"Katakanlah: Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata, Maha Suci Allah, dan tiada aku termasuk di antara orang-orang yang musyrik" (QS Yusuf:108)

05 June, 2014


LIMA BELAS MAKSIAT YANG MENURUNKAN BALA


Daripada Ali bin Abi Thalib r.a Rasulullah s.a.w bersabda:  Apabila umatku telah membuat Lima belas perkara ini maka bala pasti akan turun kepada mereka iaitu:

1.  Apabila harta Negara hanya beredar pada orang-orang tertentu
2.  Apabila amanah itu dijadikan suatu sumber keuntungan
3.  Zakat dijadikan hutang
4.  Suami memperturutkan kehendak isteri
5.  Anak derhaka terhadap ibunya
6.  Sedangkan ia berbaik-baik dengan kawannya
7.  Suka menjauhkan diri dari ayahnya
8.  Suara sudah ditinggikan didalam masjid
9.  Yang menjadi ketua suatu kaum adalah orang yang terhina diantara mereka
10. Seseorang yang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya
11. Khamar (Arak) sudah diminum dimerata tempat
12. Kain sutera banyak di pakai oleh kaum lelaki
13. Para artis disanjung-sanjung
14. Muzik banyak dimainkan
15. Generasi akhir umat ini melaknat (menyalahkan) generasi pertama (sahabat)

Maka pada ketika itu hendaklah mereka menanti angin merah atau gempa bumi atau mereka akan diroboh menjadi makhluk lain

(Hadith riwayat Tirmizi)

KETERANGAN

Dunia pada hari ini telah membuat segala apa yang telah disabdakan Rasulullah s.a.w. ini, Cuma mungkin belum sampai ke peringkat akhir.

LIMA MAKSIAT YANG DISEGERAKAN BALASANNYA

Daripada Ibnu Omar r.a. berkata:  Berhadap Rasulullah s.a.w. kepada kami (pada suatu hari) kemudian beliau bersabda:

“Wahai Kaum Muhajirin, lima perkara kalau kamu telah dibalakan dengannya (kalau kamu telah mengerjakannya) maka tiada kebaikan lagi bagi kamu. Dan aku berlindung dengan Allah s.w.t. semoga kamu tidak menemui masa itu.


1. Tiada terzahir (nampak) penzinaan pada suatu kaum sehingga mereka berani berterus terang melakukannya,  kecuali mereka akan ditimpa penyakit Tha’un yang cepat merebak di kalangan mereka, dan mereka akan ditimpa penyakit-penyakit yang belum pernah menimpa umat-umat yang telah lalu.

2. Dan tiada mereka mengurangkan sukatan dan timbangan, kecuali mereka akan dibalakan dengan kemarau dan susah mencari rezeki dan kezaliman daripada kalangan pemimpin mereka.

3. Dan tiada menahan mereka akan zakat harta benda kecuali ditahan untuk mereka air hujan dari langit. Jikalau tidak ada binatang (yang juga hidup di atas permukaan bumi ini) tentunya mereka tidak akan diberi hujan oleh Allah swt.

4. Dan tiada mereka mungkir akan janji Allah dan Rasulnya kecuali Allah akan menguasakan ke atas mereka musuh mereka, maka musuh itu merampas sebahagian dari pada apa yang ada di tangan mereka.

5. Dan apabila pemimpin-pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah yang terkandung dalam Al-Quran dan tidak mahu menjadikannya sebagai pilihan, maka (di saat itu) Allah akan menjadikan peperangan di kalangan mereka sendiri.”

(Hadith riwayat Ibnu Majah)

Keterangan :

Hadith ini menerangkan bahawa :

1.   Penyakit taun dan Aids adalah berpunca dari banyak berlakunya penzinaan.

2. Kesukaran mencari rezeki dan kezaliman pimpinan adalah berpunca daripada rakyat yang   mengurangkan sukatan dan timbangan.

3.   Kemarau panjang adalah berpunca dari tidak mengeluarkan zakat

4. Kemampuan musuh mengambil sebahagian dari apa yang dimiliki oleh kaum Muslimin (seperti hilangnya Tanah Palestin dari tangan kaum Muslimin) adalah berpunca daripada mereka mengkhianati janji-janji mereka kepada Allah swt

5.  Perang saudara yang berlaku di kalangan kaum Muslimin adalah berpunca daripada mengenepikan hukum-hukum Allah swt dan tidak mahu menjadikan Al-Quran sebagai undang-undang di dalam kehidupan.

Kitab rujukan : 40 Hadith Peristiwa Akhir Zaman (Abu Ali Al-Banjari An-Nadwi) terbitan Khazanah Banjariah

No comments: