"Katakanlah: Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata, Maha Suci Allah, dan tiada aku termasuk di antara orang-orang yang musyrik" (QS Yusuf:108)

31 March, 2009

SURAH AL-FALAQ PENDINDING SERANGAN HASAD DENGKI

OLEH: Dr Juanda Jaya, Mufti Perlis

JANGAN pernah berasa aman jika anda memiliki sejuta nikmat kerana pasti ada yang akan menjeling tajam sambil berusaha menghilangkan nikmat itu daripada diri anda. Kita seharusnya celik melihat, tajam mendengar dan sensitif merasa apakah bahaya itu dan sentiasa berwaspada terhadap manusia di sekeliling kita.

Bermacam rupa bentuk mereka, yang licik dan licin memerangkap sesiapa saja yang dianggap musuh. Ada yang manis mulut lagi berbudi bahasa, namun pada hakikatnya menikam daripada belakang.

Seperti perbuatan si munafik Abdullah bin Ubai, orang yang mengaku Islam tetapi memusuhi Nabi SAW. Baginda juga pernah merasai ketatnya permusuhan orang kafir dan Yahudi sehingga mereka menggunakan sihir untuk membunuh Nabi SAW.

Dinyatakan dalam sirah bahawa Rasulullah SAW jatuh sakit selama 40 hari (atau enam bulan atau setahun mengikut perselisihan riwayat) hasil perbuatan jahat akibat sifat hasad dengki itu. Lalu Baginda SAW membaca dua surah penyembuh dan pelindung diri iaitu al-Falaq dan al-Nas, kemudian datanglah Jibril mendoakan Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Dengan Nama Allah aku menjampi engkau daripada setiap perkara yang boleh menyakitimu, daripada penghasad dan pendengki ’ain, semoga Allah menyembuhkan kamu.”

Sayyid Qutb dalam Fi Zilalil Quran menafsirkan mengenai surah al-Falaq ini dengan katanya:

“Seolah-olah Allah SWT sudah mempelawa perlindungan dan jagaan-Nya secara kasih sayang dan lemah lembut, seolah-olah Allah SWT berfirman: Datanglah ke sini, datanglah kepada perlindungan, datanglah ke tempat yang aman supaya kamu berasa tenang dan selamat di dalamnya dan datanglah kerana sebenarnya Kami mengetahui bahawa kamu adalah orang yang lemah dan memiliki banyak musuh dan di sekitar kamu banyak perkara yang menakutkan, sedangkan di sini terdapat keamanan, ketenangan dan kesejahteraan.”

Jika kita membaca surah al-Falaq sambil menghayati isi kandungannya, akan timbul satu keinsafan mengenai bahaya yang menakutkan cuba menggugat ketenangan hidup anda. Kejahatan setiap makhluk sentiasa mengintai dan menunggu saatnya melenyapkan kebahagiaan dimiliki.

Hanya kepada Allah SWT digantungkan harapan dan permintaan, Yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana. Alangkah merbahaya tipu daya musuh dan kejamnya kejahatan yang dirancang. Tetapi anda masih mempunyai Tuhan yang lebih berkuasa lagi Maha Gagah.

Siapakah berani menikam orang yang meminta perlindungan kepada Allah SWT. Siapakah berani menghiris jiwa orang yang memohon penjagaan Allah SWT. Siapakah berani menuang racun ke dalam minuman seorang hamba yang dekat dan rapat dengan Tuhannya. Siapakah yang berani sedangkan Allah SWT bersama kita. Cubalah jika mahu merasai kekuatan Tuhan yang melindungi aku daripada kejahatan kamu. Begitulah kekuatan surah al-Falaq.

Sudah letih jiwa diasak persoalan yang tak kunjung jawapan. Mengapa ramai orang yang dengki ke atas nikmat yang Allah SWT beri. Dalam surah Yusuf diceritakan bahawa Nabi Yaakub menasihati Yusuf supaya tidak menceritakan perihal mimpinya itu kepada saudaranya.

Disebabkan Yusuf bersangka baik lagi mengasihi saudaranya, maka beliau pun mahu berkongsi kegembiraan itu bersama mereka. Akhirnya kedengkian dan hasad merasuk ke dalam hati saudara kandungnya sendiri sehingga melahirkan dendam dan kejahatan.

Sesungguhnya kisah Nabi Yusuf memberi pengajaran kepada kita supaya berwaspada apabila mendapat suatu anugerah atau nikmat yang hebat. Janganlah disebut dengan kebanggaan berlebihan hingga menimbulkan rasa cemburu orang yang mendengarnya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Jika seseorang mengalami mimpi baik dalam tidurnya, hendaknya dia tidak menceritakan mimpi itu kecuali kepada orang yang dicintainya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Penyakit hasad menyerang sesiapa saja yang lemah imannya, tidak kira si kaya atau miskin, orang alim atau tidak berilmu, pemimpin atau rakyat jelata, mereka semua terdedah dengan hasutan syaitan.

Ramai yang lupa bahawa sebenarnya sifat dengki yang bersarang di dada itu menunjukkan mereka berani melawan ketentuan Allah SWT ke atas diri hambanya yang lain? Bukankah bermakna dia musuh kepada nikmat Allah SWT kerana tidak mahu akur dengan qada’ dan qadar Allah SWT terhadap saudaranya.

Sememangnya si pendengki sudah membuka pintu permusuhan bukan hanya kepada orang yang didengki namun kepada Tuhan yang memberi kebaikan kepada saudaranya itu. Seolah dia berkata: “Tuhan tidak betul membahagi nikmat!” Pada hakikatnya dia juga berkata: “Tuhan tidak adil!” Dan yang paling teruk lagi dia berkata: “Tuhan zalim kepadaku!”

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Jika kamu beroleh kebaikan (kemakmuran dan kemenangan) maka yang demikian itu menyakitkan hati mereka. Dan jika kamu ditimpa bencana mereka bergembira dengannya. Dan jika kamu bersabar dan bertakwa maka tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikitpun. Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuan-Nya atas apa juga yang mereka lakukan.” (Surah Ali Imran, ayat 120)

Begitulah lumrah kehidupan, kita memerlukan hati yang sabar dan takwa untuk tetap tegar di atas pengkhianatan dan kejahatan orang yang mendengki. Sabar bukan bermakna duduk dan menangis sambil menadah tangan ke langit tetapi enggan berusaha membina kekuatan.

Tetapi di atas kedengkian orang lain anda mesti lebih menyerlah dan tidak mengaku kalah. Kerana sesungguhnya Allah SWT memberi kejayaan bagi orang yang mahu berusaha bukan untuk mereka yang lemah dan takut menghadapi hidup.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh, benar-benar Kami pimpin mereka ke jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” (Surah al-Ankabut, ayat 69)

Manusia boleh mendengki tetapi Allah SWT tetap membahagi menurut qada’ dan qadarnya, bukankah sia-sia saja melawan ketentuan Allah terhadap saudara kita?

No comments: