Persiapan Dan Persediaan Sebelum Pergi Menunaikan Ibadat Umrah Ke
Tanah Suci
Banyak yang perlu
disedia dan dilakukan sebelum berangkat menunaikan ibadah Umrah. Persiapan awal
mental dan rohani terutamanya mesti dititikberatkan supaya pemergian ke tanah
suci benar-benar dapat menyucikan jiwa dan menguatkan akidah. Hendaklah
difahami betul-betul segala perkara yang berkaitan dengan pelaksanaan ibadah
dan umrah mahupun persiapan rohani dan jasmani (spiritual dan fizikal).
Persiapan Awal Mental Dan
Spiritual
Membersihkan dan mensucikan diri secara rohani atau spiritual boleh dilakukan dengan cara
seperti bertaubat dan memohon ampun kepada Allah Subhanahu wa ta’ala, memperbaiki kekhusyukan solat, mengeluarkan
zakat dan mohon kemaafan orang lain. Iaitu memperbaiki hubungan dengan Allah Subhanahu wa ta’ala dan antara sesama manusia sebagaimana huraian ringkas
di bawah ini:
1. Syahadah
Perbetulkan iktikad dalam memaknakan syahadah.
Biar setiap urat dan saraf kita benar-benar merasai getarannya apabila
melafazkan kalimah ‘lailahaillallah
muhammadur rasulullah’ kerana
Syahadah itu janji hati kepada Allah Subhanahu wa ta’ala.
Allah Azza wa Jalla berfirman:
إِنَّمَا
الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ لَمْ يَرْتَابُوا
وَجَاهَدُوا
بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ
الصَّادِقُونَ
innamaa almu/minuuna alladziina aamanuu biallaahi
warasuulihi tsumma lam yartaabuu wajaahaduu bi-amwaalihim
wa-anfusihim fii sabiili allaahi
ulaa-ika humu alshshaadiquuna
Sesungguhnya
orang-orang yang beriman itu hanyalah orang-orang yang percaya (beriman) kepada
Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjuang
(berjihad) dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. Mereka itulah
orang-orang yang benar. (Surah Al-Hujuraat: Ayat 15)
2. Ikhlas Niat
Dalam menunaikan
tuntutan Allah Subhanahu wa ta’ala untuk
mengerjakan Umrah yang diwajibkan ke atas diri seseorang muslim, perlulah
dibersihkan hati dari segala cacat cela dengan berniat ikhlas kerana Allah Subhanahu wa ta’ala. Jadi niat ini
semestinya diselidiki selalu dan diperbetulkan supaya jangan terpesong.
Niat sebenarnya
pergi menunaikan ibadah Umrah hanya melaksanakan perintah Allah Subhanahu wa ta’ala dan mengharapkan
keredhaanNya semata-mata. Dengan itu haruslah ditanamkan semangat dengan
perasaaan tulus dan ikhlas serta belajar bebaskan diri dari segala tekanan
duniawi yang akan memberatkan fikiran sepanjang perlaksanaan Umrah.
Dari Amirul mu’minin Umar bin
Al-Khotthob radiallahu’anhu,
ia berkata, “Aku mendengar
Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam
bersabda:
“Sesungguhnya
amalan-amalan itu berdasarkan niatnya dan sesungguhnya bagi setiap orang apa
yang ia niatkan, maka sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya maka
hijrahnya adalah kepada Allah dan RasulNya, dan sesiapa yang hijrahnya kerana
untuk menggapai dunia atau wanita yang hendak dinikahinya maka hijrahnya kepada
apa yang dihijrahi.”(Hadis Riwayat Al-Bukhari r.a.)
3. Tingkatkan
Amalan
Jika sebelum ini
amat jarang atau belum pernah melakukan amalan-amalan seperti berzikir, membaca
Al-Quran, qiamullai, bertafakkur, bersedekah (wang, harta, tenaga, lisan) dan
sebagainya. Maka perlulah dipertingkatkan semua amalan tersebut dengan harapan
dapat melakukannya dengan mudah di tanah suci kelak. Jika ketika di Makkah dan
di Madinah baru hendak lakukan, maka akan menjadi suatu bebanan dan
keterpaksaan yang akhirnya memaksa diri melakukannya juga.
Amalan yang
dilakukan kerana terpaksa, apabila balik ke tanah air, sukar untuk diteruskan.
Maka tiadalah penambahbaikan yang berlaku. Oleh yang demikian latihlah diri
sebelum berangkat ke tanah suci kerana latihan ini memerlukan kecekalan dan
masa yang panjang.
4. Muhasabah Diri
Dekatkan diri kita
kepada Allah Subhanahu wa ta’ala seperti perbanyakkan istighfar dan sentiasa melakukan Qiamullai seperti melakukan solat-solat sunat
seperti Solat
Sunat Tahajud,Taubat dan Hajat untuk membantu kita
bermunajat kepada Allah Subhanahu wa ta’ala.
Mengetahui sikap negetif dan pupuklah diri dengan sifat-sifat yang
terpuji dan berusaha membuang sifat-sifat yang buruk dan tercela.
5. Taubat
Nasuha
Bertaubat atas
kesemua dosa dan kelalaian kita terhadap suruhan Allah Subhanahu wa ta’ala serta meninggalkan segala yang
makruh dan perbuatan-perbuatan mungkar. Bersihkan diri dari segala dosa dan
perbuatan lampau yang telah banyak kita lakukan dengan melakukan Solat Taubat dan memohon keampunan kepada Allah Subhanahu wa ta’ala.
Jika seseorang itu
bertaubat daripada dosa kepada Allah Subhanahu wa ta’ala maka
hendaklah memenuhi syarat-syarat Taubat Nasuha :
1.
Menyesal atas segala perbuatan dosa.
2.
Segera meninggalkan perbuatan dosa tersebut.
3.
Berazam tidak akan melakukan lagi dosa-dosa itu.
4.
Jika berdosa kepada sesama insan, maka hendaklah
memohon maaf dari orang tersebut dan jika dia mengambil hak seseorang, maka
hendaklah dia memulangkan hak mereka itu.
6. Perbaiki Kualiti
Solat
Jika tahap solat
kita masih sama seperti ketika belajar
disekolah dahulu, kita perlulah memperbaiki dan meningkatkan kualiti solat
terutama mutu bacaan dan tajwid agar lebih khusyuk dan betul.
Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Bersolatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku
bersolat.”
Memperbanyakkan
solat sunat adalah antara langkah memperbaiki kualiti dan menambah kekhusyukan
solat fardhu kita. Dalam solat juga terdapat zikir dan doa yang kita pohonkan,
maka berdoalah dengan khusyuk dan yakin, bukan
dengan sambil lewa.
7. Banyakan
Berpuasa
Puasa dapat
menundukkan nafsu dan menjadi perisai nafsu manusia, maka perbaikilah kualiti
puasa fardhu kita dan banyakkanlah berlatih dan melakukan puasa sunat.
Sekiranya ada puasa yang belum diqadha atau dikeluarkan fidyahnya, tunaikanlah
semampu mungkin. Begitu juga dengan puasa nazar yang belum ditunai, maka
laksanakanlah secepat mungkin.
8. Belajar Bersabar
Sifat sabar amat
diperlukan dalam melaksanakan ibadah Umrah, Sikap ini bahkan mulai diuji sebaik
seseorang memutuskan untuk berangkat ke tanah suci. Semua urusan
memerlukan kesabaran.
Di tanah suci sendiri, ketika berkumpulnya
ribuan jemaah dengan pelbagai ragam, tabiat dan kebiasaan yang berbeza dan akan
ada saja perilaku yang boleh menimbulkan kemarahan jemaah. Bersabarlah
demi ketaatan kita kepada Allah Subhanahu
wa ta’ala.
9. Kawal Perasaan
Kesabaran juga berbentuk hubungan kita dengan
suami atau isteri atau anak atau sahabat kita sendiri. Ada kalanya pertengkaran
antara suami atau isteri dan sebagainya akan sering berlaku apabila tidak
dikawal dengan rasa sabar dan syukur.
Adakalanya di tanah suci, hati kita terdetik
berkenaan sesuatu, ia akan berlaku tanpa disedari, maka belajarlah sejak di
tanah air lagi agar mengawal perasaan, sentiasa berfikiran positif dan bersifat
husnuzan (berbaik sangka).
Jauhilah sikap suka
mengkritik segala perkara atau sering merungut akan sesuatu yang berlaku.
Anggaplah ia sebagai ujian dari Allah Subhanahu wa ta’laa yang mahu melihat akan tahap amarah dan kesabaran
kita.
10. Jihad Kasih Sayang
Bagi seorang wanita
menunaikan Umrah menuntut pengorbanan tinggi kerana fitrah mereka yang
dianugerahi sifat pengasih dan sensitif dengan jarak perpisahan terutama
terhadap anak dan keluarga. Pengorbanan besar terpaksa dilakukan demi
mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa ta’ala.
Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam
bersabda: “Jihad orang tua, kanak-kanak, orang lemah
dan orang perempuan ialah haji dan umrah.” (Hadith Riwayat Muslim).
Oleh itu, wanita Islam hendaklah berusaha dan berikhtiar
bersungguh-sungguh untuk menunaikan Umrah. Cita-cita untuk menunaikan haji
mestilah dekat di hati kita.
11. Tolong-Menolong
Kerap berlaku suatu
keadaan kita diminta untuk memberikan pertolongan kepada orang lain yang memang
perlu dibantu khususnya bagi mereka yang selalu uzur. Lakukan bantuan
dengan segera. Jangan ragu-ragu kerana dengan pertolongan yang diberikan,
maka nescaya Allah Subhanahu wa ta’ala akan membalasnya dengan membantu
anda. Percayalah bahawa orang-orang yang banyak membantu orang lain dengan
ikhlas, segala urusannya akan menjadi mudah dan lancar, dan ajaibnya dia akan
terhindar dari pelbagai kesukaran. Yang penting niat menolong dengan
ikhlas, tanpa mengharapkan balasan kecuali redha Allah Subhanahu wa ta’ala semata-mata.
Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya orang yang paling baik di antara kamu adalah orang yang paling
baik budi pekertinya.” (Hadith
Riwayat al-Bukhari ).
12. Berinfak Dan
Bersadaqah
Lakukan infak dan
sedekah dengan hati yang ikhlas. Bersedekah bukan terhad kepada harta dan
wang ringgit sahaja, anggota badan, tenaga empat kerat, lisan dan senyuman
turut boleh disumbangkan dalam kehidupan seharian. Bersedekahlah membantu
orang-orang miskin dan mereka yang memerlukan yang ditemui ketika dalam
pejalanan atau jiran-jiran kita bagi melatih diri menjadi pemurah dan
melembutkan hati.
Allah Subhanahu wa ta’ala juga berfirman:
يَسْأَلُونَكَ
مَاذَا يُنفِقُونَ ۖ قُلْ مَا أَنفَقْتُم مِّنْ خَيْرٍ فَلِلْوَالِدَيْنِ
وَالْأَقْرَبِينَ وَالْيَتَامَىٰ
وَالْمَسَاكِينِ
وَابْنِ السَّبِيلِ ۗ وَمَا تَفْعَلُوا مِنْ خَيْرٍ فَإِنَّ اللَّـهَ بِهِ عَلِيمٌ
Yas-aluunaka maatsaa yunfiquuna qul maa anfaqtum min khayrin falilwaalidayni
waal-aqrabiina waalyataamaa waalmasaakiini
waibnialssabiili wamaa taf'aluu
min khayrin fa-inna allaaha
bihi 'aliimun
“Mereka bertanya tentang
apa yang mereka nafkahkan. Jawablah: "Apa saja harta yang kamu nafkahkan
hendaklah diberikan kepada ibu-bapak, kaum kerabat, anak-anak yatim,
orang-orang miskin dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan." Dan apa
saja kebaikan yang kamu buat, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya”.
Surah Al-Baqarah: 215)
Hadith riwayat Asma
binti Abu Bakar ra., ia berkata: Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda kepadaku:
“Berinfaklah atau memberilah dan jangan menghitung-hitung, kerana Allah
akan memperhitungkannya untukmu.” (Hadis Riwayat Muslim)
13. Hindari Riya’
Elakkan diri dari
perasaan riak, ingin dipuji, takbur, sombong merasa hebat, ingin bergelar dan
dipanggil haji atau hajah. Berserahlah sepenuhnya kepada Allah Subhanahu wa ta’ala dan lakukan
semuanya itu dengan taqwa.
Riya’
berlaku hasil dari hati yang TIDAK IKHLAS. Iblis dan Syaitan menjalankan
kerja-kerja menghiasi amalan-amalan kita dengan sifat riya’
agar kita mudah menjadi terkenal dengan habuan dunia yang menyeronokkan dan sementara. Itulah di antara
janji-janji Iblis yang penuh dengan kepalsuan.
Allah Subhanahu wa ta’ala berfirman:
يَا
أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُبْطِلُوا صَدَقَاتِكُم بِالْمَنِّ وَالْأَذَىٰ
كَالَّذِي
يُنفِقُ
مَالَهُ رِئَاءَ النَّاسِ وَلَا يُؤْمِنُ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۖ
فَمَثَلُهُ
كَمَثَلِ
صَفْوَانٍ عَلَيْهِ تُرَابٌ فَأَصَابَهُ وَابِلٌ فَتَرَكَهُ صَلْدًا
Yaa ayyuhaa alladziina aamanuu laa tubthiluu shadaqaatikum bialmanni
waal-adzaa kaalladzii
yunfiqu maalahu ri-aa-a alnnaasi
walaayu/minu biallaahi waalyawmi al-aakhiri famatsaluhu
kamatsali shafwaanin
'alayhi turaabun fa-ashaabahu waabilun fatarakahu shaldan
“Hai
orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu
dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti orang
yang menafkahkan hartanya karena riya kepada manusia dan dia tidak beriman
kepada Allah dan hari kemudian. Maka perumpamaan orang itu seperti batu licin
yang di atasnya ada tanah, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu
menjadilah dia bersih (tidak bertanah)”. (Surah Al-Baqarah 264)
14. Memahami
Sifat-Sifat Mahmudah Dan Mazmumah
Mengetahui dan
memahami sifat-sifat yang terpuji dan sifat-sifat yang tercela. Pupuklah diri
dengan sifat-sifat yang terpuji dan cuba buangkan sifat-sifat yang tercela.
Jaga tiga perkara: Mulut, Telinga
dan Mata selalu ingat amalan kerana Allah Subhanahu wa ta’ala. Bukan untuk riak, ujub dan sombong, jujur dalam perbuatan dan
kata-kata.
Dan
dari Wabishah bin Ma’bad radhiallahu
‘anhu dia berkata: “Aku datang kepada Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam, Baginda bersabda, “Apakah kamu datang untuk bertanya tentang
kebajikan?” Aku berkata,
“Ya.” Baginda bersabda “Bertanyalah kepada hatimu. Kebajikan adalah
apa yang menjadikan tenang jiwa dan hati, sedangkan dosa adalah apa yang
menggelisahkan jiwa dan menimbulkan keraguan dalam hati, meskipun orang-orang
terus membenarkanmu.” (Hadith hasan yang kami riwayatkan dari Musnad Imam
Ahmad bin Hambal dan Musnad Imam Ad-Darimi dengan sanad hasan).
15. Meminta Maaf
Mohon maaf kepada
orang ibu bapa, suami isteri, anak-anak, saudara-mara, keluarga dan kaum
kerabat. Bermaaf-maafan sesama kaum muslimin tidak kira saudara, sahabat atau
jiran tetangga samada ada berbuat salah atau tidak dan minta maaf daripada
semua orang yang pernah kita lakukan kesalahan terhadap mereka.
Begitu juga, jika
kita ada menzalimi orang, terambil harta orang, hendaklah dipulangkan harta
tersebut, atau kita minta supaya dihalalkan.
Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam, bersabda: “Sesiapa yang ada sebarang kesalahan dengan saudaranya maka hendaklah
diselesaikan sekarang, kerana sesungguhnya di sana (di akhirat) tiada lagi wang
ringgit untuk dibuat bayaran, (yang ada hanyalah) diambil hasanah (kebaikan)
yang ada padanya, kalau dia tidak mempunyai kebaikan, diambil keburukan orang
itu lalu diletakkan ke atasnya.” (Hadith
Riwayat Bukhari).
16. Keredhaan Ibu Bapa
& Suami
Berusaha untuk mendapatkan keredhaan ibu bapa
dan suami, walaupun tidak sewajarnya ibu bapa atau suami melarang
anak/isterinya daripada ibadat haji yang wajib.
Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Keredhaan Allah Subhanahu wa ta’ala terletak pada keredhaan ibu bapa dan
kemurkaan Allah Subhanahu wa ta’ala terletak pada kemurkaan ibu bapa.” (Hadits
Riwayat At-Tirmidzi).
17. Teman Perjalanan
Bagi kaum wanita pula ditambahkan syarat iaitu
mestilah mendapat izin suami atau walinya dan mesti ditemani mahram. Harus
mendapatkan mahram atau teman yang soleh yang dapat menasihati dan membantu
kita ketika dalam kesusahan atau melakukan kesilapan.
Mencari teman dan rakan yang baik dalam
perjalanan. Sebab kadang-kadang ada teman ketika di sini baik, tetapi di Makkah
berbalah. Ada juga insiden suami isteri berbalah atau bermasam muka.
Kadang-kadang perkara tersebut tidak masuk akal tetapi berlaku. Sebagai contoh,
ada suami isteri yang bercerai selepas melakukan ibadah Umrah.
18. Bersangka Baik
Kepada Allah
Baik sangka, menurut
Abu Muhammad al-Mahdawi, adalah membuang prasangka buruk (qath’ul wahm). Dari
Abu Hurairah r.a., ia berkata: Rasulullah
Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Allah Subhanahu wa ta’ala berfirman: “Aku menurut sangkaan
hambaKu kepadaKu.” (Hadis Riwayat Bukhari r.a.).
Dari Jabir bin
Abdillah ra bahwa ia mendengar Rasulullah
Shallallahu 'alaihi wasallam berkata tiga
hari sebelum wafatnya: “Jangan seorang di antara kamu mati kecuali dia berbaik sangka kepada
Allah.” (Hadis
Riwayat Muslim)
Orang yang
beriman hendaklah meyakini setiap perkara yang berlaku ke atas dirinya sama ada
baik atau buruk, semuanya telah ditentukan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala. Jika kita
bermohon kepada Allah Subhanahu wa ta’ala., maka hendaklah bersangka baik jika apa
yang diharapkan tidak terlaksana. Mungkin Allah Subhanahu wa ta’ala. mahu beri yang lebih baik lagi.
Firman Allah Subhanahu wa ta’ala:
وَعَسَىٰ
أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا شَيْئًا
وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ ۗ وَاللَّـهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
wa'asaa an
takrahuu syay-an wahuwa khayrun lakum wa'asaa an tuhibbuu syay-an wahuwa
syarrun lakum waallaahu ya'lamu wa-antum laa ta'lamuuna
“Boleh
jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula)
kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah Subhanahu wa ta’ala
mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah Al-Baqarah 216)
19. Istiqamah
Perjalanan suci
yang di redhai Allah tidak terlepas daripada berbagai cabaran yang hanya akan
dapat di atasi oleh semangat yang tinggi, bersabar, tidak berputus asa dan
beristiqamah.
Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam telah
bersabda: “Amal kebaikan yang disukai Allah ialah yang
sentiasa dilakukan walaupun sedikit.” (Hadis
Riwayat Bukhari.)
Istiqamah sangat
penting dalam semua hal. Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam menyuruh kita istiqamah dalam membuat kebaikan, juga dalam
melihat kecacatan dan membaikinya. Beristiqamah dalam melakukan sesuatu perkara
amar makruf nahi mungkar haruslah dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan niat
itu hendaklah ikhlas kerana Allah Subhanahu wa ta’ala.
20. Bekalan
Taqwa
Segala persediaan
dari kelengkapan “material” seperti wang ringgit, tempat penginapan,
makan-minum jika tidak disertai dengan bekalan taqwa, maka dibimbangi ibadah
haji dan umrahnya itu akan hilang dari matlamat asalnya iaitu kerana Allah Subhanahu
wa ta’ala.
Pastikan para
jemaah membawa bersama-sama bekalan taqwa sebagaimana firman Allah Subhanahu
wa ta’ala:
وَتَزَوَّدُوا۟
فَإِنَّ خَيْرَ ٱلزَّادِ ٱلتَّقْوَىٰ
Watazawwadu fa’in khairan az-taqwa
“Sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah taqwa” (Surah Al=Baqarah 197)
Maksud beliau
adalah, kekasih Allah Subhanahu wa ta’ala yang sebenar semakin berkurangan sementara mereka
yang tidak ikhlas telah bertambah dengan ramainya. Beliau menyeru ke arah sederhana
dan menjauhkan segala kemewahan dan keseronokan.
Kita hendaklah
menunjukkan tanda keghairahan mencintai Allah Subhanahu wa ta’ala dan bukannya tanda cinta kepada kecantikan yang
dihiaskan.
Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
“Akan datang kepada manusia suatu masa, di mana naik
haji/Umrah umat aku kerana 4 perkara:
·
Orang kaya naik haji kerana
melancong.
·
Orang pertengahan naik haji kerana
beniaga.
·
Orang miskin naik haji kerana
meminta-minta.
·
Orang Qari dan Ulama naik haji
kerana riya’ dan nama.”
(Hadis
Riwayat Ad Dailamy)
21. Tawakal
Tawakal adalah
penyandaran hati dan menyerah diri sepenuhnya kepada Allah Subhanahu wa ta’ala. Amat perlu
ditanam dalam diri dengan sifat bertawakal sebelum berangkat ke tanah suci bagi
menghadapi pelbagai kerisauan, kemaslahatan dan menghilangkan bahaya dalam
urusan ibadah Umrah, menyerahkan semua urusan kepadaNya serta meyakini dengan
sebenar-benarnya bahawa tidak ada yang memberi, menghalangi, mendatangkan
bahaya dan mendatangkan manfaat kecuali Allah Subhanahu wa ta’ala semata.
Menurut pendapat Imam Ghazali
r.a: “Tawakal membawa erti bahawa kita menyerahkan diri kepada Allah sewaktu
menghadapai kesusahan atau ketika menghadapi waktu yang sukar dan genting dalam
hidup ini. Pada ketika ini, hati
perlu di teguhkan seteguh-teguhnya sehingga ia mencapai satu titik ketenangan
dan ketenteraman di dalam jiwa.”
Penutup
Tujuan sebenar kita menunaikan Umrah ialah untuk
memperbaiki jiwa. Maka kita perlulah membuat persediaan awal yang mantap agar
kita mendapat suatu kebaikan yang amat besar daripada ibadat Umrah tersebut.
Setiap hari, keadaan diri kita mestilah lebih
baik daripada yang sebelumnya. Hari ini lebih baik dari semalam dan begitulah
seterusnya, iaitu pembaikan yang berterusan. Oleh itu jemaah perlu secara sedar
untuk berniat melakukan persiapan rohani, mental dan spiritual kerana ianya
akan membersihkan diri dari segala cacat dan cela.
Dengan demikian kita dapat berangkat dalam
keadaan bersih dan suci. Terlepas dari segala beban duniawi yang akan
membebankan fikiran sepanjang perjalanan menunaikan ibadah Umrah.
Usahakan agar perjalanan rohani ini boleh berjalan dengan baik dan lancar serta berharap ibadah hajinya mendapatkan redha Allah Subhanahu wa ta’ala.
Wallahu A’lam
Bish Shawab
(Hanya Allah
Maha Mengetahui apa yang benar)
Shafiqolbu/Posted By: HAR
No comments:
Post a Comment