JIKA HATI SUDAH TERTUTUP
Dalam menjalani kehidupan didunia ini,
manusia terbahagi kepada beberapa golongan. Ada yang memandang hidup ini hanya
sebagai gerakan angin lalu yang tiada arah tujuan, melainkan hanya mengikut
kehendak suasana dalam ruang alamiah yang kerap berubah. Golongan manusia
seperti ini tidak mempunyai arah tujuan dan arah hidup.
Golongan lain ialah golongan manusia yang hidupnya diliputi oleh
keraguan, tiada ketentuan dan yang pastinya jauh dari pedoman yang lurus. Pada
suatu ketika, hidupnya menuju kepada
arah tujuan, tetapi pada suatu ketika, ianya menyimpang.
Golongan yang benar pula ialah manusia yang tahu menilai akan diri
dan tahu kedudukannya sebagai hamba Allah Subhanahu
wa Ta’ala. Mengetahui arah yang dituju pada akhirnya. Hakikatnya, Allah Subhanahu wa Ta’ala. mencipta manusia
dengan fitrah yang sama, iaitu suci, baik dan diberi petunjuk ke arah hidup
yang satu iaitu kembali kepada Tuhan pencipta alam semesta.
Oleh kerana manusia mempunyai cara kehidupan yang berbeza, maka
timbullah perbezaan pandangan hidup, walaupun telah di beri petunjuk oleh satu
bentuk undang-undang ilahi.
Secara ringkasnya, menurut keterangan firman Allah S.W.T manusia terbahagi
kepada dua, iaitu manusia yang beriman dan taat akan segala perintah Allah Subhanahu wa Ta’ala. serta mengikut jalan yang ditunjukkan-Nya.
Golongan kedua pula ialah golongan manusia yang telah disebutkan didalam
Al-Quran iaitu golongan fasik durhaka dan mengingkari perintah serta
undang-undang Ilahi.
Firman Allah Subhanahu wa
Ta’ala:
الَّذِينَ
يَنقُضُونَ عَهْدَ اللَّهِ مِن بَعْدِ مِيثَاقِهِ وَيَقْطَعُونَ مَا أَمَرَ
اللَّهُ بِهِ أَن يُوصَلَ وَيُفْسِدُونَ فِي الأَرْضِ أُولَـئِكَ هُمُ
الْخَاسِرُونَ
“(Iaitu) orang-orang yang merombak
(mencabuli) perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya, dan memutuskan perkara
yang disuruh Allah supaya diperhubungkan, dan mereka pula membuat kerosakan dan
bencana di muka bumi. Mereka itu ialah orang-orang yang rugi”. (Surah
Al-Baqarah: 27)
Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala.:
قَالُواْ
سُبْحَانَكَ لاَ عِلْمَ لَنَا إِلاَّ مَا عَلَّمْتَنَا إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ
الْحَكِيمُ
"Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan
selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah
yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana". (Surah Al-Baqarah: 32)
Menurut
keterangan ayat di dalam Surah Al-Baqarah:32
diatas, Allah Subhanahu wa Ta’ala. telah menerangkan terdapat tiga sifat manusia
yang munafiq dan berdosa iaitu:
1. Melanggar
perjanjian Allah Subhanahu wa Ta’ala sesudah perjanjian
itu teguh.
2. Memutuskan
apa yang diperintahkan Allah untuk menghubungkannya.
3. Melakukan
perbuatan fasad (kebinasaan – kerosakkan) diatas bumi.
Maksud fasiq (durhaka) dalam ayat ini
ialah orang yang telah merosakkan perjanjiannya dengan Allah Subhanahu wa
Ta’ala. Mereka tidak menggunakan
akal fikiran dan pancainderanya untuk menjalani kehidupan yang benar dan lurus
serta bersesuaian dengan kehendak dan redha Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Merosakkan
perjanjian dengan Allah Subhanahu wa Ta’ala bermaksud merosak perjanjian Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan makhluk-Nya, bahawa seluruh
makhluk-Nya akan beriman hanya kepada-Nya saja, kepada para malaikat, kepada
para rasul, kepada kitab-kitab-Nya, kepada hari kemudian dan kepada adanya kada
dan kadar Allah Subhanahu wa Ta’ala, mengikuti semua perintah dan menghentikan semua larangan-Nya. Untuk
itu Allah Subhanahu wa Ta’ala menganugerahkan kepada manusia akal, pikiran,
anggota-anggota badan dan sebagainya agar manusia selalu ingat akan janjinya
itu. Tetapi orang-orang fasik tidak mau mengindahkannya sesuai dengan firman
Allah Subhanahu wa Ta’ala:
لَهُمْ
قُلُوبٌ لَا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ
آذَانٌ لَا يَسْمَعُونَ بِهَا أُولَئِكَ كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ
أُولَئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ
“….manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya
(ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat
dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu
mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak,
bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai”. (Surah Al-A’raaf: 179)
Sebahagian ahli tafsir menjelaskan bahawa “janji” yang rosak itu
ialah iman. Keterangan ini dijelaskan oleh Qadhi Al-Baidhawi dengan
pertanyaannya: “Perjanjian yang dirosakkan itu ialah ayat-ayat dan kitab-kitab
Allah Subhanahu wa Ta’ala atau perjanjian yang diikat oleh manusia
sendiri.”
Perkara yang menjadikan manusia fasiq atau durhaka adalah disebabkan oleh
hati yang telah tertutup. Sesungguhnya Allah S.W.T. telah menerangkan dengan
firman-Nya yang sangat ringkas, dimana mereka ada hati tetapi tidak dapat
merasakan (tiada perasaan) atau buta, mereka ada mata tetapi tidak dapat
melihat, dan ada telinga tetapi tidak dapat mendengar. Itu bererti apa yang ada
pada tubuh mereka telah tertutup rapat sehingga tidak dapat ditembusi petunjuk
atau hidayah dari Allah Subhanahu wa
Ta’ala.
Jika direnungkan, bahawa hati adalah sumber yang menggerakkan
segalanya. Tiada yang bergerak secara sedar tanpa didahului dengan niat atau
perasaan hati. Tetapi jika hati telah tertutup dan buta, maka segala gerak
hidupnya bagaikan meraba dalam kegelapan.
Inilah yang menjadikan manusia fasiq dan durhaka disebabkan tiadanya
kiblat atau arah hidup yang dituju, bahkan akan lebih lagi mengenali akan
dirinya, siapa sebenarnya dia.
Mereka tidak memanfaatkan mata, telinga
dan akal sehingga mereka tidak memperoleh hidayat dari Allah Subhanahu wa
Ta’ala yang demikian akan membawa mereka kepada kebahagiaan dunia
dan akhirat. Keadaan mereka seperti binatang bahkan lebih buruk daripada
binatang, ini kerana binatang tidak mempunyai daya fikir untuk mengolah hasil
penglihatan dan pendengaran mereka. Binatang mengadakan tanggapan atau reaksi
terhadap dunia luar secara instinctif dan bertujuan hanyalah untuk
mempertahankan hidup. Tetapi bagaimana dengan manusia yang hanya mengikut hawa
nafsu?, akal mereka tidak bermanfaat
lagi?. Mereka berlebih-lebihan dalam memenuhi keperluan jasmani mereka sendiri,
berlebih-lebihan dalam mengurangi hak orang lain. Diperasnya hak orang lain
bahkan kadang-kadang di luar perikemanusiaan.
Mereka mempunyai hati (perasaan dan
pikiran) tetapi tidak digunakan untuk memahami ayat-ayat (Allah). Mereka lupa
dan melalaikan bukti-bukti kebenaran Allah Subhanahu wa Ta’ala pada diri sendiri, pada kemanusiaan dan alam
semesta ini. Mereka melupakan penggunaan perasaan dan fikiran untuk
tujuan-tujuan yang luhur dan meninggalkan kepentingan yang asas dari kehidupan
manusia.
Justeru, selalulah bertanyakan hati kecil sendiri, apakah
hidup kita diredhai? Berapa banyak dosa yang telah kita lakukan? Insya –Allah,
hati itu tidak akan berdusta. Disamping Allah Subhanahu wa Ta’ala tahu siapa kita, kita sendiri juga tahu siapakah diri
kita yang sebenarnya. Jadi, janganlah hidup berpura- pura. Siapa yang cuba kita tipu? Manusia? Allah?
Atau diri kita sendiri?
Wallahu a'lam, wassalamu 'alaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
Diposkan oleh Huszaini Rahman
Di-edit oleh Puan Norazah Mahmud
No comments:
Post a Comment