"Katakanlah: Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata, Maha Suci Allah, dan tiada aku termasuk di antara orang-orang yang musyrik" (QS Yusuf:108)

16 February, 2015


IKHLAS

Kalaulah ILMU itu berguna tanpa AMAL, niscaya Allah Subhanahu wa Taala tidak akan mencela ahlul kitab, sebagaimana Firman Allah Subhanahu wa Taala:

مَثَلُ الَّذِينَ حُمِّلُوا التَّوْرَاةَ ثُمَّ لَمْ يَحْمِلُوهَا كَمَثَلِ الْحِمَارِ يَحْمِلُ أَسْفَاراً بِئْسَ مَثَلُ الْقَوْمِ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِ اللَّهِ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ

(Sifat-sifat Nabi Muhammad itu telahpun diterangkan dalam Kitab Taurat tetapi orang-orang Yahudi tidak juga mempercayainya, maka) bandingan orang-orang (Yahudi) yang ditanggungjawab dan ditugaskan (mengetahui dan melaksanakan hukum) Kitab Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungjawab dan tugas itu, samalah seperti keldai yang memikul bendela Kitab-kitab besar (sedang ia tidak mengetahui kandungannya). Buruk sungguh bandingan kaum yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah; dan (ingatlah), Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim. (Surah Al-Jumuah: 5)

Dan Firman Allah Subhanahu wa Taala lagi:

أَتَأْمُرُونَ النَّاسَ بِالْبِرِّ وَتَنسَوْنَ أَنفُسَكُمْ وَأَنتُمْ تَتْلُونَ الْكِتَابَ أَفَلاَ تَعْقِلُونَ

Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal? (Surah Al-Baqarah: 44)

Dengarlah: Bahawasanya setiap umat Islam yang teliti keimanannya, dan yang bersungguh-sungguh mencari jalan keselamatan harus mengenal serta mengamalkan-nya. Dengan itu akan kukuh iman-nya, teguh hakikatnya serta tetap furunya (Cabang-cabangnya). Maka ketika itu segala amalan-nya akan muncul bersih penuh ikhlas, Insya Allah.

Yang penting sekali ialah ikhlas, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Taala:

أَلَا لِلَّهِ الدِّينُ الْخَالِصُ وَالَّذِينَ فَاعْبُدِ اللَّهَ مُخْلِصاً لَّهُ الدِّينَ

Oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat dan bawaanmu kepadaNya. Ingatlah! (Hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (dari segala rupa syirik). (Surah Az-Zumar: 2-3)

Firman Allah Subhanahu wa Taala Lagi:

فَادْعُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ

Oleh itu maka sembahlah kamu akan Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya (dan menjauhi bawaan syirik), sekalipun orang-orang kafir tidak menyukai (amalan kamu yang demikian). (Surah Al-Muminin/Ghaffir: 14)

Firman Allah Subhanahu wa Taala kepada Nabi Muhammad Sallallahu alaihi Wasallam:

قُلْ إِنِّي أُمِرْتُ أَنْ أَعْبُدَ اللَّهَ مُخْلِصاً لَّهُ الدِّينَ

Katakanlah lagi (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat kepadaNya. (Surah Az-Zumar: 11)

قُلِ اللَّهَ أَعْبُدُ مُخْلِصاً لَّهُ دِينِي

Katakanlah lagi: "Allah jualah yang aku sembah dengan mengikhlaskan amalan ugamaku kepadaNya. (Surah Az-Zumar: 14)

Firman Allah Subhanahu wa Taala lagi:

وَاذْكُرْ فِي الْكِتَابِ مُوسَى إِنَّهُ كَانَ مُخْلَصاً وَكَانَ رَسُولاً نَّبِيّاً

Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Musa; sesungguhnya ia adalah seorang tulus-ikhlas, dan dia juga seorang Rasul, dan Nabi. (Surah Maryam: 51)

Ayat-ayat seumpama ini banyak terkandung didalam Al-Quran.

Walaubagaimanapun, jika AMAL itu tidak disertai dengan keikhlasan, niscaya sia-sialah perbuatannya dan Allah Subhanahu wa Taala mencela orang-orang munafik dalam firmannya yang bermaksud:

Firman Allah Subhanahu wa Taala:

إِنَّ الْمُنَافِقِينَ يُخَادِعُونَ اللّهَ وَهُوَ خَادِعُهُمْ وَإِذَا قَامُواْ إِلَى الصَّلاَةِ قَامُواْ كُسَالَى يُرَآؤُونَ النَّاسَ وَلاَ يَذْكُرُونَ اللّهَ إِلاَّ قَلِيلاً

Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap ugama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang). (Surah An-Nisaa: 142)

Dan Firman Allah Subhanahu wa Taala selanjutnya:

مُّذَبْذَبِينَ بَيْنَ ذَلِكَ لاَ إِلَى هَـؤُلاء وَلاَ إِلَى هَـؤُلاء وَمَن يُضْلِلِ اللّهُ فَلَن تَجِدَ لَهُ سَبِيلاً

Mereka berkeadaan "muzabzab" (tidak mempunyai pendirian yang tetap) antara (iman dan kufur) itu; mereka tidak berpihak terus kepada golongan (kafir) dan tidak pula berpihak kepada golongan (yang beriman). Dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka engkau (wahai Muhammad) tidak sekali-kali akan mendapat jalan untuk menyelamatkannya. (Surah An-Nisaa: 143)

Oleh kerana itu amal ibadah seorang hamba hanya diterima oleh Allah Subhanahu wa Taala jika memenuhi dua syarat, iaitu:

1.         Amal harus berlandaskan dan bersesuaian dengan sunnah Nabi Sallallahu alaihi Wasallam, dan syariat Islam.

Adapun fardhu yang wajib iaitu, Beriman kepada Allah Subhanahu wa Taala. Kita mengetahui, mengaku dan menyaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah yang Esa, dan tiada sekutu bagi-Nya. Dan bahawasanya Dialah yang awal (pertama) dan yang akhir (penghabisan) yang zahir dan Bathin, Pencipta, Pembentuk, Pelukis, Pemberi rezeki, Dia yang menghidupkan dan mematikan, dan kepada-Nya kembalilah segala sesuatu.

Dan bahawasanya Muhammad Sallallahu alaihi Wasallam itu adalah hamba dan utusan Allah Subhanahu wa Taala dan Rasul-Nya. Baginda telah membawa risalah kebenaran daripada Tuhan yang Benar.

Hendaklah semua yang disebut diatas menjadi itikat kita secara lahir secara lisan oleh lidah, tanpa syak dan ragu-ragu. Manakala hati kita pula menerimanya dengan tenang tidak meragui segala yang telah kita percaya dengan batin dan mengaku dengan lidah kita.

Tidak boleh kita menentang segala ajaran yang diturunkan oleh Allah Subhanahu wa Taala ke atas lisan Nabi Muhammad Sallallahu alaihi Wasallam.  Bersesuaian dengan firman Allah Subhanahu wa Taala:

فَلاَ وَرَبِّكَ لاَ يُؤْمِنُونَ حَتَّىَ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لاَ يَجِدُواْ فِي أَنفُسِهِمْ حَرَجاً مِّمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُواْ تَسْلِيماً

Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya. (Surah An-Nisaa: 65)

Kita juga tidak boleh menyimpang dari ajaran Nabi Muhammad Sallallahu alaihi Wasallam dan para sahabat-nya serta para imam yang mendapat petunjuk daripada Allah Subhanahu wa Taala kerana mereka itu adalah sebagai cermin dan contoh tauladan bagi orang ramai yang datang sesudah mereka dari golongan orang-orang yang menerima taufik hidayah dan petunjuk dari Allah Subhanahu wa Taala.

2.         Amal itu harus disertai dengan keikhlasan, niat yang murni semata-mata kerana Allah Subhanahu wa Taala. Ini adalah sebagai syarat kebenaran bathin.

Rasulullah Sallallahu alaihi Wasallam bersabda:

Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Taala tidak akan menerima sesuatu amalan melainkan ikhlas kepadaNya, dan ditujukan hanya untukNya (Hadits Riwayat: Abu Daud dan An-Nasa-i)

Hendaklah seseorang hamba itu menujukan segala perhatiannya kepada Allah Subhanahu wa Taala semata-mata dalam segala amalan, perbuatan dan gerak-gerinya, sama ada yang lahir mahupun yang bathin.

Sebagi contoh: Mengendali dan mengurus diri dan hatinya dengan pemikiran dan ilmu pengetahuan-nya, memelihara baik segala kehendaknya, menuju kepada Allah Subhanahu wa Taala dalam segala perkaranya, tidak menginginkan pujian atau penghargaan dari orang lain, dan tidak merasa bangga dengan amalan-nya apabila diketahui oleh orang lain.

Dalam pada itu, kita harus merasa bimbang terhadap perbuatan dan kelakuan diri kita yang salah dan buruk walaupun aib tersebut telah ditutup oleh Allah Subhanahu wa Taala dari pandangan orang ramai, sedangkan semuanya itu tidak pula tersembunyi dari pengetahuan Allah Subhanahu wa Taala.

Jika bathin seseorang itu lebih buruk dari zahirnya, maka itulah yang dikatakan kezaliman. Jika bathin dan zahir  seimbang, maka itulah yang dikatakan keadilan. Jika bathin lebih baik dari zahir, maka itulah yang paling utama.

MAKNA IKHLAS

IKHLAS bererti bersih dan murni. Sedangkan secara istilah IKHLAS ialah:

1.         Menghindari sifat riya dan mengharapkan puji-pujian dari manusia.

2.         Menyucikan tujuan dan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Taala dari berbagai kecenderungan (tendensi) pribadi.

3.         Melakukan ibadah hanya untuk mencari keredhaan Allah Subhanahu wa Taala semata-mata dan menyucikan perbuatan dari segala bentuk kesenangan duniawi, seperti keinginan terhadap kemewahaan, kedudukan, pangkat, harta, populariti simpati orang lain, pemuas hawa nafsu dan penyakit- penyakit lain yang dapat merosakkan amal yang dilakukan.

Allah Subhanahu wa Taala berfirman:

قُلْ إِنَّ صَلاَتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. (Surah Anaam: 162)

Dan Firman Allah Subhanahu wa Taala seterusnya:

لاَ شَرِيكَ لَهُ وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَاْ أَوَّلُ الْمُسْلِمِينَ

Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama - (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya)". (Surah Anaam: 163)

KEUTAMAAN IKHLAS

Terdapat banyak ayat-ayat yang terkandung di dalam Al-Quran yang memerintahkan manusia agar bersikap ikhlas seperti yang tertera diatas. Ikhlas itu erat sekali hubungannya dengan tauhid yang murni iaitu suatu aqidah yang benar dan tujuan yang jelas, bahkan merupakan hakikat Dien dan kunci dakwah para rasul.

Sebagaimana Firman Allah Subhanahu wa Taala:

وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاء وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ وَذَلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ

Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Ugama yang benar. (Surah Al-Bayyinah: 5)

1.         Allah Subhanahu wa Taala melindungi orang yang ikhlas dari perbuatan buruk dan keji, sebagaimana Allah Subhanahu wa Taala menyelamatkan dan melindungi Nabi Yusuf 'alaihissalam dari pujuk rayu Zulaihah yang mengajaknya berbuat mesum (perbuatan yang  tidak senonoh) kerana keikhlasan Nabi Yusuf 'alaihissalam.

Allah Subhanahu wa Taala berfirman:

Dan sebenarnya perempuan itu (Zulaihah) telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa. (Surah Yusuf: 24)

2.         Syaitan tidak berdaya menggoda dan menyesatkan orang-orang yang ikhlas sebagaimana Firman Allah Subhanahu wa Taala:

إِلاَّ عِبَادَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِينَ قَالَ رَبِّ بِمَا أَغْوَيْتَنِي لأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِي الأَرْضِ وَلأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ

Iblis berkata: " Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dari sebarang syirik)" (Surah Al-Hijr: 39-40)

3.         Orang yang ikhlas tetap mendapat balasan yang sempurna dari Allah Subhanahu wa Taala, meskipun amal itu tidak dilaksanakan atau diselesaikan.

Firman Allah Subhanahu wa Taala:

Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah An-Nisaa: 100)

Dan Nabi Sallallahu alaihi Wasallam bersabda:

مَنْ أَتَى فِرَاشَهُ، وَهُوَ يَنْوِي أَنْ يَقُوْمَ يُصَلِّي مِنَ اللَّيْلِ، فَغَلَبَهُ النَّوْمُ حَتَّى يُصْبِحَ، كُتِبَ لَهُ مَا نَوَى، وَكَانَ نَوْمُهُ صَدَقَةً مِنْ رَبِّهِ عَزَّ وَجَلَّ.

Barangsiapa yang mendatangi tempat tidurnya dengan niat akan bangun solat malam (Tahajuud) dari sebahagian waktu malamnya, namun tertidur hingga pagi hari, maka tetap ditulis (pahala) baginya, seperti apa yang diniatkan-nya, sedangkan tidurnya itu dinilai sedekah dari Rabb-nya. (Hadits Riwayat NasaI dan Ibnu Majah)

4.         Pertolongan Allah Subhanahu wa Taala terhadap umat ini juga disebabkan oleh doa, solat dan keikhlasan orang-orang yang lemah.

Nabi Sallallahu alaihi Wasallam bersabda:

إِنما ينصُر الله هذه الأمةَ بضعيفها: بدعوتِهم، وصلاتِهم، وإِخلاصهم

Sesungguhnya Allah menolong umat ini dengan orang-orang yang lemah: dengan doa, solat dan keikhlasan mereka. (Hadits Riwayat: Nasai)

TANDA-TANDA KEIKHLASAN

Tanda-tanda keikhlasan itu dapat dilihat dari kehidupan, perilaku dan persepsi seseorang baik terhadap diri sendiri mahupun terhadap orang lain.

Diantaranya adalah:

1.         Bersungguh-sungguh dan terus-menerus dalam melakukan amal, sama ada dikala sepi atau ramai. dipuji atau dicela namun masih tetap tekun dan teguh beramal. Lain dengan orang yang riya iaitu malas beramal jika bersendirian, namun bersungguh-sungguh jika di kalangan khalayak ramai, menambahkan amalnya jika dipuji dan berkurang amalnya bahkan berhenti jika dicela.

2.         Takut akan kemasyuran dan populariti sehingga ia berusaha menyembunyikan amal kebaikan-nya sebagaimana ia menyembunyikan kejelekan-nya.

Nabi Sallallahu alaihi Wasallam bersabda:

وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ فَأَخْفَاهَا حَتَّى لاَ تَعْلَمُ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِيْنُهُ

Seseorang yang bersedekah dengan menyembunyikannya hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya…” (Hadits Riwayat al Bukhari & Muslim dari sahabat Abu Hurairah) 

Gambaran ini menyatakan kepada kita bahawa manusia yang ikhlas, beramal semata-mata untuk mengharapkan keredaan daripada Allah Subhanahu wa Taala, bukan sanjungan dan puji-pujian daripada manusia lain. Namun ini pula tidak bermakna kita tidak dibolehkan bersedekah secara terang-terangan, tetapi bersedekah secara senyap adalah lebih baik daripada terang-terangan sebab ianya lebih selamat dan dapat  melindungi kita daripada sifat riya' dan takabbur.

3.         Lebih mengutamakan keredhaan Allah Subhanahu wa Taala daripada keredhaan manusia, cinta dan marahnya kerana Allah Subhanahu wa Taala. Beza dengan orang yang didalam hatinya ada penyakit nifaq, ia menjadi redha dan marahnya hanya kalau ada keuntungan duniawi dan mereka ini dicela oleh Allah Subhanahu wa Taala dalam Quran dengan Firman-Nya:

وَمِنْهُم مَّن يَلْمِزُكَ فِي الصَّدَقَاتِ فَإِنْ أُعْطُواْ مِنْهَا رَضُواْ وَإِن لَّمْ يُعْطَوْاْ مِنهَا إِذَا هُمْ يَسْخَطُونَ

Dan di antara mereka ada yang mencelamu (wahai Muhammad) mengenai (pembahagian) sedekah-sedekah (zakat); oleh itu jika mereka diberikan sebahagian daripadanya (menurut kehendak mereka), mereka suka (dan memandangnya adil); dan jika mereka tidak diberikan dari zakat itu (menurut kehendaknya), (maka) dengan serta- merta mereka marah. (Surah At-Taubah: 58)

PERKARA-PERKARA YANG MEROSAK KEIKHLASAN

Cintakan puji- pujian dan sanjungan, takut akan celaan manusia serta tamak dan dengki terhadap apa yang ada pada orang lain adalah perkara-perkara yang dapat merosak keikhlasan.

يَا رَسُوْلَ اللهِ، اَلرَّجُلُ يُقَاتِلُ شَجَاعَةً، وَيُقَاتِلُ حَمِيَّةً، وَيُقَاتِلُ رِيَاءً، فَأَيُّ ذَلِكَ فِيْ سَبِيْلِ اللهِ؟ فَقَالَ: مَنْ قَاتَلَ لِتَكُوْنَ كَلِمَةَ اللهِ هِيَ الْعُلْيَا فَهُوَ فِيْ سَبِيْلِ اللهِ.

Wahai Rasulullah, seseorang berperang (kerana ingin dikatakan) berani, seorang (lagi) berperang (kerana ingin dikatakan) gagah, seorang (lagi) berperang kerana riya (ingin dilihat orang), maka yang mana yang termasuk jihad di jalan Allah? Kemudian Rasulullah Shallallahu alaihi wa sallam berkata, Barangsiapa yang berperang (dengan tujuan) untuk menjadikan kalimat Allah yang paling tinggi, maka ia (berada) fii sabiilillaah (di jalan Allah). (Hadits Riwayat: Bukhari dan Muslim)

Orang yang ikhlas adalah orang yang membersihkan dan memurnikan amal perbuatannya hanya untuk Allah Subhanahu wa Taala semata-mata dan tekadnya adalah meninggikan kalimat Allah Subhanahu wa Taala dan mencari redha-Nya dan itulah yang termasuk Fi Sabilillah (dijalan Allah)

Adapun orang yang telah berbuat baik dengan ikhlas lalu ia dipuji dan disanjung oleh orang lain atas kebaikan-nya itu dan ia sendiri tidak mengharapkan pujian dan sanjungan, maka ia tidak termasuk orang yang riya atau gugur keikhlasannya.

Sebagaimana diceritakan dalam hadits:

Telah disebutkan dalam riwayat Muslim, dari hadits Abu Dzarr Radliyallahu Anhu, dia berkata, "Ada orang yang bertanya, "Wahai Rasulullah, bagaimana pendapat engkau tentang orang yang mengerjakan suatu amal dari kebaikan dan orang-orang memujinya?" Beliau menjawab, "Itu merupakan kabar gembira bagi orang Mukmin yang diberikan lebih dahulu di dunia." Namun jika dia ta'ajub agar orang-orang tahu kebaikannya dan memuliakannya, berarti ini adalah riya'.

USAHA-USAHA UNTUK MERAIH KEIKHLASAAN

1.         Ilmu yang mantap dan mendalam yang dapat menanamkan hatinya tentang kepentingan ikhlas, keutamaan dan kedudukannya dalam melakukan amal.

2.         Bergaul dengan orang-orang yang shalih dan mukhlis.

3.         Membaca sirah (perjalanan hidup) orang-orang yang ikhlas untuk dijadikan

           teladan dan pedoman

4.         Bersungguh-sungguh dalam melawan dan menundukkan hawa nafsu

5.         Berdoa dan memohon pertolongan kepada Allah Subhanahu wa Taala agar diberi kemudahan, kekuatan dalam meraih keikhlasan dan dijauhkan dari riya yang termasuk syirik, yang boleh menguggurkan nilai amal.

Doa yang diajar Rasulullah Sallallahu alaihi Wasallam adalah:

اللَّهُمَّ إنِّي أَعُوذُ بِك أَنْ أُشْرِكَ بِك وَأَنَا أَعْلَمُ وَأَسْتَغْفِرُك لِمَا لَا أَعْلَمُ

"Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari perbuatan syirik (menyekutukan-Mu) sedangkan aku mengetahuinya. Dan aku memohon ampun kepada-Mu terhadap kesyirikan yang tidak aku ketahui." (Hadits Riwayat: Ahmad, al Thabrani dan lainnya. Dihasankan oleh Syaikh al Albani dalam Shahih al Targhib wa al Tarhib. Ibnu Taimiyah dalam Majmu' Fatawa: 2/158, menyebutkannya dari Abi Hatim dalam shahihnya)

Wallahu a'lam bishshawab, wassalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh,

POSTED BY: HUSZAINI
EDIT BY: MOHD SHA'AMIL

No comments: