"Katakanlah: Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata, Maha Suci Allah, dan tiada aku termasuk di antara orang-orang yang musyrik" (QS Yusuf:108)

28 February, 2015



Masalah Solat Hajat

Zaman sekarang memang ramai yang mengamalkan Solat Hajat. Apa-apa hal pun akan Solat Hajat: anak hendak menghadapi peperiksaan, Solat Hajat; Hujan tak turun, Solat Hajat; ada ahli keluarga jatuh sakit, Solat Hajat. Kalau dulu, untuk menghadapi peperiksaan, hanya dilakukan Solat Hajat biasa sahaja, dibuat di sekolah-sekolah. Sekarang, dengar khabarnya, pensel, pemadam dan pembaris pelajar-pelajar yang akan menghadapi peperiksaan diletakkan di hadapan. Tidak mustahil, tidak lama lagi, anak-anak murid itu yang akan diletakkan di hadapan nanti. Tetapi, anak-anak orang Islam yang tidak mengulangkaji pelajaran tetap tidak mendapat keputusan yang baik dan anak-anak bukan Islam yang mengulangkaji juga yang berjaya. Saya harap belum ada lagi dialog sebegini: “Din, kenapa awak gagal? Bukan itu hari sekolah ada buat itu sembahyang di dewan kah? Apa Tuhan awak tidak tolong awak kah?”

Yang dipanggil untuk melakukan Solat Hajat itu adalah ahli-ahli surau, ahli-ahli masjid, mereka yang terlibat dengan projek yang hendak dihajatkan dan sebagainya. Lagi ramai, lagi bagus. Kalau musim pilihanraya, satu ADUN itu akan bersolat Hajat. Kalau ada projek, mereka yang terlibat akan dipanggil. Kalau nak buat bangunan, solat Hajat itu akan diadakan atas tapak bangunan itu, kalau nak buat jambatan, solat di jambatan, kalau nak minta bot nelayan banyak tangkap ikan, solat atas bot. Seumpama mereka nak beritahu Allah, itulah tempat yang mereka maksudkan, takut Allah tak tahu pula.

Memang kita digalakkan untuk meminta pertolongan kepada Allah dengan cara solat. Seperti Allah firman dalam Surah Al-Baqarah ayat 45:

وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى الْخَاشِعِينَ
“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk”.

Memang sunnah Nabi pun kalau ada masalah, Baginda akan solat. Ada angin kuat, contohnya, Baginda akan solat. Malam-malam juga, baginda akan solat sunat sambil mengadu dengan Allah. Kerana solat ini ‘tali’ kita dengan Allah. SILATUrrahim itu tali persaudaraan kan? Maka SOLAT itu tali kita dengan Allah. Maka, memang elok kalau kita mengerjakan solat sunat dan selepas solat itu, kita berdoa kepada Allah, memohon pertolongan Allah. Ini adalah sunnah.

Tapi, ‘Solat Hajat’ itu tidak ada. Itu adalah rekaan baru dalam agama. Kalau Nabi dan sahabat ada masalah, mereka akan solat. Tapi itu adalah solat sunat biasa sahaja. Tidak ada nama yang diberikan. Dalam erti kata lain, ianya adalah Solat Sunat Mutlak. Memang tak perlu ada nama pun diberikan kepada solat sunat itu. Bukan perlu untuk kita lafazkan niat kita – oleh itu, lafaz niat usolli …. itu sendiri memang tidak ada. Lafaz niat usolli itu pun dah bida’ah dah. Tapi itu adalah perbincangan lain pula.

Masalahnya, apabila diberi nama khusus (Solat Hajat), maka kenalah cipta pula cara (kaifiat) solat itu. Apa nak baca rakaat pertama dan kedua, baca doa masa mana, masa sujud dan sebagainya. Bida’ah ini kalau dimulakan, mula diberi ruang, ia akan membuka semakin banyak bida’ah. Sampaikan ada yang dinamakan Solat Hajat Kaki Tunggal. Iaitu Solat Hajat dalam keadaan angkat satu kaki. Bagaimana pula kalau di masa hadapan disuruh angkat dua-dua kaki, macam mana?

Kemudian tambah lagi cara. Kena buat ramai-ramai berjemaah supaya lebih ramai desak Allah.

Kemudian kena panggil orang alim yang solatkan. Kerana kalau diimamkan oleh orang yang alim dan warak kononnya, doa itu lebih makbul.

Kemudian apabila sudah ramai yang menghadiri Solat Hajat itu, kena pula dibuat kenduri. Kerana mereka rasa takkan datang ke rumah tidak diberi makan dan minum pula?

Kemudian orang alim tu takkan datang sendiri, kena diberikan tambang datang ke tempat solat.

Kemudian takkan tidak diberi sedikit wang kepada imam itu sebagai upah, kerana tentunya imam itu juga perlu hidup dan punca pendapatan, bukan?

Tawasul

Menggunakan ‘Orang Alim’ sebagai imam dengan sangkaan bahawa doa imam itu lebih makbul; dan iktikad bahawa jemaah yang ramai akan lebih memakbulkan permintaan itu adalah termasuk menggunakan ‘perantaraan’ atau ‘tawasul’. Ini adalah tawasul yang dilarang. Allah kata ini kufur dalam Surah Az-Zumar ayat 3:

أَلَا لِلَّهِ الدِّينُ الْخَالِصُ وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مِن دُونِهِ أَوْلِيَاء مَا نَعْبُدُهُمْ إِلَّا لِيُقَرِّبُونَا إِلَى اللَّهِ زُلْفَى إِنَّ اللَّهَ يَحْكُمُ بَيْنَهُمْ فِي مَا هُمْ فِيهِ يَخْتَلِفُونَ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي مَنْ هُوَ كَاذِبٌ كَفَّارٌ
“Ingatlah! (Hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (dari segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): "Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya", - sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka (dengan orang-orang yang tidak melakukan syirik) tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik)”.

Asal ayat ini adalah berkenaan Musyrikin Mekah yang mengatakan mereka menyembah berhala itu kerana mereka iktikad bahawa berhala-berhala itu akan mendekatkan diri mereka dengan Allah. Dan supaya doa mereka lebih makbul kerana disampaikan oleh berhala-berhala itu. Mereka menganggap bahawa mereka memerlukan perantara atau broker antara mereka dan Allah. Itu adalah anggapan yang salah dan jauh tersasar. Allah tidak pernah mengatakan yang Dia memerlukan perantaraan makhluk lain dalam doa. Dan kalau kita mempunyai anggapan yang sama dengan Musyrikin Mekah itu – iaitu memerlukan makhluk lain sebagai perantara antara kita dan Allah dalam berdoa, itu bermaksud kita pun mempunyai iktikad seperti orang kafir juga.


Memberi Upah Dalam Ibadat

Memberi wang kepada imam dan makmum untuk melakukan ibadat adalah dilarang. Allah berfirman bahawa ibadat yang diberikan upah akan membatalkan ibadat itu dalam SurahHud ayat 15:

مَن كَانَ يُرِيدُ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا وَزِينَتَهَا نُوَفِّ إِلَيْهِمْ أَعْمَالَهُمْ فِيهَا وَهُمْ فِيهَا لاَ يُبْخَسُونَ
“Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh Al-Quran tentang sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya”.

Allah memberitahu kita bahawa mereka yang melakukan ibadat kerana hendakkan bayaran dan kelebihan dalam dunia, Allah akan berikan apa yang mereka mahukan itu. Mereka hendak dunia, Allah akan beri dunia itu kepada mereka. Tapi Allah sambung lagi dalam ayat seterusnya:

أُوْلَـئِكَ الَّذِينَ لَيْسَ لَهُمْ فِي الآخِرَةِ إِلاَّ النَّارُ وَحَبِطَ مَا صَنَعُواْ فِيهَا وَبَاطِلٌ مَّا كَانُواْ يَعْمَلُونَ
Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka, dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batalah apa yang mereka telah kerjakan. (Surah Hud: 16)

Lihatlah balasan kepada mereka yang mahukan upah dalam ibadat mereka – Allah akan masukkan mereka ke dalam neraka! Dan ibadat yang mereka lakukan itu terbatal! Tidak ada nilai.

Kenapakah manusia mengamalkan Solat Hajat itu? Asalnya adalah kerana mereka ada penyakit ‘syak’ kepada Allah. Iaitu mereka sangka kalau mereka solat sendiri, doa sendiri, Allah tak dengar, tak layan. Bayangkan, kalau kita syak dengan kawan dan keluarga kita pun, mereka dah marah. Tambahan pula kalau kita ada syak dengan Allah. Bahaya penyakit syak kepada Allah ini telah disebut dalam Surah Al-Baqarah ayat 10:

فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٌ فَزَادَهُمُ اللَّهُ مَرَضًا وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ بِمَا كَانُوا يَكْذِبُونَ
Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).

Allah beritahu kepada kita dalam ayat ini bahawa perasaan syak itu adalah satu ‘penyakit’. Apabila mereka ada perasaan yang Allah tak dengar dan layan doa mereka kalau mereka doa sendiri, Allah akan tambah penyakit mereka itu – iaitu mereka mula melakukan amalan-amalan yang salah dan bida’ah. Sebagai contoh, Solat Hajat. Allah tambah lagi penyakit mereka itu apabila mereka beri upah pula atas ibadat itu. Maka bertimpa-timpa kesalahan yang mereka lakukan.

Masalahnya, orang kita salah faham dengan Allah. Mereka rasa Allah itu amat jauh. Itu sebab mereka reka cara Solat Hajat. Dengan berjemaah ramai-ramai, dengan cara-cara tertentu. Padahal dalam 2:186, Allah kata Dia rapat dengan kita dan akan jawab doa kita:

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُواْ لِي وَلْيُؤْمِنُواْ بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ
“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul”. (Surah Al-Baqarah: 186)

Lihatlah bagaimana Allah beritahu kita bahawa Dia amat rapat dengan kita dan akan jawap sendiri doa kita. Lihatlah juga bagaimana Allah menjawap persoalan dalam ayat itu. Mulanya, ayat bermula: “apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu“. Ini bermakna, apabila ada orang bertanya. Sepatutnya, Allah jawab dengan berfirman: ‘Katakan kepada mereka”. Tapi tidak. Sebaliknya, Allah terus jawap: “Sesungguhnya Aku sentiasa hampir”. Ini menunjukkan isyarat bahawa dalam menjawap soalan itu pun Allah tidak menggunakan perantaraan Nabi; Allah terus jawab sendiri.

Oleh itu, hendaklah kita berdoa TERUS kepada Allah, tanpa menggunakan perantaraan. Yang cara orang kita lakukan sekarang adalah cara yang salah. Solat hajat perdana lah, mega lah. Itu semua adalah bida’ah dholalah – bidaah yang sesat. Bukan Bida’ah Hasanah. Bukan begitu cara minta kepada Allah.

Apakah amalan tawasul dalam Solat Hajat? Pertama, mereka menggunakan perantaraan imam yang alim dalam buat solat itu. Keduanya, mereka menggunakan perantaraan ‘orang ramai’ dalam solat itu.

Mereka yang tidak doa TERUS kepada Allah disifatkan sebagai orang yang ‘sombong’ oleh Allah. Allah kata Allah nak masukkan ke dalam neraka sesiapa yang sombong nak doa kepada-Nya. Lihat ayat Surah Ghafir ayat 60:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ
Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan dimasukkan ke dalam neraka Jahannam dalam keadaan hina dina”.

‘Sombong’ berdoa itu adalah tidak terus kepada Allah, pakai perantaraan. Iaitu mereka hantar ‘wakil’ untuk minta dengan Allah. Apa perasaan kita kalau ada orang yang datang hendak minta tolong dengan kita, tapi dia tidak datang sendiri, sebaliknya dia hantar wakil? Tentulah kita kata ‘Eh, sombongnya dia, nak datang jumpa aku sendiri pun tidak mahu!”. Bayangkan, kita hendak minta sesuatu dengan Allah, tapi tak terus minta kepadaNya. Allah nak masukkan ke neraka dalam keadaan hina-dina orang yang macam itu.

Adakah dalil untuk Solat Hajat?

Ramai yang mengamalkan Solat Hajat ini adalah kerana ikut-mengikut amalan orang lain sahaja. Dan memang telah lama diamalkan dalam masyarakat kita pun. Kalau ditanya kepada mereka yang mengamalkannya, mereka akan jawap: “Amalan ini telah lama diamalkan oleh ulama-ulama dahulu, bukan baru sekarang dilakukan”; “Ada dalam kitab”. “Takkan mereka salah?” Mereka pun tak tahu samada ada dalil atau tidak amalan itu. Mereka tidak belajar. Dan tidak mahu belajar. Sebab itu mereka ikut membuta tuli sahaja. Orang buat, mereka ikut. Tetapi, persoalannya, adakah ada dalil amalan mereka itu?

Di dalam Jami’ Tirdmizi, ada satu tajuk berkenaan ‘Hajat’ dan Imam Tirmidzi membawakan satu hadis:

حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ عِيسَى بْنِ يَزِيدَ الْبَغْدَادِيُّ حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ بَكْرٍ السَّهْمِيُّ و حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مُنِيرٍ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ بَكْرٍ عَنْ فَائِدِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي أَوْفَى قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ كَانَتْ لَهُ إِلَى اللَّهِ حَاجَةٌ أَوْ إِلَى أَحَدٍ مِنْ بَنِي آدَمَ فَلْيَتَوَضَّأْ فَلْيُحْسِنْ الْوُضُوءَ ثُمَّ لِيُصَلِّ رَكْعَتَيْنِ ثُمَّ لِيُثْنِ عَلَى اللَّهِ وَلْيُصَلِّ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ لِيَقُلْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ الْحَلِيمُ الْكَرِيمُ سُبْحَانَ اللَّهِ رَبِّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ أَسْأَلُكَ مُوجِبَاتِ رَحْمَتِكَ وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ وَالْغَنِيمَةَ مِنْ كُلِّ بِرٍّ وَالسَّلَامَةَ مِنْ كُلِّ إِثْمٍ لَا تَدَعْ لِي ذَنْبًا إِلَّا غَفَرْتَهُ وَلَا هَمًّا إِلَّا فَرَّجْتَهُ وَلَا حَاجَةً هِيَ لَكَ رِضًا إِلَّا قَضَيْتَهَا يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ غَرِيبٌ وَفِي إِسْنَادِهِ مَقَالٌ فَائِدُ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ يُضَعَّفُ فِي الْحَدِيثِ وَفَائِدٌ هُوَ أَبُو الْوَرْقَاء

Terjemah:

Telah menceritakan kepada kami Ali bin Isa bin Yazid Al Baghdadi telah menceritakan kepada kami Abdullah bin Bakr As Sahmi dan telah menceritakan kepada kami Abdullah bin Munir dari Abdullah bin Bakr dari Fa’id bin Abdurrahman dari Abdullah bin Abu Aufa dia berkata, Rasulullah Shallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Barangsiapa yang mempunyai hajat (keinginan) kepada Allah atau kepada seseorang dari anak Adam, maka hendaklah dia berwudhu’ dengan menyempurnakan wudhu’nya, lalu melaksanakan salat dua raka’at, memuji kepada Allah, membaca Salawat kepada Nabi Sallahu ‘alaihi wa sallam, kemudian membaca:

“LAA ILAAHA ILLALLAAHUL HALIIMUL KARIIM, SUBHANALLAAHI RABBIL ‘ARSYIL ‘ADZIIM, AL HAMDULILLAAHI RABBIL ‘AALAMIIN, AS’ALUKA MUUJIBAATI RAHMATIKA WA AZAA’IMA MAGHFIRATIKA WAL GHANIIMATA MIN KULLI BIRRIN WAS SALAAMATA MIN KULLI ITSMIN, LAA TADA’ LI DZAMBAN ILLAA GHAFARTAHU WALAA HAMMAN ILLAA FARRAJTAHU WALAA HAAJATAN HIYA LAKA RIDLAN ILLA QADLAITAHA YAA ARHAMUR RADLIALLAHU ‘ANHAHIMIIN”

(Tidak ada Ilah yang berhak disembah selain Allah yang maha lembut lagi Maha Pemurah, Mahasuci Allah Rabb pemilik ‘Arsy yang Mahaagung, segala puji bagi Allah Rabb semesta Alam, aku mengharap rahmatMU, ketetapan hati (untuk meraih) ampunanMu, mendapatkan keberuntungan dengan segala kebaikan dan keselamatan dari segala perbuatan dosa, jangan Engkau biarkan dosa padaku kecuali Engkau mengampuninya, dan jangan Engkau biarkan kegundahan kecuali Engkau membukakannya, dan jangan Engkau biarkan kebutuhan-kebutuhan yang Engkau ridhai kecuali Engkau penuhi, wahai Dzat yang maha pengasih) “.

Abu Isa berkata, hadits ini gharib dan dalam sanadnya ada sesutatu yang perlu dibicarakan, Fa’id bin Abdurrahman telah dilemahkan dalam masalah hadits, dan Fa’id adalah ‘Abul Warqa’.

Hadis ini berstatus hadis dhaif jiddan kerana ada 2 perawi yang lemah. Apabila ada perawi yang lemah, maka ianya tidak boleh dijadikan hujah.

Dan kalau pun ianya tidak lemah, kalau kita lihat kepada matan hadis, perkataan yang digunakan adalah لِيُصَلِّ رَكْعَتَيْنِ “hendaklah dia bersolat”, iaitu merujuk kepada perbuatan berseorangan. Tidaklah ada suruhan untuk melakukan solat ini berjemaah.

Sedangkan kita tahu bahawa solat sunat hanya dilakukan berseorangan, kecuali jika ada nas perbuatan Nabi melakukannya berjemaah. Sebagai contoh, Solat Sunat Terawih, Istisqa’ dan Solat Gerhana, ada contoh Nabi melakukannya secara berjemaah. Tetapi solat sunat yang lain seperti Tahiyatul Masjid, solat ba’diah dan qabliah waktu, tidak ada contoh dari Nabi. Maka, kalau kita buat berjemaah, itu pun sudah dikira bidaah.

Tidak ada lagi dalil lain yang sampai kepada kita yang membolehkan dan menganjurkan Solat Hajat seperti yang dilakukan oleh masyarakat kita. Memang kita tahu ada lagi hujah-hujah mereka dengan dibawakan hadis-hadis dari perbuatan Nabi. Tapi tidaklah cukup kuat untuk mengatakan yang baginda ada melakukan Solat Hajat.

Kalaulah Solat Hajat ini baik, maka tentulah Nabi dan para sahabat telah melakukannya. Mereka lebih faham agama dari kita dan lebih kuat melakukan amal ibadat dari kita. Sedangkan mereka juga ada keperluan mendesak dalam kehidupan mereka.

Sebagai contoh, tidaklah Nabi dan sahabat melakukan Solat Hajat supaya dilembutkan hati Musyrikin Mekah untuk menerima Islam atau menahan mereka dari menindas kaum Muslim waktu itu; semasa mereka memulakan hijrah ke Madinah, tidaklah mereka buat Solat Hajat; tidaklah juga semasa di ambang Perang Badar, mereka pakat berjemaah melakukan Solat Hajat; dan peperangan-peperangan yang lain, yang jumlahnya hampir seratus kali peperangan. Sedangkan peperangan itu adalah perkara yang besar dan menentukan hidup dan mati. Bukan hanya hidup dan mati mereka, tapi hidup dan mati agama Islam sendiri. Kerana kalau mereka semuanya mati, tidak ada yang akan menyembah Allah sepertimana yang Allah kehendaki.

Adakah kita anggap Nabi dan para sahabat terlupa atau malas melakukannya? Atau lebih teruk lagi, kita anggap mereka tidak tahu cara melakukan Solat Hajat? Nauzubillahi min zaalik.

Jalan Penyelesaian

Masalahnya, orang kita tidak tahu cara berdoa, dan kerana itu, mereka putus punca bila ada masalah. Mereka tidak tahu cara mantap untuk berdoa kepada Allah. Itulah yang menyebabkan mereka mencari orang surau, orang ‘alim’ untuk buat Solat Hajat. Kerana pada mereka, itulah sahaja jalan penyelesaian cara ‘islamik’ yang mereka tahu. Tambahan pula, ianya dianjurkan oleh ustaz-ustaz yang terkenal juga.

Berhentilah kita dari faham Tuhan dan berdoa kepada Tuhan cara orang-orang kafir. Beginilah contoh cara berdoa orang-orang kafir dalam dunia ini:

1. Kristian minta paderi doakan hajat mereka, supaya sampaikan kepada Nabi Isa, supaya sampaikan kepada Tuhan Bapa.

2. Hindu -> sami -> dewa -> Tuhan yang satu

3. Buddha -> sami -> Buddha -> Tuhan yang satu

4. Taoism -> tok nenek yang telah mati -> Tuhan

5. Sikh -> paisam -> guru Nanak -> Allah.

6. Orang Islam Melayu yang tak belajar tafsir Quran -> imam/ustaz/guru – Nabi Muhammad/wali (contohnya Sheikh Abdul Qadir Jailani) -> Allah
.

Padahal, dalam Quran telah  jelas kepada mereka yang belajar, doa TERUS kepada Allah.

Cara-cara berdoa telah Allah ajar dalam Quran. Antara yang disebut adalah dalam Surah Sajdah ayat 16:

تَتَجَافَىٰ جُنُوبُهُمْ عَنِ الْمَضَاجِعِ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ خَوْفًا وَطَمَعًا وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ
“Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka”.

Inilah cara makbul doa:

1.     تَتَجَافَىٰ جُنُوبُهُمْ عَنِ الْمَضَاجِعِ – ‘merenggangkan lambung mereka dari tempat tidur’ yang bermaksud Solat malam. Waktu sahur (sepertiga akhir malam) adalah waktu terbaik. Kita kena pandai cari waktu terbaik untuk berdoa. Kerana ada waktu-waktu yang Nabi telah ajar kita sebagai waktu makbul doa. Bukannya Solat Hajat berjemaah. Yang kena buat adalah solat tahajjud. iaitu solat sunat dua rakaat sekurang-kurangnya. Buat sendiri-sendiri sahaja.

2.     يَدْعُونَ – Mereka berdoa. Caranya adalah dengan melakukan ibadat dan kemudiannya doa. Doa ada dua makna: Ibadat dan doa. Kalau sebut dalam ayat ini disebut ‘doa’ sahaja, ia membawa kedua-dua makna. Jadi kita berdoa selepas solat. Itu yang paling bagus. Atau sekurang-kurangnya doa waktu malam, kalau tak mampu nak solat pun. Doa itu mestilah terus kepada Allah, tidak melalui perantaraan. Dalam doa itu, hendaklah kita merayu kepada Allah. Ceritakan apa sahaja masalah kita. Apa yang sebut dalam doa itu? Apa sahaja yang terlintas dalam hati kita. Kalau rasa nak menangis, menangislah. Tak tahu bahasa Arab? Pakai bahasa yang kita tahu sahaja. Kerana Allah itu TAHU APA SAHAJA BAHASA YANG KITA GUNAKAN. Orang kita, sampaikan rasa kalau doa dalam Melayu, tak mujarab. Itu adalah satu pemahaman yang amat salah.

3.      رَبَّهُمْ – Tuhan mereka. Dalam ayat ini, Allah menggunakan perkataan Rabb. Tidak digunakan perkataan ‘Allah’. Supaya manusia mengerti yang maksud rabb adalah ‘yang mengurus tadbir makhluk’ supaya kita ingat dan tahu yang Allah boleh selesaikan masalah kita. Kita kena minta dengan perasaan tahu yang Allah dapat menyelesaikan apa sahaja masalah kita. Masa doa itu, kita kena yakin yang Allah dengar rintihan kita, Allah tahu apa yang kita perlukan sampai kita tak perlu nak ajar Allah macam mana nak tolong kita. Jadi tak payahlah nak ajar Allah buat begini, begitu. Kita tak cakap pun Allah tahu, sebab Allah itu Rabb kita.

4.    خَوْفًا – Takut. Kena minta dengan perasaan takut. Dengan perasaan insaf dan menyesal. Iaitu kita takut dengan azab Allah. Ini adalah adab dalam berdoa. Kerana bayangkan kalau kita jumpa orang yang kita ada masalah dengan dia, ada buat salah dengan dia, tapi kita tengah ketawa, tersengih-sengih, tentu tidak kena kalau begitu.

Maka, kerana takut dengan azab Allah, mulakan doa dengan minta ampun dosa dosa kita. Sebab dosa kita banyak. Dosa banyak antara penghalang doa makbul. Bayangkan kalau anak kita datang jumpa kita meminta wang, tapi dia seorang yang perangai nakal, malas belajar dan sebagainya. Tentu kita berat hati untuk memberikan wang kepadanya, bukan? Tapi, kalau dia datang, dengan lemah lembut, menundukkan diri dan memohon maaf atas kesalahan yang telah dilakukan sebelum itu dan berjanji tidak buat lagi kenakalannya, tentulah kita akan rasa ringan untuk memberikan wang kepadanya, bukan? Begitulah juga Allah dengan kita. Kalau kita mulakan dengan memohon ampun dengan segala kesalahan kita, Allah akan lebih ringan untuk memberi apa yang kita minta kepadaNya.

وَطَمَعًا     .5. Harap sungguh, bukan harap biasa. Perkataan yang digunakan adalah tama’, macam ‘tamak’ nak semua. Apa sahaja yang Allah hendak beri kepada kita, kita hendak semuanya. Bukannya kita cakap dengan Allah: ‘bagilah kalau boleh’. Kena zahirkan perasaan ‘mengharap’ itu. Tidak boleh tidak, kita nak juga dari Allah. Sebab kalau bukan Allah yang beri, kita nak minta dari siapa?

6.    يُنفِقُونَ  Menderma. Infak harta. Menderma adalah sebagai satu asbab (penyebab) kepada makbul doa. Infaklah rezeki kepada seseorang, kepada masjid dan sebagainya. Ikutlah banyak mana nak beri. Kalau hajat besar, berilah banyak lagi.

Begitulah cara doa yang kita boleh amalkan. Semoga dengan mengetahui cara doa ini, kita tidak lagi perlu untuk buat Solat Hajat. Kerana Solat Hajat itu bukanlah cara untuk memakbulkan doa kepada Allah. Allahu a’lam. Semoga Allah memberi pemahaman agama lebih lagi kepada kita. Amin

(Ini adalah penulisan semula dari kelas yang diajar oleh Ustaz Tok Man (Ustaz Rozman) di kelas Subang Bestari – Bandar Pinggiran Subang, sec. U5) 

Posted by: Huszaini

No comments: