ADAKAH KITA MEMPUNYAI SESUATU FALSAFAH TENTANG KASIH
SAYANG SEKELUARGA?
Sebagaimana yang kita ketahui bahawa
kasih sayang memainkan pengaruh besar dalam kehidupan seseorang. Ia menjadi
sebahagian daripada keperluan psikologi manusia. Ia melibatkan suasana, sikap
dan harapan seseorang terhadap seseorang atau sesuatu yang lain.
Kasih sayang sekeluarga yang
dimaksudkan ialah kasih sayang sejati daripada ibu bapa kepada anak-anak, kasih
sayang anak-anak kepada ibu bapa, kasih sayang sesama adik beradik, saudara
mara dan kepada sahabat. Kasih sayang dapat dilahirkan melalui tingkah
laku, perhatian, pengorbanan dan persefahaman. Kasih sayang yang sejati dan
iklas akan mewujudkan rasa tanggungjawab dan perasaan hormat terhadap orang
yang dikasihi.
Kasih sayang akan bersemadi jika
dicurahkan atas dasar penghormatan
kerana tanpa penghormatan akan wujud ketidak seimbangan dan ketidak
selesaan dalam perhubungan seperti akan berlaku konflik dan ketegangan.
Selain itu kasih sayang akan
bertambah kuat jika terdapat persamaan
nilai yang dipegang kerana semakin serupa nilai hidup seseorang
itu maka semakin mudah dan kuat sesuatu perhubungan dapat dijalinkan. Kasih
sayang sebenarnya bertujuan untuk mengeratkan perhubungan diantara satu sama
lain, supaya wujud kebahagiaan dan kemesraan.
Jelaslah bahawa ajaran Islam sangat
menjunjung tinggi akan kasih sayang. Kita perlu mencontoh teladan Nabi Shallallahu ‘alaihi Wa Salam dan para
sahabatnya yang benar-benar merealisasikan makna kasih sayang yang tanpa batas,
tentunya untuk mencapai keredhaan Allah Subhanahu
wa Ta’ala semata yang bukan untuk mencari kesenangan dunia.
Firman Allah Subhanahu wa
Ta’ala berkait dengan kasih sayang:
ثُمَّ كانَ
مِنَ الَّذينَ آمَنوا وَتَواصَوا بِالصَّبرِ وَتَواصَوا بِالمَرحَمَةِ
Thumma kāna
minalladhīna ʾāmanū wa-tawāṣaw biṣ-ṣabri wa-tawāṣaw bil-marḥama
“Selain
dari (tidak mengerjakan amal-amal) itu, ia (tidak pula) menjadi dari
orang-orang yang beriman dan berpesan-pesan dengan sabar serta berpesan-pesan
dengan kasih sayang”. (Surah Al-Balad: 17)
Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam ayat lain juga ditegaskan bahawa untuk
saling mengenal agar boleh saling mengasihi satu sama lainnya.
يا أَيُّهَا
النّاسُ إِنّا خَلَقناكُم مِن ذَكَرٍ وَأُنثىٰ وَجَعَلناكُم شُعوبًا وَقَبائِلَ
لِتَعارَفوا ۚ إِنَّ
أَكرَمَكُم
عِندَ اللَّهِ أَتقاكُم ۚ إِنَّ اللَّهَ عَليمٌ خَبيرٌ
Yā-ʾayyuhān-nāsu
ʾinnā khalaqnākum min dhakarin wa-ʾunthā wa-jaʿalnākum shuʿūban wa-qabāʾila li-taʿārafū
ʾinna ʾakramakum ʿindallāhi ʾatqākum ʾinna llāha ʿalīmun khabīr
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari
lelaki dan perempuan, dan Kami telah
menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan
(dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia
kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang
lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha
Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)”. (Surah
Al-Hujurat: 13)
Islam sangat melarang keras untuk saling
membenci dan bermusuhan, namun sangat menjunjung tinggi akan arti kasih sayang
terhadap umat manusia.
Malulah jika mengaku Islam, tetapi tidak
memahami kasih sayang sebenarnya. Sedih melihat saudara-saudari yang kebanyakan
Muslim tetapi meyakini hari tertentu sebagai simbol kasih sayang. Semoga itu
hanyalah kerana minimumnya ilmu - daif terhadap ajaran. Semoga diberi kekuatan
dan semangat untuk mengkaji dan mengaji sehingga menjadi faham dan terkumpul
dalam lingkungan orang yang soleh.
Dalam hadith Nabi Shallallahu ‘alaihi Wa Salam :
"Perumpamaan
orang-orang Mukmin dalam hal kecintaan, kasih sayang dan belas kasihan sesama
mereka, laksana satu tubuh. Apabila sakit satu anggota dari tubuh tersebut maka
akan menjalarlah kesakitan itu pada semua anggota tubuh itu dengan menimbulkan
insomnia (tidak boleh tidur) dan demam (panas dingin)." – Hadith riwayat.
Muslim
Dalam hadith lain yang
diriwayatkan oleh Baihaqi melalui Anas ra. Nabi Shallallahu ‘alaihi Wa Salam bersabda :
"Tidak akan
masuk surga kecuali orang yang penyayang."
Maka
jelas sekali bahawa yang masuk syurga itu hanyalah orang-orang yang
mempunyai rasa kasih sayang yang tanpa dibayangi dengan niat-niat jahat. Rasa
kasih sayang yang diniatkan kerana Allah Subhanahu
wa Ta’ala , bukan kerana keuntungan dan kesenangan duniawi. Makna kasih
sayang tidaklah berhujung, sedangkan rasa kasih sayang adalah sebuah fitrah
yang mesti direalisasikan terhadap sesama manusia sepanjang kehidupan di dunia
ini ada.
Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi Wa Salam bersabda:
”Barang siapa tidak
menyayangi manusia, Allah tidak akan menyayanginya (Hadith riwayat.: Tirmudzi).
Sama-samalah
kita muhasabah diri, apakah yang telah kita lakukan untuk keluarga kita,
khususnya dalam mendidik dan mengajar anak-anak agar mereka sentiasa mengasihi
keluarga dan tunduk serta patuh terhadap ajaran Islam sepanjang masa.
Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi Wa Salam juga bersabda:
"Janganlah kamu saling membenci,
berdengki-dengkian, saling berpalingan, dan jadilah kamu sebagai
hamba-hamba Allah yang bersaudara. Juga tidak dibolehkan seorang muslim
meninggalkan (tidak bertegur sapa) terhadap saudaranya melebihi tiga hari"
(hadis riwayat Muslim)
Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
وَاعبُدُوا
اللَّهَ وَلا تُشرِكوا بِهِ شَيئًا ۖ وَبِالوالِدَينِ إِحسانًا وَبِذِي القُربىٰ
وَاليَتامىٰ
وَالمَساكينِ
وَالجارِ ذِي القُربىٰ وَالجارِ الجُنُبِ وَالصّاحِبِ بِالجَنبِ وَابنِ السَّبيلِ
وَما
مَلَكَت
أَيمانُكُم ۗ إِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ مَن كانَ مُختالًا فَخورًا
Wa-ʿbudūllāha wa-lā tushrikū bihī
shayʾan wa-bil-wālidayni ʾiḥsānan wa-bi-dhīl-qurbā wal-yatāmā wal-masākīni
wal-jāri dhīl-qurbā wal-jāril-junubi waṣ-ṣāḥibi bil-janbi wabnis-sabīli wa-mā
malakat ʾaymānukum ʾinnallāha lā yuḥibbu man kāna mukhtālan fakhūra
“Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu
sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada
kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin,
dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat,
dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya
Allah tidak suka kepada orang-orang
yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri” (Surah
An-Nisaa: 36)
Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala lagi:
وَلا تُفسِدوا
فِي الأَرضِ بَعدَ إِصلاحِها وَادعوهُ خَوفًا وَطَمَعًا ۚ إِنَّ رَحمَتَ اللَّهِ
قَريبٌ
مِنَ
المُحسِنينَ
Walā
tufsidū fīl-ʾarḍi baʿda ʾiṣlāḥihā wa-dūhu khawfan wa-ṭamaʿan ʾinna raḥmata
llāhi qarībun minal-muḥsinīn
“Dan janganlah kamu membuat kerusakan di muka bumi, sesudah (Allah)
memperbaikinya dan berdoalah kepada-Nya dengan rasa takut (tidak akan diterima)
dan harapan (akan dikabulkan). Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada
orang-orang yang berbuat baik”. (Surah:. Al-A’raf: 56)
Jika diperhatikan, konsep kasih sayang dalam Islam lebih lengkap dan
komplit.
Jika kita benar-benar mempraktikkan ajaran Islam secara kaffah
(integral), maka kita akan merasakan besarnya kasih sayang dalam diri kita, dan
orang lainpun merasakannya kenikmatan kasih sayang yang menjadi bagian dari
ajaran Islam.
MARILAH kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala dengan penuh
keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan
segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman
serta selamat di dunia dan selamat di Akhirat.
Wallahu
a’lam bishowab
POSTED BY:
HAR
No comments:
Post a Comment