SEJARAH PENGHINAAN TERHADAP
NABI MUHAMMAD SHALLAHU ALAIHI
WASALAM
Persoalan menghina Baginda Nabi
S.A.W bukan perkara baharu. Sejak perutusan lagi, Rasulullah S.A.W telah dihina
bahkan diperlaku dengan perbuatan keji dan kejam. Pada zaman kini, gaya
penghinaan terhadap Rasulullah berubah mengikut arus perubahan semasa. Negara-negara
Barat yang mula-mula mencetuskan bermacam-macam tohmahan terhadap Islam mula
menggunakan strategi mereka terkini selepas dari serangan pemikiran iaitu
serangan melalui media elektronik dan media cetak terhadap Islam dan Rasul
Islam dengan slogan 'hak kebebasan bersuara.
Penghinaan
Musuh Allah Di Zaman Perutusan Baginda
Penghinaan terhadap Rasulullah S.A.W adalah salah satu dasar golongan yang
memperjuangkan kebatilan. Sesungguhnya kebenaran dan kebatilan tidak akan
berpadu selamanya. Islam datang sebagai pembawa rahmat, mengiktiraf semua
Nabi-Nabi terdahulu serta membenarkan kitab-kitab yang diturunkan sebelum
Al-Quran. Penentangan di zaman perutusan adalah lebih dahsyat kerana golongan
kafir bertungkus lumus ingin menghapuskan riwayat hidup Baginda S.A.W di
samping menghinanya di khalayak sebagaimana yang berlaku:
· Pemimpin-pemimpin
Musyrikin seperti Umar Bin Hisham (Abu Jahal), Umaiyyah Bin Khalaf, Utbah Bin
Rabiah, Syaibah Bin Rabiah, Abu Lahab, Abu Suffian Bin Harb telah melancarkan
serangan peribadi dan penghinaan terhadap Nabi S.A.W. Seorang pemuda upahan di
Mekah iaitu Uqbah Bin Abi Muit telah meletakkan najis di atas kepala Nabi S.A.W
yang mulia ketika Baginda sedang bersujud dalam solat dan Uqbah telah
mengulangi kebiadapannya beberapa kali.Fatimah R.A, puteri Nabi S.A.W
mengalirkan air mata kesedihan sambil membersihkan kepala Nabi yang mulia.
Uqbah juga telah menjerut leher Nabi dalam peristiwa hijrah, dikumpulkan
pemuda-pemuda yang perkasa untuk membunuh Baginda S.A.W.
· Ketika
di Taif, Baginda dilontar dengan batu-batu. Pemuda-pemuda nakal telah dikerah
dipintu masuk Bandar Taif untuk memulau Nabi S.A.W dan anak angkatnya Zaid Bin
Harithah, darah panas mengalir pada jasad Nabi dan Zaid (yang bertindak
melindungi Nabi), halangan-halangan juga diadakan untuk menghalang Nabi masuk
semula ke Makkah namun Nabi mendapat jaminan perlindungan daripada Mut'am Bin
Adi, seorang 'gedebe' (samseng) di Makkah yang mempunyai ramai anak-anak lelaki
yang gagah berani.
Jika diteliti dalam rakaman
sejarah semasa zaman perutusan, Rasulullah S.A.W telah dihina dengan pelbagai
cara antaranya Nabi S.A.W dicerca dan dituduh dengan pelbagai tuduhan yang
menghina batang tubuh Baginda S.A.W. Antara tuduhan tersebut ialah:
· Nabi
S.A.W dituduh sebagai seorang penyair yang mereka-reka qasidah (syair) yang
indah untuk memikat masyarakat Quraisy pada masa itu.
· Nabi
S.A.W dituduh sebagai seorang yang kurang akal. Abu Jahal telah mengupah para
pencacai dan pencaci untuk menghina Nabi melalui medium seni, di antaranya
ialah An Nadhar Bin Al Harith.
· Nabi
S.A.W dituduh sebagai seorang tukang sihir.
· Nabi
S.A.W didakwa tidak layak sebenarnya untuk menjadi wakil Tuhan.
Namun dalam banyak kejadian
yang menyakiti dan menghina Nabi S.A.W, datang nusrah (pertolongan) daripada
Allah yang Maha Perkasa di dunia lagi sebagai pengajaran atas kebiadaban musuh
Islam. Hal ini dapat kita lihat dalam nas-nas yang menyatakan bahawa pada satu
ketika Abu Jahal ingin menyakiti Rasulullah S.A.W akan tetapi tidak berjaya
dengan pertolongan Allah Taala sebagaimana dalam hadis yang berbunyi:
Daripada Abu Hurairah R.A berkata: Kata Abu Jahal: Adakah Muhammad sujud di
atas tanah? Lalu dijawab: Ya! Kata Abu Jahal lagi: Demi Al Laat dan Al Uzza
sekiranya aku melihat Baginda melakukan demikian, akan kupijak belakang
lehernya atau kutekan mukanya ke tanah. Lalu Abu Jahal mendatangi Nabi, dan
ketika itu Nabi sedang solat dengan tujuan untuk memijak belakang lehernya.
Tiba-tiba Abu Jahal didapati berjalan undur ke belakang dan seolah-olah menahan
dengan tangannya. Lalu ditanya kepadanya: Apa yang tidak kena dengan kamu?
Jawab Abu Jahal: Antara aku dan Muhammad terdapat parit daripada api yang
mempunyai sayap-sayap dan menggerunkan. Lalu sabda Rasulullah S.A.W sekiranya
dia (Abu Jahal) mendekatiku akan disentak (anggota tubuhnya) satu persatu.[Hadis
riwayat Imam Muslim:2797, Imam Ahmad:2/370]
Dalam kisah yang lain,
dinyatakan bahawa isteri Abu Lahab, Ummu Jamil binti Harb bin Umayyah selalu
mencela Nabi S.A.W dan menyakiti Baginda dengan meletakkan duri-duri di jalanan
dan di laman rumah Rasulullah S.A.W. Ketika diturunkan ayat Al-Quran yang
mencela suaminya Abu Lahab, terus Ummu Jamil mencari Nabi S.A.W dan melontar
Nabi dengan batu. Pada ketika itu Nabi sedang bersama-sama dengan Abu Bakar As
Siddiq R.A di di sisi Kaabah. Akan tetapi Allah Taala telah menutup pandangan
Ummu Jamil dari melihat Nabi S.A.W, lalu Saidina Abu Bakar kehairanan bagaimana
Ummu Jamil tidak dapat melihat Baginda sedangkan Baginda berada di hadapannya.
Kata Saidina Abu Bakar R.A, "Wahai Rasulullah, apakah dia (Ummu
Jamil) melihatmu?"
Sabda Nabi, "Dia (Ummu Jamil) tidak melihatku. Sesungguhnya Allah
Taala menutup pandangannya terhadapku." [Sirah Ibnu
Hisham:1/335-336]
Satu lagi kisah yang menerangkan kepada kita bahawa betapa hinanya golongan
yang menghina dan mengeji Rasulullah S.A.W sebagaimana dalam hadis:
Daripada Anas bin Malik berkata: Ada seorang lelaki beragama Nasrani telah
memeluk Islam, beliau membaca (hafaz) Surah Al-Baqarah dan Surah Al-Imran. Dia
adalah salah seorang juru tulis Nabi S.A.W. Lalu dia murtad dan berkata, "Muhammad
tidak mengetahui apa pun kecuali apa yang aku tuliskan kepadanya."
Setelah itu beliau mati dan dikebumikan. Tetapi tanah mengeluarkan (tubuhnya)
semula. Lalu berkata kaumnya, "Ini adalah perbuatan Muhammad dan
Sahabatnya setelah (Nasrani tersebut) lari dari (Agama) mereka, mereka
membongkar semula mayat saudara kita dan dibuangnya."
Maka keesokan hari mereka menggalikan semula tanah sedalam mungkin (untuk
menanam mayat saudaranya yang berpaling dari ajaran Nabi itu), tetapi sekali
lagi tanah meludah kembali (mayat itu) ke permukaan bumi. Maka, ketika itu
baharulah kaumnya mengetahui bahawa (kejadian itu) bukan dari perbuatan manusia,
lalu dibuangnya keluar kubur. [Riwayat Imam Bukhari:3617]
Penghinaan Di Zaman Moden
Penghinaan terhadap Nabi S.A.W tidak pernah berhenti sebagaimana yang dirakam
dalam sejarah, apatah lagi apabila umat Islam yang kehilangan Khilafah dengan
tumbangnya Khilafah Islam yang berakhir di Turki pada tahun 1924. Tumbangnya
Khalifah bermakna umat Islam tidak mempunyai tempat pergantungan dan penjaga
kepada isu sensitiviti dan kemaslahatan umat Islam.
Pada tahun 1989 Salman Rushdie, seorang warga Iran telah menghina Nabi S.A.W
melalui karya bejatnya "The Satanic Verses". Protes demi protes umat
Islam tidak mengerunkan kuasa kuffar untuk terus menghina Nabi S.A.W,
sebagaimana yang pernah diungkapkan oleh Hassan Nasrallah seorang ulama di
Lubnan, "Sekiranya umat Islam melaksanakan fatwa Khomeini
berkenaan dengan isu Salman Rushdie (hukuman bunuh) sudah tentu tidak ada yang
berani lagi menghina Rasulullah S.A.W."
Kerana selepas tahun 1990, penghinaan terhadap Baginda Nabi S.A.W terus berlaku
malah semakin gencar lagi, contohnya selepas itu muncul pula Taslima Nasreen
yang merupakan warganegara Bangladesh, sebuah negara miskin di Sub-Continent.
Karya wanita jalang ini diulang cetak di Negara Barat yang membolehkan beliau
hidup disalut kekayaan dan diberi perlindungan di Negara Barat.
Di Negara Timur Tengah pula muncul seorang penulis warganegara Syria iaitu
Haidar Bin Haidar yang bermastautin di Mesir sewaktu zaman Hosni Mubarak. Dia
telah mengarang sebuah novel fiksyen dan memalsukan watak sebenar Nabi S.A.W,
Saidatina Khadijah dan Saidatina Aishah di dalam novel itu dan menghinanya.
Puluhan ribu mahasiswa Islam dan mahasiswi berdemonstrasi di Mesir, menuntut
kerajaan Mesir supaya mengharamkan novel itu dan menarik balik novel itu dari
pasaran. Bantahan aman mempertahankan Nabi S.A.W telah disuraikan dengan gas
pemedih mata dan ditembak dengan peluru getah dimana telah mengorbankan seorang
mahasiswi Islam. Srikandi itu telah gugur syahid demi mempertahankan maruah
Nabi S.A.W.
Di zaman moden ini juga telah merakamkan penghinaan terhadap Nabi S.A.W di
Nigeria dalam bulan Ramadhan. Nigeria merupakan sebuah Negara yang pernah
tertegak pemerintahan Islam yang dikenali sebagai Khalifah Sokoto di mana
seorang ulama besar Afrika iaitu Sheikh Othman Den Fodio telah menaungi pemerintahan
Islam tersebut. Kerajaan Islam ini akhirnya tumpas dengan campurtangan penjajah
British. Nigeria hari ini melaksanakan konsep pentadbiran federalisme dan
dengan kesungguhan pejuang-pejuang Islam dua buah negeri di utara Nigeria telah
diizinkan oleh kerajaan Pusat untuk melaksanakan undang-undang Syariah Islam,
dunia terkesima dan peluang terbuka kepada media untuk memburukkan pelaksanaan
Syariah Islam. Apabila mahkamah Tinggi Syariah telah menjatuhkan hukuman rejam
sampai mati kepada seorang wanita berkahwin yang melakukan penzinaan.
Jawatankuasa penganjuran ratu cantik dunia kemudiannya memilih Nigeria untuk
menganjurkan pertandingan ratu cantik (dipercayai untuk menghina pelaksaan
syariah Islam di Nigeria Utara)bahkan pertandingan itu dijadualkan dibuat dalam
bulan Ramadhan yang mulia. Pertubuhan Islam telah mengambil tindakan berhemah
dengan menghantar nota bantahan, memorandum dan pelbagai tindakan supaya
penganjur tidak mengadakan pertandingan tersebut.
Kebiadapan terhadap Nabi SAW bermula apabila seorang editor akhbar berbahasa
Inggeris Nigeria iaitu "Nigeria This Day" telah
menulis dalam kolumnya, "Jika Muhammad (Nabi umat Islam) masih
hidup, Muhammad pun akan membenarkan pertandingan ratu cantik diadakan, dan
Muhammad akan memilih salah seorang peserta pertandingan ratu cantik sebagai
isterinya"
.
Kebiadapan sang penghina ini tidak dibiarkan percuma oleh pencinta-pencinta
Islam, ratusan ribu penunjuk perasaan telah keluar ke jalanraya bagi menyatakan
sikap dan bantahan di mana kemuncaknya pejabat utama akhbar "Nigeria
This Day" telah dibakar oleh penunjuk perasaan. Peristiwa ini
masih kuat terpahat dalam ingatan pengamal media di Nigeria sehingga tidak ada
lagi ketika ini pengamal media di Nigeria yang berani mengulangsiar
kenyataan-kenyataan yang menghina Rasulullah S.A.W.
Pada hari ini Baginda S.A.W terus dihina semahu-mahunya lagi oleh para pendusta
dan pengkhianat dengan gaya baru, sesuai dengan arus kemodenan. Kemarahan
pencinta-pencinta Rasulullah S.A.W tercetus lagi, setelah akhbar Denmark
Jyllands Posten memaparkan siri-siri kartun yang menggambarkan karikatur Nabi
Muhammad S.A.W sebagai seorang pengganas dan tidak bermoral. Dalam kartun
tersebut telah digambarkan Nabi S.A.W sebagai seorang Arab badawi yang membawa
pedang dan diapit oleh dua orang perempuan bercadar hitam di sebelah kiri dan
kanannya. Bahkan, dalam salah satu kartun itu Rasulullah S.A.W digambarkan
sebagai orang yang berserban dan pada serbannya terselit sebutir bom.
Gambar-gambar ini diterbitkan pada bulan September tahun lepas sehinggga orang
akan mengaitkan gambar tersebut dengan peristiwa pengeboman WTC pada 11
September. Sebelum isu penghinaan terhadap kartun Nabi Muhammad yang menjadi
bahan ejekan kartunis Kurt Westergaard, seorang warganegara Denmark, pernah berlaku
di pameran poster Berlin, terdapat poster yang menghina Kota Makkah dengan
menyebut Kaabah sebagai 'batu bodoh'.
Hasil dari terbitnya kartun-kartun biadab tersebut, beberapa negara umat Islam
terus mengambil tindakan segera mengajar kebiadaban mereka. Antaranya Arab
Saudi yang telah memanggil pulang dutanya di Denmark. Libya telah menutup
kedutaannya di Copenhagen, Qatar dan Sudan serta diikuti oleh umat Islam di
seluruh dunia Arab dan rantau Asia. Beberapa ketika kemudian setelah Denmark
menyepi bangun pula negara-negara Eropah lain simpati kepada Denmark dengan
cara mengeluarkan karikatur yang sama di akhbar-akhbar mereka. Menurut BBC
sehingga kini tujuh akhbar di Perancis, Jerman, Belanda, Itali dan Sepanyol
telah mengeluarkan kartun yang sama atas alasan memberikan sokongan moral
kepada Jyllands Posten.
Sebuah akhbar Perancis, "France Soir Daily", di
samping menerbitkan kartun biadab itu telah memberikan ulasan katanya, "...No
religious dogma can impose its view on a democratic and secular society" (Tidak
ada mana-mana fahaman agama yang boleh memaksa pandangannya ke atas sebuah
masyarakat demokrasi dan sekular).
Perlakuan biadap terhadap Nabi S.A.W ini telah menggerakkan arus kesedaran dan
kecintaan terhadap agama Allah, gerakan Islam di Negara-Negara umat Islam
dengan pantas telah memimpin dan menguruskan isu ini dengan baik.Di Negara
Timur Tengah sebagai contoh, gerakan Ikhwanul Muslimin telah menganjurkan
bantahan yang hebat lalu mengerakkan kempen memboikot barangan Norway dan
Denmark.
Di benua Sub-Continent, Jamiat Islami telah mengadakan bantahan yang hebat dan
berkesan menentang penghinaan terhadap Baginda Rasulullah S.A.W. Di Pakistan
pakatan MMA yang dipimpin oleh Qazi Hussein (Amir Jamiat Islami) telah
menganjurkan demonstrasi yang menghimpunkan ratusan ribu umat Islam, bahkan
beliau telah dikenakan sekatan dalam rumah oleh Regim Pakistan yang pro Amerika
Syarikat.
Di Indonesia, negara paling ramai umat Islam di dunia, bantahan telah dipimpin
oleh Partai Keadilan Sejahtera (PKS), puluhan ribu aktivis telah menyertai
'unjuk rasa di kota-kota besar di seluruh Indonesia. Di Malaysia sendiri, Parti
Islam SeMalaysia telah mengambil inisiatif menggerakkan kesedaran rakyat untuk
menentang penghinaan. Demonstrasi aman dan perarakan aman telah dijayakan oleh
pelbagai kelompok dengan dipacu oleh pimpinan Parti Islam seMalaysia.
Penghinaan ini memberikan impak yang positif kepada kelompok Islam kerana
berjaya menguruskan isu ini dengan baik walaupun disambut dengan ulasan yang
sinikal oleh golongan liberal pragmatis.
Di Malaysia, akhbar Sarawak Tribune turut menyiarkan semula karikatur yang sama
di tengah-tengah kemarahan umat Islam yang sedang memuncak. Kartun itu
diselitkan dengan rencana yang bertajuk "Cartoons: Not Much Impact
Here". Umat Islam seolah diperbodohkan dengan tindakan ini yang
dengan sengaja menguji kesabaran dan rasa toleransi antara agama. Umat Islam
bangkit membantah dengan keras tindakan biadap Sarawak Tribune, lalu pihak
kerajaan segera mengambil tindakan dengan menggantung lesen penerbitannya.
Melihat kepada respon luar jangka ini pihak pengurusan akhbar telah menutup
penerbitan ini malah premis akhbar ini dikawal rapi oleh pihak keselamatan.
Ironisnya, kes yang berlaku kepada Sarawak Tribune ini tidak memberi pengajaran
kepada akhbar-akhbar lain di Malaysia. Kebiadapan muncul lagi apabila akhbar
harian Cina Guang Ming Daily pernah mengeluarkan foto sebuah akhbar yang
menyiarkan karikatur tersebut. Golongan bukan Islam ini menjadi begitu berani
dan biadap kerana melihat kelemahan umat Islam dan pemerintah yang berada pada
tahap paling lemah. Berkat bantahan massa dan NGO-NGO Islam, kerajaan dengan
serta-merta menggantung penerbitan akhbar ini selama dua minggu.
Di tengah keperitan hati umat Islam melihat Nabi dihina, keluar lagi gambar
karikatur lain dalam sebuah akhbar media perdana yang tersohor di Malaysia
iaitu News Strait Times (NST), yang telah mempunyai banyak reputasi menghina
Islam sebelum ini dan juga membuka forum kepada kelompok Islam liberal membina
pengaruh. Akibatnya umat Islam di Malaysia telah mengadakan demonstrasi aman
dan perarakan aman bermula di Masjid Saidina Abu Bakar di Bangsar dan berarak
aman ke Pejabat NST di Jalan Riong, Bangsar membantah penyiaran kartun menghina
Nabi Muhammad S.A.W lakaran Wiley Miller pada ruangan 'Coffee Break' di akhbar
sisipan 'Life and Style' NST pada 20 dan 21 Febuari 2006 yang
menggambarkan mesej sinis dan menghina kemuliaan Nabi Muhammad S.A.W dan Nabi
Nuh A.S.
Akan tetapi, NST cuba membela tindakan mereka dengan menyatakan, "The
issue we have to decide here is whether the cartoon has transgressed the
limits, whether it has crossed the boundaries, and whether it has insulted
Islam and the Prophet"
(Isu yang perlu kita putuskan ialah, apakah kartun tersebut telah melampaui batas-batas
yang ditetapkan oleh - hak kebebasan bersuara - dan apakah ia menghina Islam
dan Nabinya?)
Nampaknya NST tidak mengakui kesalahan mereka dalam melakarkan kartun yang
mengejek Rasulullah S.A.W, bahkan mempertahankan bahawa perkara tersebut tidak
sedikit pun mencemarkan keagungan Nabi S.A.W. Sikap biadap dan kurang ajar
peneraju NST ketika itu berkemungkinan besar kerana mereka memiliki pengaruh
penaung-penaung politik di negara ini.
Zaman kini tidak merasa pelik jika media sentiasa digunakan menyerang Islam dan
umatnya, namun tiada pula tindakan diambil terhadap penghina Islam. Contohnya
beberapa petikan akhbar yang diperturunkan di bawah ini untuk ditatap oleh
pembaca betapa kotornya pemikiran mereka terhadap Undang-undang Islam, ulama
dan penyokongnya:
"...Islam is a discourse and all discourses are open, contested and
plastic..."
(Islam adalah suatu wacana dan semua wacana adalah terbuka, boleh dicabar dan
plastis) - Lihat dalam The Edge, 3 Disember 2001, Farish Noor:
Intelellectual Provocateur.
"Perhaps the turbans of the mufti are too tightand therefore not enough
oxygen is getting into the brains. They are not thinking straight."
(Mungkin kerana serban mufti-mufti terlalu ketat dan sebab itu
tidak cukup oksigen masuk ke dalam otak mereka, mereka tidak berfikiran
waras) -Lihat dalam The Sun bertarikh 21 Februari 2001, Akhbar Ali
"Now The Mufti Blame Hindi Films".
"The Quran allows a person to become apostate twice and then to persist
in his disbelief...
"...No punishment of any sort at all is prescribed for such a person
other than the promise that god will never forgive him not guide him to the
right path.This is God's promise. It is his law."
(Al Quran membenarkan seseorang menjadi murtad dua kali dan
kekal sebagai kafir. Tiada hukuman dinyatakan ke atas seseorang yang murtad
selain dari janji Tuhan yang tidak akan mengampuninya mahupun memberinya
petunjuk yang lurus.ini adalah janji Tuhan. Ini adalah undang-undangNya) -
Lihat tulisan Akhbar Ali dalam the Sun bertarikh 14 Julai 1999 "Death For
Apostates Unjust".
"Islam bukanlah milik individu atau mana-mana golongan yang mendakwa
mereka sebagai ulama. Oleh itu sebarang pentafsiran terhadap sumber-sumber
Islam seperti Al Quran bukanlah milik para ulama semata-mata" -
Lihat Zainah Anwar dalam Utusan Malaysia bertarikh 26 September 2000.
Semua kenyataan biadap terhadap Islam dan ulama ini boleh ditatap daripada
akhbar di dalam tanah air kita sendiri dan kemuncaknya ialah perkara inilah
yang akan melahirkan mereka yang berani mempersendakan maruah Nabi S.A.W.
Sedarkah kita semua dengan fenomena anti agama ini? Jangan kita nampak kuman di
seberang laut, buta dengan gajah dihadapan mata! Ada juga diantara individu
menuduh Nabi Muhammad shallahu alaihi wasalam sampai menggelar mereka dengan ‘PENGAMPU’
gelaran hina tersebut di lontarkan kepada Nabi Muhammad hanya kerana individu
tersebut membaca surah Abasa ayat 1-12 menggunakan terjemah dan individu jahil
Bahasa arab .
Sebenarnya, sebelum dari terbit karikatur yang mencemarkan dan menghina Nabi
Muhammad S.A.W, telah terbit unsur-unsur penghinaan dengan olahan tulisan dan
tayangan video. Antara siri-siri kekufuran tersebut ialah:
Di Negara kita sendiri sebagai contoh, telah berlaku beberapa kali penghinaan
terhadap Nabi S.A.W. Pada 4 November tahun 2000 sebuah artikel yang
bertajuk "Let Islam Lead The Way With Its Progressive View On
Sexuality" dalam akhbar NST yang ditulis oleh Farish Noor
menyebut, "The fact that Prophet had several wives and was known
to have had sexual relation with 15 women, with included the concubine Rayhana
who remained non Muslim all her life is proof of the humanity of the
prophet". (Fakta bahawa Nabi mempunyai beberapa orang isteri dan
diketahui telah mengadakan hubungan seks dengan 15 wanita termasuk seorang
gundik bernama Rayhana yang tidak Islam sehingga akhir hayatnya adalah bukti
mengenai sifat kemanusiaan Nabi).
Akhbar yang sama melalui penulis yang sama telah memuatkan artikel
bertajuk "The Myth Surrounding the Islamic State" (NST 1
Disember 2001):
"The Prophet himself, in his specific historical context, was a tribal
leader, and so the early oath of a allegiance given to him were given as
atribal leader than just a religious leader" (Nabi sendiri dalam
konteks sejarahnya adalah seorang pemimpin suku liar - tidak bertamadun - dan
oleh kerana itu ketaatan awal kepada Nabi diberi kerana Nabi adalah pemimpin
suku lebih daripada pemimpin agama)
Pada tahun 1997, seorang wanita Yahudi Israel, Tatyana Suskin (26) telah
membuat dan menyebarkan dua puluh poster yang menghina Islam dan Nabi Muhammad
S.A.W. Di antaranya ialah poster seekor babi yang tertulis kalimah 'Muhammad'
dengan pensil di kakinya yang menulis di atas Al-Quran. Lakaran biadab wanita
Yahudi ini juga telah diterbitkan dalam beberapa akhbar di Barat.
Pada tahun 2002, dimuat tulisan jurnalis Nigeria, Isioma Daniel tentang Rasul
dan Miss World. Pertandingan ratu cantik ini juga bertujuan untuk
memperlekehkan pelaksanaan Syariah Islam di Nigeria.
Pada tahun 2004, dirilis filem dibawah garapan produser Theo Van Gogh yang
menghina Islam dan Nabi Muhammad S.A.W. Dokumentari ini yang kononnya sebagai
ekspresi kebebasan berkarya dengan memasukkan penghinaan terhadap Islam dan
Nabi S.A.W. Golongan liberal kapitalisme ini sentiasa menunjukkan kebencian
mereka kepada orang yang beriman.
Pada 27 Mac 2008, salah seorang Menteri Kabinet Belanda iaitu Geert Wilders
telah menjadikan filem kontroversinya, 'Fitna' untuk memburukkan Islam. Sedutan
tayangan itu telahpun dilakukan dalam sebuah rancangan primetime di ABC News
yang berjudul ‘What Would You Do?’. Dengan berbekalkan kefahaman tekstual
terhadap zahir ayat-ayat al Quran, Wilders telah meletak video-video terrorist
untuk menunjukkan bahawa ia adalah perbuatan Muslim. Ketika ditemuramah, Geert
Wilders mendakwa al Quran yang dimiliki umat Islam perlu diharamkan kerana ia
menyerupai buku Hitler, Mein Kampf.
Antara babak yang diputar-tayang ialah petikan video pesawat kapal terbang
menghentam World Trade Center pada tanggal 11 September 2001. Setelah itu
ditampilkan bacaan ayat al Quran, seolah-olah ayat tersebut memaknai kejadian
11/9. Episod-episod simpati 11 September itu beralun-alun dengan suara mangsa,
menjadikan filemnya itu mewakili perasaan rakyat Amerika pada 11/9. Sedangkan,
masyarakat Barat sendiri semakin ghairah ingin mengenali dan memeluk Islam
selepas peristiwa 11/9.
Apa yang dilakukan oleh Wilders telah memahat reaksi bekas setiausaha utama
OIC, Prof. Ekmeleddin Ihsanoglu terhadap fenomena 'kebebasan bersuara’:
"We must not allow freedom of speech to be used as a cover to insult
religion." (Kita tidak harus membenarkan kebebasan bercakap untuk
digunakan sebagai permulaan untuk menghina agama)
Begitupun sikap yang sejalan dengan al Quran sebagaimana yang ditunjukkan
apabila menghadapi orang-orang jahil, ialah :
"Dan hamba-hamba
(Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan
sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan
kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari
perkara yang tidak diingini" - Surah Al Furqan:63
Kata Dr. Yusuf al Qardhawi berhubung perbuatan Wilders, "Kami
bukanlah (umat yang gemar) memulakan provokasi dan juga tentangan, sebaliknya
kami adalah umat yang sejahtera (Salam) dan perkataan 'Salam' merupakan antara
nama-nama Allah yang suci dan ditinggikan."
Namun, hari ini umat Islam
dikejutkan lagi dengan satu trailer pendek oleh musuh-musuh Islam yang menghina
batang tubuh mulia Baginda S.A.W. Trailer ini telah dimuat naik di dalam laman
youtube pada 2 Julai 2012 yang lalu, dan kemudian syarikat google menegaskan
untuk tidak membuang video tersebut untuk terus menjadi paparan bagi sesiapapun
yang melayari internet.
Selaku seorang Muslim, isi kandungan yang dipaparkan di dalam video yang
berdurasi 14 minit ini hanya mendatangkan kemarahan di dalam diri umat Islam.
Video ini sekali lagi telah menghina Baginda Nabi S.A.W dengan perwatakan
sebagai seorang lelaki yang womanizer - 'gila perempuan'. Bukan itu sahaja,
bahkan individu yang terlibat dalam menghasilkan video ini turut menghina
al-Quran dan Para Sahabat R.A.H. Antara skrip yang digunakan di dalam video ini
adalah;
“My age has exceeded 120 years and the all my young life, I have not seen
such a murderers against Muhammad. He kills men, captures women and children…”
Kemudiannya wanita tua itu diseksa dengan cara yang sungguh mengaibkan dan
sangat bertentangan dengan syariat Islam dan juga peribadi Nabi S.A.W. Sebagai
umat Islam kita wajib cakna dan rasa marah dengan isu yang dipermainkan oleh
pihak-pihak tertentu ini. Filem ini telah dihasilkan sepenuhnya oleh Sam Bacile
dengan paparan Islam sebagai agama kebencian. Menurutnya dia mendapat suntikan
dana sebanyak $5 juta daripada 100 penderma Yahudi.
Filem yang melabel Baginda S.A.W sebagai ‘fraud, a womanizer and a
madman’ ini telah mencetuskan kemarahan umat Islam di beberapa negara
Timur Tengah seperti Mesir dan Libya. Rakyat Mesir dilaporkan telah
mengadakan perarakan beramai-ramai ke kedutaan US di Kaherah dengan
laungan “Say it don’t fear. Their ambassador must leave”.
Justeru untuk kesekian kalinya, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) turut meminta
seluruh pemuda untuk berhimpun aman pada 21 September 2012, bersamaan hari
Jumaat di hadapan Kedutaan Amerika untuk menyatakan bantahan kita. Pihak
DPPM berharap agar setiap Muslim di pelusuk tanah airdapat turun untuk
meramaikan himpunan ini, kerana ia menjadi kewajiban untuk kita mengutuk
sekeras-kerasnya penerbitan video seperti ini di hadapan mereka.
sesiapa yang merasa diri telah
melontarkan penghinaan dan perlecehan terhadap Rasulullah taubatlah segera,
kerana seseorang itu belum dinamakan seorang beragama Islam sekiranya tidak
mengaku Nabi Muhammad itu adalah Rasulullah yang di utus oleh Allah dari
kalangan manusia yang terpilih .