"Katakanlah: Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata, Maha Suci Allah, dan tiada aku termasuk di antara orang-orang yang musyrik" (QS Yusuf:108)

09 October, 2016

HIDUP INI SEBUAH PERJALANAN

Sahabat-sahabat ku,

Ketahuilah perjalanan yang panjang pasti akan dapat menguji apakah baju dan pemikiran yang dipakai oleh kita itu “sesuai dan “mampu” untuk melindungi kita apabila diuji oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

قُل سيروا فِي الأَرضِ فَانظُروا كَيفَ كانَ عاقِبَةُ الَّذينَ مِن قَبلُ ۚ كانَ أَكثَرُهُم مُشرِكينَ
Katakanlah: "Mengembaralah kamu di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang telah lalu (yang telah dibinasakan); kebanyakan mereka adalah orang-orang musyrik". (Surah Ar-Ruum: 42)

Takala bala bencana menimpa kamu seperti kematian orang yang tersayang, kehilangan barang dan kerugian harta serta diuji dengan ketakutan dan kesusahan. Maka pada ketika itu ‘baju’ yang dipakai oleh kalian akan dapat diuji kebolehannya untuk melihat apakah ianya mampu memelihara kamu daripada kesakitan atau hanya sekadar menambah penderitaan.

Demikianlah pula ‘aliran pemikiran’ yang dipakaikan ke otak dan dimasukkan ke dalam sistem kewarasan minda anda. Apakah ianya mampu membuatkan jiwa dan diri anda kebal dan mampu bertahan daripada segala macam kesengsaraan serta sekaligus menukar kegagalan kepada kejayaan.
  
Aqidah yang benar ialah aqidah yang positif.

Aqidah yang mampu membuatkan kamu tahan lasak ketika diuji. Aqidah yang membuatkan kamu redha ketika kehilangan harta, tabah sewaktu menderita dan mampu menerima dan beriman kepada takdir apabila menghadapi kematian insan yang tercinta.

Aqidah yang sahih itu ialah aqidah yang menguatkan peribadi dan jasad kamu dengan kekuatan jiwa yang berupa sabar, syukur, readha dan amanah. Kamu masih mampu berterima kasih kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dan dapat mensyukuri nikmat-Nya walau di tengah-tengah kesibukkan dunia dan dilimpahi oleh nikmat serta diberikan rezeki yang seluas-luasnya di dunia.

Kamu masih berupaya untuk bersyukur kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala walau ditengah-tengah kesusahan atau ditengah-tengah kesenangan.

Aqidah yang sahih membuatkan kamu tidak lupa untuk tunduk dan sujud kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala apabila tiba waktunya. Patuh kepada suruhan-Nya dan berlaku lembut serta ehsan kepada hamba-hamba-Nya.

Itulah aqidah yang sahih yang membuatkan kamu sentiasa ingat dan takut kepada-Nya.

Aqidah yang mampu membawa manusia mengharungi segala ujian dan cabaran kehidupan di atas muka bumi. Itulah isi dan itulah inti pati ajaran Al-Quran dan As-sunnah.
                
Islam bukan agama zahiri tetapi penuh hikmah dan kaya dengan rahsia kehidupan yang perlu diselesaikan sepanjang zaman dan akan menghuraikan hikmahnya menurut kesesuaian manusia yang pelbagai keadaan.

Aqidah Islam yang dibawa oleh Rasulullah Shalallahu ‘alaihi Wa sallam bukanlah mengajarkan fakta semata-mata dan itu bukanlah fungsi utama Nabi Shalallahu ‘alaihi Wa sallam membawa dakwah.

Ayat Al-quran banyak membawakan cerita berkenaan umat-umat terdahulu tetapi tiada suatu pun di dalamnya yang membawakan butiran fakta secara tepat berkenaan lokasi, waktu dan watak yang terlibat secara terperinci. Ini kerana fokusnya ialah pada hikmah dan pengajaran bukan kepada fakta dan butiran.

Teruskanlah berjalan kerana sejuk, panas dan kesusahan di dalam perjalanan pasti akan membuatkan kamu tersedar daripada lamunan dan angan-angan.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَقُلِ اعمَلوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُم وَرَسولُهُ وَالمُؤمِنونَ ۖ وَسَتُرَدّونَ إِلىٰ عالِمِ الغَيبِ
وَالشَّهادَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم تَعمَلونَ
Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan". (Surau At-Taubah: 105)

Dari Abu Said Al-Khudri dan Abu Huraurah Radhiyallahu 'anhu bahawa Baginda Rasulullah Shalallahu ‘alaihi Wa sallam bersabda dengan Maksudnya:

“Tidaklah menimpa Seorang muslim itu sesesuatu dari keletihan, penyakit, masalah (kebingungan), kesedihan (kerana kehilangan sesuatu), kesengsaraan dan duka cita sehinggakan (kepada) duri yang menusuknya (menyakitinya), kecuali Allah menghapuskan (mengampunkan) dengan semua itu akan dosa-dosanya.” (Hadith riwayat Bukhari & Muslim)

Demikianlah pula dengan pemikiran yang engkau pakaikan kepada minda dan kotak kewarasan dirimu. Apakah ianya sebuah pemikiran yang bertahan dan bersifat kesempurnaan atau ianya hanyalah merupakan mainan syaitan yang dipenuhi dengan pelbagai kekaburan.

Ramai orang mendakwa aliran pemikirannya itu ialah yang paling benar. Ianya sunnah dan ianya Al-Jamaah serta terjamin daripada kesesatan. Dikhuatiri itu hanyalah dakwaan yang sangat dangkal dan dipenuhi oleh kekaburan dan kepalsuan
.
Ramai orang mendakwa bahawa mereka dijamin oleh tuhan sedangkan Allah berlepas diri daripada mereka. Lihatlah perangai mereka apabila diuji, perhatikan sikap mereka ketika menerima tekanan dan penindasan.

Apakah kalimah dan ucapan yang terkeluar daripada lisan mereka ?

Adakah ianya ucapan kembali kepada Allah yang berbunyi “InnaLillahi Wa inna Ilahirajiu’un”? Atau ianya perkataan manusia biasa yang menyebut :”Alamak,” “Ni Apa hal ni “? “Nak buat macam mana ni.”?

Pemikiran yang sahih dan benar daripada Allah serta yang dikehendaki oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala akan dapat membuatkan seseorang itu bersabar dan berlaku adil walau kepada musuh dan pihak yang lemah dan berada di bawah kekuasaan dan kemampuan kita.

Pemikiran yang sahih itulah juga akan membuatkan manusia tidak berputus asa, tidak menyerah kalah dan tidak mudah terpedaya oleh dunia.

Ianya adalah bukan sekadar pemikiran yang disusun oleh ayat-ayat Al-Quran dan hadith-hadith Rasulullah Shalallahu ‘alaihi Wa sallam semata-mata tetapi turut mengandungi makna-makna dan khasiat daripada kedua-duanya serta mampu menjadi akar yang utuh dalam kehidupan manusia sebagai peneguh dan penguat yang mampu menjulangkan amal sehingga ke langit tinggi.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

أَلَم تَرَ كَيفَ ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا كَلِمَةً طَيِّبَةً كَشَجَرَةٍ طَيِّبَةٍ أَصلُها ثابِتٌ وَفَرعُها فِي السَّماءِ
تُؤتي أُكُلَها كُلَّ حينٍ بِإِذنِ رَبِّها ۗ وَيَضرِبُ اللَّهُ الأَمثالَ لِلنّاسِ لَعَلَّهُم يَتَذَكَّرونَ
وَمَثَلُ كَلِمَةٍ خَبيثَةٍ كَشَجَرَةٍ خَبيثَةٍ اجتُثَّت مِن فَوقِ الأَرضِ ما لَها مِن قَرارٍ
Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran). Dan bandingan Kalimah yang jahat dan buruk samalah seperti sebatang pohon yang tidak berguna yang mudah tercabut akar-akarnya dari muka bumi; tidak ada tapak baginya untuk tetap hidup. (Surah Ibrahim: 24-26)
Itulah aqidah Islam dan itulah fahaman yang sahih daripada Al-Quran dan as-sunnah.

Ianya tidak memerlukan nama.

Bubuhlah ia dengan apa jenama baik wahabi, sufi mahupun salafi. Langsung semua penjenamaan ini tidak akan mempengaruhi apa-apa kepada peribadi yang jiwanya teguh dan utuh oleh khasiat daripada Al-Quran dan as-sunnah ini.

Nabi memanggil agama ini sebagai Islam, ad-dean, millah Ibrahim, al-hanif dan sirath al-mustaqim tetapi semuanya bersumber pada hakikat yang sama iaitu daripada Allah dan untuk membawa manusia kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Panduannya tetap sama iaitu Al-Quran dan as-sunnah rasulullah.

Demikianlah manusia yang ada di atas muka bumi ini. Penilaian kita mungkin mengelarnya dengan pelbagai nama dan jenama tetapi di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala, cuma ada dua kelompok manusia sahaja iaitu apakah ahli syurga atau pun ahli neraka.

Wallahu’alam.

Oleh: Ustaz Emran Ahmad
Terjemahan Al-Quran: mymasjid.net.my
Posted by: HAR

No comments: