"Katakanlah: Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata, Maha Suci Allah, dan tiada aku termasuk di antara orang-orang yang musyrik" (QS Yusuf:108)

17 December, 2008

Jangan Berahsia Ambil Anak Angkat

Tidak semua mahligai perkawinan dianugrahkan Allah Ta’ala dengan keturunan, generasi seterusnya (anak) sebagai pelengkap perkawinan mereka. Walaupun, anak merupakan harapan utama bagi sebuah mahligai perkawinan setelah agama. Namun, anak adalah karunia Allàh. Ada pasangan hingga ke-akhir hayat tidak juga di-kurniakan anak walaupun pelbagai usaha dilakukan.

Firman Allah Ta’ala:

"Kepunyaan Allàh-lah kerajaan langit dan bumi, Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki, Dia karuniakan anak-anak perempuan kepada siapa saja yang Dia kehendaki dan Dia karuniakan anak-anak lelaki kepada siapa yang dikehendaki, atau Dia menganugrahkan kedua jenis laki-laki dan perempuan (kepada siapa yang dikehendakinya), dan Dia menjadikan mandul siapa yang Dia kehendaki". (Asy Syùrà/42:49-50)

“Mengambil contoh apa yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu Alaihi wa Sallam, sewaktu Baginda mengambil anak angkat iaitu Zaid bin Haritsah bin Syarah sejak zaman jahiliah (pada masa ini amalan pengambilan anak angkat dan dijadikan anak sendiri tersebar luas), Zaid waktu itu seorang anak muda yang ditawan sejak kecil dalam salah satu penyerbuan jahiliah, yang kemudian dibeli oleh Hakim bin Hizam untuk diberikan ibu saudaranya yang bernama Khadijah dan selanjutnya diberikan oleh Khadijah kepada Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi wa Sallam sesudah Khadijah berkahwin dengan Rasulullah.

Para Sahabat memanggil Zaid dengan panggilan Zaid bin (anak) Muhammad, hingga turun ayat:

"Panggillah mereka (anak-anak angkat itu) dengan (mengunai) nama bapak-bapak mereka". (HR. Al Bukhàri).

Setelah ayah dan bapa saudara Zaid mengetahui tentang hal tersebut, mereka datang kepada Nabi Shallallahu Alaihi wa Sallam dan meminta anaknya kembali tetapi Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi wa sallam menyuruh Zaid sendiri untuk membuat keputusan. Namun Zaid lebih senang memilih Nabi Shallallahu Alaihi wa Sallam sebagai ayah daripada ayah dan bapa saudaranya sendiri. Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi wa Sallam mengisytiharkan Zaid sebagai anak angkat baginda di hadapan orang yang ramai pada masa itu.

Maknanya, mengambil anak angkat tidak boleh dengan cara sembunyi atau rahsia sehingga anak itu sendiri tidak mengetahui asal keturunannya kerana ia akan menimbulkan pelbagai masalah dikemudian hari seperti keturunan, pewarisan harta pusaka, wali nikah dan sebagainya.

Islam sudah menetapkan hukum seseorang anak angkat adalah berbeza dengan anak kandung sendiri. Perbezaan ini membabitkan hukum keatas mereka dari segi pemberian nasab (keturunan), mahram, hukum nikah/kahwin dan pembahagian harta.

Firman Allah Ta’ala:

مَّا جَعَلَ اللَّهُ لِرَجُلٍ مِّن قَلْبَيْنِ فِي جَوْفِهِ وَمَا جَعَلَ
أَزْوَاجَكُمُ اللَّائِي تُظَاهِرُونَ مِنْهُنَّ أُمَّهَاتِكُمْ وَمَا جَعَلَ
أَدْعِيَاءكُمْ أَبْنَاءكُمْ ذَلِكُمْ قَوْلُكُم بِأَفْوَاهِكُمْ وَاللَّهُ يَقُولُ الْحَقَّ وَهُوَ يَهْدِي السَّبِيلَ

“Allah tidak menjadikan seorang lelaki mempunyai dua hati dalam rongga dadanya; dan Ia tidak menjadikan isteri-isteri yang kamu zihaarkan itu sebagai ibumu; dan Ia juga tidak menjadikan anak-anak angkat kamu, sebagai anak kamu sendiri. Yang tersebut itu hanyalah perkataan kamu dimulutmu sahaja. Dan Allah menerangkan yang benar dan Dialah yang memimpin ke jalan yang betul.” (Al 'Ahzàb/33:4)

Seseorang itu di haramkan menasabkan (membinkan) anak angkatnya pada dirinya. Islam menyuruh untuk menasabkannya kepada bapak kandungnya seandainya diketahui. Jika tidak, panggillah mereka 'akh fid din (saudara seagama) atau maula' (seseorang yang telah dijadikan anak angkat). Seperti Salim anak angkat Hudzaifah, dipanggil maula 'Abi Hudzaifah.

Allah berfirman;

ادْعُوهُمْ لِآبَائِهِمْ هُوَ أَقْسَطُ عِندَ اللَّهِ فَإِن لَّمْ تَعْلَمُوا
آبَاءهُمْ فَإِخْوَانُكُمْ فِي الدِّينِ وَمَوَالِيكُمْ وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ
جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُم بِهِ وَلَكِن مَّا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا

"Panggillah mereka (anak-anak angkat itu) dengan (mengunakani) nama bapak-bapak mereka; itulah yang lebih adil pada sisi Allah, dan jika kamu tidak mengetahui bapak-bapak mereka, maka (panggillah mereka) sebagai saudara-saudaramu seagama dan maula-maulamu. Dan tidak ada dosa atasmu terhadap apa yang kamu khilaf padanya, tetapi (berdosa) apa yang disengaka oleh hatimu". (Al Ahzàb/33:5)

Silsilah keturunan bapak angkat kepada anak angkat adalah sebuah kedustaan, mencampur-adukkan nasab (silsilah keturunan), merubah hak-hak pewarisan yang menyebabkan memberikan warisan kepada yang tidak berhak dan menghilangkan hak waris bagi yang berhak. Menghalalkan yang haram: iaitu berkhalwat (berkumpulnya mahram dengan yang bukan). Dan mengharamkan yang halal: iaitu menikah. Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam mengancam seseorang menasabkan (membinkan) keturunan kepada yang bukan sebenarnya.

"Barangsiapa yang dengan sengaja mengakui (sebagai ayah) seorang yang bukan ayahnya sedang ia mengetahui, maka Surga haram buatnya" (HR. Al Bukhàri dan Muslim)

Menurut pendapat Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin (dlm Harian Metro, tgl 10 Dis, 2008) berkata, mengambil anak angkat itu bagus tetapi cara mengurusnya mestilah betul dan jangan melanggar hukum syarak. Orang Islam harus/mesti memahami batas-batas hubungan dan pergaulan antara anak angkat dengan ibu-bapa dan ahli keluarga angkat.

Beliau juga berkata, masalah akan timbul jika seorang wanita bujang mengambil anak angkat lelaki kerana mereka bukan mahram sekali gus menyebabkan kesulitan berkaitan aurat, pergaulan dan wali. Perkara berkaitan aurat dengan anak angkat pada masa depan perlu diambil berat. Ini kerana anak angkat lelaki halal untuk dinikahi ibu angkatnya dan hidup sebumbung dengan ibu angkat adalah haram kerana mereka bukan mahram.

Semua kebaikan yang diberikan kepada anak asuh/anak angkat hanya dibatas pada pengertian berbuat baik kepada sesama, yang memang dianjurkan oleh syari'at Islam. Anak-anak angkat tetap menjadi orang lain. Ia bukan mahram bagi keluarga yang mengasuhnya. Hal itu bererti harus memperlakukan anak angkat sesuai dengan apa yang telah disyari'atkan Islam sewaktu berinteraksi kepada orang lain yang bukan mahram.

"Darah susuan mengharamkan seperti apa yang diharamkan oleh darah keturunan"

(HR. Al Bukhàri dan Muslim). Ini adalah rahmat Allah Subhanahu wa Ta’ala syari’atkan bagi hamba-hambanya.

Keluarga yang mengangkat dan mengasuh anak angkat kemungkinan menjadikannya mahram dengan menyusuinya sendiri. Mengenai jumlah bilangan menyusui yang menjadikan anak angkat mahram, para Ulama berbeza pendapat:


Imam Màlik meriwayatkan dari 'Ali, 'Ibnu Mas'ud, 'Ibnu 'Umar dan 'Ibnu 'Abbas, tidak menentukan jumlah bilangan hanya menyusu saja dengan alasan keumuman Ayat 23 dari surah An Nisà', pendapat ini diikuti oleh Sa'id bin Al Musayyib. 'Urwah bin Az Zubair dan Az Zuhri. Tidak terhitung mahram kecuali jika disusui kurang dari tiga kali, menurut Imam Ahmad bin Hanbal, Ishaq bin Rawaha, 'Abu 'Ubaid dan 'Abu Tsaur, diriwayatkan dari 'Aisyah, Ummul Fadhl, Abdullàh bin Zubair, Sulaiman bin Yasàr dan Sa'id bin Jubair. Berdasarkan:

"Satu hisapan atau dua tidak menjadikannya mahram" (HR. Muslim)

Imam Asy Syafi'i dan para pengikutnya berpendapat, tidak termasuk mahram jika disusui kurang dari lima susuan berlandaskan pada ayat yang di-naskh bacaanya; "Sepuluh kali susuan menjadikan mahram" Ayat ini lalu di-naskh dengan lima susuan. Dan hadith perintah Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam kepada Sahlah binti Suhayl untuk menyusui Salim sebanyak lima kali. Persusuan yang menjadikan mahram manakala bayi masih berumur kurang dari dua tahun menurut kesepakatan Jumhurul Ulàmà'. (Lihat Tafsirul Quranil Azhim oleh Al Hafizh 'Imaduddin Isma'il bin Katsir, 1/303. (Al Hàfizh `Imàduddin Isma'il bin Katsir, Tafsirul Qurànil Azhim 1/510, dan Abul Walid Muhammad bin Rusyd Al Qurthubiy, Bidayatul Mujtahid wa Nihayatul Muqtashid, 2/26-28)

Dari aspek psikologi pula, sudah tentulah anak angkat akan merasa rendah diri berbanding anak kandung melainkan dia satu-satunya anak dalam keluarga, tetapi peranan ibu atau bapa angkat ialah memastikan anak angkat yang dipelihara dibina dengan kasih sayang yang ikhlas seperti pertautan antara ibu dan bapa yang sebenar. Jangan pula ditatang berlebihan kerana ada juga masalah yang akan timbul seperti besar kepala, tidak menghormati dan sebagainya, samalah juga seperti anak kandung”.Oleh kerana seorang isteri yang belum pernah punya anak , besar kemungkinan perasaan keibuan tidak ada pada diri si isteri tadi , atau mengangkat anak bermotifkan harta dan sebagainya . sudah pasti ibu angkat seperti ini tidak punya perasaan keibuan yang sebenar , dan tidak menghasilkan pahala daripada Allah s.w.t. melainkan sia-sia belaka .
Ada dikalangan masyarakat Islam , mengangkat anak , seolah anak angkat tersebut adalah anak dari darah daging mereka sendiri , bergaul bebas tanpa had yang telah ditentukan oleh syara', membuka aurat dihadapan anak angkat mereka tanpa segan silu , mereka ini samada tidak faham hukum agama sebelum mengangkat anak atau menganggap perkara tersebut adalah remeh dan tak perlu difikirkan sangat.

Prosedur mengambil anak angkat mengikut undang-undang di Malaysia Menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)

Sumber : Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia

*Pemohon boleh memohon sama ada melalui surat, faks, telefon, e-mel atau datang sendiri ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) di mana pemohon bermastautin.*Pemohon akan diminta mengisi borang permohonan.

Borang yang telah lengkap diisi hendaklah dikembalikan bersama-sama dengan dokumen-dokumen yang diperlukan seperti berikut:

(1) Surat sokongan / pengesahan daripada pegawai perubatan.

(2) Salinan sijil nikah / sijil pendaftaran perkahwinan.

(3) Salinan kad pengenalan pemohon (suami dan isteri).

(4) Lain-lain dokumen yang berkaitan.

Siapa yang layak mengambil anak angkat?

*Pasangan suami-isteri yang sah, ibu tunggal (ibu tunggal) yang menetap / tinggal di Malaysia.Bila dan bagaimanakah anak angkat dapat disahkan sebagai anak pelihara mengikut undang-undang?

*Permohonan boleh dibuat dalam masa tiga bulan selepas menerima kanak-kanak dalam penjagaan pemohon. Permohonan hendaklah dibuat kepada Mahkamah Seksyen atau Mahkamah Tinggi dengan melantik peguam untuk urusan mendaftarkan Notis Pengangkatan. Akta yang digunapakai bagi proses pengesahan pengangkatan cara ini adalah merujuk kepada Akta Pengangkatan 1952 (Akta 257).

*Permohonan cara kedua adalah dengan membuat permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Negara di bawah Akta Pendaftaran Anak Angkat 1952 (Akta 253).

Permohonan untuk pengesahan ini hanya boleh dibuat selepas dua tahun anak pelihara dalam penjagaan keluarga pelihara. Bagi keluarga yang beragama Islam permohonan untuk pengesahan anak pelihara hanya boleh dibuat melalui Akta 253, iaitu Akta Pendaftaran Pengangkatan sahaja.

Permohonan untuk pengesahan pengangkatan hanya boleh dibuat selepas dua tahun anak pelihara berada dalam jagaan pemohon.

Permohonan boleh dibuat di Pejabat Pendaftaran Negara.

Peringatan:

Mengambil anak angkat secara sendiri perlu dimaklumkan kepada JKM mengikut seksyen 35(1) Akta kanak-Kanak 2001 tidak lewat daripada seminggu selepas pengambilan dan sekiranya gagal memaklumkan dan jika disabitkan kesalahan denda maksimum adalah sebanyak RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.


No comments: