sabar, harus ada
kebijaksanaan, bersikap adil dan ihsan terhadap orang lain, amanah dan jujur
terhadap sesuatu ia adalah pancaran nilai yang mempedoman jalan berfikir
remaja. Sekiranya remaja hanya dirangsang oleh nafsu , keyakinan akliah
semata-mata nescaya makna sebenar sesuatu yang dimiliki dan dicari tidak akan
ditemui.
Apabila remaja
mengaitkan kekuatan berfikir berasaskan nilai-nilai yang sifatnya Qurani, para
remaja sedang memilih jalan bagaimana faktor rohaniah dan akal dapat disatukan,
faktor fikir dan zikir dapat ditemukan. Asas inilah yang boleh memimpin remaja
menjadi pemikir masa depan.
Sama ada pemikiran itu
mengambil sudut reflektif, lateral, kritikal, analitikal, strategik, kreatif
dan seumpamanya asas nilai seharusnya dijadikan pedoman. Nilailah yang akhirnya
bakal membantu remaja untuk membuat sesuatu keputusan dan tindakan. Sekiranya
nilai yang diambil hanya bersifat akliah semata dan tidak dikaitkan dengan
sumber naqliah (wahyu) ia tidak melahirkan kebijaksanaan.
*Renungan batini
Berfikir bagi remaja
memerlukan renungan batini yang tinggi. Menghubungkan diri dengan Allah dengan
mengakui alam ini adalah ciptaan-Nya, rahmah dan nikmat adalah kurniaan-Nya
menyebabkan remaja merasa kerdil tentang upaya diri, berusaha untuk menemukan
tanda-tanda kebesaran-Nya dan darinya remaja mempunyai asas yang betul bahawa
berfikir tanpa redha Allah adalah sesat, berilmu tanpa mengakui kebesaran Allah
adalah musibah dan pemikiran yang hanya mengagumi kehebatan duniawi tanpa
mengaitkan dengan kepentingan ukhrawi akan memimpin manusia ke arah malapetaka.
Oleh kerana berfikir
adalah suatu nikmat Allah yang amat bernilai, faktor kewarasan, keseimbangan
dan kematangan harus ada supaya kualiti ilmu dan maklumat yang diperolehi mampu
membimbing remaja ke arah jalur kehidupan yang terarah dan memungkinkan remaja
menyumbang berasaskan kekuatan ilmu dan kemahiran yang yang lebih bermakna.
Oleh:
PROF.
DR. SIDEK BABA
Pensyarah
di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Di-Kutip
dari: http://ww1.utusan.com.my/
Posted
by: HAR
No comments:
Post a Comment