Antara perkara yang paling
buruk yang menimpa negara ini ialah wujudnya sesetengah golongan agama yang
menghalang orang lain berfikir atau memahami agama selain dari apa yang mereka
fahami.
Jika fikiran mereka itu lemah,
mereka bimbang orang lain berfikir lebih baik nanti akan dianggap mencabar
fikiran mereka. Jika fikiran baik, mereka pula enggan jika wujud keperbagaian
fikiran yang baik dalam kalangan umat Islam nanti akan dianggap orang lain pun
setaraf mereka.
Ini mempunyai kaitan dengan
persoalan ‘kuasa agama’ seperti yang saya sebutkan dalam artikel saya yang
lepas. Segala usaha dan percubaan kepada pembaharuan (renewal) akan dianggap
sebagai musuh, kurang ajar, biadap, tidak hormat orang tua-tua dan seumpamanya.
Atau, mereka mungkin melabel
pihak yang cuba memberikan pandangan yang berbeza dengan mereka dengan
berbagai-bagai istilah.
Ramai mereka yang cuba
melakukan pembaharuan dalam sejarah Melayu dimusuhi dan diberikan berbagai
tuduhan.
Inilah yang menimpa tokoh-tokoh
pembaharuan Nusantara termasuk Prof Hamka yang terkenal dengan sumbangan
kesarjanaannya, Za’ba yang dianggap sebagai Bapa Persuratan Melayu, Syeikh
Tahir Jalaluddin tokoh reformis progresif dan ahli falak, Syed Syeikh al-Hadi
tokoh moderate muslim yang berjasa memajukan pendidikan orang Melayu, begitu
juga muridnya Dr Burhanudin al-Helmi yang menjadi tokoh politik tanahair dan
lain-lain.
Di’cop’
Nama-nama yang disebutkan itu
pada zaman mereka menghadapi tuduhan yang berbagai terutama di’cop’ sebagai
‘kaum muda’ atau wahabi atau sesat atau menentang mazhab.
Usaha-usaha pembaharuan mereka
ditentang. Pendeta Za’ba hari ini disanjung sebagai tokoh cendiakawan Melayu
tapi pada hayat diharamkan tulisan ucapan dan tulisan di banyak negeri.
Tokoh-tokoh traditionalis Perak
pernah menggunakan Sultan Perak untuk mengharamkan tulisan beliau.
Za’ba pernah menyebut: Maka
hanyalah pada zaman-zaman yang akhir semenjak beberapa ratus tahun yang lalu
ini sahaja orang alim Islam hampir-hampir semuanya di serata dunia tidak lagi
mempunyai semangat kesendirian kebolehan dan kelayakan untuk berbuat seperti
pelopor mereka yang dahulu kala itu.
Ya, jika dicari sangat sedikit
boleh didapati yang tahu dan boleh bersendiri, atau berani bersendiri;
melainkan di mana-mana pun akan didapati mereka itu hanya biasa tertaklid
sahaja dan kebanyakan daripada itu pula ialah bertaklid buta!
Malangnya jika ada siapa yang
mencuba berbuat seperti pakar-pakar Islam dahulu kala itu - iaitu melepaskan
diri daripada kongkong taklid dan balik kepada Quran dan Hadis dengan
kehendak-kehendak zaman dan hal-hal keadaan yang telah berubah sekarang - maka
terus dilempar mereka akan dia dengan kata-kata yang tidak selayaknya seperti
“sesat dan menyesatkan, memandai-mandai, membawa bidaah, mengubah-ngubah
daripada jalan yang telah diatur oleh pakar-pakar dahulu kala itu (nenek
moyang), tidak ada rupa hendak melebih daripada orang dahulu-dahulu” dan
berbagai-bagai lagi.
Yang betulnya duduklah juga
membeku di tempat yang ada itu!!
Mungkin juga kerana mereka
sendiri tiada upaya membuatnya maka mereka tiada suka kalau ada orang lain pula
dapat berbuat. (m.s 33, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka 2005).
Za’ba juga berkata:
“Demikianlah dicela Tuhan di dalam Quran jika orang hanya mengikut apa-apa
kebiasaan yang telah teradat dari nenek moyang sahaja dengan tiada diperiksa
lagi betul atau tidak betulnya dan tiada dijalankan akal fikiran dan
pengetahuan sendiri menguji benar salahnya.
Kerana sesungguhnya perbuatan
demikian itulah yang dikatakan bertaklid buta.
Bertaklid buta itu dikeji oleh
agama dan oleh sekalian orang berakal, kerana banyak mudaratnya dan kuat
kemungkinannya boleh membawa tersimpang kepada jalan yang tiada betul dengan
tiada kita perasan.
Tuhan dan Rasulnya tidak
menyukai orang bertaklid buta kepada fikiran dan pendapat orang lain.
Imam-imam Mujtahidun dahulu
kala tempat orang tertaklid itu sendiri tidak pernah menggemarkan orang-orang
bertaklid buta sahaja kepadanya atau memastikan orang sekelian menerima sahaja
segala fahamannya dan pendapatnya.
Sebaliknya mereka sentiasa
menggalakkan murid dan pengikut mereka supaya menyelidik sendiri, memeriksa dan
menimbang sendiri dengan teliti segala pendapat dan keputusan yang telah mereka
peroleh itu”.(m.s. 25-26).
Prof Hamka terkenal sebagai
sarjana Nusantara yang besar. Tafsirnya Al-Azhar mendapat mengiktirafan atas
keilmuwannya.
Beliau sendiri merupakan tokoh
pembaharuan di Indonesia yang terlibat membangunkan Gerakan Muhammadiyyah,
Indonesia. Bahkan beliau sering membantu pergerakan pembaharuan Islami Tanah
Melayu.
Antara usahanya yang terkenal
ialah risalah yang ditulisnya mengkritik Mufti Johor ketika yang memusuhi
gerakan pembaharuan.
Setiap mereka yang berminat
dengan gerakan pembaharuan patut membaca buku Prof Hamka Teguran Suci Dan Jujur
Terhadap Mufti Johor.
Antara tegurannya: “Melihat
cara-caranya samahah al-mufti sebagai pembela kaum-tua di dalam menghentam
kaum-muda bagi beliau rupanya tidaklah mengapa memukul kaum-muda dengan membuat
fitnah…sekarang samahah al-mufti rupanya memakai cara-cara pula: matlamat
menghalalkan cara. Asal saja kaum-muda dapat dipukul hancur tidaklah mengapa
berdusta..” (m.s. 85).
Kata Prof Hamka juga: “Maka
orang tua yang dahulunya berusaha keras mempertahankan gelaran itu dengan
segala daya upaya, menuduh sesat, zindiq, Wahabi, mulhid, orang tua itu
sekarang masih hidup untuk menyaksikan dengan kepalanya sendiri kemenangan yang
sekian kalinya dari gerakan kaum-muda!
Akhirnya, semua orang hendak
dikafirkannya” (Teguran Suci Dan Jujur Terhadap Mufti Johor m.s. 48, Selangor:
Pustaka Dini, 2009). Katanya juga:
“Memang ada juga orang yang
tidak suka berebut-rebut. Jangan buka-buka masalah baru. Biar orang tinggal
bodoh seperti dahulu dan kalau ada pun fatwa dari mufti hendaklah diterima
dengan: Na’am (ya)! Tetapi orang itu sudah sangat jauh ditinggalkan keretapi!”
(m.s 49).
Nasib
golongan Pembaharuan
Nasib golongan pembaharuan agak
tersisih bukan disebabkan kekurangan jasa dan penolakan masyarakat tetapi
kegagalan mereka ‘mengampu’ pihak berkuasa.
Itu yang saya sebut kegagalan
menggabungkan kuasa agama dengan kuasa politik. Dengan itu mereka ditindas.
Sumbangan mereka sangat besar.
Kebanyakan nilai-nilai keterbukaan dan kemerdekaan minda yang kita nikmati hari
ini adalah hasil perjuangan mereka.
Walaupun saya secara peribadi
bukannya bersetuju dengan semua idea mereka.
Namun merekalah yang menentang
pemikiran sempit, adat-istiadat yang menyanggahi syarak dan fanatik mazhab
tanpa asas yang benar. Merekalah yang membebas kongkongan terhadap kaum wanita
disebabkan fanatik mazhab dan adat Melayu.
Mereka yang memecah paksaan
perkahwinan dan wanita tidak boleh keluar belajar. Mereka yang menggerakkan
idea-idea kemerdekaan dan mengasaskan institusi-institusi pendidikan.
Merekalah yang melebarkan Islam
kepada pelbagai bidang.
Sumbangan mereka menggerakkan
idea penentangan terhadap penjajahan sangat besar.
Namun disebabkan sultan-sultan
Melayu ketika itu dikuasai oleh Inggeris dan golongan pembaharuan pula gagal
mendekati para sultan dan raja kecuali di Perlis di tangan Abu Bakar Ashaari.
Namun di negeri-negeri lain,
golongan pembaharuan gagal untuk mengikuti kehendak dan kerenah istana.
Banyak adat-istiadat Melayu
yang dianggap tidak serasi dengan Islam menyebabkan mereka sukar untuk mengikut
kehendak telunjuk sultan dan raja.
Pendirian mereka yang berterus
terang dengan prinsip-prinsip Islam itu menyebabkan sukar untuk mereka
berdamping dengan raja-raja Melayu.
Ruang ini telah diambil oleh
golongan penentang mereka untuk mengisi jawatan-jawatan agama dan mendampingi
istana-istana untuk menindas gerakan pembaharuan.
Hal ini disebutkan oleh Prof
Hamka dalam bukunya ‘Ayahku’ yang menceritakan perjuangan pembaharuan ayahnya.
Kata Hamka: “Bahkan seketika
terjadi pertemuan ulama Sumatera-Malaya yang diadakan Jepun pada tahun 1943 di
Singapura, sengaja beberapa orang ulama Singapura menemui kami sebelum ke
perjumpaan di mulai, menyatakan bahawa sekali-kali jangan dibawa ke mari
fahaman-fahaman yang keluar dari Mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah dan keluar dari
Mazhab Syafi’i.
Ketika ada kawan-kawan yang
nakal memberitahu bahawa saya anak Haji Rasul, mata ulama itu ‘melotot’ serupa
biji rambutan melihat saya dan saya pun jadi nekad pula sebagai mana nekadnya
ayah saya.
Takut benar ulama-ulama di sana
pada waktu itu bahawa Mazhab Syafi’i akan berubah lantaran Kaum Muda Sumatera
atau Muhammadiyyah di Jawa…alangkah sempitnya, perkara pakaian pun mereka
kaitkan dengan mempertahankan berfikir dalam satu mazhab…tidak hairan, sebab
feudalisme raja-raja di sana sebagai raja Islam, bersandar kepada ulama kolot
yang mengutamakan taklid kepada ulama supaya rakyat taat kepada ulama, ertinya
kepada raja, erti kepada Inggeris!” (Prof Hamka, Ayahku, m.s. 162, Selangor:
Pustaka Dini 2007).
Enggan
mengampu
Golongan penentang pembaharuan
mempunyai kelebihan kerana mereka sanggup menurut kehendak istana.
Mereka adakan doa-doa yang
memuja dan memuji sultan dan raja. Mereka diamkan tindakan-tindakan istana yang
tidak serasi dengan agama.
Fatwa-fatwa mereka hanya
dihalakan kepada rakyat dan dilupai kerabat dan pembesar. Dengan itu, mereka
dapat mempengaruhi istana agar menghalang perkembangan gerakan pembaharuan.
Pada hari ini kita lihat
pemakaian tali leher tidak diharamkan. Namun semasa zaman perkembangan
pembaharuan dahulu tali leher diharamkan.
Apabila tokoh-tokoh pembaharuan
menyatakan tali leher tidak haram, mereka ditentang.
Namun apabila didapati sultan
memakainya, terus fatwa golongan penentang pembaharuan dikeluarkan bahawa tali
leher tidak haram jika ada keperluan (lihat: Hamka, Teguran Suci dan Jujur
Kepada Mufti Johor, 48-49).
Berlindung
Hasilnya, kuasa istana pun
digunakan untuk menindas gerakan pembaharuan. Apatahlagi istana juga tahu sikap
para reformis amat tidak secucuk dengan budaya mengampu dan mesra penjajah.
Banyak amalan istana yang akan
dipertikaikan oleh tokoh-tokoh pembaharuan.
Penentang pembaharuan mengambil
kesempatan ini. Mereka melupakan berbagai amalan khurafat di istana dan rakyat,
kemunduran akal dan harta masyarakat Muslim, unsur-unsur feudalism yang
menyanggahi jiwa merdeka Islam dan berbagai lagi.
Bagi mereka semua itu kecil
dibandingkan usaha menentang golongan pembaharuan yang mengajak umat berfikir
dan terbuka minda. Bagi mereka itu akan mengancam kedudukan mereka dalam
masyarakat yang mana mereka selama ini boleh berkata apa sahaja tanpa dicabar.
Sedangkan gerakan pembaharuan
menentang taklid buta. Kata Hamka: “Alhasil bagi kami ijtihad itu harus
digalakkan dan bagi kaum tua pula “taklid dijadikan tiang agama” dan kalau kami
bantah taklid, dikatakan kami merosakkan tiang agama.
Kadang-kadang dituduh kaum-muda
tidak hormat kepada guru.
Lantaran itu dikata pula
merosak tiang-tiang agama. Yang sebenarnya kami hormat kepada guru dan hormat
kepada ibubapa. Sebagai juga saudara-saudara muslimin yang lain.
Kedudukan guru sama dengan
kedudukan ibubapa wajib dihormati dan dimuliakan. Tetapi kalau guru itu silap
jalannya, maka sebagai tanda kami hormat ialah kami tegur, dan jika dibawanya
dengan sengaja atau tidak dengan sengaja kepada yang salah, kami tidak akan
menurut”. (Teguran Suci dan Jujur Terhadap Mufti Johor, m.s. 65).
Akibat penggunaan kuasa istana,
para reformis agama ini terpaksa berlindung di Negeri-Negeri Selat yang tidak
mempunyai kuasa istana.
Maka kita lihat sepanjang
sejarah tokoh-tokoh reformis tertumpu di Pulau Pinang, Singapura dan Melaka. Di
negeri-negeri ini sahaja gerakan pembaharuan tidak dipintas atau diganggu oleh
kuasa istana. Cumanya, Inggeris sering memantau penentangan mereka terhadap
penjajahan.
Hari
Ini
Perjuangan para reformis sudah
banyak berhasil walaupun mereka menjadi korban kezaliman kuasa. Banyak
perubahan telah berlaku.
Hari ini sudah tidak seteruk
semalam. Pun begitu masih ada persamaannya. Pembaharuan umat atau tajdid
(renewal) masih diperlukan.
Kejumudan kembali atau masih
mengongkong kita. Seruan agar kembali kepada al-Quran dan Sunnah serta
membebaskan diri dari taklid tanpa faham masih diperlukan.
Ya, penindasan terus berlaku.
Cumanya, yang agak istimewa di
era ini golongan pembaharuan mempunyai media alternatif dan internet untuk
pandangan mereka disebarkan.
Ternyata saki-baki kuasa istana
masih cuba digunakan oleh sesetengah pihak, namun kita berharap kematangan
fikiran rakyat satu hari akan dapat melumpuhkan penyalahgunaan kuasa ini.
Internet memboleh banyak hujah
disampaikan dan idea disalurkan. Istana sepatutnya tidak berpihak dan mendengar
dari semua aliran. Namun, dalam banyak keadaan, itu belum berlaku. Kepada Allah
kembali segala urusan.
Semoga tajdid di era baru lebih
kemas dan bertenaga!!
No comments:
Post a Comment