MENSYUKURI NIKMAT UMUR
Setiap
hari, Allah Subhanahu wa Ta’ala
sentiasa mencurahkan nikmat-Nya kepada kita dengan pelbagai nikmat. Walaupun kita jadikan air lautan itu sebagai tinta (ink) dan semua
ranting kayu sebagai pena, ianya tidak
dapat terhitung jumlah nikmat Allah Subhanahu
wa Ta’ala yang kita gunakan setiap hari, dari sejak terbitnya matahari
hinggalah terbenam dan terbit semula.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
وَإِن
تَعُدُّواْ نِعْمَةَ اللّهِ لاَ تُحْصُوهَا إِنَّ اللّهَ لَغَفُورٌ رَّحِيم
“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah
kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun,
lagi Maha Mengasihani”. (Surah Al-Nahl: 18)
Sesungguhnya adalah benar Firman Allah Subhanahu
wa Ta’ala, andaikata kita ingin juga hendak
menghitung satu persatu tentang nikmat-Nya. Pelbagai nikmat yang kita masukkan kedalam perut dengan
melalui kerongkongan saja, rasanya akan susah kita buat menghitungnya, berapa
banyaknya yang kita masukkan setiap hari kedalam perut kita. Konon pula untuk
menghitung macam-macam nikmat yang lain. Cuma manusia juga yang kadang-kadang
lupa kepada Allah Yang Maha Pengasih dan Pemurah memberi serba macam nikmat
itu.
Antara nikmat Allah Subhanahu wa Ta’ala yang kita perolehi dan kita pergunakan
setiap hari, nikmat umurlah nikmat yang sangat dirasai. Umur yang kita gunakan
sekarang ini adalah salah satu nikmat Allah Subhanahu
wa Ta’ala yang mahal harganya dan
paling tinggi nilainya. Tidak ternilai harganya walaupun dengan limpahan wang ringgit dan dengan emas yang
berketul-ketul.
Allah Subhanahu
wa Ta’ala telah memanjangkan umur
kita hingga kini, maka sudah pastinya kita sebagai hamba haruslah berterima kasih dan dengan sisa umur yang
tinggal ini, hendaklah kita pergunakan dengan sebaik-baiknya. Mengabdikan diri kepada
Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan erti kata yang sebenar-benarnya, berbuat baik kepada masyarakat dan keluarga
sebanyak mungkin, mengerjakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala
larangan-Nya serta bersedia menegakkan hukum-hukum Allah dengan patuh dan
tunduk. Berbakti kepada masyarakat dan
keluarga, baik dengan harta, tenaga dan fikiran, keringat dan disertakan dengan
niat yang tulus ikhlas kerana Allah Subhanahu
wa Ta’ala semata-mata. Allah Subhanahu wa Ta’ala akan memanjangkan umur kita.
Semakin bertambah umur kita setahun demi
setahun, maka semakin dekatlah dengan ajal. Semakin dekat dengan ajal, maka semakin
dekatlah pula dengan liang kubur. Oleh kerana
itu, dengan sisa umur kita yang masih berbaki ini, hendaklah kita pergunakan
dengan sebaik-baiknya. Sebelum ajal tiba,
sebelum umur kita bercerai dari badan. Jangan terlambat dan jangan sesekali
terpedaya kerana kekuatan kita, kerana kekayaan,harta dan pangkat semuanya itu
akan berakhir bila malaikat maut sudah menceraikan roh kita dari badan.
Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
خَيْرُ
النَّاسِ مَنْ طَالَ عُمُرُهُ وَحَسُنَ عَمَلُهُ، وَشَرُّ النَّاسِ مَنْ طَالَ
عُمُرُهُ وَسَاءَ عَمَلُهُ
“Sebaik-baik manusia ialah yang diberi
panjang umurnya dan umur yang panjang itu di gunakan untuk baik amalannya. Dan
sejelek-jelek manusia adalah orang yang panjang umurnya dan jelek amalannya.”
(Hadits Riwayat: Ahmad, At-Tirmidzi dan
Al-Hakim)
Kita perhatikan sabda Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam seterusnya:
“Barangsiapa yang sudah masuk umurnya empat puluh (40) tahun, tetapi
kebaikannya masih belum dapat mengalahkan kejahatannya, maka lemparkanlah saja
kedalam api neraka tempatnya mereka”.
Melalui sabda Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam itu dapatlah kita ambil perhatian dan keinsafan
supaya kita dapat mempergunakan umur kita yang berharga ini dengan
sebaik-baiknya. Beramal menurut apa yang telah digariskan oleh agama serta mendapat keredhaan dari Allah Subhanahu wa Ta’ala
Umur yang kita guna sekarang ini akan di pertanggungjawabkan hanya
kepada Allah Subhanahu
wa Ta’ala untuk apa
umur kita habiskan, untuk apa lagi umur kita gunakan, semuanya akan
dipersoalkan oleh Allah Subhanahu
wa Ta’ala. Setelah selesai sahaja jasad
dikuburkan dan belum hilang lagi jejak telapak kami manusia yang menghantar ke
kubur, soalan pertama yang ditanyakan Allah Subhanahu
wa Ta’ala ialah mengenai umur, kemana
dihabiskan dan untuk apa digunakan.
Pada ketika itu kita tidak akan dapat berdusta sedikitpun, sebab
seluruh anggota badan menjadi saksi. Barulah pada hari itu timbul penyesalan
yang mana penyesalan tidak berguna lagi. Sesal kemudian tiada berguna.
Menangislah, merataplah kerana menyesali perbuatan pada waktu itu,
namun tangisan dan rantapan tidak akan dapat menolong sedikitpun. Umur akan
melaporkan kepada Allah Subhanahu
wa Ta’ala. Semua perbuatan yang dilakukankan
didunia, tidak akan dapat dikurangi dan ditamba walau sedikitpun. Umur akan
menceritakan dihadapan Allah Subhanahu
wa Ta’ala, Selama berada ditubuh si anu
sekian lamanya, sekian kali dibawa berbuat maksiat, berjudi, minum arak dan
lain-lain.
Begitulah perkiraan umur, bila umur kita digunakan untuk bermaksiat dan
begitu juga sebaliknya, bila umur kita digunakan untuk beribadah. Menjalankan
segala perintah Allah Subhanahu
wa Ta’ala dengan bersungguh-sungguh dan berbakti kepada
masyarakat serta keluarga.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam
bersabda:
Belum lagi hilang jejak telapak kaki seorang hamba pada hari kiamat,
sehingga kepadanya telah diajukan empat pertanyaan:
1. Dari hal umurnya, kemana dihabiskan
2. Dari hal tubuhnya, untuk apa dipakainya
3. Dari hal ilmunya, apa
yang sudah diamalkan dengan ilmunya.
4. Dari hal hartanya, dari
mana diperolehi dan untuk apa dibelanjakan.
(Hadiths Riwayat: Termidzi)
Bagi manusia yang beriman kepada Allah
Subhanahu wa Ta’ala , pasti percaya bahawa pada
suatu saat yang telah ditentukan umur akan bercerai dari badan. Bila ajal sudah
datang, pulanglah ke rahmatullah.
Bila kepercayaan ini sudah tumbuh dan sudah mempunyai keyakinan yang
kuat, setiap manusia akan mempergunakan sisa-sisa umurnya dengan sebaik
mungkin. Sebelum datangnya ajal dan
untuk mencapai husnul khatimah, iaitu penghabisan umur yang baik.
Akhirnya, marilah kita sama-sama mengingati akan pesanan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam mengenai kehidupan ini, sebagaimana
dikemukakan seperti berikut:
Pergunakanlah lima kesempatan sebelum
datangnya lima kesempitan:
1. Pergunakanlah
kesempatan sihatmu sebelum datang sakitmu
2. Pergunakanlah
kesempatan lapangmu sebelum datang kesempitan mu.
3. Pergunakanlah hari
mudamu sebelum datang hari tua mu.
4. Pergunakanlah
kesempatan kayamu sebelum datang masa fakir mu.
5. Pergunakan kesempatan
masa hidupmu sebelum datang saat kematian mu.
(Hadits Riwayat: Baihaqi)
Marilah kita gunakan kesempatan hidup kita untuk memperbaiki kesilapan
kita yang lalu, agar mencapai kehidupan yang bahagia dan memperolehi kemenangan
serta diredhai oleh Allah Subhanahu
wa Ta’ala .
Hendaklah
kita sentiasa bertaqwa kepada Allah Subhanahu
wa Ta’ala dengan sebenar-benar taqwa. Bukan hanya sekadar taqwa yang
diucapkan di bibir. Taqwa dengan dizahirkan dalam bentuk ucapan dan perbuatan
harian. Iaitu segala ucapan dan perbuatan kita selalu berpegang dan berlandasan
apa yang telah disyari’atkan oleh Allah Subhanahu
wa Ta’ala melalui agama yang lurus –
ISLAM
Diposkan oleh Huszaini Rahman
Bahasa diedit oleh Puan Norazah Mahmud
No comments:
Post a Comment