PERSEDIAAN RAMADHAN
Ramadhan
ialah nama bagi sebuah bulan dalam bulan-bulan kiraan Islam dan sebuah kata
nama dalam bahasa arab yang disebut oleh sesetengah pakar bahasa sebagai
diambil dari kalimah “رمض” (panas membakar ) dan hal ini lantaran kerana waktu ini manusia
berpuasa menahan diri dari makan dan minum sehingga kepanasan tekak kerana
kehausan manakala menurut riwayat dari Mujahid ra (murid ibn Abbas ra)
mengatakan bahawa ramadhan ini ialah salah satu dari nama Allah swt dan
tidaklah diguna untuk makhluk(lihat takrif ramadhan dalam lisanul arab oleh
Ibnu Manzur m/s 245 Jilid 4).
RAMADHAN
Bulan ini
merupakan satu bulan mulia dan waktu yang merupakan khusus untuk umat Islam
melakukan ibadah puasa dengan menuruti perintah Allah yang menyebut:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُتِبَ
عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ
تَتَّقُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu untuk
berpuasa sebagaimana telah ditetapkan kepada orang-orang sebelum kamu
mudah-mudahan kamu menjadi bertaqwa”
(Al-Baqarah:183).
"Bulan
Ramadhan yang pada bulan itu telah kami turunkan Al-Qur’an untuk memberi
pertunjuk kepada manusia dan memberi penerangan dari hidayah serta pembeza hak
dan kebathilan”
فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ
فَلْيَصُمْهُ
“ Sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan
(atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu”
(Al-Baqarah:185).
Sesungguhnya ramadhan merupakan bulan
mulia yang menjadi salah satu dari waktu tertegaknya rukun Islam yang lima
iaitu berpuasanya umat Islam pada bulan
ini sebagai menunaikan kewajipan mereka
kepada Allah yang Maha Esa.
Diriwayatkan
dari Ibn Umar ra bahawa baginda rasulullah salallahualaihiwasalam pernah
bersabda:
“Terbinanya
Islam itu di atas lima perkara iaitu bersyahadah bahawa tiada tuhan yang berhak
disembah selain Allah dan Muhammad itu sebagai rasulullah dan mendirikan solat
serta mengeluarkan zakat dan menunaikan haji serta puasa di bulan ramadhan” (hadith sahih riwayat Bukhari no.8
dan Muslim no. 16)
Bahkan bulan
yang mulia ini juga diberi penghormatan oleh Allah swt dengan membersihkannya
dari kewujudan dan kekotoran syaitan dan dosa seperti yang terdapat dalam
hadith riwayat Abu Hurairah ra dari rasulullah yang bersabda : “Apabila
tibanya bulan ramadhan maka dibukakan pintu-pintu syurga dan ditutup
pintu-pintu neraka serta dibelenggu para syaitan” (hadith sahih riwayat Bukhari no. 1899
dan Muslim
no. 1079)
Juga baginda
bersabda : “Barangsiapa yang berpuasa di bulan ramadhan dengan penuh
keimanan dan berjaga-jaga serta keikhlasan maka diampunkan segala dosanya yang
terdahulu” (hadith sahih riwayat Bukhari no.
38 dan Ibn Majah no.1641)
Sesungguhnya bulan ramadhan ini ialah sebuah ibadah yang agung dan mulia disisi Allah swt. Juga pada bulan ini ganjaran pahala dan kebaikan menanti hamba yang beriman yang melalui bulan dan waktu ini dengan ibadah dan keimanan yang sahih kepada Allah swt.
Mereka yang berpuasa merupakan tetamu Allah swt yang akan dilayani dengan
ganjaran dan kebaikan seperti yang disebut oleh rasulullah dalam hadith qudsi
bahawa Allah berfirman : “Setiap
amalan anak adam itu ialah ialah untuk dirinya sendiri kecuali puasa kerana
puasa itu ialah untuk Aku (Allah) dan Akulah (Allah) yang akan memberinya
ganjaran, dan puasa itu ialah pendinding..”
(Hadith sahih
riwayat Bukhari no. 1904 dan Muslim no. 1151)
Sesungguh
para tetamu Allah di bulan ramadhan ini akan diberikan kelebihan di sisi Allah
bukan hanya di dunia tetapi juga di akhirat bahkan baginda dalam sebuah hadith
menyebut : “Sesungguhnya demi
Yang jiwa Muhamamd itu di tangan-Nya bahawa bauan mulut mereka yang berpuasa
itu di hari akhirat lebih harum di sisi Allah dari wangian misik dan bagi
mereka yang berpuasa itu dua kegembiraan iaitu kegembiraan ketika berbuka dan
kegembiraan ketika menemui tuhannya..”
(hadith sahih
Bukhari no.1904 dan Muslim no. 1151
Bahkan tetamu
Allah di bulan ramadhan akan diberikan ganjaran besar di sisi Allah sehingga
disediakan kepada mereka sebuah pintu syurga yang khusus seperti dari riwayat
Sahl ibn Said ra dari baginda nabi yang bersabda : “ Sesungguhnya di syurga itu terdapat pintu yang dinamakan ar-rayyan
yang dikhususkan untuk golongan yang berpuasa dan pada hari kiamat tiada yang
masuk melalui pintu itu melainkan hanya golongan yang berpuasa yang akan diseru
mereka itu dengan ditanya : Siapakah golongan yang berpuasa ? Lalu mereka pun
bangun dan memasuki pintu tersebut dan kemudiannya ditutup setelah mereka
selesai melalui pintu tersebut dan tidaklah masuk selepas itu sesiapa pun” (hadith
sahih riwayat Bukhari no. 1896 dan Muslim no. 1152)
PERSIAPAN PERTAMA
Memperbetulkan
aqidah dan keimanan kepada Allah swt menurut panduan yang sahih dengan
memastikan kefahaman aqidah, konsep keimanan berada di landasan yang benar dan
membersihkan karat-karat kesyirikan
dan kejahilan dari jiwa.
مَّنِ اهْتَدَى فَإِنَّمَا يَهْتَدي
لِنَفْسِهِ وَمَن ضَلَّ فَإِنَّمَا يَضِلُّ عَلَيْهَا
“Sesiapa yang beroleh hidayah petunjuk (menurut panduan
Al-Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya terpulang
kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk
kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga.
(Al-Isra: 15)
AQIDAH YANG
SAHIH
Memastikan
memiliki aqidah yang sahih ialah satu keperluan dan kewajipan kerana tidak diterima
ibadah dan tidak bernilai ibadah yang dilakukan tanpa memiliki aqidah yang
sahih. Kefahaman aqidah yang sahih ialah apa yang datang secara pasti dan yakin
dari pemahaman salaf soleh yang merupakan sebaik-baik umat dan terpelihara
keimanan dan keilmuan mereka serta terjamin. Sabda baginda
salallahualaihiwasalam melalui riwayat Aisyah ra : “ Sebaik-baik kurun manusia ialah kurun aku berada di dalamnya
dan kemudian kurun kedua (Sahabat) dan kurun ketiga (Tabi’ien)”(hadith
Sahih riwayat Muslim no 1965 Jilid 2, Abu Daud no. 44 Jilid 5).
وَمَا أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ مِن
رَّسُولٍ إِلَّا نُوحِي إِلَيْهِ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدُون
“Dan Kami tidak mengutus sebelummu (wahai
Muhammad) seseorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya: "Bahawa
sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Aku; oleh itu,
beribadatlah kamu kepadaKu". (Al-Anbiya’ :
25).
Begitulah juga seperti apa yang diperintahkan oleh rasulullah salallahualaihiwasalam kepada Muaz bin Jabal ketika diutuskan sebagai naqib (utusan Rasulullah) ke Yaman untuk berdakwah disana dengan sabdanya kepada Muaz, "Seawal-awal perkara yang hendak kamu dakwahkan kepada manusia haruslah tauhid kepada Allah." (Hadith sahih, riwayat Bukhari no 6937)
Sebagaimana
disebut oleh Imam Abd Izz dalam kitabnya Syarah Aqidah Thahawiyah menyebutkan
bahawa hendaklah setiap muslim itu berada dalam aqidah yang sahih dan tetap
meninggalkan dunia dengan aqidah yang sahih juga sebagaimana sabda baginda
salallahualaihiwasalam : “
Barangsiapa yang mati dalam keadaan mengetahui bahawa tiada tuhan selain Allah
( memiliki aqidah yang benar) maka sesungguhnya dia akan masuk syurga.” (Hadith
Sahih, riwayat Muslim no.43 dan Ahmad 69/1).
Memahami
manhaj ahlul sunnah wal jamaah menurut pegangan salaf soleh tanpa ta’wil yang
jahil, tanpa mengguna akal fikiran yang lemah sebaliknya berpegang kepada
keutuhan riwayat dan kesahihan pegangan
salaf soleh dalam hal-hal aqidah dan keagamaan.
Demikianlah
para ulama salaf soleh berpegang dan menetapkan aqidah berdasarkan dalil yang
sahih sebagaimana berkatanya Imam As-Syafie ra : “ Aku beriman dengan Allah atas apa yang di datangkan oleh
Al-Qur’an dan sunnah dan aku beriman kepada rasul atas apa yang dibawanya iaitu
sunnah” (lihat syarah Lumatul Iktiqad oleh Ibn
Qudamah m/s 25)
Begitulah
juga dengan kalam dari Imam Ahmad ra : “Kami
beriman kepada Allah melalui Al-Qur’an dan as-sunnah tanpa membagaimanakan atau
memperumpamakan dan kami beriman dengan apa yang datang dari rasul (sunnah)”(riwayat
dari Abu Ya’la dalam Ibthal Ta’wilat lil Akhbar As-Sifat m/s 44 Jilid1)
أَمْ تَقُولُونَ عَلَى اللّهِ مَا لاَ
تَعْلَمُونَ
“...atau hanya kamu mengatakan atas nama Allah sesuatu yang tidak
kamu mengetahuinya?"
(Al-Baqarah : 80).
وَلاَ تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولـئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْؤُولاً
“Dan janganlah engkau mengikut apa yang
engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan
penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang
apa yang dilakukannya”. (Al-Isra : 36).
MEMBETULKAN
KEIMANAN
Memastikan
keimanan dan kelurusan hati serta keikhlasan melakukan ibadah hanya kerana
Allah swt
Sesungguhnya
tidaklah diterima amalan jika tidak dilakukan ikhlas semata-mata kerana Allah
swt.
وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاء
وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاء
“Mereka tidak diperintahkan melainkan
supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh
di atas tauhid,” (Al-Baiyinah: 5)
Keimanan
bahawa kewajipan puasa ramadhan dan kewajipan serta sunnah melakukan ibadah di
bulan ini merupakan apa yang datang dari Allah dan rasul serta mengimani akan
kebesaran Allah, mengimani kerasulan Muhammad salallahualaihiwasalam dan
melakukan ibadah sesuai sebagai hamba Allah yang mengharap redha dan keampunan serta rahmat-Nya merupakan kewajipan yang
perlu dilakukan oleh setiap orang
sebelum memasuki bulan ramadhan.
قُلْ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِّثْلُكُمْ
يُوحَى إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَهُكُمْ إِلَهٌ وَاحِدٌ فَمَن كَانَ يَرْجُو لِقَاء
رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلاً صَالِحاً
وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَداً
“Katakanlah (wahai Muhammad):
"Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan
kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang
percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan
amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya
kepada Tuhannya".
(Al-Kahfi
: 110).
Perlu
betulkan keimanan, keyakinan dan ketabahan melakukan ibadah untuk Allah swt
yang Maha Esa dan meninggalkan kemaksiatan demi Allah semata-mata dan menghormati bulan ini juga semata-mata kerana
keimanan kepada Allah swt.
PERSEDIAAN KEDUA
Mempersediakan diri dengan ilmu dan panduan ibadah serta puasa yang sahih dan kaedah menjalankan Ibadah secara sahih.
Hendaklah
sebelum memasuki ramadhan setiap orang kembali menyemak buku-buku atau menyoal
para alim ulama akan kaedah puasa dan menjalankan ibadah yang sahih menurut pegangan
salaf soleh dan ajaran Rasulullah salallahualaihiwasalam yang jauh dari bid’ah
dan penambahan dan penyelewengan.
فَاسْأَلُواْ أَهْلَ الذِّكْرِ إِن
كُنتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ
“Bertanyalah
kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan ugama jika
kamu tidak mengetahui.” (An-Nahl :
43).
Hendaklah difahami tujuan beribadah itu ialah untuk mengabdikan diri kepada Allah dan hendaklah dilakukan menurut panduan yang Allah swt berikan iaitu melalui kitab Allah dan sunnah rasulullah serta apa yang dari para salaf soleh yang memahami isi panduan kedua ini menurut pemahaman yang sahih dan terjamin. Sabda baginda Salallahualaihiwasalam : “Barangsiapa yang mengada- adakan sesuatu urusan baru dalam agama kami sedang ia bukan dari kami maka sesungguhnya ianya ditolak.”
(Hadith sahih
disepakati Bukhari 156 Jilid 8 dan Muslim no. 4467)
Tidaklah
diterima amalan kebaikan dan amalan ibadah apabila ianya dilakukan dengan
menyeleweng, menambah atau mengurang dari apa yang diajarkan oleh pembawa
utusan kerasulan iaitu Muhammad salallahualaihiwasalam.
PERSIAPAN YANG
KETIGA
Hendaklah
juga siapa yang akan menjalani bulan ramadhan mempersiapkan dirinya dengan
kemampuan fizikal dan kekuatan jasadiyah serta juga material moga dapat
menjalani ibadah dengan sempurna dan selesa.
وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن
قُوَّةٍ وَمِن رِّبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدْوَّ اللّهِ
وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِن دُونِهِمْ
لاَ تَعْلَمُونَهُمُ
“Dan sediakanlah untuk menentang mereka
(musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari
pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan
persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari
mereka yang kamu tidak mengetahuinya; (Al-Anfal
: 60).
Sekalipun ayat di atas untuk peperangan namun ianya secara umum untuk semua hal ibadah iaitu jika peperangan dan jihad itu ialah ibadah yang memerlukan persediaan kebendaan maka demikianlah juga dengan puasa yang merupakan ibadah asasi yang termasuk rukun ke-Islaman.
Mempersediakan
diri dengan fizikal dan kekuatan badan iaitu seperti menjaga kesihatan dan
menjaga badan supaya dapat mengerjakan ibadah dengan sempurna ialah satu kewajipan
supaya dapat menunaikan hak kepada Allah swt dalam ibadah dengan sempurna dan
selesa.
Tidaklah disukai mereka yang tidak menjaga makan dan minum serta juga tidak mengurus tidur dan rehat secukupnya sehingga mengakibatkan kerosakan badan dan melemahkan diri untuk menjalani ibadah puasa dan ibadah di bulan ramadhan dengan kukuh dan selesa bahkan terganggu waktu ibadah kerana kelemahan keletihan badan.
Oleh itu hendaklah melakukan persediaan secara fizikal dan badan bagi yang
mampu bahkan termasuk amalan dan usaha melakukan persediaan secara fizikal
seperti mengambil vitamin, melakukan senaman dan mempersediakan menghadapi
ramadhan dengan menjalani terapi kesihatan sebagai usaha ibadah
Dan
berpahala.
لاَ يُكَلِّفُ اللّهُ نَفْساً إِلاَّ
وُسْعَهَا
“Tidaklah Allah membebani seseorang melainkan sekadar apa yang
termampu olehnya”
(Surah
Al-Baqarah: 286)
Setelah itu hendaklah juga para golongan yang beriman mempersiapkan untuk menjalani ibadah puasa dengan melengkapkan diri dengan kemampuan material dan kewangan serta belanja keperluan.
Ini disebabkan supaya dapat mengambil bahagian dalam usaha infaq dan sedekah serta menunaikan kewajipan zakat di bulan ramadhan. Sesungguh golongan yang kaya dan berkemampuan harta serta material mendapat kelebihan di sisi Allah swt apabila mereka mampu menunaikan ibadah zakat dan mampu pula mengeluarkan infaq sedekah kepada fakir miskin yang mengakibatkan mereka beroleh kedudukan mulia di sisi Allah swt dan mendapat ganjaran pahala yang besar.
Bahkan
disebut dalam hadith riwayat Muadz Ibn Jabal ra bahawa baginda nabi
salallahualaihiwasalam pernah bersabda “ Sedekah itu memadamkan dosa
seperti air yang memadamkan api.” (hadith sahih riwayat Tirmidzi no. 609 dan nasaie, Ibn Majah)
Sesungguhnya tidaklah dengan sedekah itu mengurangkan harta sebagaimana sabda
baginda “tidaklah berkurangan harta itu dengan sedekah." (hadith riwayat Tirmidzi)
Hendaklah umat Islam berusaha mendapatkan kedudukan untuk bersedekah dan menjadi tangan yang di atas dari tangan yang di bawah supaya dapat memperolehi ganjaran besar di sisi Allah swt.
خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ إِنَّ صَلاَتَكَ
سَكَنٌ لَّهُمْ وَاللّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
“Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah
(zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan
mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana
sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah
Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”.(At-Taubat:
103)
إِنَّمَا نُطْعِمُكُمْ لِوَجْهِ اللَّهِ لَا نُرِيدُ
مِنكُمْ جَزَاء وَلَا شُكُوراً
“ Mereka berkata ; kami memberikan makanan kepadamu kerana
mengharapkan keredhaan Allah dan tidak kami mengharapkan kepadamu balasan dan
tidak pula pujian serta tidak pula penghargaan.” (Ad-Dahr:
9)
PERSEDIAAN YANG
KEEMPAT
Mempersiapkan
perancangan dan persediaan jadual akitiviti kehidupan dengan mengatur supaya
dapat menjalani ibadah puasa di bulan ramadhan dan lain-lain ibadah dengan
teratur dan selesa serta tanpa gangguan.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلَا أَوْلَادُكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّهِ وَمَن يَفْعَلْ
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلَا أَوْلَادُكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّهِ وَمَن يَفْعَلْ
ذَلِكَ فَأُوْلَئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan
oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah
(dengan menjalankan perintahNya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian,
maka mereka itulah orang-orang yang rugi.” (Al-Munaafiqun:
9)
Sesungguhnya
Islam ialah agama yang tersusun dan teratur oleh itu hendaklah umat Islam
mengatur kehidupan dan membuat perancangan ibadah di bulan puasa supaya tahu
menyusun aktiviti hidup agar dapat dimanfaatkan waktu sebanyak mungkin untuk
menjalani ibadah di bulan ramadhan.
مِنكُم مَّن يُرِيدُ الدُّنْيَا وَمِنكُم مَّن يُرِيدُ الآخِرَةَ
مِنكُم مَّن يُرِيدُ الدُّنْيَا وَمِنكُم مَّن يُرِيدُ الآخِرَةَ
“Di antara kamu ada yang menghendaki
keuntungan dunia semata-mata, dan di antara kamu ada yang menghendaki akhirat.” (Ali-Imran: 152)
Sebagai
contohnya hendaklah seorang muslim itu mengatur waktu kerja, waktu rehat dan
waktu aktiviti keluarga dan juga waktu ibadahnya supaya dapat memanfaatkan
sebanyak mungkin masa ibadah di bulan ramadhan.
Terutama bagi
mereka yang bekerja pada waktu siang mungkin mereka boleh merancang bahawa
sepanjang bulan ramadhan akan lebih banyak merehatkan diri di rumah setelah
selesai kerja untuk mempersiapkan diri beribadah di waktu malam di bulan
ramadhan dan bagi mereka yang bekerja malam pula boleh merancang
memperbanyakkan ibadah di waktu siang dengan menjadikan malam sebagai waktu
berkerja dan petang waktu berehat.
يُؤتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَاءُ وَمَن
يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْراً كَثِيراً وَمَا يَذَّكَّرُ
إِلاَّ أُوْلُواْ الأَلْبَابِ
“Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna)
kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan
sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan
yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan)
melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya”. (Surah Al-Baqarah: 269)
Wallahualam.
Oleh:
Ustaz Emran Ahmad
No comments:
Post a Comment